lynethewriter
| Namaku Adalah Jade #Episod 1 |
| Namaku Adalah Jade #Episod 1 |
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Peribahasa Melayu itu ada benarnya dan itu terjadi pada diriku. Nama aku naik sebagai suspek kepada kes pembunuhan Dato’ Jack. Uncle Yin marah tak habis-habis padaku kerana aku bersikap cuai kali ini. Aku mengaku, aku kurang menumpukan perhatian kerana aku tak sangka Dato’ Jack sempat meminta bantuan walau sudah di tembak bertalu-talu. Aku menampar dahiku. Semuanya seperti berakhir begini saja walaupun Eric beberapa kali berjanji dia akan menolongku walau apa pun terjadi. Dia berjanji, polis tak akan berjaya menangkap aku.
“Tak perlu lindungi saya Eric. Memang betul saya terlibat”, kataku pada Eric. Aku jenis berani buat, berani tanggung. Aku bukan seorang pengecut.
“Tak perlu begitu. Saya sayang kamu Jade. Saya tak nak apa-apa terjadi pada kamu. Lagipun, aku pun terlibat sama”, kata Eric dan buat pertama kali dia memegang tanganku.
Aku tidak rasa apa-apa. Aku rasa biasa saja pegangan tersebut. Walaupun dingin tangan Eric dapat kurasai. Aku memandang ke matanya. Aku dapat merasai sesuatu di dalam dada tapi... cepat-cepat aku mengalih pandangan. Aku memandang lorong yang sepi. Tiada apa di sana dan sekali-sekala beg plastik berterbangan mengikut rentak udara bertiup.
“Aku mencintaimu Jade”, ucap Eric.
Aku masih memandang lorong. Kata-katanya hanya tinggal kata-kata. Aku tidak merasakan ia satu ucapan istimewa.
“Aku hanya anggap kamu sebagai abang saja”, kataku kemudian bangun dan masuk ke dalam bilikku yang berselerak seperti tongkang pecah dan berbau busuk bangkai. Aku sudah sebati dengan bau tersebut.
Baru saja hendak melelap mata walau hidung terasa sakit dengan bau busuk menyucuk-nyucuk, aku terdengar jeritan Eric.
“Cepat keluar! Polis datang!”
Aku bingkas bangun dan Eric lantas menarik tanganku. Kami berlari keluar dan aku melihat semua orang sudah lari entah ke mana. ‘Patutlah bunyi bising tadi.’, getus hatiku.
Kami curi saja sebuah motosikal yang berada di hadapan restoran. Terasa seronok pula lari-lari macam ni. Aku memandang ke belakang kerana mendengar jeritan dan maki-hamun seorang lelaki India meminta kami mengembalikan motosikalnya. Aku melihat juga kalau-kalau polis sempat mengejar kami namun tiada. Aku anggap pelarian kami berjaya.
#####################################
Dua hari kami menyorok di sebuah ladang getah. Nyamuk? Hampir semua bahagian tubuh mereka singgah sambil meninggalkan hadiah iaitu gatal tak sudah-sudah sehingga tergaru-garu dibuatnya. Eric pula demam manakala aku rasa terseksa berada di sini. Rasanya lebih baik aku berada di penjara yang di beri makanan dan minuman. Aku baru merasai lima kali masuk keluar penjara kerana terlibat dengan rompakan dan perjudian haram. Jadi rekod aku masih bersih bagi kes pembunuhan. Aku bersandar di salah satu batang pokok getah dan begitu juga dengan Eric. Aku meliarkan mata dan menajamkan telinga untuk menghidu kehadiran binatang berbisa atau manusia. Bila difikirkan balik, bertuah aku menjadi rakyat Malaysia. Undang-undangnya masih longgar berbanding negara lain. Kalau di Penjara Sacramento, California pegawai polis di sana akan menahan banduan yang ada geng di sebuah bilik gelap supaya mereka mengeluarkan apa yang mereka telan iaitu ‘kite’ ( maklumat organisasi geng). Satu saja caranya iaitu membuang air besar. Kalau aku tak pasti sama ada aku sanggup menelan ‘kite’ atau tak.
Perut aku berkeroncong dan pedih. Bayangkanlah dua hari tanpa makanan dan minum air dari embun pada permukaan daun atau air hujan. Aku tak kisah tak makan tapi aku terpaksa kisah sebab Eric. Demamnya semakin teruk. Keadaan belum selamat untuk penjenayah seperti kami. Fikiranku teringat pada Uncle Yin dan ahli yang lain. Di mana mereka? Aku cuba menghubungi mereka melalui handset namun gagal. Itu boleh bermakna dua perkara; mereka dah mati atau mereka dalam tahanan polis.
Aku memberitahu Eric bahawa aku hendak mencari makanan dan membeli ubat. Eric enggan melepaskan aku pergi dan aku berjanji akan balik sebelum senja melabuhkan tirai malam. Aku memapah Eric ke sebuah pondok usang dan berpesan padanya supaya berhati-hati. Pisau yang sempat kuambil sebelum melarikan diri, aku serahkan kepada Eric.
Aku mengatur langkah penuh berhati-hati. Jantungku berdegup laju dan nafasku juga kencang. Aku takut terjumpa ular berbanding berjumpa manusia. Aku meliarkan mata sekeliling. Hanya satu senjata saja di tanganku iaitu pistol Old Colt pemberian Uncle Yin.
Tiada sesiapa dalam pandanganku dan tiba-tiba aku dapat menangkap suara nyaring berbual. Aku cepat-cepat menyorok di belakang pokok getah. Ada tiga orang budak berbasikal menuju entah ke mana. Aku memandang ke arah dari mana mereka muncul. Kemungkinan budak terbabit dari jalan besar.
Cepat-cepat aku mengatur langkah dan terus berlari walaupun belum tentu aku akan menjumpai jalan besar. Sakit kaki kutahan dan aku tetap mengagahi tubuhku berlari sejauh yang mungkin. Akhirnya tiba juga aku jalan besar. Nafasku tercuap-cuap. Aku keletihan dan kepalaku pening. Aku pasti wajahku kali ini. Pucat dan tak bermaya. Kali terakhir aku ingat aku ternampak lembaga putih dan kelamaan pandanganku mulai kabur dan semakin kabur kemudiannya gelap.
Terasa air dingin di percik ke mukaku. Kemudian aku terasa lagi air dingin tersebut. Perlahan-lahan aku membuka mata namun masih kabur. Aku tak pasti aku di mana tapi aku mendengar nyanyian atau bacaan dalam bahasa yang aku tak faham. Bukan dalam bahasa Kantonis mahupun Mandarin. Semakin aku cuba membuka mata semakin sakit kepala kurasa.
Ayat yang di baca itu bagaikan masuk ke dalam saluran darahku dan dapat rasa ketenangan tak kala ayat itu sampai di jantung. Aku rasa semakin tenang dan kemudiannya aku terdengar satu suara. Suara lelaki keturunan Melayu.
“Cik dah sedar?”, pertanyaannya tak kujawab. Kini aku dalam membuka mata sepenuhnya namun aku terkejut. Aku mengundur ke belakang sedikit walaupun lelaki itu berkali-kali menyuruhku jangan takut.
“Saya kat mana?”, tanyaku sambil memandang pelik pakaian yang di pakai oleh lelaki muda terbabit. Ada setandan pisang dan air botol mineral disisinya.Wajahnya pula jernih dan setenang air di lautan.
“Cik dekat tepi surau sekarang.”, katanya sambil tersenyum.
Aku menyentuh ke belakang badan untuk mencari pistol yang aku sorok di celah cangkuk coli. Nasib baik masih ada! Aku memandang ke arah tangga surau.Kebetulan ada seorang budak lelaki hendak keluar dan segera aku memautnya ke belakang. Aku mengacukan pistol ke kepalanya. Aku berani buat begitu kerana tiada orang lalu lalang di tepi jalan.
“Aku nak barang di tepi kau tu!”, arahku padanya.
Dia ketakutan. Terkejut dengan apa yang berlaku di depan mata. Cepat-cepat dia menyerahkan setandan pisang dan botol mineral itu. Entah kenapa aku merasa kesian sedangkan sebelum ini aku tak pernah merasa kesian melihat mangsaku dalam ketakutan. Aku melepaskan pautan dan menyuruh mereka tidak menghubungi polis.
Aku masih mengacukan pistol kepadanya dan entah mengapa, ringan saja tanganku menyerahkan dua biji pisang kepadanya. Kemudian, aku terus lari tanpa memandang belakang lagi. Aku perlu cepat kerana hari hampir senja.
#####################################
Masuk hari ketiga menjadi penjenayah dikehendaki polis. Semalam, aku hanya makan pisang dan minum sedikit air dari botol mineral yang aku curi. Selebihnya, aku biarkan Eric minum habis. Aku memandang Eric dan dia...nampak lebih sihat sedangkan tak makan ubat pun. Emm...bukan sebab dia dah makan semalam. Tak kisahlah, yang penting sekarang kami perlu cari Uncle Yin dan Geng Yin. Lagipun semalam aku tidak nampak kereta polis meronda atau sekatan jalan raya.
“Awal bangun?”, kata Eric yang baru tersedar dari tidur.
Aku hanya tersenyum kemudian mula termenung. Eric mula bertanya di mana aku mendapat air botol mineral itu. Aku memandang pelik kepadanya.
“Benda macam tu pun nak tanya. Kitakan memang keturunan pencuri, mestilah aku curi saja.”, jawabku selamba sambil menghisap rokok yang aku terjumpa dekat dengan pondok. Entah siapa begitu baik meninggalkan sebatang rokok dan mancis. Setelah diam seketika, aku memulakan bicara.
“Kenapa kau tanya macam tu?”
“Entahlah...aku rasa sihat lepas minum air ni.”
Aku memandang Eric. Agak menarik mendengar kata-katanya. Aku merampas botol mineral yang berada di pegangan Eric.
“Ala...air botol Bleu je. Bukan apa pun.”
Kemudian kami masing-masing berdiam diri. Tak tahu hendak berkata apa. Duduk kat ladang getah ni bukan boleh buat apa pun. Sekejap-sekejap lari bila ada orang datang menoreh.
Tiba-tiba aku teringat lelaki muda berwajah jernih itu. Ada sesuatu menarik pada pandanganku. Aku bukan jatuh cinta tapi ada sesuatu bagaikan melembutkan hatiku yang keras ini. Ayat yang aku terdengar dari dalam surau semalam, sememangnya mendamaikan. Aku ada bertanya pada Eric pasal agama tapi kami berdua sedia maklum, ahli Geng Yin tidak akan menganuti apa-apa agama seperti Islam atau Kristian.
“Aku keluar sekejap dan jangan ikut aku. Eric, jaga diri kau baik-baik.”
Eric mengangguk kepala dan patuh dengan arahanku. Lagipun katanya dia masih tidak larat untuk berjalan. Rasa sakit dikakiku berbisa setiap kali aku melangkah. Sesampai saja di jalan besar, aku terus menyorok senjata. Aku rasa aku perlu berjumpa dengan lelaki berwajah jernih itu.
Aku berjalan di tepi jalan walau ada mata memandangku kerana wajahku comot dan pakaianku sedikit koyak kerana terkena dahan apabila berlari. Badanku bagai di tolak oleh angin apabila ada sebuah lori pasir melalui sebelahku. Sakit kaki semakin menyucuk seperti tusukan jarum peniti namun kutahan. Aku berhenti berjalan sekali-sekala apabila makin berat kaki untuk melangkah. Aku menuju ke sebuah warung kopi dan bertanya di mana letaknya surau. Mereka membuat muka pelik apabila melihat orang Cina seperti aku bertanyakan soalan sedemikian.
Aku meneruskan langkah manakala fikiranku memikirkan tentang apa yang aku lakukan selama ini sebagai seorang manusia. Dari kecil aku di latih sebagai seorang pembunuh upahan. Semasa kanak-kanak seusiaku bermain buaian, aku hanya memandang dari jauh saja. Hendak bermain, Uncle Yin tidak bagi. Jadi, apa menjadi hiburanku masa itu adalah pergaduhan antara ahli geng tak pun bermain siapa dapat mencuri kuih pau paling banyak.
Tidak terkira berapa ramai menjadi mangsa kecurian atau pembunuhan yang dilakukan oleh tanganku ini. Terbaru ialah Dato’ Jack. Baru aku tersedar sesuatu, apa reaksi mereka melihat orang kesayangan mati? Sedangkan aku melihat kematian adik di depan mata, aku menggeletar seluruh tubuh.
Aku berjalan lagi kali ini langkahku semakin ringan. Sekejap lagi rasa sakit akan datang kembali. Ingatanku mula tergambar wajah mangsa yang pernah kubunuh. Ada ternganga sambil mata terbeliak, ada juga tidak habis merayu padaku dan sanggup menyerahkan wang sebanyak mana aku mahu supaya aku tidak membunuhnya dan ada juga melawan menyebabkan aku terpaksa mematahkan tulang-temulang mereka terlebih dahulu. Tiba-tiba perasaan bersalah menyelinap di dalam jiwa.
Aku memandang ke hadapan kemudian tersenyum. Sampai juga aku ke surau di mana aku di beri bantuan oleh lelaki yang tak pernah aku kenali. Aku pergi ke depan surau dan beberapa minit aku rasa bosan menunggu kehadiran lelaki tersebut. Bosan juga menjawab setiap pertanyaan orang peramah yang bertanyakan tujuan aku ke mari dan siapa gerangan yang ingin kujumpa.
Baru saja melangkah pergi tiba-tiba aku terdengar bunyi lori memberhenti dengan mengejut dan aku memandang ke belakang. Itu lelaki berwajah jernih itu yang hampir di langgar oleh lori!. Tanpa berfikir panjang, automatik kakiku berlari kemudian memeluknya. Kami kemudiannya bergolek ke kiri. Tiba-tiba aku melihat sebuah kereta terbang laju ke arah kami dan aku segera menolak badan lelaki Melayu berkenaan.
Aku berjaya menyelamatkan dia tapi...tanganku yang sering melakukan dosa begitu juga kaki yang pernah aku gunakan untuk memijak dan menendang orang bersalah di gilis oleh kereta laju tersebut. Darah melumuri badanku dan aku cuba mengangkat tangan namun terasa berat dan pedih. Aku memejamkan mata dan aku terasa kebas seperti tiada mempunyai tangan.
Tiba-tiba aku teringat bagaimana aku mencuri barang dari seorang lelaki kudung tangan. Aku ingat lagi aku mengejek sambil ketawa bersama Eric apabila melihat lelaki itu bersusah payah ingin menangkap kami. Terasa air hangat mengalir di pipi. Aku kesal dengan kesalahan aku selama ini. Aku kesal sangat!
Pandanganku semakin kabur dan semakin berat bagaikan ada batu besar menindih badanku supaya sama rata dengan permukaan bumi. Kepalaku terasa digonyoh dan dihentak-hentak oleh tangan gergasi. Pandanganku kemudiannya menjadi kelam walhal aku membuka mata. Hanya telinga masih mendengar bicara.Tiba-tiba aku terdengar suara menyuruhku berbuat sesuatu.
“Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku juga bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh Allah.”
Aku mengikut kata-kata lelaki tersebut dan lancar saja lidahku membaca sedangkan aku bukan beragama Islam. Menitis air mataku tatkala menyebut nama Allah s.w.t dan juga RasulNya. Dalam keadaan gelap mengikut pandanganku, tiba-tiba muncul cahaya terang. Cahaya itu semakin lama semakin terang seperti ada pintu yang sedang terbuka. Aku tersenyum dan perlahan-lahan suara yang aku dengar makin lama makin sayup dan terus aku tidak mendengar lagi.
Namun aku terfikir, adakah Allah dapat membuka pintu kemaafan dan mengampuni dosaku walaupun aku bukan beragama Islam tapi sempat mengucap tatkala ajal hampir tiba?
-TAMAT-
8 comments
owh.. jalan cerita yg bagus.. ending yang agak best......hehe
like2x:P
bila soalan melibatkan urusan tntg diterima atau tidak. rasanya lebih bagus tanya ustaz agar jelas.
ps: cerita yang hebat. byk persoalan masyarakat berjaya diketengahkan...
speechless.tatau nak kate ape.
**cite nie mmg lain dari yang lain.part ending paling best.
***good job.
aaaa... excellent. !!! suka suka,.. hehehe
Aku pernah terbaca satu article mengenai kebaikan...kebaikan akan dibalas baik dan kejahatan akan dibalas jahat juga manakala agama pula adalah satu hal yang berbeza namun siapa saja boleh mendapat rahmatNya ...aku tak sangka ending Jade mati macam ni. Whatever...aku suka genre begini!
adakah dia pompuan. napa mot lembab sangat ni. rasanya mot tak tertinggal ayat pon.
"dia pompuan la. tak ingat ke kat mana dia simpan pistol dia" hati mot cakap slamber
"ntah nya. kata baca tapi tak tau. baca la ulang berkali kali" otak mot nyampuk
"tapi syok kan cerita ni. sangat syok. macam drama lak" hati mot cakap lagi
"tapi. hhmmm. taknak la komen. kang penulis ngan admin2 s7w marah lak" otak mot matikan ayat
"ooo. nak cakap macam tak logik orang jahat titiba insaf ek. rasanya mungkin titiba dapat petunjuk" hati mot think positif arini
Ending dia.. wah..! tak terduga.
LW,
betul RahmatNya boleh datang kat sesiapa je walau pada penjenayah paling ganaz di dunia. Dia maha pengasih n maha pemurah.