Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Tuesday, February 7, 2012

Suatu Hari Di Bulan Ramadhan

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips


Pakaianku comot, mak marah! sebelum bertolak mak sempat belikan sepasang baju dan seluar baru untukku. Bot kecil pun meredah lautan luas pada petang 21 Ramadhan 1989. Aku, adik, akak dan abang Amit duduk diam-diam dalam bot tidak beratap itu. Mak yang berbadan agak gempal pun duduk sekali bersama kami.

"Kita nak ke mana mak?" Tanya kakak. Kakak ketika itu berumur 14 tahun. Aku pula baru masuk 11 tahun. Aku hanya terkebil-kebil memandang wajah mak, juga menanti jawapan dari mulut Mak. Adik yang masih kecil ketika itu Mak dakap erat.

"Kita balik rumah nenek, Abang besar sudah satu bulan duduk dengan nenek." Kakak angguk-angguk. Aku juga faham. Abang besar adalah abang sulung kami. Sudah lama tidak nampak abang besar, rupanya dia balik kampung tempat nenek. Terbayang wajah nenek yang sudah tua! Terasa tidak sabar untuk bertemu nenek. Nenek sangat mesra pada kami semua. Nenek juga sangat sayangkan kami. Nenek tidak pernah marah pada kami, walau pun kami semuanya nakal-nakal belaka, terutamanya aku ini. Tapi bila ingat pada Ngah Suma, hatiku jadi kecut. Garangnya bukan main. Apa saja yang aku lakukan selalunya akan ditegur olehnya, ada-ada saja yang salah dimatanya. Aku masih ingat, Ngah Suma menyuruhku mencuci pinggan mangkuk di dapur.

“Jangan bazirkan air, pakai besen tu.. Ha! Sabun kat gelas tu siram dengan air dulu baru celup dalam besen supaya buih sabun tidak masuk dalam air bersih dalam besen..” Aku muncungkan mulut. Ngah Suma kuat berleter. Sambil mengajar aku membuat kerja-kerja dapur dengan betul, sempat juga di memburuk-burukkan sikap kami. Katanya lagi....

“Kamu ni, kalau bukan saya yang mengajar, entah bilalah kamu nak pandai buat kerja rumah. Suka sangat merayau macam budak lelaki. Siang malam asyik main je!”

Dan dia tak sudah-sudah meleter hingga telingaku naik sakit mendengarnya. Sebab itulah kami tidak suka padanya. Ngah Suma sebenarnya seorang balu yang tidak mempunyai anak dan memang terkenal dengan sikap pemarah. Hinggakan orang kampung memanggilnya si Mangga, sebab mukanya masam selalu. Hentakan pada bot menyebabkan aku terkejut dari lamunanku tentang Ngah Suma.

Petang itu angin bertiup agak kencang. Aku ketakutan. Ombak besar yang ganas seakan-akan ingin menelan bot kami yang kerdil itu. Sesekali aku menutup mata kerana merasa amat takut. Andainya ombak yang tinggi menjulang itu menghempas bot kecil ini, pastilah kami tidak dapat menyelamatkan diri. Tapi akhirnya kami tiba dengan selamat. Kami bersorak riang. Abang Amit angkat kotak-kotak berisi beras, gula, bawang, minyak dan segala macam keperluan dapur yang mak bawa khas untuk nenek. Macamlah kami nak duduk lama dengan nenek. Abang besar juga datang tolong memunggah. Malam itu kami berkumpul ramai-ramai. Cuma ayah saja yang tinggal di rumah tidak ikut kami pulang ke kampung.

"Esok aku balik ke Labuan lagi. Aku bawa si Awang bersama.. Aku janji dengan bapa diorang ni jumpa di pelabuhan saja esok. Selesai urusan barulah kami balik ke sini bersama-sama, bos si Awang panggil dia keja semula dengannya" Kata mak pada Ngah Suma dan nenek. Yang aku faham, esok mak dan abang besar akan balik. Abang besar akan dapat kerja semula. Abang besar 19 tahun ketika itu. Cuma kami saja yang tinggal dengan nenek. Aku tak kisah, kami yang lain tidak kisah. Itu urusan orang dewasa. Sampai bila kami nak duduk kat rumah nenek pun kami tidak kisah. Walau pun kat rumah nenek tidak ada TV dan tidak ada elektrik, tapi seronok juga sekali sekala pulang ke rumah nenek. Kami boleh main-main di kebun Ngah Suma. Panjat pokok dan lastik burung. Boleh juga mandi laut dan tangkap ketam dan siput bila air surut nanti. Biasanya itulah yang akan kami lakukan bila pulang ke rumah nenek.

22 Ramadhan 1989. Cuaca cerah sekali, pantai yang terbentang luas di depan, lebih kurang 200 meter dari halaman rumah nenek kelihatan tenang sekali, berbeza sekali keadaannya dari kelmarin yang berombak besar lagi menakutkan. Lepas bersahur, pagi itu awal-awal lagi mak dan abang besar sudah turun. Mereka akan pergi ke Pekan Menumbok untuk mendapatkan bot menuju ke pulau Labuan. Kelmarin kami naik bot nelayan sewa khas. Sampai terus ke pantai depan rumah nenek. Tapi hari ini mak dan Abang besar kena naik bot bersama penumpang yang lainnya. Aku, kakak dan adik ketika itu sedang bermain-main buian di bawah rumah nenek ketika sebuah van berhenti di tepi jalan depan rumah nenek.

"Mana Ngah Suma?" Tanya pakcik yang memandu itu. Ada beberapa orang penumpang di dalam vannya. Mereka kelihatan tercongak-congak melihat kami sambil berbisik-bisik sesama mereka. Kakak segera melaung memanggil Ngah Suma. Ngah Suma keluar. Pakcik tadi segera meletak kenderaannya di kawasan padang tidak jauh dari depan rumah nenek. Kami tidak mengikuti perbualan mereka kerana jarak mereka lebih kurang 100 meter dari rumah. Kami tidak dapat mendengar apa yang mereka bualkan. Kami meneruskan permainan kami, tidak mengendahkan urusan orang dewasa. Tapi beberapa minit kemudian Ngah Suma melaung-laung, meraung-raung macam orang gila. Aku dan kakak hanya berpandangan sesama sendiri. kenapa Ngah Suma berperangai seperti itu? Sungguh lucu rupa orang dewasa melaung-laung seperti itu. Adik yang ketika itu 7 tahun juga tercengang-cengang. Nenek keluar. Nenek juga hairan melihat gelagat Ngah Suma. Aku dan kakak ketawa-ketawa kerana lucu. Gelagat Ngah Suma memang lucu, dia memegang kepalanya, menarik-narik rambutnya hingga kusut dan mundar mandir ke hulu ke hilir sambil melaung-laung. Ngah Suma kelihatan macam orang sewel.

Beberapa minit kemudian van itu bergerak pergi. Ngah Suma perlahan-lahan melangkah ke rumah. Nenek tidak sabar-sabar untuk mengetahui hal sebenar.

"Mak.. mak dorang karam di laut. Bot dorang karam.. Mak dorang sudah dikeluarkan tapi si Awang masih belum di jumpa. Mak dorang meninggal dunia wu.. wu.. wu.."

Satu sentakan kuat menghancurkan hatiku. Ketika itu tangisan bergema. Seisi rumah meraung sebagaimana Ngah Suma meraung tadi. Ia bukanlah sesuatu yang lucu. Adik yang kecil juga turut sama menangis. Akak pun sama, Abang Amit pun nangis. Nenek apa tah lagi.. Hatiku sedih. Semua kami bersedih! Kata Ngah Suma, kami tunggu saja di rumah.

"Patutlah dia bawa gula, beras, minyak, bawang dan semua ni.. Patutlah banyak sangat yang dia bawa.. Rupanya untuk buat kendurinya sendiri.." Raung Ngah Suma lagi. Menangis sedih. Ngah Suma adalah kakak tiri mak. Sama mak tapi lain ayah. Ketika Mak kecil dulu, Ngah Sumalah yang jaga mak. Mak umpama 'anak'nya sendiri sebab jurang usia mereka sangat jauh. Laut benar-benar tenang, kenapa bot yang mak tumpangi boleh karam? Kenapa kelmarin laut yang bergelora itu tidak menelan kami semua.. Kenapa mak nak pergi tinggalkan kami? Kenapa tak bawa kami semua.. Mak.. Mak.. Kenapa mak?

Keluarga yang lain sudah dimaklumkan. Jam 1.00 tengah hari sebuah lori pick up datang. Kami telah pun mengemas pakaian. Kami akan pergi ke rumah Ngah Jakir. Abang kandung arwah mak. Bila naik ke dalam pick up, kami semua meraung lagi, dalam pick up itu sekujur tubuh mak terbujur kaku dialas dengan tilam. Wajah mak kena tutup. Aku teringin sangat merangkul dan menerkam tubuh mak tapi beberapa orang lelaki memeluk kami erat-erat. Mata basah bercucuran airmata, hati hancur dan tidak percaya, tubuh maklah yang kaku di depan mataku. Sepanjang jalan menuju ke rumah Ngah Jakir, kami terus mengalirkan air mata.

Sampai di rumah Ngah Jakir, jenazah mak diletakkan di sebuah bilik. Aku tidak reti berbuat apa-apa selain menangis. Aku dan kakak beberapa kali berpelukan. Kami sama-sama berdoa semoga abang besar selamat. Abang besar belum ditemui. Bot yang mereka tumpang itu karam kerana lebih muatan. Seorang kawan Abang Besar datang melawat kami. Dia adalah salah seorang penumpang bot yang karam itu. Kononnya beberapa orang mangsa belum lagi ditemui termasuklah Abang Besar.

" Kami duduk di atas dek Bot. Bot tu memang sudah sangat sesak. Ketika Bot hampir karam, aku cakap dengan dia.. 'Jom kita terjun' Tapi dia cakap. ' Tak mau, aku nak ambil mak di dalam' Dia pun masuk ke dalam bot, apa boleh buat aku pun terjunlah untuk menyelamatkan diri.."

Cerita abang Zul. Kawan abang Besar yang sama-sama duduk atas dek bot sebelum karam. Kami bertambah sedih. Abang Besar mahu selamatkan emak. Sebab tu dia masuk ke dalam bot, dan kini Abang Besar belum di temui lagi. Dia mahu selamatkan mak.. Tapi dia sendiri masih hilang di dalam laut itu! Oh.. abang.. Semoga abang selamat. Harap-harap ada keajaiban.. Mungkin abang terdampar di tepi pantai.. Dan diselamatkan oleh nelayan. Mungkin abang berpaut di kayu yang timbul dan hanyut jauh dari tempat bot yang karam itu.. Mungkin abang masih hidup!! Oh tuhan.. Tolonglah selamatkan dia.

Aku minta kebenaran masuk melihat jenazah mak. Jenazah emak belum dimandikan. Tubuh emak yang gemuk itu aku peluk erat-erat. Aku macam tidak percaya mak benar-benar terbujur kaku dan tidak bernafas lagi. Mak yang tadi subuh makan sahur bersama kami, tadinya ketawa dan berbual-bual dengan nenek dengan mesra. Mak yang tadinya bising-bising menarikku bangun untuk bersahur. Betulkah mak yang tadinya makan dengan berselera ketika sahur itu telah tidak bernyawa lagi? Mak telah terbujur kaku. Tidak ada gerakan nafas di dadanya! Kepala lututku terjatuh dan tangisan berhamburan sambil kepala ku serbamkan di atas tubuh mak sepuas-puasnya. Aku cakap macam-macam dengan mak! Aku panggil-panggil mak.. “Kenapa macam ni? Bangun mak.. Bangun..” Aku goyang-goyang tubuh mak, aku pegang tangan mak.. Sejuk. Mak tidak menyahut.. Mak asyik diam. Mak langsung tidak marah. Aku ingat mak marah bila bajuku comot kelmarin. Aku ingat mak tarik telingaku kerana aku degil. Aku janji mak.. aku tak akan nakal lagi.. Mak bangunlah! Cepatlah bangun.. Jangan diam-diam membisu. Mak… Jangan mak tinggalkan kami!! Aku sudah lupa lain-lain yang telah aku katakan pada mak, sebab peristiwa itu sudah 17 tahun berlalu, yang pasti aku tidak henti-henti menangis dan memeluk tubuh mak.

Sementara kakak, lemah semangat. Dia tidak dibenarkan menjenguk jenazah mak. Petang itu hujan turun dengan lebat. 6.00 petang jenazah mak diusung ke tanah perkuburan. Hujan mengiringi keberangkatan jenazah mak menuju ke tempat yang kekal abadi. Aku seakan tidak percaya, Mak sedang di usung pergi. Mak yang tadi pagi berpuasa dengan wajah yang ceria sebelum turun ke Pekan Menumbok untuk berjumpa ayah di pelabuhan Labuan, kini sudah tidak ada lagi. Aku tidak sedar bila ayah sudah berada di kalangan kami. Ayah sibuk menguruskan hal itu-ini. Wajah ayah sugul, aku tahu ayah sedih, wajah ayah kelihatan pilu ketika menatap kami satu persatu. Aku tahu ayah juga menangis.. Matanya bengkak dan dia sempat peluk tubuhku erat-erat. Airmata gugur lagi. Mak....! Dan suaraku tersekat di kerongkong.

" Ayah.. Ayah.. Mak dah.." Ayah angguk-angguk. Dia usap kepalaku, dia sembunyikan wajahnya dengan memandang ke tempat lain. Aku lihat dada ayah berombak. Aku tahu ayah menahan sebak. Oh mak.. Mak!!! Lagi-lagi airmataku gugur.

Esok pagi khabar tentang Abang besar masih belum kedengaran. Kami terus berdoa, airmata masih tidak berhenti mengalir. Ia kering seketika, tapi kembali bertakung pada bila-bila masa saja. 5.30 petang suasana gempar lagi. Bila 'sesuatu' sedang diusung di halaman rumah. Harapan kami punah. Aku masih ingat dengan jelas. Sepasang telapak kaki yang kaku dan pucat lesi kelihatan di atas usungan itu. Aku tahu itulah jenazah Abang besar. Sekali lagi kami meraung sedih..Masih segar dalam kotak ingatanku, Kak Jeriah sepupu kami, yang paling rapat dengan abang besar meraung-raung histeria. Ternyata tidak ada keajaiban, ternyata abang tidak berpaut di kayu hanyut.. Tidak juga terdampar dan diselamatkan oleh nelayan.. Ternyata abang kini kaku di atas usungan.. Dan tidak bernyawa.

“Abang..!!!” Aku menjerit, kakak menjerit.. Ramai orang kedengaran menjerit dan meraung.. Dan hingga kini tergiang-giang suara tangisan, raungan dan kesedihan kedengaran di telingaku. Bayangan yang begitu sayu dan menyayat hati.. Dan lagi.. Titis-titis airmata ini jatuh lagi. Sekali pun kisah itu sudah bertahun-tahun berlalu.

"Wang.. Awang.. kenapa kau macam ni Wang.. Wang jangan mati.. Awang.... Awang.. wang. " Kakak Jeriah memanggil abang besar sebagai Awang. Tangisan kakak Jeriah menyayat hati, sebelum dia jatuh terduduk kemudian pengsan. Ramai orang cuba menenangkan perasaan sesama sendiri meski pun mata masing-masing juga bergenang basah. Suasana hingar bingar. Kesedihan dan kepiluan membungkusi rumah Ngah Jakir. Jenazah Abang besar diletak di dalam bilik yang sebelumnya jenazah mak ditempatkan. Aku diminta oleh ayah untuk menatap wajah abang buat kali terakhir.

Ayah pesan padaku, "Jangan nangis ya!" Aku angguk saja. Airmata segera ku kesat walau pun sisa-sisa sendu sedan masih mencelah dari helaan nafasku. Tabir diselak. Sekunjur tubuh bertutup terbujur. Kemenyan berasap mengeluarkan bau yang kuat.

"Sedia?" Kata ayah padaku. Aku sekali lagi angguk. Ayah selak kain yang menutup wajah abang. Aku segera menutup muka. Hanya seketika mataku menjamah wajah abang. Aku tidak sanggup menatapnya lama, tapi bayangan wajah abang terbayang jelas di mataku hingga ke hari ini. Wajah abang sungguh memilukan. Matanya pejam rapat, giginya berkacip kuat menahan nafas, tangannya kaku memegang seluar jeansnya yang tersekat di pinggulnya. Bibir atasnya terkoyak sedikit mungkin digigit ikan. Mayat abang besar tenggelam di dalam air selama 2 hari 1 malam. Ia benar-benar sesuatu yang amat memilukan. Abang besar tentunya amat sengsara ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir. Abang Besar cekap berenang dan menyelam tapi kenapa..? Peritnya hatiku setiap teringat akan bayangan wajah abang besar yang memilukan itu. Hingga kini airmata akan tumpah bila aku mengimbas kembali bayangan abang besar dalam ingatanku.

Ayah kemudiannya membawaku keluar dari situ. Kakak tidak dibenarkan menatap wajah Abang besar. Kira-kira jam 11 malam itu ketika hujan mengila, Jenazah abang besar diusung ke tanah perkuburan. Dan aku? Tangisan pun belum cukup menterjemahkan kesedihan dan kepiluan yang meronta-ronta dalam hatiku. Kehilangan mak dan abang dalam satu masa yang sama amat menyakitkan. Aku tidak punya kenangan yang banyak bersama mak, sebab selama ini mak sibuk mencari rezeki membantu ayah. Abang besar dan Abang Amitlah yang menjaga kami siang dan malam selama ini. Emak dan ayah selalu keluar berniaga sebagai pemborong buah-buahan dan sayur sayuran, kerap keluar selama 2-3 hari. Emak dan ayah akan mencari bekalan dari Beufort, Westen dan lain-lain daerah untuk di pasarkan ke Labuan dan Brunei.

Kini Abang besar juga telah pergi bersama Mak. Kenangan bersama mak semasa hayatnya, walau pun hanya kabur-kabur tapi tetap tertanam dalam hatiku. Bila terkenang, Al-Fatihah ku sedekahkan agar dia bersemadi dengan aman di sana.. Begitu jua buat abang. Walau pun abang kuat menyakat kami yang kecil semasa hayatnya, walau pun Abang kerap buat aku menangis tapi aku rindu dengan kenakalannya, kerana dia adalah abangku, darah dagingku.

Aku terlalu mentah dan kecil untuk menghargai mak ketika dia ada. Tuntutan kehidupan memisahkan emak dari hidup harian kami.. Tidak banyak kenangan manis bersama emak.. Namun kasih padanya tidak pernah kurang walau pun mak jarang meluangkan masa buat kami adik beradik. Senyuman dan kerutan wajah marah mak tetap diingatan. Gelak ketawa mak masih segar dalam hatiku. Aku tahu mak jarang luangkan masa dengan kami kerana mak cari rezeki.. Itulah pengorbanan mak.. Dan itulah kasih sayang mak!

Aku akan simpan sisa-sisa kenangan manis yang ada walau pun ia hanya secubit saja.. adakalanya aku dan kakak berkata sesama sendiri. Bagaimanakah rasanya jika kami membesar bersama mak? Bagaimana rasanya jika mak ada sekarang? Aku cemburu jika orang lain punya ibu untuk meleteri mereka.. Kerana kami tidak punyai ibu untuk meleter salah dan silap kami.. Aku merasa cemburu bila kawan-kawan perempuan yang lain dapat mengadu hal-hal perempuan dengan mak mereka sedangkan kami tidak dapat mengadu pada sesiapa. Aku merasa cemburu bila kawan-kawan di asrama rindu dan menyebut-nyebut masakan ibu sedangkan aku tidak. Kalaulah mak ada dan melihat kami yang telah dewasa ini... Apakah perasaan mak? Mak! Walau pun mak dah lama pergi kami memang selalu rindukan mak.. Kami tetap ingati mak.. Mak tetap dihatiku selalu.. Mak tentu tahu kan? Mak tentu dengarkan? Selagi hayat dikandung badan, aku akan tetap ingati mak.. Tetap mendoakan mak tenang dan damai di sana.. Semoga tuhan ampunkan dosa-dosa mak.. Semoga mak ampunkan dosa-dosa kami... Semoga tuhan menempatkan mak di kalangan kekasih Nya.. Amin.

9 comments

February 7, 2012 at 11:40 PM

sedihnya..


kehilngan orang tersayang memang perit..



Al-Fatehah.

February 8, 2012 at 12:01 AM

syabas pada penulis yang begitu tekun dalam karya ini...I see your spirit...

February 8, 2012 at 12:29 AM

awal baca mcm best. balik kg.

semakin baca semakin rasa pedih.

walaupun payah nak telan... hidup mesti terus bgi yg masih punya nafas..


ps: kisah benar kah? al-fatihah

February 8, 2012 at 3:17 AM

aku seakan akan membaca sebuah kisah benar..
kalau benar al-fatihah aku sedekahkan..
penulisan ini berjaya menggamit memori lama aku..
tahniah

February 8, 2012 at 9:32 AM

karya sedih lagi. mot pon jadi sedih. cam kata bidadari syurga tu. memula nampak best je. balik kg. naik bot.

February 8, 2012 at 2:03 PM

yup! it my true story..

February 8, 2012 at 3:49 PM

kak nong andy, :')

February 9, 2012 at 8:48 AM

ko memang kaya perasaan..syabbas betty..(mood aku terkelu...)

February 9, 2012 at 7:56 PM

syabas Betty? hehehe.. betty la fea gitu ke Lady windsor hehehe..

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...