Hikmah Di Sebalik Dugaan [ #1 - #To Date ]
Hari ini dah masuk dua hari aku berada di surau yang berada di persimpangan jalan. Laungan azan menenangkan fikiranku yang kusut. Aku redha dengan apa yang berlaku. Menangis air mata darah sekalipun tak akan menyelesaikan masalah. Aku kena hadapinya. Mereka yang singgah di surau ada juga menegurku dan aku membalasnya sekadar senyuman. Aku lebih banyak mendiamkan diri dari bersikap ramah, bukan apa, aku masih trauma dengan apa yang berlaku. Apabila matahari mula meninggi hingga terpacak di atas kepala, aku keluar dari surau dan pergi duduk di perhentian bas. Aku sendiri tidak mengerti kenapa perhentian bas menjadi pilihanku. Mungkin melihat ragam manusia sedikit sebanyak mengurang kebosananku.
Aku tidak menghiraukan teguran, hinaan atau apa-apa. Aku hanya mahu berada di dunia ciptaanku sendiri. Dunia yang ku duduki sekarang tidak berlaku adil padaku. Tiada sebab untuk aku terus berada di dunia yang nyata. Adik? Mana adik? Adik...akak keseorangan diri sini. Aku berpeluk tubuh sambil mata meliar ke sekeliling untuk mencari kelibat adik. Bau asap bas mula masuk ke dalam rongga hidung. Bersesak-sesak mereka masuk ke dalam bas. Aku sekadar duduk dan memandangnya berlalu. Tak tahulah nak buat apa sekarang walau dalam hati tidak putus-putus berdoa agar aku dijauhi dari segala musibah.
Kereta lalu lalang merentasi jalan raya tidak terkira bilangannya. Bunyi pula ada pelbagai jenis, dari bunyi hon penunggang motosikal nakal ke bunyi lagu Kuch Kuch Ho Tai yang berkumandang dari dalam bas menjadi halwa telingaku. Hampir setengah jam duduk tidak berbuat apa-apa di perhentian itu, perut mula terasa lapar. Angin berpusar-pusar di dalam perut sejak semalam lagi. Nak buat macam mana, duit tak ada nak beli makanan. Melihat burger di seberang jalan, kecur air liurku dibuatnya. Sabar sajalah, Lisa...dugaan.
Aku mengerling tong sampah yang berada berdekatan. Takkan nak selongkar macam kucing kot? Tapi kalau terpaksa nak buat macam mana? Yuckss...Busuk jangan nak cakaplah. Aku buat selamba saja dengan bau tong sampah yang sah tak pernah cuci dengan Shokubutsu ni! Tidak kira jenama roti High 5 atau sisa keju Cheezy Wedges yang melekat pada pinggan kertas KFC aku hentam je yang penting perutku di isi. Sedang asyik aku memakan sisa tersebut, muncul satu botol air mineral 250 ml betul-betul depan muka aku. Eh, ada bidadari turun dari langit beri pertolongan ke?
Aku memandang ke atas melihat gerangan ‘bidadari’ tersebut. Ini bukan bidadari tapi...Calon Suami Pilihan Bulan Ini. Wauh...tegapnya badan dia, muka boleh tahan, senyumannya semanis madu dan ada kereta SKYLINE??!
“Berapa lama cik adik nak menganga dan mencangkuk macam tu?”, lelaki itu bertanya tenang. Aduh, romantiknya suara. Boleh cair macam ni!
Automatik aku berdiri tegak dan serba salah nak bertentang mata dengan orang sehensem dia tu. Kenapalah masa aku comot dan rambut serabai bak pontianak barulah kuketemui lelaki sehensem dia? Masa aku pakai cantik tak ada pula gerangan hensem yang kujumpa, melainkan Pak Sameon yang tak habis-habis mengorat aku masa aku menyapu halaman rumah di kampung.
Perlahan-lahan aku mencapai botol air mineral tersebut sambil dia tersenyum melihat gelagatku yang sedikit ketakutan.
“Jangan takut. Nama apa?”
Aku hanya berdiam diri sambil mataku memandang mata bundarnya kemudian jatuh pada bibirnya yang berukir cantik. Tidak pernah aku melihat lelaki sedekat ini dan agak sempurna dimataku.
“Tidak puas tengok saya lagi?”, lelaki itu berbicara lembut sehingga membuat aku tertunduk malu.
“Sa...saya minta maaf pandang encik macam tu.”, aku memulakan bicara. Walau pada mulanya aku berniat ingin berdiam diri saja memandang keadaanku yang compang-camping tak ubah seperti orang gila yang terlepas dari pusat pemulihan.
“Awak tak gila kan? Awak terlalu cantik untuk jadi orang gila. Melainkan awak tengah berlakon sekarang.”
Hampir tergelak aku mendengar kata-kata lelaki tersebut. Buat lawak pula masa ni. Tapi naluriku dapat merasakan dia lelaki yang baik. Harap memang betul naluriku kali ini. Perbualan berlangsung di antara kami dari lima minit bertukar kepada 30 minit kemudian sejam tanpa menghirau mata memandang kami yang sekali-sekala ketawa terbahak-bahak terutama lelaki bersuara garau tersebut. Nama dia? Mohd. Fathuallah... secara tepat Fat, pemandu kereta Dato’ katanya. Bagus juga kerja itu sebab dapat merasa naik kereta mahal walhal tak mampu untuk membelinya.
“Saya nak tanya sesuatu boleh?”
“Tanyalah.”
“Emm... kita dah berbual panjang tapi saya masih tak tahu apa sebenarnya terjadi pada awak, Lisa.”
Serba salah aku memandang Fat. Nak cerita salah, tak cerita nanti aku tak boleh selesaikan masalah aku ini.
“Saya sebenarnya...menjadi penebus hutang ayah saya. Saya...di bawa ke bandar ini sekadar menjadi penebus hutang. Ibu dah...meninggal dunia minggu lepas. Adik Nur pula...hilang entah ke mana.”, ayatku mati di situ. Kami duduk terpaku dan dia turut diam membisu. Memikirkan bicaraku sebentar tadi, rasanya.
“Saya..tak tahu nak cakap apa. Adakah maksud awak...penebus hutang..gadai tubuh? Maafkan saya kalau saya terlanjur cakap.”
Aku mengangguk perlahan tanpa melihat Fat kemudian meneruskan kata.
“Awak boleh kata saya apa saja. Saya pasrah...semua ini bukan kehendak saya. Saya...tak salahkan sesiapa atau Allah swt. Saya terima. Mungkin awak rasa jijik dengan saya sekarang, tapi semua itu tak penting. Yang penting bagaimana Allah swt memandang saya sekarang.”
“Saya tak kata pun saya jijik dengan awak. Lisa, awak tabah orangnya. Walau dalam keadaan macam ini, awak tak menangis. Awak tak lapor pada polis?”
“Buat apa? Perkara ini dah terjadi. Lagipun, tak ada bukti kukuh untuk menyabit ayah tiri saya.”
Aku terus berdiam diri. Menahan perit di dalam dada dengan apa yang terjadi pada diri. Ya Allah, berikan aku kekuatan.
“Emm...macam ni. Majikan saya perlu penjaga budak untuk jaga seorang anak lelakinya. Anak lelaki dia nakal sikit dan acap kali bertukar penjaga budak. Jadi, awak berminat? Tempat tinggal dan makanan disediakan. Tugas awak menjaga budak itu saja. Mudah, bukan?”
Mataku terus bercahaya. Aku tersenyum gembira sehingga Fat turut tersenyum. Cepat-cepat aku mengangguk kepala. Syukur, kali ini aku berjumpa dengan orang yang bakal mengubah kehidupanku dengan lebih baik.
Hak Cipta: lynethewriter
-Bersambung-
2 comments
tersenyum... =)
nak lagi...
alahai.... fat...