Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Friday, March 16, 2012

Namaku Adalah Jade #Episod 1

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips



Namaku adalah Jade dan berbangsa Tionghua. Aku tiada ma mahupun pa dan tidak kisah selagi aku bersama dengan Uncle Yin dan Eric. Aku tak mahu ingat bagaimana aku kehilangan ma tatkala polis menyerbu Rumah Pelacuran Uncle Chong. Aku tak mahu ingat sampai bila-bila.

Awan yang berarak dari tadi sehingga muncul awan hitam akhirnya menitiskan air hujan. Eric risau padaku apabila melihat aku sering termenung. Dia tidak mahu aku sedih mengingati kisah lama. Aku tahu itu kerana kami seperti adik-beradik walaupun dia melayan aku lebih dari itu.

“Jade, saya belikan awak ni”, kata Eric sambil menyerahkan sejambak bunga ros merah.

Aku memandang Eric. Pelik kenapa hari ini dia memberikan aku bunga. Kami bukannya menyambut apa-apa perayaan. Lagipun aku tidak suka pada bunga. Aku hanya suka pada sesuatu yang laju seperti motosikal.

“Kenapa bagi bunga?”, tanyaku serius. Eric pula kelihatan serba salah. Dia seperti hendak memberitahu sesuatu tetapi hampir 15 minit, satu perkataan belum keluar dari bibir nipis itu. Sesekali dia menggarukan kepalanya.

“Eric?”, tanyaku sedikit geram. Sepatutnya aku dah bermula berlatih kickboxing. Eric membuang masa latihan aku saja!

“Buang saja kalau awak tak mahu”, kata lelaki yang kuanggap sebagai abang. Dia memandangku namun aku tidak faham maksud pandangannya dan aku malas cuba memahami. Aku perasan ada sebuah tong sampah dibelakangnya. Tanpa berlengah, aku membuang saja sejambak bunga tersebut ke dalam tong sampah. Bagiku, bunga itu tidak membawa apa-apa makna dan aku tidak suka di layan seperti seorang wanita!

#####################################

Jalan Tun Sambathan agak sesak pada pukul 6.00 petang itu. Aku yang menaiki kereta Waja curi bersama Eric mendiamkan diri. Sejak peristiwa tempoh hari, aku jarang bercakap dengan dia. Apabila berlatih menggunakan pistol atau ber ‘kickboxing’, aku meminta Uncle Yin mengajar dan bukan dia lagi menjadi guruku.

Mataku meliar melihat kenderaan yang memenuhi setiap pelosok jalan. Eric tidak habis-habis bercerita bagaimana dia berlawan dengan salah seorang gangster sehingga lelaki itu koma. Aku tidak berminat mendengar kerana bagiku itu cerita biasa. Aku pernah ber ‘kickboxing’ dengan tiga orang lelaki sekaligus sehingga mereka patah kaki tak ada pula aku heboh bercerita.

Tiba-tiba mataku terpandang deretan rumah dua tingkat di hadapan. Itulah tempat tinggal aku dan ma satu ketika dulu. Kalau ma tidak melacur dan pa tidak terlibat dengan dadah, mesti sekarang kami hidup bahagia. Perasaan benciku terhadap pa dan ma harus di tolak tepi. Aku ada tugas yang perlu diselesaikan. Fifi...aku perlu mencari wanita keturunan Melayu tersebut atas arahan Uncle Yin. Ada kaitan dengan tugas terbaruku katanya.

Kami mengatur langkah ke sebuah rumah pelacuran yang terletak pada mula-mula deretan rumah tersebut. Aku masih kenal tempat ini. Inilah tempat aku bermain dengan adikku, Lee. Ya, aku ada adik! Aku baru ingat setelah menjejak kaki kemari. Aku baru teringat bagaimana sepanjang hari aku bagaikan gila mencari Lee di tempat biasa namun gagal.

Hendak bertanya pada ma, lelaki Cina berbadan buncit dan berseluar pendek tidak membenarkan aku masuk ke dalam bilik. Katanya ma sedang bekerja. Katanya lagi, aku akan bekerja seperti ma juga satu hari nanti sambil memegang bahuku. Walaupun aku tidak faham bicara lelaki berbadan buncit tersebut, aku pasti ia bukan perkara baik. Sekarang aku mengerti kata-kata lelaki sengkek itu.

Pendek cerita, aku ternampak adikku di tetak dan di bunuh sehingga darah memancut keluar membasahi dinding yang sekarang masih menjadi rumah pelacuran. Aku kaget dan tidak berbuat apa-apa dan cepat-cepat aku menyorok di balik tiang agar mereka yang terlibat tidak dapat melihatku. Badanku menggeletar dan bagai terhenti degupan jantungku serentak apabila Lee meraung kesakitan. Kesan darah itu masih berada di situ walaupun sudah 15 tahun lamanya. Ma berbohong padaku mengatakan Lee mati akibat kemalangan sedangkan aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Kebencianku pada ma makin bertambah. Aku tidak tahu kenapa dan aku tidak mahu tahu mengapa mereka membunuhnya.

Kaki kami semakin masuk ke dalam hotel sambil Eric membalas lambaian pelacur yang tengah memuncung mulut tidak ubah seperti ikan keloi kelaparan. Ada tangan nakal menjalar di lenganku dan Eric. Aku berkemeja petak berlengan pendek disertakan bersama baju-t hitam di bahagian dalam dan dipadankan bersama jeans pendek membuat mereka kurang mengecamku sebagai wanita. Eric bertanyakan pasal Fifi kepada seorang lelaki Cina tidak ubah perwatakan seperti lelaki yang pernah aku temui satu ketika dulu.

Lelaki itu menunjukkan jalan kepada kami sambil mengipas kipas sate dimukanya dan akhirnya tiba ke sebuah bilik yang agak samar cahaya lampunya. Aku melihat ada pintu terkatup rapat, ada daun pintu yang terlapang.

“Ini amoi Kedah mari. Kulit manyak cantik... kacukan Siam.”, kata lelaki itu mem’promote’ Fifi.
Aku memandang Eric memberi isyarat supaya dia menjalankan peranannya.

“Saya ambik ini amoi.”

“Ada dari Cina dan dari Hong Kong baru sampai ini pagi. Tak mahu tengok dulu ka?”, tanya lelaki itu kepadaku.

Aku sekadar menggeleng kepala walaupun Fifi kelihatan lebih berminat kepadaku berbanding Eric. Aku hanya buat muka selamba.

“After saya, dia pula guna ini amoi.”
“Itu macam ka? Kalau macam tu harga double...RM60. Nak service manyak baik punya tambah RM10. Mahu langgan berapa hali?”, kata lelaki itu sambil mengeluarkan kalkulator dan meletakkan pen di belakang telinganya. Lagaknya seperti tauke beras mengira untung dan rugi.

Aku memberi isyarat tiga jari bermakna tiga hari. Lelaki itu mengangguk kepala kemudian pantas jari-jemarinya mengira. Aku membuat muka serius kerana rimas rambut pendekku dibelai lembut oleh Fifi. Dia sungguh pandai menggoda. Aku tiada masa dengan perkara macam ini. Aku bukan lesbian mahupun pengkid. Aku tiada nafsu terhadap perempuan dan mustahil kepada lelaki. Aku sudah bertekad ingin mengabdikan hidupku terhadap Geng Yin dan membalas jasa Uncle Yin yang menyelamatkan aku dari sarang maksiat.

Setelah wang not bertukar tangan, aku cepat-cepat melangkah pergi dan mendahului Fifi yang asyik berkepit dengan Eric. ‘Perempuan...’, getus hatiku. Aku memandu kereta curi itu hingga ke satu tempat kami turun dan tinggalkan kereta terbabit. Kami berjalan pula ke tempat kediaman Geng Yin yang tidak jauh dari tempat aku tingggalkan kenderaan terbabit.

####################################

Keesokan paginya barulah aku tahu tujuan Uncle Yin menyuruh kami melanggan Fifi selama tiga hari. Projek terbaru yang bernilai RM 1 juta yang di tawar kepada Uncle Yin agak besar risikonya. Katanya, aku calon sesuai melaksanakannya menggunakan alasan yang sejauh mungkin aku tolak selama ini iaitu aku adalah wanita.

“Kenapa semua orang anggap saya wanita?! Saya lelaki!”, kataku tegas kepada Uncle Yin. Ahli yang lain memandang sesama sendiri. Aku di kira berani meninggikan suara kepada seorang ketua.

“Kami tetap layan kamu sebagai lelaki tetapi hakikatnya kamu wanita. Jadi wanita bukannya teruk sangat. Kamu masih boleh buat lebih dari kami semua boleh buat.”, kata Uncle Yin.

Aku memikir bicaranya. Aku kurang faham. Apa yang dimaksudkannya?

Setelah menerima penjelasan panjang lebar serta sedikit nasihat dari Uncle Yin dan sokongan moral dari ahli Geng Yin, aku menerima hakikat aku seorang wanita. Fifi yang berada di kalangan kami terkejut mengetahui aku sebenarnya sama jantina dengannya. Ada sebab aku tidak mahu menjadi wanita. Aku tidak mahu jadi seperti ma.

Hasil tunjuk ajar dari Fifi aku belajar perkara asas menjadi wanita seperti cara berjalan. Semua ini sementara saja kerana demi tugas, aku sanggup menolak ke tepi perasan geli aku terhadap gincu, skirt pendek aras lutut dan berjalan lenggang. Semuanya terlalu keperempuanan. Eric pula tidak habis-habis mengacauku apabila aku berjalan lenggang. Ahli lain pun sama termasuk Uncle Yin bersiul apabila aku dipakaikan solekan. Terbakar hati melihat mereka mempersendaku. Aku yang baru mengangkat kaki tanda ingin memulakan pergaduhan segera di halang oleh Fifi.

“Tak boleh! Wanita tak buat perkara macam tu.”
“Ala, apa ni Uncle Yin?! Nak bunuh Dato’ pun kena belajar benda macam ini macam ka? Lecehlah!”, aku mengadu.

Lain yang aku harap, lain pula reaksi aku terima. Mereka beramai-ramai ketawa mendengar kata-kataku. ‘Siaplah korang aku kerjakan nanti’, kataku dalam hati sambil mengetap bibir.

#####################################

Hari ketiga sesi pembelajaran aku dengan Fifi sudah tamat dan juga bermakna tugasku sebagai pembunuh upahan bermula. Tugas ini perlu kulaksana sebaik mungkin tanpa meninggalkan sebarang bukti menyabit aku sebagai suspek dalam kes pembunuhan. Setakat ini, empat projek berjaya dilaksanakan.

Jam tepat 8.45 malam. Aku sudah bersiap memakai dress hitam yang menyerlahkan kulit putih pucatku. Dress telah diubah suai supaya dapat di buka pada bahagian bawah. Aku memakai seluar jeans pendek di bahagian dalam supaya senang melarikan diri nanti.

Tugas kali ini sukar kerana aku perlu menyamar sebagai Lady Eleanor, orang kaya dari Sarawak. Sebelum ini aku tak perlu buat semua itu. Cukup sekadar menyelinap masuk ke dalam kediaman dan Eric membantuku membersihkan darah menggunakan bahan kimia pembersih ciptaan Geng kami sendiri. Ternyata berkesan dari mana-mana jenama pembersih yang terdapat di pasaran[promote pula].

Selain aku, ada tiga lagi pembunuh upahan dalam Geng Yin. Namun umur semakin tua menghalang mereka melakukan tugasan lasak. Kini tinggal aku seorang melakukan tugasan tersebut kerana Uncle Yin mengatakan tiada siapa yang layak termasuk Eric. Bukan senang menjadi pembunuh upahan. Mesti licik, bertenaga dan bijak merancang. Pandai menyamar tak membantu apa-apa kalau tidak bijak menyelesaikan masalah dengan cepat apabila keadaan dalam bahaya.

Jam menunjukkan 9.00 malam. Sudah tiba masa dinantikan dan semuanya sudah di rancang. Aku mula melangkah masuk ke dalam hotel mewah yang sedang menganjur sebuah majlis. Aku sudah sedia maklum. Walaupun nampak senang, tapi susah untuk meneka apa yang bakal berlaku. Bukan sedikit pengawal peribadi kerana tetamu juga membawa pengawal masing-masing.

Aku cuba fokus kembali terhadap tugasku. Tiba-tiba mataku terhenti ke arah seorang lelaki Cina separuh botak tegap memakai tuksedo hitam dan berumur dalam lingkungan 40-an. Aku mencari sesuatu dari dalam handbeg yang diberikan oleh Uncle Yin iaitu gambar kecil lelaki Cina yang aku ditugaskan menamatkan riwayatnya. Jika tersalah orang, Geng kami terpaksa membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa. Itu prinsip Geng Yin kerana kami hanya melaksana perniagaan bukan membunuh.

Aku mencari kedudukan sesuai dan semakin hampir dengan mangsa namun terlalu ramai tetamu hadir membatalkan niat untuk aku semakin hampir. Lagipun, lebih kurang enam pengawal peribadi mengeliilingi dia sekeluarga dan aku sudah memandang ke sekeliling hotel ada banyak pengawal keselamatan berkawal. Aku menelefon Eric dan memberitahu, “Tukar kepada Plan B”.

Melalui info yang diperolehi setelah di siasat oleh Eric tentang lelaki separuh botak itu, dia merupakan kaki perempuan. Aku meliarkan mata sambil memikirkan bagaimana aku memulakan plan B. Fokus aku terganggu seketika apabila melihat tingkah laku seorang lelaki mengambil salad kentang sambil matanya memandang ke kiri ke kanan. Terlalu berhati-hati dan mencurigakan. Aku tidak pasti siapa lelaki itu dan aku hanya ada masa terhad untuk menjalankan projek RM1 juta, jadi aku membiarkan lelaki misteri tersebut.

Aku cuba mendekati Dato’ separuh botak itu walaupun berisiko tinggi. Lelaki tua miang keladi yang bernama Jack berpelukan dengan beberapa orang gadis seksi. Anaknya, Anne hanya menjeling melihat perlakuan bapanya itu. Aku memandang Jack dan cuba menarik perhatiannya. Bukan senang memandangkan yang mengelilingi dirinya gadis jelita yang lebih hebat dariku. Tapi aku tidak mahu mengaku kalah sebelum mencuba.

Aku terfikir sesuatu kemudian menarik tangan salah seorang tetamu di situ. Tarian salsa yang dipelajari dari Fifi ada gunanya dan kebetulan lelaki yang kujadikan umpan pandai menari. Pendek cerita semuanya berjalan lancar kerana Dato’ Jack mula mendekati diriku.

“You’re beautiful. What’s your name?”, sambil jarinya menyentuh mukaku lembut dan aku berpura-pura suka dengan perlakuannya.

Peraturan ke-2 dalam Fifi’s Rule: Anggaplah anda melayan lelaki tampan yang turun dari kayangan walaupun sekerepot mana lelaki yang berada di hadapan anda.

“My name is Elaenor...Lady Elaenor. I’m from Sarawak.”, kataku sambil bermain jari di bahagian dadanya. Geli?aku terpaksa.
“Divorce or still married?”
“Still married but my husband not ‘treat’ me very well”, sambil mengerling supaya dia faham maksud tersiratku.
“That’s interesting. I’ll treat you well, my dear.”, katanya sambil tersenyum menggoda.

Dia menarikku ke satu tempat dan menghalau perempuan lain yang tertenggek di atas kerusi besarnya. Ikan besar sudah makan umpannya.

“When? I can’t wait anymore.”, kataku kemudian bibirku dikecup-kecup untuk menggodanya. Dia hanya tersenyum sambil memainkan jarinya di bahagian dalam skrit yang di pakai olehku. Aku risau takut jarinya terpegang pistol atau senjata yang aku sorok di bahagian dalam baju.
“Ok. I’ll do anything you want, dear.”, katanya sambil mengelus lembut pipiku.

Kami bangun sambil pengawal peribadi mengelilingi kami untuk mengawas keselamatan. Ada mata cemburu melihat aku berjaya mendampingi lelaki kaya itu. Tengoklah buat kali terakhir sebab selepas ini, mereka tak dapat melihatnya lagi. Beberapa minit kemudian, kami sampai ke sebuah bilik hotel 1-2-3. Sesekali aku menjeling ke arah pengawal peribadi tu melihat berapa bilangan mereka semua. Aku melihat juga kedudukan kamera litar tertutup dan aku perasan ada tiga semuanya. Mungkin ada lebih dari itu.

Lelaki separuh botak itu sudah membuka baju manakala aku masih melihat hiasan bunga mawar yang di tabur di atas katil. Bilik yang dipenuhi dengan aroma kayu cengkih dan disinari lampu malap menjadikan suasana romantis dan mengghairahkan. Lelaki miang itu mungkin sedang ghairah tapi bukan aku. Seperti Eric pernah katakan padaku satu masa dulu, hati aku lebih keras dari berlian. Aku tak mudah cair apabila melibatkan permainan nafsu dan perasaan.

Aku melakukan tarian mengghairahkan yang pernah aku lihat sewaktu aku kecil. Tarian ciptaan ma sendiri. Ma salah seorang penari hebat bagiku. Sebelum ma jadi pelacur, ma bekerja di kelab malam sebagai GRO. Akibat terpaksa kerana di buru oleh ah long, ma membawa aku lari dan akhirnya kami tinggal berdekatan dengan Jalan Tun Sambathan. Tapi hari ini, aku bukan seorang pelacur seperti ma. Aku seorang pembunuh upahan.

Ketika lelaki itu leka menyaksi tarianku, aku terus menerkamnya ibarat harimau kelaparan. Bantal yang berada di sisi aku tutup kemas pada mulutnya. Dia menjerit dan cuba menendang aku. Aku menahan sakit apabila perutku di tendang kuat. Dengan pantas dan tanpa belas kasihan, aku menembak dua kali pada dadanya dari jarak dekat. Jeritan halus menahan kesakitan aku tidak peduli. Hampir 10 minit, baru aku mengalihkan bantal. Sarung bantal hotel yang berwarna kuning keemasan dipenuhi darah merah pekat.

Aku melihat jam. Hampir 9.40 malam. Aku perlu keluar sebelum 10.00 malam. Sarung bantal yang ada darah aku sembur dengan bahan pembersih Geng Yin. Hilang tapi berbekas sebesar peta Benua Eropah. Aku memandang ke arah mayat di atas katil dan tiada di situ! Aku mula rasa cemas. Peluh merencik walau bilik berhawa dingin. Baru aku hendak melangkah keluar melalui tingkap, bahu aku di pegang kuat.

“Nak pergi mana?”, tanya seorang lelaki suara garau. Aku menoleh. Rupanya suara pengawal peribadi yang menjaga di hadapan bilik hotel 1-2-3.

Kedua-dua pengawal peribadi berada di sini tetapi di mana Dato’ Jack? Aku tersenyum sinis pada mereka dan perasan Dato’ Jack tersandar di pintu almari. Sial! Sempat lagi meminta bantuan walaupun dah nyawa-nyawa ikan? Aku membuka ikatan skirt di bawah dan terus menarik tangan salah seorang pengawal peribadi tersebut. Dengan pantas, aku merampas pistol di tangannya dan menendang sehingga tercampak ke lantai. Di masa yang sama, kaki kananku menendang padu pada muka seorang lagi pengawal peribadi. Pergerakan mereka lemah memudah aku membelasah mereka habis-habisan. Nama saja pengawal peribadi tapi tak pandai berlawan. Mereka terlalu mengharapkan pistol.

Tiba-tiba telingaku dapat mendengar derapan kaki berlari dan aku pasti itu pengawal keselamatan. Aku cepat-cepat keluar melalui tingkap dan menelefon Eric dan memberitahu aku dalam bahaya. Aku bergerak perlahan-lahan sepanjang birai tingkap dan membalingkan kasut tumit tinggi ke atas bumbung kereta Wira hitam yang merupakan kereta Eric. Cepat-cepat Eric memandu ke tempat lebih sesuai dan dengan tekad hati, aku melompat ke atas bumbung kereta. Aku menyuruh Eric memandu terus dan aku perlahan-lahan masuk ke dalam kereta walaupun aku mungkin jatuh dan terus mati.

Sekumpulan pengawal tak dapat mengejar kami lagi sebab Eric pakar dalam hal memandu. Dia diibaratkan seperti raja memandu. Aku tersenyum tawar manakala Eric bersorak gembira. RM1 juta sudah menjadi habuan kami.

-bersambung-

8 comments

March 16, 2012 at 9:20 PM

wahhhh.. suka-suka..dah lama tak baca cerita genre sebegini. hehehe.. =D

*tak sabar nak baca sambungan.

March 16, 2012 at 9:21 PM

Perghhh...suspend! Risaunya aku kalau Jade tewas...well done Jade! Kalau buat drama, harus aku tak miss tonton...

March 16, 2012 at 9:42 PM

muahahaha.. promote pula! gelak la baca yg itu!

best!!!! Jade yg brutal hehehe... aku dah jadi peminat dia nih!! hehe..

March 17, 2012 at 12:58 AM

ngat ab jade tue lelaki time mula-mula baca.haha^^


**dato' jack dah kiok erk?

***next plizz.

March 17, 2012 at 1:10 AM

@stalker hebat !
walaupun panjang aku puashati baca... teringat zaman2 Ýoung and dengeres dulu' hahahah geng gangster cina hong kong...

ps: cool kispen ni....

March 17, 2012 at 11:43 AM

macam baca bku ramlee awang murshid..
hahaha.
nice..

cutegirl
March 17, 2012 at 11:51 AM

like2x!...tak sabar tggu next eps

March 17, 2012 at 12:06 PM

bs: mmg cool pon.genre macam nie mmg boleh pergi jaoh.tp org melayu lagi minat kat novel-novel cinta.padahal cita semua lebih kurang je.

**kispen2 kat sini semua syok maa.

***PERHATIAN2.sesape nak jadi penulis amatur bolehlah beratur dalam list yang menunggu.

promot sat.haha^^

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...