Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Friday, August 2, 2013

Perang

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips
Bagi aku kita semua sama. Serumpun. Warnanya juga sama. Asasnya hitam. Kita semua punya sesuatu yang berwarna hitam yang dinamakan ia dan ia itu berwarna hitam. Tiada yang warnanya lain. Aku sudah tetapkannya dalam fikiran.

Kali itu kami bertemu. Matanya sedikit merah. “Aku kurang tidur. Tak sihat. Makan ubat”, katanya. Aku merenung wajahnya. Mungkin lebih dalam. “Bukan hitam. Sedikit perang. Atau ia lebih terang”, aku gumam. Aku kurang percaya. Mungkin kesan kimia ubat atau perubahan hormon badan, mengubahnya daripada warna hitam. Atau juga mungkin ilusi mata yang kadang-kadang tak mampu bezakan yang mana ilusi dan yang mana realiti.

Di rumah, aku menatap wajah pada cermin. Sesusuk wajah yang aku kenal bentuknya tapi belum benar aku mengenalinya, muncul. Aku merenung pada wajah dalam cermin. Beberapa bayang muncul pada anak mata, berkali-kali akibat pantulan berulang antara cermin dan anak mata. Masa yang agak lama aku ambil untuk buat satu kepastian. “Benar! Aku juga punya sedikit perang. Bukan hitam total”, aku terkejut. Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku tidak perasan pada sesuatu yang ada pada wajah yang sudah bertahun aku pandang.

Lain hari, kami bertemu lagi. Kali ini, matanya sudah tidak merah lagi. Sudah sihat sepenuhnya barangkali. Aku merenung lagi pada wajahnya. Dia sering tersenyum. “Benar. Ianya perang”, aku juga tersenyum.


Kali itu, aku seperti ingin memohon pada tuhan, jika ingin putihkan yang perang tersebut, putihkan kepunyaan aku terlebih dahulu kerana mungkin aku tak sanggup memandang pada wajah sendiri dalam tempoh masa yang lama pada cermin sebelum ianya juga bertukar menjadi putih seperti kepunyaannya.

Hak Cipta : CassiaSiamea

Tuesday, April 30, 2013

Alahai Minah - Part 1

10:44:00 AM | | Best Blogger Tips



"Lepas kerja ni kita pegi kedai makan tu nak tak?" Aku hanya menjungkit bahu. Tak tahu sama ada harus setuju atau tidak. Kebiasaannya aku harus pulang dulu ke rumah dan selepas itu barulah aku berkunjung ke kedai makan tersebut. Hidup merantau di tempat orang begitulah. Tiap-tiap hari makan tengahari dan makan malam di luar. Namun, ajakan Azman buat aku mengubah rutin yang sedia ada. 

Sampai saja di kedai makan, seorang gadis datang menghampiri kami untuk mengambil pesanan. Aku seperti selalunya akan makan nasi ayam dan Teh C Special. Selesai mengambil pesanan, gadis itu berlalu meninggalkan kami. Sejak sebulan lalu kedai makan ini selalu jadi tumpuan aku dan kawan-kawan. Dan tidak mustahil kalau pekerja dan pemilik kedai ini sudah aku cukup kenali wajah mereka. Ya, aku cukup kenal setiap antara mereka.

Petang ini, sedikit meriah. Mungkinkah kerana hari ini adalah hari pertama untuk bulan April? Atau mungkin hari ini semua orang berpakat ingin melepak di sini? 

Aku menikmati nasi ayam yang sudah berada di depanku. Kawan-kawan asyik bercakap pasal gadis-gadis yang mereka jumpa di kolej berhampiran. Aku kurang berminat. Dan aku tak ambil pusing dalam topik yang mereka bualkan. Selesai makan, aku bercadang untuk pulang ke rumah. Keletihan satu hari bekerja harus dibayar dengan istirehat di rumah. Belum sempat aku mengangkat punggung, aku terpandang seorang gadis bertudung bawal dan berbaju kurung cotton berbunga kecil berwarna putih dan hijau turun dari kereta. Gadis itu melangkah masuk ke kedai makan. Aku amati betul-betul. Tinggi orangnya, berkulit cerah, berhidung mancung. Dia hanya tunduk dan tidak mengendahkan orang di kiri-kanannya. Dan dia berhati-hati melabuhkan punggungnya di sebuah meja berhampiran kaunter bayaran. 

Aku perhati raut wajahnya. Tenang walaupung sedikit muram. Tapi, aku suka pesona itu. Datang seorang gadis lain ke arah meja gadis tersebut. Gadis yang aku cukup kenal. Dia adalah teman wanita kepada kawan ku. Adakah mereka saling mengenali? Adakah mereka berkawan rapat? Ah! aku terus bangkit untuk pulang ke rumah. Namun, sempat aku memandang dia yang sedang duduk tenang dimejanya. Seolah-olah dia berada didunianya sendiri. Tahukah kau gadis, kau punya pesona tersendiri.

"Lan, tadi aku nampak awek kau kat kedai makan tu. Dia bawa seseorang. Perempuan. Sapa eh?" belum sempat aku melabuhkan punggung di sofa, soalan itu terus ku lontar pada Lan yang sedang menonton TV. "Kakak awek kau ke? Sepupu?" sambungku lagi. "eh kau ni! Mana lah aku tahu. Kakak dia yang keja kat kedai tu je la. Mana ada kakak lain. nape?" ujar Lan. "Macam ni, ada sorang pompuan ni aku jumpa kat kedai. Tinggi, putih, hidung mancung, pakai tudung, pakai baju kurung. Sapa eh? Kau tanyalah awek kau." usulku pada Lan. "Berminat ke? nanti lah aku tanya dia." jawapan Lan buat aku sedikit lega. Mungkinkah aku akan tahu siapa gerangan gadis bermuka tenang yang punya pesona itu?

Malam itu aku masih tidak mendengar apa-apa perkembangan terkini dari Lan. Entah mengapa aku begitu tertarik ingin mengenali gadis itu. Aku sendiri kurang pasti. Yang pasti, gadis itu buat aku asyik teringatkan dia. 

"Bangunlah woi! Tak bujang betul tidur awal sangat ni." Aku yang baru melelapkan mata terkejut bila bahuku di goncang oleh Lan. Lan sengih. "Kau tahu tak? Si dia tu kawan kepada awek aku." kata-kata Lan buat aku bersemangat. "Sampaikanlah salam aku kat dia. Minta nombor telefon sekali. Boleh tak? Cakap kat awek kau." sekali lagi aku meminta pertolongan dari Lan. Lan sambung sengih. "Ni dah tahap cinta pandang pertama ke? Esok baru diorang jumpa lagi. Sabar la bro." 

Entah kenapa lah aku tak sabar nak menunggu hari esok. Sudikah dia menyambut salam perkenalan dari aku seorang perantau ini? 

***

"Dia cakap waalaikummusalam. Lepas tu dia cakap, segan lah." kata-kata yang keluar dari mulut Lan buat air yang ku teguk hampir tersembur. Segan? Dia gadis berwajah tenang punya pesona yang aku suka itu hanya cakap segan? Ya Tuhan, ternyata dia punya pesona tersendiri. Aku hanya senyum mendengar. "Sampaikan salam aku kat dia lagi." Lan hanya mengangguk dan senyum penuh makna. Dia tahu aku sudah punya kegilaan sekarang. Wahai gadis berwajah tenang yang punya pesona, lagi awak segan kat saya, lagi saya jatuh suka kat awak. Bisikku sendiri.

Keesokkan harinya, jawapan yang aku hanya dapat dari Lan melalui aweknya hanya 'segan', 'malu', 'isk, taknaklah'. Hanya itu. Dan berterusan begitu. 

Entah angin apa yang menyerang gadis berwajah tenang punya pesona itu tiba-tiba sudi memberikan nombor telefonnya kepadaku. Aku lah insan paling gembira di atas muka bumi ini ketika Lan menunjukkan nombor telefon milik dia. Tengok nombor telefon dia pun dah cukup buat aku bahagia. Malam itu, dengan keberanian dan rasa yang aku ada pada dia aku mula menghantar satu SMS kepada dia. 

"Assalammualaikum. Dok kat mana lagi ni???" Terus aku tekan butang hantar. Seminit, dua minit, tiga minit. Selepas sepuluh minit baru ada balasan dari dia.

"?"

Eh dia ni. Takkan jawab tu je. Dia ni memang tak ada perasaan ke nak jawab mesej aku. 

"Sorry. Saya tersilap hantar sms. mesej ni dah smpai mana?" Terus ku tekan butang hantar. Tunggu.

"sampai uganda dah."

Membaca SMS dari dia buat aku senyum sendiri. Pandai bergurau juga rupanya dia ni.

"Amboiii. di mana tu?"

"Apsal nak tahu? Penting sangat ke? Kalau dah salah nombor tu, salah la."

"Sorry. Saya saja nak tanya mana awak. Nama siapa ni?"

"Minah."

Aku gelak besar. Tak dapat aku menahan geli membaca SMS dia. Ya Allah, kenapa comel sangat dia ni bergurau?

"Ha'ah minah. Cukup lama saya tak dengar nama orang pompuan macam tu di zaman moden ni. Jangan marah tau.he he"

"Peduli apa saya.Ni awak betul-betul ke salah nombor? Kalau tipu, saya sumpah awak jadi peti ais"

Sumpah lah jadi peti ais, kerana apa yang pasti awak lah tuan punya peti ais tu nanti. Ah gadis ini memang punya pesona tersendiri.

"Ok, saya Ilham. "

"Tak tanya pun.Awak ni kawan kepada bf kawan sy kan? kan? kan? kan? Awak yang dok pandang2 saya kat kedai makan tu kan? kan? kan?"

Ya Tuhan, comel sungguh dia ni.

"Ok. kerana gadis berwajah tenang yang masuk kedai tak pandang org kiri kanan inilah buat saya pura-pura tersalah hantar mesej. Sorry, saya Ilham. Saya nak berkenalan dengan awak. Boleh?"

Gadis berwajah muram dan tenang tapi punya pesona itu senyap tanpa membalas SMS aku. Seminit. Lima minit. Sepuluh minit. 

-bersambung-

Thursday, April 4, 2013

Bersemi Cintaku Fateha

12:01:00 AM | | Best Blogger Tips
 gambar hiasan google

"Fahmi!!! Tolong perlahankan sikit radio tu...mak nak mengajar budak mengaji ni. "

Entah bila pula ibuku menjadi guru dan rumahku sudah menjadi tempat untuk budak budak kecil mahupun orang dewasa untuk mentelaah dan mengaji. Aku yang selama ini duduk di asrama hanya tahu bila aku pulang ke rumah pada hujung minggu.

Surah itu juga menjadi pembuka ...surah itu juga menjadikan pintu hati aku bagai di ketuk ketuk...Aku yang mendengar kelembutan suara nya dan sedapnya suara  orang yang mengaji tu...Puji hati aku selepas aku kecilkan volume radio ke minimum..Aku yang sebelum ini hanya release tension berkhayal dengan lagu Pearl Jam aku sahaja dalam bilik aku...

Sebagaimana orang yang akan mengambil peperiksaan memang berada dalam keadaan  pressure . Aku rasa sakit kepala kerana berjaga malam untuk mengulangkaji pelajaran. Dan juga aku selalu rasa tidak cukup tidur. Namun segala rasa runsing aku hilang dengan alunan suara merdu tersebut..Perasaan bengang tadi hilang . Betul juga cakap orang tua tua..Kalau kita baca surah al Fatihah ini tujuh kali tentu Insyallah segala penyakit dapat di tawarnya.

Mulanya aku tak mengendahkan sahaja semuanya...Apa sangatlah bacaan surah tersebut.Tetapi bila sudah lima hari terlantar di asrama aku tidak mendengar kelembutan suara tu aku jadi tidak tentu arah dan tidak keruan. Jadi kerap kali aku berjaga hingga ke di inihari pun aku hanya terjegil jegil menunggu pagi dan aku pasangkan radio . Dan aku terpana juga bila mendengar suara orang membacakan doa tersebut hampir sama macam yang aku dengar ..Yang lembut merdu dan mendamaikan hati itu....

Tak boleh jadi..aku lantas menelefon dan bertanya pada ibu aku siapa yang selalu mengaji surah al Fatihah semasa mak aku mengajar mengaji. Dengan selamba ibu aku menjawap .

"Esok kau balik kau jumpalah tuan punya suara tu..." lantas ibuku memberi salam dan meletakkan telefon.

Hatiku berdebar debar menunggu akan esok menjelma untuk pulang ke kampung seperti biasa selepas solat Jumaat tengaharinya...Lantaran hanya suaranya aku pernah dengar macam mana pulak dengan orangnya. Terus aku pun terlena hingga ke pagi...Dalam pada awal pagi itu aku terkejut juga kerana aku bermimpi pula bertemu orang yang aku ingin jumpa tersebut.

Dan pada pagi hari minggu setelah aku berada di rumah tanpa mungkir janji maka sampai dalam dua tiga murid ibuku..Semuanya budak kecil...mana pula juga orang yang bersuara lembut tu..Dia tak datang ke..Ahhhh... ibuku mahu aku berteka teki pula...

"Dia datang...tapi lambat sikit mungkin selepas dia menyediakan sarapan lah tu..."kata ibuku lantas mengakhiri pertanyaaan dan persoalan dalam kepala aku.

Aku pun tanpa di minta membawa sejug air ke tempat ibuku dan duduk membaca suratkhabar menanti dan menanti...

"Assalamualaikummmm..."suara itu memberi salam.

"Waalaikumsalam Fateha..." ibuku menjawap salam.

"Alhamdulillahhh...." lafazku bila aku berpeluang melihat orang yang bersuara sama seperti dalam mimpiku....Rehal kayu itu hati aku dan al quran itu engkau wahai Fateha.

Saturday, March 30, 2013

Origami Berbentuk Hati

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips



Malam itu, aku duduk berteleku di sudut katil. Cuma merenung meja studi yang dibilas cahaya malap lampu dinding. Mata masih tertancap ke arah sekeping origami berbentuk hati di atas meja. Origami berbentuk hati itu aku kira seperti hati aku juga, renyuk tetapi masih berbentuk.

Aku bingkas bangkit dan duduk menghadap meja studi. Origami berbentuk hati itu aku capai dan aku belek dari depan dan ke belakang. Aneh, aku sudah hafal bentuk dan ‘ukiran’ renyuk pada lipatan kertas itu. Sesekali, aku tersenyum apabila melihat sisi bawah origami berbentuk hati itu yang tertulis ‘Untuk Kamu’.

***

“Bagaimana kamu lakukan!”

Ada tersenyum melihat keterujaan aku. Entah bagaimana dia lakukan. Dengan sekeping kertas yang dipotong segi empat sama, Ada melipat dari sisi atas ke sisi bawah, dan dilipat lagi separuh bagian di sisi bawahnya dan.. entah? Tiba-tiba sahaja menjadi sesuatu berbentuk hati!

“Kalau Ada boleh buat, kamu juga mesti boleh buat,” balas Ada. Aku masih memerhati origami berbentuk hati yang terhasil. Kemas lipatannya.

“Boleh kamu ajarkan?” soal aku, terus. Ada senyum dan memotong satu lagi kertas berbentuk segi empat sama.

“Nah, kamu ambil ini dan ikut Ada ya?” jawab Ada. Aku menyambut potongan kertas segi empat sama dan hanya memerhati. Ada melipat kertas tersebut kepada separuh, jadi aku ikutkan. Kemudiannya dia melipat sisi bawah, dan aku masih ikutkan.

“Bukan begitu. Yang lipatan bawah harus dilipat ke hadapan, bukan belakang. Nanti susah nak selitkan,” ujar Ada. Aku diam. Apa yang nak diselit lagi? Sama sahaja hadapan atau belakang, masih terlipat. Aku biarkan, mahu ikutkan lipatan aku sendiri.

“Kamu, tak boleh begitu. Kamu harus tertib dan mengikut yang sepatutnya. Nah, begitu juga soal hati, kamu harus tertib. Kamu tidak boleh melawan arus dan cuba meninggalkan apa yang sepatutnya. Jika kamu buat mengikut mahu kamu, hati kamu juga akan melawan dan akan tersangkutkan.”

Aku mengangguk tanda faham. Masih menjadi soal, ini cuma origami berbentuk hati, bukannya hati aku yang sebenar. “Kamu kepilkan bagian hujung ini, begini,” kata Ada lagi, sambil menunjukkan cara. Aku mengikut patuh dan…

“Siap!” Ada menunjukkan origami berbentuk hati yang dihasilkan. Ianya kemas. Ianya berbentuk hati. Ianya sempurna. Aku punya? Entah jadi apa. Aku menunjukkan origami yang aku bentukkan pada Ada. Ada memandang dan tergelak. “Hahaha, ini bukan origami berbentuk hati lah, ini origami berbentuk kepala alien!”

Aku membuang pandang. “Mungkin saja hati aku tidak sesempurna hati kamu, Ada.”
Ada mengambil pena mata biru dan menulis sesuatu di sisi bawah origami berbentuk hati tersebut sambil berkata, “Tidaklah. Ada perempuan, dan kamu lelaki. Seorang lelaki, jarinya lebih kemas dan teliti. Ada yakin jika kamu melapangkan hati kamu, kamu akan hasilkan satu origami berbentuk hati yang paling indah. Tiba masa itu nanti, Ada mahu kamu hadiahkan origami berbentuk hati yang paling indah, yang paling sempurna, untuk Ada.”

'Untuk Kamu', tertulis kemas di sisi bawahnya.

***

Aku mengambil gunting, dan memotong kertas menjadi segi empat sama. Selesai, gunting aku letakkan di sisi meja studi. Ada pernah kata, jika mahu lakukan sesuatu, pastikan kemas. Barang dan alatan haruslah letaknya di sisi apabila selesai guna, supaya tidak menganggu kerja.

Aku mengikut semua yang pernah diajarkan Ada. Aku melipat kertas segi empat menjadi separuh bagian. Sisi bawahnya aku lipatkan juga, ke hadapan. Usai lipatan, aku lipat dan membiarkan di bucu bawahnya menjadi segi tiga. Dan di akhirnya, aku kepilkan bahagian atas dan siap.

Ya, ini adalah origami berbentuk hati yang paling sempurna pernah aku hasilkan. Cumanya, mungkin aku sedikit terlewat. Sudah aku katakan dulu, takdir tidak pernah tersenyum pada aku. Tiada siapa yang lebih sempurna untuk aku hadiahkan origami berbentuk hati ini, selepasnya Ada.

Origami berbentuk hati itu aku selitkan pada buku, dan biarkan dingin malam terus membeku.



.END.

Thursday, March 28, 2013

Perempuan Jawa

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips


Batu batu atas bahu Miah naik atas kepala. Batu batu itu makin bertambah bila dia pandang Budi. Tapi Miah senyum manis sekali pada Budi. Miah buka ikatan kain sarung tempat Budi tidur di bahu. Budi Miah dudukkan atas tanah hitam. Sambil dikutip kutip besi dan plastik masuk dalam karung kosong, Miah lihat Budi tepuk tepuk tanah dan baling-baling tanah bersekali batu pada Miah. Habis kuku Budi terlekat lekat pasir hitam, jadi kotor. Budi sengih sengih nampak gigi susu belum gugur. Pulang ke kolong nanti aku asah pisau lipat Atan yang tertinggal tempoh hari, potong kuku Budi biar bersih. 

Setiap helaan nafas Miah berdarah. Tapi tak terlihat dek mata yang pandangannya hanya pada uang. Bila badan manusia bisa dilihat orang untuk jadi tukaran ganti uang, terhapus semua sifat yang pernah buat dia jadi manusia dahulu. Orang itu sudah tidak lagi manusia. Orang itu cuma iblis iblis perosak. Budi adalah hasil jualan badan manusia. Dan dulunya Miah adalah barang jualan tanpa rela. 

Setiap bangunnya Miah di pagi subuh, Miah pandang Budi dulu. Budi kulitnya gelap. Bulu matanya lebat melentik. Hidungnya leper. Perutnya buncit. Baju Budi pakai Miah yang punya. Seluar Budi pun Miah yang punya. Dikoyak sedikit bawah seluar itu, diikat getah sedikit di perutnya, Budi bisa muat. Miah ajar Budi berdikari. Kalau mahu berak harus cubit lengan Miah kuat kuat. Budi bisu. Kalau kira kira, umur Budi sama dengan umur anak Atan si pembeli karung harian Miah. Miah senyum senget. Budi kita sama nasib. Kau bukan anak tapi kau teman. 

Budi senyum pada Miah lagi. Tanah hitam ditepuk tepuk Budi lagi. Budi suka main atas tanah. Bila Miah dudukkan Budi, Budi takkan bangun. Budi tak boleh bangun, kakinya belum mampu. Mungkin lambat sikit. Biarlah. Kadang bila pikir, buatan siapa Budi ini Miah tidak tahu. Juga tidak mahu tahu. Budi adalah Budi. Lahirnya atas tanah, dari kelangkangan Miah yang perit jerih meneran hanya Yang Kuasa saja tahu. “Budi, Budi, senyum kamu meleret leret saja bila aku acah acah kamu. Apa kamu paham atau tidak dunia sedang mencacimu,mencaci aku? Tak apalah anak, senyumlah kamu. Dunia tidak tahu apa Tuhan atur untuk kita dua orang, ya bukan?”

Miah kutip kutip juga pucuk pucuk di hutan. Sebelum subuh pun Miah sudah keluar. Rutin hariannya juga, Miah bawa bekas isi air lalu diletakknya air embun atas daun daun dalam bekas air itu. Budi suka sekali air itu. Kuasa Tuhan, Miah tidak punya susu yang banyak. Embun yang ganti. Miah dan Budi hanya makan pucuk pucuk rebus sama ubi kayu. Bila Miah lalu dekat dengan p ekan, Miah nampak papan tinggi melangit. Cantik cantik sekali orang dalam itu. Moga moga saja hidup mereka bahagia seperti senyum mereka beri dalam itu. Miah juga kadang terlihat perempuan berjalan ke sekolah kelek buku dan bagasi. Hati Miah juga kadang meronta ronta. Orang sama baya ke sekolah kelek buku, Miah dukung Budi.

“Budi, ya Budi. Budi mahu jadi apa besar nanti? Aku kasi kau tahu ya? Di luar sana nanti, kau ajari orang ya. Ajar mereka jadi pandai, pandai seperti Rasul kamu. Kamu tahu ya Budi, aku ada dengar di madrasah sana, ada pak Kiai bilang begitu. Budi, Rasul kamu itu baik sekali orangnya. Nanti aku bawa kamu ke tepi jambatan sana ya? Kita dengar sama sama.” Miah omongan sama Budi sambil tunduk kutip botol dan masuk dalam karung. Budi hanya senyum. Hanya senyum dan tepuk tepuk tanah.

“Budi, ya Budi. Kamu tahu ngak, jadi ibu guru itu pasti seronok, bukan? Dulunya, aku juga bercita cita mahu jadi ibu guru. Pegang buku di tangan kiri, sambil kapurnya di tangan kanan.Kemudian aku tulis. Atas papan hitam itu. Andai ada yang mahu menanya, ah angkat saja tangannya. Usah ribut-ribut. Ha, kamu yang hujung sana. Ada apa kamu mahu tanya pelajaran ini hari? Nanti hantar ya kerjaan ibu beri. Main di padang pun jangan lupa kerjaan ya anak anak. Oh gembira sekali ya Budi?” Miah beraksi seperti seorang guru. Batang kayu pendek di jari jadi kapur. Langit jadi papan hitam. Budi dan lalang lalang pula jadi pelajar pelajarnya. Cuma itu hiburan Miah dan Budi. 

Penuh sekarung, Miah lilit kain di kepala. Kemudian kain sarung satu lagi Miah ikat pada badan, jadi rumah Budi. Bila Budi sudah selesa, kain atas kepala Miah jadi alas untuk karung penuh tadi. Miah angkat karung dan junjung atas kepala. Miah betulkan letaknya agar tidak jatuh dan terus ke rumah Atan. 

Itu rutin harian Miah dan Budi. Di pekan letaknya rumah Atan, Miah dapat uang dan simpan dalam bekas kopi. Jauh juga Miah berjalan. Orang orang pekan selalu saja usik Miah. Tapi Miah diam. Sudah jadi biasa. Sebab Miah yakin kata kata pak Kiai benar. Dia tahu dia ada Tuhan. Ada Rasul. Ada Budi.

Sesekali dalam perjalanan pulang ke kolong, ada suatu madrasah ini akan ada seorang pak Kiai yang suaranya kuat sampai ke luar. Hari itu, pak Kiai ada. Miah senyap senyap dengar dari luar. Miah duduk atas tanah tepi pokok dekat madrasah dan dudukkan Budi atas tanah. Budi pun senyum. Miah juga ikut senyum. 

Pak Kiai itu mula berkata, “Kita manusia ini hanya menyinggah di muka bumi. Kalau kalian semua hidup susah, hidup ngak ada uangnya, sabarlah, sabarlah, sabarlah. Malam akan berganti siang. Hari akan berganti bulan dan bulan akan berganti tahun. Selama mana aja susahnya kamu itu sih. Yang tetap sifatnya Cuma Dia yang Maha Bijaksana, tetap pada segala keadaan dan sifatnya. Tuhan mungkin akan cipta yang baru setelah semua itu. Kalian harus tahu yang setiap yang sulit itu ada kemudahan di setiapnya.” 

Sampai habis pak Kiai mengajar, Miah masih di tanah. Dengar dengan tekun sekali. Bila pak Kiai mulai mahu keluar dari madrasah, Miah cepat cepat beredar. Malu dilihat pak Kiai. Tangan Miah pantas saja betulkan semula kain sarung rumahnya si Budi pada bahunya. Sambil berjalan, pikiran Miah terbang ke langit. Kata kata pak Kiai sungguh terkesan pada hati. Beberapa langkah sampai ke kolong, Miah pandang Budi. Sudah lelap. Miah senyum pada temannya itu. Miah tahu satu persatu batu batu dari kepalanya turun ke bahu dan jatuh ke tanah bergelimpangan. Budi, biar aku dukung kau sampai bila nanti kau besar kau dukung aku dalam doa kau hari-hari hidupnya kau atas tanah ini.


 
Hak Cipta: Azza Li
Email: izhanim22@gmail.com
Twitter: twitter.com/IzzatulFarhanim

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...