Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Wednesday, June 6, 2012

Anak Kecil Yang Terkeliru.

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
Fatiha tersenyum. Dagu yang runcing bak daun sireh diletak atas tangan yang sejak tadi memegang batang mop. Lantai yang tadi kelihatan kusam kini tampak bersih dan berkilat. Akhirnya selesai juga mengemas rumah, itulah rutin harian dirinya sejak sepuluh tahun lalu bagi seorang wanita muda yang umurnya hampir menyapa ke angka tiga puluh tiga. Peluh yang tidak berhenti membasahi dahi sejak dari tadi diseka dengan lengan baju kanan yang hampir lencun. Buat kali terakhir Fatiha memerhatikan sekeliling untuk melihat jika ada yang tidak kena pada matanya. Sekali lagi bibir terukir senyuman sebagai tanda puas.

Matanya kemudian meliar mencari jam yang tergantung di dinding. Jam putih bulat yang dibeli di IKEA tergantung di sudut ruang tamu menunjukkan ke angka dua belas. Fatiha sedar, masih ada tugas yang belum dilunaskan. Dengan pantas dia terus menuju ke dapur. Mindanya ligat memikirkan lauk apa yang perlu disediakan hujung minggu ini. Dia mencari sesuatu di dalam peti ais dan meletakkan barang yang dikehendaki di atas meja. Disusuli pula dengan ruang sejuk beku... 

“Johan!” jerit Fatiha secara tiba-tiba memecah hening dan ketenangan tengahari.

*****

Pagi itu langkahnya tidak seperti biasa. Laju. Dari derapan perlahan bertukar kepada pantas. Kemudiannya berlari kecil. Seperti ada sesuatu yang dikejar. Mulut pula tidak berhenti terkumat kamit menyumpah diri sendiri akibat terjaga lewat. Semua gara-gara menonton perlawanan bolasepak antara Manchester United dan Arsenal lewat malam tadi ditemani abahnya. Nasib baik hati sedikit terubat apabila pasukan kegemarannya menewaskan Arsenal dengan margin yang besar iaitu 8-2. 

“Woi Johan, tunggulah aku gila! Laju betul kau berjalan kenapa?” laung Alan dari jauh. Johan menoleh melihat kelibat susuk tubuh kecil dan rendah itu terkedek-kedek mengejar dirinya. Hatinya lucu tatkala melihat tingkah laku Alan. Satu-satunya adik yang dimiliki. Beza umur antara mereka berdua tidak jauh, hanya dipisahkan dua tahun. 

“Kita dah lambat ni tahu tak? Karang kalau kena tinggal dengan si Miza tu tahulah. Kau bukan tak tahu perangai dia tu macam mana.” jelas Johan tatkala Alan berdiri dihadapannya tercungap-cungap dengan sisa nafas yang masih berbaki di dada. “Ada kau bawak semua benda yang Miza bagitau semalam?”

Angguk laju penuh yakin. 

“Semua ada la gila. Tengokla sendiri kalau tak percaya sangat. Nah!” getus Alan sambil menunjukkan sesuatu kepada Johan. Nafasnya masih lagi mencungap. “Kau tu kalau nak aku ikut mesti diwajibkan membuli aku mencari segala benda yang kau nak pakai sampai cukup. Kalau tak cukup tak boleh ikut. Dasar mengugut!” tambah Alan sambil Johan tersengih separuh mengejek.

“Ha.. cantiklah ni. Semua dah ada. Bagus! Kau memang boleh diharaplah kontot. Ada ibu tanya apsal aku keluar macam tu je tadi?” soal Johan sambil menyerahkan kembali ‘benda’ yang diperiksa satu persatu tadi kepada adiknya. 

“Ada la gila! Aku jawab je kau tu dah berjanji dengan Miza. Dah lewat. Tapi takdelah aku bagi tahu nak kemana. Jahanamlah plan best ni kalau ibu tahu. Tapi aku bagitaulah yang aku ikut sekali. Aku tengok ibu macam risau je tadi” terang Alan sambil mengemas dan sesekali mengerling pada abangnya.

Glup! Air liur yang ditelan seperti kesat. Sukar untuk ditelan seperti ada pasir yang turut serta bergumpal di kerongkong. Ah! Celaka apa perasaan yang tiba-tiba menyelinap pantas seperti ni? 

“Ye ke? Ish.. tak sedap hati pulak bila buat ibu macam tu. Rasa macam durhaka pun ye jugak. Aku dah boleh rasa bahang neraka ni. Kau rasa aku ni berdosa ke tak, ha?” tanya Johan dengan nada sedikit sesal dan gusar. Terbayang sikapnya pagi tadi apabila sapaan dan pelawaan ibunya untuk bersarapan langsung tidak diendah. Malah ditolak mentah-mentah. Tambahan pula aktivitinya kali ini langsung tidak diberitahu! Semuanya atas satu niat dan kejutan.

“Kalau ikut apa kata Ustaz Idris, memang dah boleh masuk kategori ke neraka jahanamlah sebabnya kau dah kecilkan hati ibu. Tapi tak tahu lah kalau betul ibu tu kecil hati ke tak. Ini andaian je. Engko banyakkanlah berdoa supaya dia tak kecil hati sampai menangis. Susah hati juga aku tengok kau nanti...” terang Alan panjang lebar penuh yakin.

“Kenapa pulak?”

“Aku tak kisah sangat pasal neraka sebab dah tahu kau memang tak mampu nak tanggung. Tapi sebelum kau ke neraka, aku tak tahu lah macam mana laratnya kau nak berenang tujuh lautan minta maaf dari ibu.” jelas Alan dalam nada pelatnya persis seorang penceramah agama bebas. Memang ada tokoh.

“Kau rasa macam mana?”

“Aku rasa tak adalah. Tapi kalau kau rasa bersalah, balik nanti minta maaflah.. tapi kalau akulah jadi ibu, kau ni memang aku tak maafkan. Biar lantak lemas dekat laut tu sebabnya selalu buli dan menyusahkan aku. Baru puas hati.” 

“Eh... kurang ajar! Boleh tahan juga dendamnya kau dengan aku ye? Suka betul simpan. Dasar kontot. Kau memang nak kena dengan akulah!”

Lantas langkah dua beradik tersebut terhenti sejurus tiba di destinasi. 

*****

Tempat itu begitu asing bagi mereka berdua. Tetapi tidak bagi Miza. Ada sesuatu yang indah dan damai yang menyapa jiwa apabila pertama kali menjejaki kawasan tersebut. Mempersonakan. Sepohon pokok yang renek menjadi pilihan mereka bertiga untuk menjadi tempat berlindung daripada selar terik matahari daripada kalangan pepohon yang tumbuh sekeliling kawasan terbabit. Sesekali desiran angin bertiup perlahan menambahkan lagi ketenangan diselang-selikan dengan kicauan unggas dan bunyi cengkerik. Indah dan damai. Johan hairan bagaimana tempat secantik ini tidak pernah diketahuinya sepanjang dia membesar disitu. Tempat yang sesuai untuk orang yang hatinya ingin berkarya.






“Hoi Miza! Kau dah dapat ke belum?” Miza mengeleng kepala apabila namanya dilaung. “Kau pasti ke dekat sini ada? Dah lama ni.. sikit pun tak sangkut. Apa cerita?” rungut si Johan seiring dengan sabarnya yang kian menipis, diganti pula marah yang semakin meluap. Tidak disangka niat untuk membantu ibu dalam mencari rezeki terasa begitu sukar dan azab hendaknya. Alan pula masih tekun perhatiannya dengan kerja yang dibuat. Tidak mempedulikan apa yang dibebelkan abangnya.

“Sabar boleh tak? Benda macam ni kena sabar sikit. Dah dua kali aku datang sini dengan pakcik aku. Sini memang lubuk. Percayala.. Ini Miza la weh. Mana pernah menipu.” terang Miza. Benar, rakannya itu tidak pernah menipu. Malahan tidak pernah lokek untuk mengajak mereka berdua jika ada perkara menarik untuk dilakukan bersama. Kemana sahaja pasti bertiga. Cukup akrab. Keakraban mereka mula terjalin selepas keluarga Miza berpindah ke daerah ini atas dasar tugas setahun yang lepas. Meskipun umurnya tiga tahun lebih tua dari Johan, namun Miza tidak pernah berasa kekok apatah lagi malu untuk berkawan dengan dua beradik ini. Dia sudah menganggap mereka seperti adik-adiknya meskipun dirinya sekadar anak tunggal. Begitu juga Johan dan Alan yang sudah menganggap Miza itu seperti abang kandung mereka. Cumanya tiada secara rasmi melalui verbal. Faham-faham sendiri.

“Tu tu tu... tengok tu! Cepat woi! Karang terlepas tahu lah. Alan, cepat angkat!” jerit Miza apabila terlihat joran milik Alan terhenjut-henjut. Dengan terkocoh-kocoh Alan merentap johan yang hampir jatuh ke dalam kolam. Dia menjerit meminta bantuan. Johan dengan pantas datang membantu adiknya yang sedikit kalut. Begitu juga Miza jika bantuannya diperlukan.

“Bawak datang dekat sikit Alan. Sini.. sini. Senang sikit aku nak masukkan dalam tangguk ni.” gesa Johan. Namun begitu adiknya mengalami kesukaran untuk menuruti apa yang diarahkan. Melihat adiknya begitu dan ditambah rasa geram, lantas joran dan tangguk bertukar tangan. Dengan kudrat yang dimiliki setanding dengan susuk tubuh yang sedikit berisi, akhirnya ikan yang meliuk-liuk di dalam air cuba untuk melepaskan diri berjaya ditangguk dan dinaikkan ke darat. Besar. Dia mengakui saiz ikan itu yang baru ditanggalkan dari mata kail oleh Miza. Patutlah Alan begitu sukar untuk menangkapnya. Masing-masing senyum melihat hasil pertama mereka. 

Lewat hari itu masing-masing pulang dengan hasil tangkapan yang lumayan.

*****

“Siapa yang letak bekas Tupperware ni dalam peti ais?” soal Fatiha pada anak sulungnya yang berumur lapan tahun. Mahu saja ditelan anak kecil itu. Namun amarahnya perlu dikawal selagi tidak mendengar penjelasan daripada anaknya. Dia sendiri tidak menyedari kewujudan Tupperware berwarna hijau daun pisang yang dipegangnya itu boleh berada di bahagian sejuk beku. Johan kenal benar dengan Tupperware yang dimaksudkan oleh ibunya. 

“Johan yang letak, ibu. Semalam kita orang pergi mancing. Ikan yang kita orang dapat tu Johan letak dalam bekas tu untuk simpan.. buat lauk. Kita orang cuma nak tolong ibu dapat lauk lebih sikit.” terang Johan dengan terketar-ketar. Melihatkan wajah Fatiha yang menyinga cukup membuatkan dirinya kecut perut. Namun digagahi walau dalam ketakutan kerana dia perlu memberikan penjelasan. Waktu ini, dia sudah berkira-kira rotan yang bersaiz jari kelingking bakal mencium punggungnya untuk kali ke berapa entah.

Mendengar penjelasan anaknya itu, hati Fatiha terusik. Luluh hatinya apabila mengenangkan butir kata anaknya - ‘tolong ibu dapat lauk lebih sikit’. Dia tidak menyangka anak yang sekecil itu sudah bijak dan mahu membantu dirinya. Namun begitu, dia perlu bertegas untuk menunjukkan apa yang dilakukan kedua-dua anaknya itu adalah salah.

Rotan yang sedia tergantung di balik pintu pantas dicapai. Alan dipanggil untuk menghadap. Setelah kedua-duanya dihadapan Fatiha, lantas dia bersuara. “Ada dua perkara ibu nak cakapkan. Pertamanya niat kamu tu baik, ibu hargai tapi cara kamu tu dengan tak bagitahu tu yang ibu tak berkenan. Kalau jadi apa-apa pada kamu berdua, siapa susah?”

Zas! Zas! Dua libasan setiap seorang. Kali ini bukan di punggung tetapi mencium di tapak tangan mereka. Mata dipejam sambil menahan sakit dan pedih. Hanya mampu menyerah tanpa banyak bicara kerana tahu diri mereka sudah bersalah. Beberapa butir air mata menitis keluar dari kelopak mata kedua-dua anak kecil itu tanpa disedari. Cuma esakan sahaja tidak kedengaran. Menjaga macho barangkali. Rasa kasihan ada tetapi hukuman perlu dilaksanakan agar mereka beringat dan tidak mengulangi kesilapan yang sama dikemudian hari.

“Keduanya ibu nak bagitahu ikan yang engkorang pancing tu langsung tak boleh dibuat lauk. Sebabnya...” sengaja Fatiha mematikan ayatnya untuk melihat reaksi Johan dan Alan. Kedua adik beradik itu berpandangan diantara satu sama lain tanda tidak mengerti. “Sebabnya yang engkorang pancit tu semuanya ikan bandaraya tahu tak! Ikan yang melekat dekat akuarium tu. Siapa mengajar engkorang ikan ni boleh dibuat lauk?”

Petang itu bermulalah hari celaka bagi Johan dan Alan. Encik Hazim dan isteri senak perut hingga kepenatan mentertawakan mereka berdua kerana memancing ikan yang salah. Sudahlah tangan berbirat, hasil tangkapan pula ikan yang tidak boleh dimakan. Semuanya gara-gara Miza. 

Celaka engko Miza!


Hak Cipta : Hafiz Makul

5 comments

Anonymous
June 6, 2012 at 10:41 PM

Haha. Kumpul saja ikan2 itu. Boleh buat ikan hiasan :)

June 7, 2012 at 12:15 AM

abam hapis makul! *thumbs up!

June 7, 2012 at 11:14 AM

@sparrow

kalau masih bernyawa biasa saja di bubuh dalam kolam atau akuarium.

@ezan

terima kasih yee

thanks S7W sbb sudi publish kispen ni. terima kasih sekali lagi.

Anonymous
June 7, 2012 at 4:34 PM

saya baca cerita ni sampai habis , dan sekarang saya lah anak kecil yang terkeliru . =(


eh yg buih2 sabun tu ada itik kuning tak bawah2 dia ? hihihiw~


-HEROICzero

June 13, 2012 at 12:13 PM

ikan bandaran tu xleh mkn ek? 1st time th..

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...