Hikmah Di Sebalik Dugaan [ #1 - #To Date ]
Air hujan menitik lebat semakin lama semakin rancak titisannya melantun di atap zink. Kucing liar mula mencari tempat berlindung dari mengelak bulu halusnya basah. Aku pula...terbaring menelangkup di permukaan jalan sambil manik titisan hujan mengalir dari pangkal hingga ke hujung rambut. Adakah semua ini sebahagian dari takdir yang telah ditetapkan olehMu? Aku tak mengerti namun apa yang boleh aku lakukan selain pasrah. Jauh dari sudut hati aku teringat dengan pesanan arwah ibu, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.
Mata ini tidak perlu lagi mengalirkan air mata, tiada guna lagi. Kesal dan hampa dengan sikap ayah yang berulang kali melakukan kesalahan walau pintu kemaafan buatnya sentiasa di buka. Aku benci dia! 18 tahun aku menjaga maruahku sebagai seorang gadis suci tapi akhirnya musnah apabila aku menjadi penebus hutang. 18 tahun...bukan tempoh yang singkat. Aku malu! Aku malu dengan diri aku! Biar aku mati dari menanggung malu! Kalau aku dapat balik ke kampung sekalipun, tiada siapa dapat menolongku. Aku hanya ada adik Nur dan ayah tiri tak guna.
“Lepaskan dia! Jangan sentuh sedikit pun adik Nur!”, aku memberi amaran kepada lelaki yang kononnya akan menjagaku sebaik mungkin setelah kematian ibu. Kalau kutahu nasibku akan sebegini, kurela tinggal di kampung dan bercucuk tanam dari mengikutinya ke bandar. Aku tak mahu membiarkan satu-satu adikku yang umpama rama-rama cantik jika di sentuh, hilang warna serta keindahannya.
“Ok tapi dengan satu syarat! Aku nak kau serah tubuh kau tu pada lelaki kat ruang tamu untuk bayar hutang aku!”, kata lelaki yang bermisai tebal sambil menuding jari padaku. Aku terpaksa memberanikan diri. Tidak seperti diriku sebelum ini yang lebih banyak berdiam diri, tidak melawan kata orang yang lebih tua lebih-lebih lagi orang yang kuanggap sebagai ayah.
Aku mengangguk perlahan. Satu perkataan belum mampu terbit dari bibir untuk menyatakan keakuranku terhadap kata-katanya. Air mata masih keluar bagaikan tiada penamatnya. Hati ini lebih merintih seksa. Inikah tujuan hidupku sebenarnya? Menjadi penebus hutang bapa tiriku? Aku tertanya sendirian.
“Lari adik! Lari sejauh yang mungkin!”, arahku setelah melihat bapa tiriku leka berbual dengan beberapa orang lelaki yang bakal membahamku.
“Eh, jahanam punya budak! Kau ni menyusahkan orang saja! Bawa saja dia ke dalam bilik sekarang. Ajar dia bagaimana nak jadi perempuan!”, kata bapa tiriku sambil menujah kepalaku beberapa kali. Aku sekadar diam. Tidak mampu melawan kerana tanganku sudah di ikat dengan tali. Layananku terima tak ubah seperti mangsa culik dalam drama yang disiarkan di kaca televisyen. Ayah tiriku kejam!
Aku mengagahkan diri untuk bangun. Kalau ikut hati hendak saja aku meniarap berhari-hari kemudian mati macam tu saja. Itu lebih mudah. Tak perlu aku menahan malu yang terbeban dalam hati ini. Tiba-tiba bayangan arwah ibu menerjah di lubuk fikiran. Bagaimana ibu dapat bertahan dengan ayah tiri yang merupakan penagih dadah tegar. Bila ada serbuan polis, pandai pula dia balik ke rumah. Semangat arwah ibu membesarkan aku dan adik Nur dengan mengambil upah menjahit dan menjual kuih pada awal pagi membuat aku kagum dengan ibu. Ayah pula melayan ibu tak ubah seperti seorang perempuan murahan. Ibu sekadar pemuas nafsu ayah.
Rasa sakit mula menyengat di seluruh badan. Tak sanggup hendak memandang lebam kebiru-biruan yang mula timbul. Bertambah hancur hati ini apabila memandang lebam tersebut dan hampa dengan sikap ayah. Aku adalah amanah dari arwah ibu untuk di jaga seperti menatang minyak yang penuh selepas kematian ibu namun semua itu bagaikan berat untuk di galas oleh ayah.
Jiran tetangga sekadar memekakkan telinga dan membutakan mata. Aku faham, mereka tidak mahu masuk campur. Aku cuba mengetuk pintu berulang kali untuk meminta bantuan, cukuplah sekadar tempat berteduh sementara. Air hujan masih membasahi bumi dan tiada tanda-tanda akan berhenti. Beberapa minit sudah berlalu walau tiada jam untuk melihat, aku mula tertunduk memandang kaki yang tidak beralas apa-apa. Aku mengalah, tiada siapapun sudi memberi pertolongan. Air hangat akhirnya gugur jua di pipi mulusku. Aku cuba berfikir positif, mereka tidak dengar mungkin ketukanku tadi. Tak apalah, aku akan melangkah pergi moga akan muncul sinar harapan di luar sana.
Hak Cipta: lynethewriter
-Bersambung-
3 comments
lagi ??? tak sabar nak tahu sambungannya nie... huhu geramnya dengan pakcik tu !!!
best2x
hurmmm penulisan yang bagus... rugi tak baca...
ps: tak mcm amaturpun ni...?