Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Monday, March 26, 2012

Kau Takdirku

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
Nong Andy



Airmata gadis itu gugur berjuraian. Dia tersedak-sedak di atas sejadahnya. Penuh kekesalan. Penuh keinsafan. Irfan terpaku. Hatinya sayu melihat tangisan gadis itu. Meruntun-runtun jiwanya. Dia bukan sengaja mengintai. Dia cuma kembali ke surau itu memastikan kepentingan surau terjaga. Memastikan lampu tertutup dan paip air dipulas kemas agar tiada pembaziran berlaku. Tugas itu sudah lama dilakukannya. Dia hanya sukarelawan yang sentiasa menjaga kebersihan dan kepentingan surau itu. Tidak bergaji hanya mengharapkan kasih sayang dariNya di syurgaNya kelak.

Tidak menduga yang malam itu seorang gadis masih menghuni rumah tuhan dengan esak tangis kekesalan. Penuh keinsafan. Irfan terpaksa menanti dengan sabar. Hingga gadis itu selesai melepaskan semua yang berbuku di hatinya kepada sang Pencipta. Mulanya dia ingin pulang saja tapi entah mengapa kata hatinya menghalang langkah. Sudahnya dia menanti hingga gadis itu selesai. Terbit rasa bimbang di hatinya. Sudah jauh malam tapi gadis itu masih berseorangan. Manakah rumahnya? Dekatkah.. jauhkah? Bagaimana dia pulang? Bagi Irfan bahaya kalau seorang gadis berjalan sendirian malam-malam.

Mukanya merona merah bila menyedari ada insan lain di surau itu. Pemuda yang berwajah tenang sedang merenungnya. Malu mengingatkan wajahnya yang basah dek airmata. Melihat ke wajah lelaki itu dia tahu, lelaki itu bukannya orang jahat. Dengan songkok dan baju melayu dia tahu lelaki itu tentunya orang baik.

“Er.. saudari. Sebenarnya saya cuma datang memastikan semua suis lampu dalam surau terpadam. Dan juga ingin mengemas sejadah-sejadah itu” Dia tunjuk ke arah beberapa helai sejadah yang tidak di lipat ke tempat asal.

“Maaf.. biar saya bantu” Kata gadis itu. Masih berwajah malu. Dan semuanya bermula pada malam itu. Persahabatan mereka. Dia menghantar pulang gadis manis bernama Mia. Memandang wajah Mia yang sayu, hatinya dipagut sesuatu. Sesuatu yang tidak difahaminya. 

***

“Mia? Mia Amira tu?” Nada suara Farin sedikit tergelak. Irfan berkerut kening.
“Kenapa?” irfan mohon penjelasan.

“Ifan.. aku rasa baik kau lupakan saja perempuan tu. Dia bukan perempuan baik! Lelaki baik macam kau, layak dapatkan perempuan yang baik-baik. Lainlah yang buaya darat macam aku ni” Ketawa Farin menyakitkan telinga.

“Maksudmu? Dia bukan perempuan baik? Tapi.. dia ku lihat baik-baik saja” Hatinya terguris.

“Jangan tertipu Ifan.. itu hanya luaran. Hakikatnya.. Mia tu gadis murahan. Kau ingat Jihan kawanku itu? Dia bekas teman lelaki Mia kau tahu! Dan semua tentang Mia aku tahu melalui Jihan.. Jadi kau dengar sajalah cakapku ini. Lupakan rasa hatimu itu.. Si Mia itu bukan gadis terbaik untukmu. Aku kawanmu.. jadi aku mahu kau dapat gadis yang baik.. sebab aku tahu kau lelaki yang cukup baik!” Farin membongkar semuanya. Hati Irfan terguris. Senyuman manis Mia ternyata senyuman syaitan yang mengodanya ke neraka jahanam! Irfan kesal. Tapi.. Mia cuma kawan dan tak lebih dari itu. Dan Mia tidak pernah meminta lebih dari Irfan. Bagaimana pun Irfan benci kisah silam Mia. Benci sekali!!

“Mia.. siapa Jihan?” tanya Irfan dengan suara agak tenang. Mia tersentak. Wajahnya pucat. Kenapa lelaki yang telah jadi sejarah hidupnya itu diungkit Irfan.

“Kenapa kau nak tahu?” Enggan menjawab. Irfan tenung Mia. Wajah itu kelihatan suci. Tapi kenapa gadis itu tidak suci lagi?! Irfan meradang. Mia enggan membalas tenungan Irfan. Begitu mudah baginya untuk jatuh hati pada irfan. Dengan tingkahnya yang prihatin. Dengan tatapan matanya yang menawan. Mustahil bagi Mia tidak jatuh hati padanya. Tapi lelaki sebaik Irfan tidak sepadan dengannya. Mia sedar dan Mia tidak akan mengikut kata hatinya. Biarlah saban hari dia rindukan Irfan. Biarlah.. dia tidak akan membenarkan dirinya jatuh hati pada lelaki itu. Tidak akan!!

“A.. Aku dengar dia bekas kekasihmu..” sedikit gugup. Mia tertunduk. Akhirnya kisah dia dan jihan sampai juga ke telinga Irfan. Mia malu. Malu pada Irfan. Malu pada tuhan. Betapa pun dia menafikan perasaannya pada Irfan tetapi tuhan telah pun membenihkan cinta ke dalam hatinya kepada lelaki itu. Ia telah pun tumbuh dengan mekar tanpa dibaja. 

“Ya.. benar. Dari mana kau tahu?” Tanya Mia. 

“Farin..” nama itu sudah memberi gambaran jelas bagi Mia sebanyak mana Irfan tahu tentang kisah silamnya. Dia tidak perlu bertanya lanjut. Mia tahu Irfan tentu pandang rendah padanya. Jauh sekali akan jatuh cinta padanya. Tidak mungkin!

“Oh.. Farin. Dia tentu sudah cerita tentang aku. Jadi.. aku kira kita tidak perlu berkawan lagi. Perempuan kotor macam aku hanya akan membawa aib kepadamu.. hanya akan mendatangkan fitnah. Aku sayang kau.. jadi aku tak mahu kau terkena lumpur yang ku bawa” Dan Mia cepat berlalu sebelum sempat Irfan membalas kata-katanya.

***

Airmata Mia yang berjuaraian suatu waktu dulu masih terbayang-bayang di peluput matanya. Jelas di ingatannya. Irfan resah. Betapa pun dia mahu lupa, tapi wajah Mia ada di mana-mana. Wajah suci yang memagut ketenangan siang dan malamnya. Irfan melangkah ke bilik air. Mengambil wuduk. Hatinya yang gundah itu harus di adukan kepadaNya. Hanya padaNya tempat dia meminta bantuan.

“Kau biar betul Irfan” Bantah Farin bila irfan menyuarakan hasratnya.
“Betul.. aku cakap betul” Yakin nada Irfan menjawab.
“Kau nak pinang Mia? Tak ada gadis lain ke Irfan? Mia tu sisa orang.. kau tahu!” Hina sungguh Mia di mata Farin.

“ Kami ditemukan di rumah tuhan Farin.. dan hatiku sudah ditawan oleh airmata keinsafannya. Mia jauh lebih mulia di mataNya berbanding kita yang berlagak mulia ini Farin. Taubat dan keinsafannya menjadikannya lebih mulia dari kita.. Dan tentang hatiku yang terlalu merinduinya, tentulah kurniaan dari maha Esa. Pemberian dariNya, Siapalah aku untuk menidakkan ketentuanNya..” Penjelasan Irfan mematikan suara Farin. Betapa pun Irfan membenci kisah silam Mia. Tapi rasa cinta yang di tanamkan oleh sang Pencipta ke dalam hatinya, tidak berdaya dinafikannya. Irfan akur kalau Mia ditakdirkan menjadi tulang rusuk kirinya yang hilang.

“A.. terpulanglah pada kau Irfan. Kalau itu yang kau mahu..” Farin mengalah. Sedikit sakit hati pada Irfan. Dulu dia pernah mengorat Mia. Tapi tidak di layan. Akhirnya Jihan pula yang dapat. Bila Jihan buang Mia macam habis madu sepah dibuang, Farin puas hati. Mia yang sombong itu akhirnya merana sendiri. Terbetik juga akal nakalnya mahu memikat Mia semula. Mana tahu dia boleh dapat 'Perempuan' percuma. Dia tak kisah kalau Mia sisa orang sebab dia sendiri bukannya teruna. Tapi Mia dipikat tak dapat-dapat. Kemudian jinak pula pada Irfan yang alimnya macam bakal imam muda. Maka benci dan sakit hati pada Mia menjadi duri dalam daging. Membisa dalam hatinya yang hitam. 

***

“Kata Suhana kau nak jumpa denganku?” Tanya Mia pada Irfan yang duduk membelakang tasik. Atas bangku batu yang dingin. Irfan menoleh dan senyumannya mengetarkan hati Mia. 

“Ya.. aku rindu kamu Mia” Ujarnya berterus terang. Tanpa malu. Tanpa Ego. Mia terkedu.
“Tapi kenapa?”

“Sebab hatiku kata begitu..” Mata Mia ditenung sepuas hati. Matanya yang pernah dilihatnya basah oleh airmata. Mata yang sayu penuh kekesalan. Mata yang menganggu tidurnya yang lena. Mata yang membuat dia rindu! Sungguh Irfan rindu. Dan mustahil buat Mia tidak terharu dengan kata-kata itu. Mia ingin pergi. Tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Semua ini pasti palsu, bisik hatinya.

“Irfan.. kau terlalu baik untuk aku. Jadi aku tak mahu kamu..” Tolak Mia lembut. 

“Dengan nama Allah Mia.. Aku mahu kamu.. Sebagai isteriku. Jadi.. izinkan aku sunting dirimu..” Lamaran Irfan mengejutkan Mia. Mia mengigit bibir. Dia pasti sedang bermimpi.

“Tidak mungkin Irfan.. aku..”
“ Kau tidak sepadan denganku?” Pintas Irfan. Mia mengangguk.
"Mia.. tahukah kau, perempuan itu dijadikan tuhan dari tulang rusuk lelaki.. bukan dari kepala untuk di junjung, bukan dari kaki untuk dipijak.. tapi dari rusuk kiri yang dekat di hati untuk disayangi.. dan dekat dengan lengan untuk dilindungi.. Jadi Mia. Apa pun kisah silam mu.. Kaulah tulang rusuk kiriku. Yang akan aku sayangi.. dan akan aku lindungi.. Aku percaya kaulah takdirku. Kerana itulah kita telah ditemukan di rumah Allah.. dan bermula itulah hatiku ini milikmu.. mengapa begitu Mia? Itu rasia tuhan..” Jelas Irfan. Dan Mia sekali lagi berjuraian airmata.

3 comments

March 27, 2012 at 5:29 AM

Bengang dengan Irfan! Dasar fire-stone. Ini bagus ni,insaf kejap.

March 27, 2012 at 8:52 AM

irfan lelaki yang baik

March 27, 2012 at 8:45 PM

but the truth is.. dalam dunia reality.. susah nak jumpa lelaki macam Irfan.. =.=

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...