Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Wednesday, February 8, 2012

Tolonglah Jadi Kekasihku #Episod 1

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips


“Lepaskan aku! Lelaki sial! Jahanam kau pergi mampus!!”
Pekik ku pada Herwan. Herwan menatapku tajam. Jelas sekali dia terluka dengan suara ku yang meninggi dengan kata-kata kesat itu. Tapi aku tidak peduli. Aku tidak sudi menerima pujukannya. Hatiku sakit dan pedih sekali. Rasa marah dan benci meluap-luap pada Herwan. Diri terasa dikianati dan hatiku menjadi hancur luluh! Herwan cuba memujuk lagi. Mata ini yang telah menjadi saksi, jadi tak mungkin ku mahu penjelasan yang penuh pembohongan darinya lagi.

“ Sayang…”
“ Apa sayang-sayang! Kau tak paham makna sayang!”
“ Pergi! Pergi.. aku benci kau..” Aku melangkah selaju mungkin. Namun Herwan terus mengejar. Aku menghentakkan kaki dengan lebih kuat dan menjerit marah.
“Pergi.. aku benci kau! Benci!”

Kemarahanku telah meletup. Sakit benar rasa hatiku. Tanpa sedar aku menumbuk-numbuk dadaku, seolah-olah ia akan menghilangkan rasa yang berbuku dan membeban di dadaku ini. Akhirnya Herwan mengalah. Aku tak sudi di pujuknya. Kalau Herwan terus memujuk, mungkin pelempangku akan melayang ke pipinya. Sakit hatiku hingga aku tidak berdaya sekali pun untuk menangis. Aku melihat dengan mata kepalaku sendiri, Herwan dan Shila berpegangan tangan dan lentok manja Shila di bahu Herwan Oh.. Kalaulah aku boleh bunuh mereka berdua! Patutlah batalkan temujanji kami. Rupanya ada temujanji dengan Shila menonton wayang. Pelik sekali.. Shila benar-benar tidak rasa bersalah pada sahabatnya ini. Sampai hati Shila!! Pelik sekali bagaimana Herwan boleh melayanku seperti puteri tapi dalam masa yang sama sedang bercinta dengan Shila. Herwan yang dulunya sungguh lemah lembut itu rupanya seorang penipu!! Dan semakin pelik kerana Shila sanggup berhubungan sulit dengan kekasih kawan baiknya sendiri. Kenapa? Kenapa Herwan? Kenapa Shila? Kenapa kalian robek hatiku dengan sekejam ini!! 

Dengan langkah yang rakus aku meluru ke kereta ku. Bayangan Herwan dan Shila masih tidak lekang dari mataku. Bagai orang bodoh aku dipermainkan. Herwan kekasih yang ku percayai dan Shila kawan karibku. Aku tidak mampu bertenang dengan kenyataan itu. Aku tahu mereka memang rapat. Aku tak kisah sekali pun Herwan menghantar Shila pulang atau keluar makan bersama. Sebelum bercinta dengan Herwan, kami bertiga memang kawan baik. Kami memang selalu bertiga bersama. Nampaknya aku telah kehilangan seorang kawan dan seorang kekasih. Jantungku terasa ditikam-tikam bila terfikirkan hal itu. Perit hingga aku ingin lenyap dari dunia ini. Tengelam dalam laut yang dalam agar kesakitan dan keperitan dalam hatiku lenyap.

Telefon bimbitku terdapat banyak ‘missed called’. Dari Herwan dan Shila. Aku sengaja tak sambut pangilan mereka berdua. Aku tak bersedia mendengar penjelasan karut dari mereka berdua. Beberapa mesej juga ada dari mereka. Tapi aku tak pedulikannya. Ayat-ayat yang menghancurkan hatiku tentunya tertera dalam mesej itu. Oh.. tuhan! Tabahkan hatiku ini. Tapi dalam rasa marah itu aku juga merasa amat sedih sekali. Shila kawanku yang paling ku sayangi dan paling ku ambil berat. Betapa kehilangannya akan menjadi kudis dalam hatiku. Dan Herwan? Entah bagaimana dia boleh setamak itu ingin memiliki aku dan Shila sekaligus. Macam mana aku hendak berdepan dengan kedua-dua mereka. Oh tuhan…. Aku semakin rapuh dengan ujian ini.

“Nah.. ambil ini” tiba-tiba sehelai saputangan melayan ke lenganku. Aku segera menangkapnya. Aril sedang memandangku dengan pandangan sinis. Walaupun aku sedikit jengkel dengan pandangannya tapi aku tetap mengucapkan terima kasih.
“ Aku akan kembalikannya nanti” kataku sambil mengesat airmata dan hingusku. Sekali lagi aku melihat senyuman sinis Aril. 
“ Tak payahlah.. kau boleh simpan sapu tangan tu”
“ Hah?” aku ingin kepastian. Aril pemuda yang baru bebarapa bulan masuk kerja sama tempat denganku, dia muda tiga tahun dari aku. Tapi perangainya kadang kala memang menyakitkan hati. Terutamanya sikapnya yang penyibuk dan suka menyindir. Kata-kata yang keluar dari mulutnya biasanya tajam-tajam belaka. Bisa beracun! tapi alah bisa tegal biasa. Aku sudah lali dengannya. Peliknya, walaupun kata-katanya selalunya menyakitkan hati tapi aku tidak membencinya. Sekurang-kurangnya buat masa ini. Terutamanya ketika ini, dia ambil berat padaku yang sememang menyedihkan ini!


“ Sebenarnya sudah lama aku tahu kekasih kamu berhubungan sulit dengan kawan baik kau sendiri.. Aku sedari sejak hari pertama aku masuk kerja. Tapi aku diamkan saja sebab melihatkan kau begitu bahagia dengan dia” Kata-kata Aril membuatkan aku terpegun.
“ Macam mana kau tahu? Mengapa kau tak cakap padaku..? aku selama ni macam orang bodoh! Kau tahu.. macam orang bodoh!!” Aku kembali terisak-isak.
“Hai.. sudahlah! Jangan menangis kerana dua orang jahat, bodoh dan kejam itu. Tentu ada pembalasan untuk mereka” Nadanya agak garang tapi penghujungnya kedengaran lembut seakan memujuk. 
“Aku beberapa kali terjumpa mereka membeli tiket wayang… kadangkala aku jumpa mereka di gerai makan. Pernah juga terserempak ketika mereka berpegangan tangan di taman bunga, ada ketikanya mereka bermesraan dalam kereta.. memang menyampah!” Umpama luka yang di siram garam. Itulah yang aku rasa pedihnya bila mendengar penjelasan Aril. Membayangkan kemesraan mereka di belakangku. Sedangkan Shila masih rapat denganku seperti dulu. Tapi bagaimana dia boleh berlaku tenang di depanku dengan membawa dosa seperti itu? Oh.. Shila adakah persahabatan kita tiada harganya?

“Dan kau diamkan saja? Biarkan aku macam orang bodoh?” Marahku menatap Aril. Macam aku nak telan saja pemuda berkulit putih tu. Dia mengeluh.
“Apa boleh buat.. perempuan memang bodoh! Sudah berapa kali aku bagi klu dengan kau tapi kau langsung tak peduli. Yalah orang tengah dilamun cinta!” Sakit hatiku bila Aril cakap ‘ perempuan memang bodoh’ tapi bukan itu yang menarik perhatianku.
“Apa? Bila.. bila kau pernah bagi klu..” 

“Aku pernah ajak kau tengok wayang.. Ingat? Sebenarnya aku saja nak bawa kau tengok wayang supaya kau nampak sendiri hubungan mereka..Aku nampak Herwan beli tiket wayang masa itu dan aku agak dia bukan pergi bersamamu. lagi satu. Aku pernah tanya kau.. kenapa kau biar kawan baikmu dihantar pulang oleh kekasih sendiri.. aku selalu tanya, kau tak pernahkah cemburu melihat betapa akrabnya kawan baikmu dengan kekasihmu. tapi kau tak kisah. Kau percaya je dengan meraka.. sekarang ha.. tulah!” Aril seakan memulangkan paku buah keras kepadaku.

“Tapi mereka memang kawan baikku. Sebelum aku mula bercinta dengan Herwan.. Shila juga adalah kawan baik Herwan! Aku tidak akan menyangka mereka tergamak buat aku macam ni” Kataku mempertahankan diri.
“Huh.. aku tak percaya ada persahabatan antara lelaki dan perempuan!” ketusnya tegas. Dia menjelingku tajam seolah-olah marah padaku.

“Apa? Kau memang tidak munasabah! Lelaki dan perempuan memang boleh jadi kawan asalkan benar-benar iklas! Tapi persahabatan merekalah yang tidak iklas! Tapi tak apalah.. lebih baik aku tidak mempunyai kawan daripada punya kawan yang makan kawan..” kataku seolah-olah memujuk diri sendiri. Sebelum ini aku hairan kenapa Aril beriya-iya mengajak ku menonton wayang sedangkan sikapnya padaku agak pelik. Dia tidak kelihatan sedang memikatku.. malah dia suka menyibuk dengan hubungan cintaku. Rupanya inilah rasia disebalik sikap Aril. Dia mungkin kasihan melihat aku di perbodohkan dan berniat membuka mataku. Aku saja yang tidak faham dengan tindakannya. Dia penyibuk bersebab rupanya. Niatnya baik sebenarnya.

“ Jomlah.. dah lewat ni. Mari kita masuk kerja!” Aril membelek jam tangannya.
“ Bolehkah aku ambil cuti hari ni..? aku tak mungkin dapat menumpukan perhatian pada kerja.” Aril tidak menjawab kata-kataku tetapi menarikku menaiki tangga pejabat.

“ Kalau kau ambil cuti.. kau akan menghabiskan masa dengan menangis sampai kering airmata. Lebih baik kau sibuk berkerja. Lagipun kita sedang sibuk ni. Report kena siapkan dalam minggu ni dan nak hantar.. due date dah dekat” mahu tidak mahu aku kuatkan kaki melangkah memanjat anak tangga. Aku tidak diberi peluang bersedih. Tapi tak apalah! Mungkin benar juga kata Aril. Rika.. tabahlah hatimu! Bisik ku memberi semangat pada diri sendiri. Airmata sekali lagi ku kesat.

***

Aku benci melihatnya. Aku benci melihat airmatanya. Tapi lidahku kelu. Segala maki hamun dan kata-kata kesat yang bermain-main difikiranku yang ingin ku hamburkan padanya ternyata tersangkut ditekak ku. Tidak terluahkan. Shila bergenangan airmata menceritakan penderitaaannya menyembunyikan hubungan rasianya dengan Herwan. Aku ingin percaya tapi hatiku selalu berbisik sinis.’ Dia bukan kawanku! Dia kawan yang makan kawan.. dia kawan yang menikam kawannya dari belakang’ 

“ Rika.. ucapkanlah sesuatu! Aku bersalah.. aku patut di hukum! Tamparlah aku.. pukul aku! hukumlah aku! Aku bersalah padamu Rika..Tapi sumpah! Beratus-ratus kali aku cuba matikan perasaan cintaku pada Herwan. Tapi hati ini buta! Cinta ku benar-benar buta! Seribu kali aku cuba menipu diri.. tapi sejuta kali hatiku ingin merampas Herwan darimu.. Maafkan aku Rika! Aku kejam! Aku tidak layak jadi kawanmu.. tapi aku benar-benar cintakan Herwan. Ampunkan aku Rika.. Ampunkan aku..” sedu sedan Shila berlarutan. Benarkah dia berasa begitu bersalah? Benarkah dia rasa berdosa seperti itu sedangkan dia setenangnya bersengkongkol dengan Herwan bermain cinta dibelakangku. Herwan sendiri melayanku seperti biasa. Aku rasa dicintai dan disayangi sepenuh hati bila bersama Herwan. Langsung tiada petanda. Aku sedikit pun tidak menghidu bau perhubungan sulit mereka. Kedua-duanya begitu teliti di hadapanku. Tiada sebarang tanda yang mereka berdua sedang dilamun cinta. Atau akukah yang terlalu buta? Ah.. inikah cinta tiga segi? Tidak! Sebenarnya akulah orang ketiga yang menganggu di antara mereka berdua. Kalau Shila dan Herwan sebegitu ghairah dilamun cinta bagaimana pula aku boleh terlibat dalam percintaan ini. Argh….!! 

“Aku tahu sampai disini saja persahabatan kita… jaga diri baik-baik! Sekalipun aku tidak layak memohon maaf.. tapi aku tetap memohon ampun dan maaf..” Shila bangun ingin melangkah pergi. ‘ ya.. sampai di sini saja persahabatan kita.. kalaulah kau pernah menganggapnya suatu ‘persahabatan’ bisikan itu hanya bergema dihatiku. Aku masih tidak berdaya memaafkan mereka berdua. Sehingga Shila hilang dari pandangan, aku masih terpaku. Menyesal kerana tidak bertanya kenapa dia begitu kejam? Kenapa ini.. kenapa itu.. kenapa?kenapa?kenapa? walaupun aku tahu dia tidak semestinya dapat menjawab semua soalanku. Tapi aku kesal kerana tidak mencemuh dan mengeji kekejamannya merampas kekasih kawan baiknya sendiri. Setitik airmata gugur lagi. Aku terlalu sayangkan Shila.. Dia kawanku yang paling baik! Ah.. salah.. dia ‘pernah’ menjadi kawanku yang paling baik. Dia pernah berjaga semalaman ketika aku demam panas ketika kami tinggal di asrama. Dia sentiasa menyimpan nota untukku kiranya aku tidak hadir ke sekolah. Kami selalu membonceng basikal berdua ketika pergi berkelah di pantai pada hujung minggu. Kami ketawa dengan gembira ketika mandi laut bersama. Dia menyimpan semua rasiaku dan aku menyimpan semua rasianya. Terlalu banyak kenangan manis kami berdua. Aku menghela napas yang sungguh berat sekali.

Belum pun aku sempat hilangkan bayangan wajah Shila yang menangis memohon ampun maaf dari kotak ingatanku, Herwan pula menerpa ketika aku hendak pulang. Dia dengan wajah kusut masai menunggu di tempat letak kereta. Aku sudah tidak larat menghadapi tapi…

“ Rika sayang..” 
Kedua tanganku ditangkap erat. Aku cuba meronta tapi dia semakin kuat menggengam.
“ Sudah Wan.. sudahlah Wan! Aku sudah tidak larat menghadapi semua ini. Tinggalkan Rika okey! Leave me alone” ujarku lemah. Tidak berdaya menangis lagi.
“ Wan tak boleh hidup tanpamu Rika…” Ucapan Herwan itu hanya membuatku menjadi marah. Kata-kata apakah itu setelah apa yang dilakukannya? Berani dia berkata seperti itu!! Kalaulah dia tidak mengengam tangganku dengan erat sudah tentu pelempangku mencium ke wajahnya. 
“ Bodoh! Apa yang ingin Wan katakan? Tak cukupkan menyakiti hatiku hah! Apa lagi mahu mu Wan.. pergilah pada Shila! Rika lepaskan kamu berdua.. pergilah! Kenapa perlu menghukum Rika begini! Kenapa?” Pekik ku tak terkawal.
“ Wan.. Wan tetap cintakan Rika! Shila..Shila.. dia! Wan sayangkan Shila.. tapi Wan paling cintakan Rika..oh! Rika.. kenapa dalam hati Wan kamu berdua begitu penting.. Rika tahu tak! Rika faham tak.. Wan sayangkan Rika.. cintakan Rika!” kata-kata Herwan bagaikan membuat aku gila! Kenapa? Kenapa?

“Lepaskan Rika, Herwan! Dengar baik-baik. Hubungan kita sampai di sini saja. Hubungan kita bertiga.. Wan, Rika dan Shila! Semuanya sampai disini saja. Takan mungkin aku dan Shila jadi kawan baik lagi. Dan paling tak mungkin Rika kembali pada Wan! Lepaskan Rika sekarang juga!” segalanya sia-sia. Herwan malah cuba memelukku. Menyakinkanku betapa dia tidak boleh hidup tanpaku. Aku benar-benar cintakan dia selama ini. Tentulah sukar bagiku menolak pujukannya kerana sesungguhnya aku masih lagi cinta akan lelaki ini. Dengan sepenuh jiwa ragaku aku mencintainya. Aku ingin menangis teresak dalam pelukannya dan ingin sekali dipujuk manja olehnya. Aku ingin sekali mendengar bahawa semua yang kami lalui ini adalah mimpi ngeri sahaja dan ianya sudah berlalu. Aku teringin merampas Herwan semula dari Shila. Aku ingin Herwan menjadi milik ku yang mutlak. Tapi sebelum aku hanyut pada angan-angan dan khayalan itu aku kembali teringat kata-kata Shila, betapa dia menyintai lelaki yang ku cintai ini!! Malah yang paling menghancur luluhkan perasaanku. Shila memberitahu dalam smsnya.. dia telah terlanjur dengan Herwan. Oh tuhan.. Tabahkan hatiku.

“Wan.. Berikan Rika masa. Rika perlu bertenang. Aku tak dapat berfikir sekarang ini. Wan pergi.. pergilah dulu. Biarkan kita sama-sama bertenang.” Pujukku agar Herwan melepaskan bahuku. Aku tatap ke matanya dengan sungguh-sungguh menyakinkannya.
“ Aku perlukan masa Wan.. aku tidak dapat menerima semua ini dengan begitu mudah.. ia menyakitkan” Ucapku lagi menyakinkannya.

“Tapi.. kau masih cintakan ku kan? Kau masih cintakan Wan kan..” secara tiba-tiba airmataku mengalir laju. Bila ku tanya soalan itu ke dalam hatiku, hanya keperitan yang menjadi jawapan. Sakit dan perit sekali. Masih cintakah aku? Aku cintakan lelaki yang dulunya ku sangkakan setia. Tapi kini masih cintakah aku? Setelah dia bercinta dengan kawan baikku sendiri? Bukan setakat bercinta saja.. malah mereka sudah terlanjur!! Jawapan yang ku terima hanyalah rasa sakit dan pedih yang tidak terhingga. Aku perlahan-lahan mengangguk mengiakan meskipun aku tidak pasti adakah tindakanku itu betul atau salah. Aku perlu lari. Lari dari lelaki ini! Semakin aku dekat dengannya semakin aku terasa derita. Semakin aku tersiksa. Rasa kasih, sayang dan cinta bercampur baur bersama rasa benci, sakit hati, dendam dan sedih. Melihat anggukanku tangan Herwan menjadi longgar di bahuku.

“Baik.. Wan faham! Wan.. benar-benar sayang dan cinta pada Rika. Jangan sesekali berpisah dengan Wan.. ya sayang” Meruntun hatiku mendengar kata-kata sayang itu. Andainya kata-kata sayang itu hanya milikku seorang… Airmata gugur lagi. Herwan mengesat airmataku sedangkan matanya sendiri sedang bergenang mutiara jernih yang hampir menitis ke pipi. Akhirnya Herwan melepaskan ku masuk ke dalam kereta. Dia melangkah lemah ke kenderaannya yang di letak tidak jauh dari keretaku. Aku terus memandang belakangnya dengan pandangan semakin kabur kerana mataku penuh dengan airmata! 

***

Hampir setiap hari Herwan menanti di bawah pejabat setiap kali pulang kerja. Aku rimas. Herwan mendesak ku menerimanya kembali. Puas aku berkasar atau berlembut tapi Herwan tidak mahu menerima kalau aku putuskan percintaan kami. Tapi yang gilanya dia tetap bersama Shila. Dia mahukan aku dan Shila!! Gila! Herwan benar-benar gila! Aku tidak tahu bilakah masanya lelaki yang pernah ku cintai itu menjadi segila itu. Kenapa dia berubah menjadi seperti itu? Aku pernah memintanya memutuskan hubungannya dengan Shila jika dia benar-benar mahukan aku. Tapi dia melutut menangis memohon aku menerimanya. Sedikit pun dia tidak berjanji untuk berpisah dengan Shila. Selang sehari kemudian Shila menelefon yang Herwan mabuk dan mengamuk. Jelas sekali Shila yang menjaga Herwan ketika itu. Tak mungkin Herwan berpisah dengan Shila kerana hanya Shila yang mampu bersabar dengan kerenahnya. Tapi kemudian Herwan datang lagi memujuk merayu agar aku menerimanya kembali. Aku penat! Penat menolak dan penat didesak! Aku letih dengan bermain perasaan seperti ini.

“Aril.. Aku nak minta tolong..” kataku pada Aril yang serius di depan komputernya. Dia mendonggak memandangku dengan muka selamba. 
“Eemn..” sahutnya ringkas.
“Boleh tak kau berlagak jadi kekasih ku?”
“Hah?”
“Tolonglah jadi kekasihku!”
“Apa? Jadi kekasihmu?” Matanya terbelalak. Mulutnya terlompong.
“Ya.. jadi kekasihku.. buat sementara waktu! Sehingga Herwan berputus asa” itulah rancanganku.
“Kau gila! Aku tak mahu..” Tolaknya mentah-mentah.
“Tolonglah.. aku akan bayar.. aku bayar berapa saja kau minta!!” Aku merayu. Dia tertegun menatapku. 

Kemudian mengeleng-geleng sambil ketawa. 
“Gila!” ketusnya perlahan.
“Aril.. please! Aku perlukan bantuan. Aku tak tahu nak minta tolong dengan siapa lagi. Lagipun hanya kau yang tahu dan faham masalahku!” Pujukku lagi.
“Susah sangatkah nak putuskan hubungan dengan lelaki mulut manis macam dia tu?” sinis sekali ucapannya. Aku akur apa saja caciannya. Aku benar-benar perlukan pertolongannya kali ini. Herwan tak akan putus asa selagi aku tidak mencari jalan keluar. 

“Aril.. ia tidak semudah yang kau fikirkan.. Tolonglah jadi kekasihku! Aku akan buat apa saja untuk membalas jasamu!” Ada airmata bergenang dibibir mataku. Aku tidak sanggup lagi berhadapan dengan Herwan. Aku tersiksa berdepan dengan lelaki itu. Aku kasihan melihatnya yang seakan hilang arah bila aku mula marah padanya. Dia seakan jadi gila bila kami mula bertengkar. Bila aku bertegas tidak mahu menjadi kekasihnya lagi .Tapi aku tidak boleh menerimanya semula. Tidak mungkin!!! 

Aril merenungku. Airmata yang tadinya hanya bertakung di bibir mataku akhirnya jatuh berderai. Aril ketawa kecil tapi helaan napasnya kedengaran berat sekali.

“Benarlah airmata adalah senjata perempuan..” Dia menghulurkan sapu tangannya padaku. Aku mengambil sapu tangan itu tanpa membalas kata-katanya.
“Baiklah.. aku tak sampai hati melihatmu menangis.. tapi kau kena ikut syaratku. Boleh?” Aku tertegun seakan tak percaya yang Aril setuju dengan permintaan ku.
“Betul? Oh.. terima kasih!!” ujarku gembira.
“Jangan gembira dulu.. aku belum memberitahu syaratku!” pintas Aril sambil senyum nakal. Mengambil kesempatan atas pergantunganku padanya.
“Apa syarat-syaratnya?” Tanya ku tidak sabar. Aril terdiam seakan-akan berfikir. 
“Aku belum memikirkannya lagi.. aku akan memberitahumu nanti” Oh.. rupanya Aril sendiri tidak tahu apakah syaratnya. Dia memang sengaja buat begitu. Tapi yang penting dia mahu menolongku. 
“Jadi petang ni kau akan jadi kekasihku.. betul?” tanya ku dengan nada lega. Aril ketawa dan mengiakannya. Petang itu kami turun bersama. Seperti di jangka Herwan menunggu di bawah. Dadaku berdebar dan aku mula cemas. Bagaimanakah reaksi Herwan?
“Rika…” Herwan menerpa ke hadapanku. Tangan Aril segera ku pegang erat. Herwan mengerut kening. Di tenungnya Aril yang tenang di sisiku.
“Herwan.. aku sudah bertunang dengannya!” lancar saja kata-kataku. Cepat-cepat aku mengeluarkan cincin pemberian arwah ibu dari dalam beg tangan ku.
“Mustahil.. Rika! Ini hanya helahmu..”

“Maaflah.. saudara, ini bukan helah. Kami benar-benar telah bercinta. Sebenarnya sudah agak lama aku sukakan dia. Tapi kerana dia sudah ada kamu jadi aku diamkan diri. Tetapi sekarang kamu telah menduakannya jadi tiada alasan untuk aku lepas tangan. Dia sudah menerimaku! Jadi sebaiknya kita selesaikannya dengan baik-baik saja.” Aku hampir tidak percaya Aril begitu lancar mereka-reka cerita itu. Kami langsung tidak ada perancangan yang rapi tentang ‘percintaan kami’ ini. Herwan terlompong. Muka ku di tenungnya seakan mencari kebenaran. 

“Sudahlah Wan. Pergilah bersama Shila. Dia cintakanmu dan aku tidak lagi menyintaimu. Aku benar-benar sukakan lelaki ini. Dia pasti dapat membahagiakan aku! Jangan cari aku lagi. Antara kita tidak akan pernah ada cinta lagi setelah apa yang telah berlaku antara kita. Takan pernah Wan! Aril mari kita pergi..” aku tarik tangan Aril. 

“Tunggu! Kamu jangan melampau!” Nada Herwan agak marah. Dia menarik tanganku kuat. Lenganku terasa sangat sakit.
“Wan.. Siapa yang melampau! Kaulah yang melampau.. Aku bencikan kau jahanam!” Pekikku tak terkawal. Herwan tertegun.

“Kau tak boleh bencikan aku Rika! Tak boleh.. Semua ini kerana kau sial” Sebelum sempat kami berbalas kata-kata, tanpa diduga satu penumbuk Herwan ke arah Aril. Aril tidak sempat mengelak. Namun tumbukan seterusnya dapat dielakannya. Semuanya begitu pantas sekali. Aku hanya menjerit dan memekik melihat keduanya bergelut. Mujurlah beberapa orang lelaki datang menolong meleraikan. 

“Wan. Aku akan report polis! Kalau kau ganggu aku lagi.. aku akan report polis! Sekarang juga aku akan report polis” Ancamku sambil menjerit. Aku tak peduli. Semua orang sedang menyaksikan drama yang tidak ku duga ini. Aku mencapai telefon bimbitku. Tapi Aril segera menahan. Herwan telah pun beredar. Aku rasa bersalah sekali melihat pipi Aril yang lebam.

“Maaf Aril.. tak sangka kau akan jadi begini kerana menjadi kekasihku” Aril hanya ketawa kecil mendengar kata-kataku.
“Aku sudah jangka hal ini mungkin berlaku. Sebab tu aku menolak pada mulanya. Tapi tak apalah.. semuanya sudah okey kan?” Katanya sambil mengesat bibirnya yang berdarah sedikit.
“Celaka itu kuat juga. Habis muka hensem ku lebam di tumbuknya” Aku tambah rasa bersalah.
“Mari.. biar aku sapukan ubat. Kita naik ke pejabat semula. Ada first Aid dan ice cube di pejabatkan” Aril menurut. Kami naik semula ke pejabat.
“Aduh.. perlahan-lahan” rungut Aril ketika aku cuba merawat bibirnya yang pecah itu. 
“Maaf.. sakit ke?” 
“Mestilah sakit, tapi tak apalah. Inilah harga airmata kamu yang telah buat aku lembut hati dengan kau tadi, aku dah agak dah.. ” Kata Aril lagi sambil ketawa kecil, tapi dia kemudiannya meringis kesakitan kerana bibirnya sakit kerana ketawa. 
“Janganlah cakap macam tu. Aku benar-benar terhutang budi dengan kau. Kau cakap sajalah macam mana aku boleh membalas jasamu ini. Kan aku sudah berjanji akan cuba penuhi permintaan mu pula.” Kataku sambil merenung ke wajahnya. Orangnya memang kacak. Tentu ramai peminat.
“ Tak apalah. Belum sampai masanya kau membalas jasaku. Mungkin suatu hari nanti aku pula yang akan merayu meminta pertolonganmu. Sekarang.. mari kita balik dulu cik adik manis! Sebelum Herwan datang mengamuk lagi” Gurau Aril lantas bingkas bangun.

“Cik adik? Jangan silap ye! Kamu lebih muda 3 tahun dari aku tau!” ujarku mengingatkan.
“Oh? Iya ke? Kamu ni berbadan kecil molek je. Ingatkan kita seusia ..” sahutnya sambil tergelak. 
“Jadi nak panggil kakak ke?” tanya ku sambil ketawa. Kami jalan beriringan menuju ke pintu. Kunci pejabat segera ku keluarkan dari beg tangan.

“ Tiga tahun je pun.. tak nak la panggil gadis comel macam kau kakak! Cuma beza tiga tahun je, buat bini pun okey tu.. ha ha ha.. ish.. aduh! Sakit pula nak ketawa!” Aku jadi tergelak dengan gurauannya itu. Tapi tak sangka kerana pertolongannya itulah aku dan Aril menjadi lebih rapat. Aku kenalinya dengan lebih dekat. Pada mulanya aku merasakan Aril seorang yang leceh, agak angkuh tetapi juga suka menyibuk. Adakalanya seorang yang sinis dan suka membaca perwatakan orang lain. Dengan hanya melihat gaya pemakaian dan perbualan, dia dengan mudah membaca jenis apakah orang itu. Sebenarnya aku paling benci pada orang yang suka ‘menilai’ orang lain. Tapi lama-kelamaan aku semakin serasi bergaul dengannya dan aku tak kisah bagaimana pandangannya terhadapku. Apa pun penilaian Aril terhadapku yang aku tahu dia memang telah berbudi kepadaku. Sejak peristiwa itu Herwan tidak datang mengangguku lagi. Bagaimana pun Aril beberapa kali terserempak dengan Herwan mengintai ku dari dalam keretanya ketika aku pulang dari kerja. Atas sebab keselamatan Aril setuju mengambil dan menghantar ku pulang. Seolah-olah kami benar-benar pasangan kekasih. Sekurang-kurangnya buat masa terdekat ini. Bebarapa orang rakan kerja bertanya akan hubunganku dengan Aril. Aku dan Aril telah sepakat mengaku sebagai pasangan kekasih. Lagipun cerita tentang Aril bertumbuk dengan Herwan di Parking Lot memang menjadi buah mulut rakan-rakan sepejabat yang lain. Kerana kami kononnya pasangan kekasih, jadi aku banyak meluangkan masa bersamanya. Kami selalu keluar makan bersama. Berlagak yang kami benar-benar adalah pasangan kekasih. Lagipun dengan Aril aku boleh luahkan apa saja masalah atau keluhan tanpa segan silu. Walau pun sering dikritik oleh Aril tapi dia tetap sudi mendengar apa jua yang ku ceritakan. Aku bersyukur kerana Aril sanggup meminjamkan telinganya untuk mendengar keluh kesah ku yang entah apa-apa!

“Kamu Rika?” suatu hari seorang gadis datang mengunjungiku. Gadis cantik itu memandangku dari atas hingga ke bawah.
“Ya? Kenapa cik?” tanya ku hairan.
“Boleh tahan juga. Comel! Citarasa Aril memang bagus. Saya Akila. Kakak Aril..” Aku tergugup mendengar. Kakak Aril? Kenapa dia datang mencariku?

“Biar saya terus terang Cik Rika. Sebenarnya adik saya tu ada ramai buah hati. Tapi yang ramai tu hanya untuk isi masa lapang saja. Saya bukannya nak buat kamu patah hati. Cuma nak ingatkan saja. Jangan sampai kamu mengharap sangat. Kekasihnya yang serius iaitu anak perempuan tunggal Pemilik Avenue Hotel yang kaya raya. Jadi rasanya dia pasti tidak akan lepaskan kamu jika dia tahu yang kamu sedang merampas teman lelakinya. So.. Kamu pandai-pandailah ye!” Aku terlompong. Seakan tidak percaya apa yang ku dengar. Tapi bila ku fikirkan semula ada benarnya kata-kata kakaknya itu. Aril memang kacak orangnya. Tentulah ramai peminat. Dan kalau ramai peminat tentulah boleh punya ramai buah hati. Tapi bagaimana aku nak percaya Aril seorang yang kaki perempuan. Dia tidak kelihatan seperti itu. Tapi siapa tahu kan? Aku bukannya kenal sangat dengan anak muda itu. Tapi sepanjang aku mengenalinya aku tak pernah nampak dia berkepit dengan mana-mana gadis. Tapi yalah, aku bukannya 24 jam bersamanya. Manalah aku tahu hidup peribadinya. Dia tidak pernah memberitahu yang dia ada kekasih atau yang sewaktu dengannya.

“Oh.. itu.. itu.. rasanya tidak ada masalah” sahutku pada Kakak Aril. Dia mengerut kening. Dia memandang tajam ke arahku. Tidak percaya.
“Tidak ada masalah? Oh.. jadi kamu memang tidak serius dengan adik saya? Oh ya… perempuan sekarang memang mata duitan. Kamu bersama dengannya hanya pasal duit kan?” Aku sekali lagi terlompong. Tidak faham dengan tuduhan Akila. 
“Bukan begitu.. Cuma aku dan Aril belum begitu serius. Kami hanya berkawan rapat saja” Terangku supaya Akila tidak menuduhku macam-macam. Mata duitan? Kayakah si Aril hingga aku nak kikis duitnya. Dia pekerja biasa macam aku juga. Kenapa pula aku di cop mata duitan? Peliknya kakak Aril ni.

“Tidak serius? Hahaha.. adik saya tidak serius tetapi mengambil dan menghantar kamu pulang setiap hari ke tempat kerja macam driver. Dia sampai lebam-lebam bertumbuk dengan lelaki lain kerana kamu. Kamu memang pandai mempergunakan adik saya ya”
Nadanya agak marah. Aku tergugup lagi. Berasas juga tuduhannya. Tapi itu bukan kisah sebenar! Tapi tentulah Akila akan fikir begitu. Aku faham.

“ Tidak.. bukan begitu. Jangan salah sangka. Saya membayar belanja minyak untuknya juga. Dia tidak menghantarku dengan percuma. Dia hanya menolongku kerana bimbang akan keselamatanku saja. Sebab aku pernah di ganggu oleh bekas teman lelaki..” Terangku dengan berharap dia akan menghentikan prasangka buruknya. Tapi riak wajahnya langsung tidak menunjukkan yang dia percaya kata-kataku. 

“Pelik tapi menarik sekali.. Cik Rika! Dia adalah adik kesayangan saya. Dan kekasihnya itu adalah kawan baik saya.. jadi! Saya ingin beri amaran dengan baik-baik. Jika nak berkerja lebih lama di sini.. nak hidup tenang, lebih baik jauhkan diri dari adik saya. Saya tidak mahu ada gadis yang mahu ambil kesempatan dengan adik saya. Faham?” Aku tertegun dengan ugutannya. Apa kesalahan yang telah aku lakukan?

“Hai.. kakak! Apa kakak buat di sini?” Aril tiba-tiba muncul.
“Oh.. kakak saja datang melawat. Saja nak tengok kekasih kamu ni..” Aku mengigit bibir. Berpaling ke arah Aril. Kami berpandangan. Melihat riak muka ku dia seakan tahu apa yang berlaku. Dia segera menerpa ke depanku.
“Kakak.. bukankah aku dah cakap jangan masuk campur dalam urusan peribadi Aril” 
“Ya.. Cik Akila. Saya dan Aril sebenarnya..” Aril segera memberi isyarat berhenti padaku. Aku segera mendiamkan diri. Menunggu Aril saja yang bercakap.
“Hubungan Aril dengan Rika adalah urusan peribadi Aril, kakak. Aril harap kakak hormati pendirian Aril.. please?” Akila merengus. Dia menjelingku.

“Baik.. Tapi kakak akan memerhati tahu!” Aku benar-benar terkejut. Tidak menduga Aril ada seorang kakak yang begitu protective. Akila berlalu. Aku terduduk dan mengeluh. Semenjak dua menjak ini hidupku tidak tenang. Mula-mula kekasih di rampas oleh kawan baik sendiri. Lepas itu si kekasih pula macam orang gila talak. Kini aku di cop sebagai perampas kekasih anak orang kaya yang berpengaruh pula. Sungguh tak terduga episode hidupku ini. Mungkin boleh dibuat novel. Bisik hatiku sambil senyum sendiri.

“Eh.. bukankah kau cuti sakit? Kenapa datang pula?” Tanya ku pada Aril yang kelihatannya agak pucat. Tentu dia tidak sihat.
“Ya.. aku dengar kakak datang ke pejabat. Sebab tu aku cepat-cepat datang, dia tu memang suka buat kecoh.. ” Suaranya agak parau. Dia memicit-micit kepalanya.
“Are you okey Aril.. Kau nampak teruk!” Aku mula cemas.
“Sekarang dah masa lunch.. mari biar aku hantar kau balik” Aril tidak membantah. Katanya kepalanya agak pening. Aku memapahnya sampai ke keretanya.
“Mana kunci kereta?” Aril segera mengeluarkan kunci kereta. Aku segera memandu ke Taman Saerah. Aku tahu apartmentnya block B. tapi tentulah aku tidak pernah masuk ke apartmentnya. Aku pernah mengambilnya ketika keretanya masuk workshop.
“2nd floor. Nombor 3” ujarnya ketika kami di pintu lift. Aku terus memapahnya masuk. Pertama kali aku masuk ke apartmentnya. Aku tertegun melihat apartmentnya. Ia adalah apartment yang mewah. Macam orang kaya je Aril ni. Entah-entah dia ni anak orang kaya sebab tu kakaknya tuduh aku nak kikis duitnya.
“Macam mana? Kau dah makan ubat tak?” Dia mengeleng. Dahinya panas sekali.
“Aku tak sepatutnya hantar kau pulang. Aku patut hantar kau ke hospital. Kau demam panas ni!” Aku semakin panik kerana panas badannya semakin meningkat.
“Tak apa.. kau cari di dapur dalam cabinet. Ada first Aid. Ada ubat demam di situ” Aku bergegas mencari. 
“Aril.. Bangun. Makan ubat” Aku memberikan ubat dan segelas air padanya. Walaupun lemah dia bangun juga. 
“Sejuk.. sejuk betul la” katanya dengan bibir bergetar. Sedangkan dahinya ku rasakan panas yang teramat. Dia kembali berbaring di atas sofa. Aku segera masuk ke biliknya mengambil blanket dan bantal. Aku kemudiannya membasahkan towel kecil dan meletakkan towel basah itu di kepalanya yang panas membara itu.
“Sejuk..” katanya lagi dengan mata tertutup. Dia benar-benar deman.
“Sabar.. sekejap lagi ubat yang kau makan itu akan bertindak” pujuk ku. Dia kedengaran merancau-rancau tanpa sedar. Aku memandang jam. Hampir jam 2 petang. Aku perlu balik berkerja. 
“ Aril.. Aku pergi kerja dulu. Nanti petang aku jengguk kau ya. Kau berihatlah!” Aku cuba gerakkan dia. Tapi dia tidak menyahut. Tentu dia sudah tertidur. Tapi baru saja aku ingin bangun dia telah menarik lenganku.
“ Rika.. boleh tak tolong temankan aku disini. Kepalaku sangat sakit. Aku rasa macam nak muntah juga. Tapi tak boleh muntah. Temankan aku ya. Tolonglah..” Aku tidak sampai hati menolak. Lagipun anak muda ini sudah banyak berbudi padaku.

Korang agak dia teman tak? Sambung esok okey?

12 comments

February 8, 2012 at 9:48 PM

last time I see your spirit...in this story I see your passion...so sexy...haha...

February 8, 2012 at 11:11 PM

best....


kang lau temankan kena tangkap basah pulak..masalah,masalah..dah la rika tu semedang bermasalah je sekarang..kesian kalau ada masalah lagi..


bila cinta menguasai diri, kawan baik sanggup diketepi..



tak sabar nak tunggu sambungan.. :)

February 8, 2012 at 11:29 PM

@EL MARIACHI

eh? tang mana yg seksi tu Abg Bro? hehe..

February 8, 2012 at 11:31 PM

@marcella

maaf.. pjg sangat kan? Tolong jgn panggil tok imam ye. Rika tak sedia lagi nak kawin tu :p

February 9, 2012 at 4:23 AM

peh, semangat mengarang tu penting..
berapa hari punya karang ni?

*menanti sambungan*

February 9, 2012 at 8:47 AM

amboi ko nong andy...ini sudah masuk bab novella yo soy betty la fea neh..kekeke!

Anonymous
February 9, 2012 at 5:38 PM

cerita ini , aku pasti akan baca sambungan nya nanti ! =)


-HEROICzero

February 9, 2012 at 6:28 PM

ok, saya akan tunggu kesinambungannya nanti..:D

February 9, 2012 at 8:00 PM

@APi

kalau tak silap hari punya karangan ahahaha.. tima kasih sudi baca n komen :)

February 9, 2012 at 8:02 PM

@Lady Windsor

Lady.. ini memang telenovella ahahaha..

* nanti nak beli pantun Cik Lady :)

February 9, 2012 at 8:06 PM

@Anonymous

Heroiczero,

Tima kasih sudi baca n komen :)

n terima kasih kerana bersabar baca karya yg maha pjg ni :)

February 9, 2012 at 8:07 PM

@Teenager Housemaid

TH,

tima kasih sudi baca n tunggu smbungan. maaf yer.. pjg bebenor :)

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...