Lucifer
Sayup angin bayu yang membelai bukit kecil yang dipenuhi kuburan, ada yang masih bertanah merah, ada yang sudah bersimen. Dari jauh, tampak batu nesan seakan-akan bangunan KLCC berkembar yang bercambah ranum tiap kali petang aku menjejakkan kaki di bukit kecil ini.
Aku dekatkan diri pada kuburan setingkat yang tercatit nama seorang saudara yang terlebih dahulu menyahut panggilan dengan buku yasin kecil di tangan kiri dan seberkas air yang mengandungi bunga yang lumat di tangan kanan. Di sisi seorang gadis genit yang telah diamanahkan kepadaku untuk menjaganya sehingga dia mampu menjaga diri sendiri dan keluarga.
Kini, gadis itu sudah pun berjaya, senyumlah kamu wahai sahabat, yang matinya ketika mengejar bintang lalu dijemput kenalan kita, Izrael, mungkin kita nanti tidak bertamu di taman sorga, bah kan mungkin kamu yang memaut tanganku yang tergelincir di batuan neraka.
Maafkan aku sahabat, kerana aku tidak menepati untuk menjaganya dekat-dekat, tetapi telinga dan mataku mengejar alunan masa yang sentiasa ke hadapan dan tidak pernah ke belakang, biar aku ini tinggal sehelai sepinggang, menyediakan pundak seperti kamu dahulu yang gemilang, kerana aku tahu dosa dibalik tirai di belakangmu terhadap gadis genit itu yang tak termaafkan.
***
Aku belek buku kecil yang mengandungi aksara arab, aku perhati gadis genit di sisi, lancar menitipkan baris-baris tulisan dalam buku kecil itu, aku tertunduk diam, miming, malu pada usia yang mengetuk semi abad, malu pada remaja yang masih belasan tahun mengalunkan doa untuk abangnya yang telah tidur selamanya.
Dia tertoleh melihat aku yang tertunduk-tunduk, lalu menolak bahu ku sedikit dengan ranting kayu, awak tak pandai baca ke? Aku terkebil-kebil mengiyakan, lantas memintaku mengikut bacaannya, mengajarku mengenali tulisan di buku kecil. Ikut ya? Bilangnya dengan pandangan mata yang redup. Ya siin. Wal qur a nil hakim. Jernih air yang tertahan lalu mengalir dari tubir mata, mengajuk bacaan gadis itu.
***
Aku tenung batuan kerikil yang menghiasi kuburan setingkat itu, tanpa adiknya yang kini sudah mengorak langkah tanpa jagaanku dekat-dekat, alunan aksara arab sudah lancar mengheningkan senja yang mulai melabuhkan matahari di pinggiran, dengan pintaan maaf infiniti tak terungkap. Biar kini aku mampu berbicara bahasa Muhammad, gadis genit yang acap kali meneman di waktu siang dan tidur sudah bahagia memeluk bintang kejayaan, walhal aku masih lagi bertatih menulis, mengetik papan kekunci lalu menghasilkan kispen ini.
11 comments
gaya bahasa yang melekat dalam minda aku...
LWindsor
cerita ini membawa kepada memori..
dapat merasai tulus dalam jiwa..
Fuh.. aku terlopong. Merasuk sungguh semua kata-kata.. ayat demi ayat. Penceritaan kurang jelas sebab sengaja dibiarkan beralas-alas tetapi tetap sampai 'sentuh' jiwaku.
Aku sangat suka kispen ini. mungkinkah kerana moodku memang sangat bagus malam ini.. aku pun tak tahu.
Dan terpaksa mengaku- aku cemburu penulisan seperti ini :)
Lucifer...Big names...and Big masterpiece....
power!
xley komen lebih2
otai penulisan
tabik dgn laras bhase y digunakan
gaya bahasa
kosa kata y pelbagai
lengkap
kispen yang sempurna.
racikan aksara yang asyik..
alunan cerita yang punya jiwa..
Thanks untuk komen, semua.
sebetulnya aku sudah baca banyak tulisan kamu. tapi kispen ini aku tahu kau telah menulisnya dengan jiwa. sampaian terus kepada aku untuk fikir apa yg sebenarnya dilalui oleh pengamanah.
ps: tuhan beri pelbagai cara untuk manusia itu sendiri belajar dari pandangan kasar. dan hasilnya seindah seni dalaman yg sudah duduk dalam hati kamu .... 'aksara arab yang lancar berbanding dahulu...' bersahabatlah kamu dengan kekasihNYA... semoga yang indah2 kelak akan terhasil dengan cara DIA yang paling indah.