Keluar rumah, aku terus bawak motosikal menuju ke kedai makan member aku. Motosikal ni aku beli hasil duit PTPTN. Maklum la orang tak ada kerja macam aku ni mana mampu nak beli pakai duit sendiri. Tu pun nasib la masa aku praktikal dulu dapat elaun ditambah dengan duit PTPTN yang tak ditolak yuran. Dapat jugak aku beli motosikal EX5 ni, dah rezeki.
Sampai saja di kedai member aku tu, aku tengok tak ada orang yg aku kenal melainkan tuan punya kedai dengan pekerjanya. "mana abis budak-budak NAMAI ni?". Aku ambik keputusan pergi kedai runcit depan sikit sebelah kedai sayur tu. Aku beli surya 3 batang. Kenapa aku beli 3 batang? sebab 3 batang harganya singgit.
Tengok kiri, tengok kanan belum ada tanda-tanda member aku akan sampai. Aku duduk atas motor sambil hisap surya yang aku beli tadi tu. Fuhhh nikmatnya..
Tiba-tiba..
Woiiiiiii!!! satu suara dari belakang.
Aku menoleh,
Celaka masa bila pulak mamat ni sampai. Sedar-sedar dah ada kat belakang aku.
"lama sampai?"
"baru ja."
"jom"
Kami pun gerak ke kedai makan tadi. Aku ambik tempat duduk betul-betul depan televisyen, maklum la malam ni ada cerita vanilla coklat sebab tu aku duduk depan2 TV. membe aku tadi duduk sebelah aku. dia ni dulu penah kalah judi dekat 3ribu jugak kot. lepas kalah judi terus pergi massage dekat kampung siam yang jaraknya dua kampung dari kampung aku. nak tenangkan fikiran katanya. tapi semua tu cerita lama. sekarang ni kertas nombor ekor penuh dalam beg kecik dia. tak salah cuba nasib katanya.
membe yang sebelah aku ni namanya mat hafiz. disebabkan ramai orang kampung aku yang bernama mat maka aku letakkan dia sebagai hafiz.
tengah syok aku layan vanilla coklat tu hafiz ni pulak bersuara,
"tak kena la harini, salah lubang pulak". aku paham maksudnya, spontan aku menoleh kearahnya.
"belah mana hang ambik?"
"aku ambik K naik lubang M, celaka"
"tu la, aku suruh main keliling nk main sebelah-sebelah"
"banyak duit weh nk main keliling"
Ni kisah dia tikam nombor ekor tak kena lah. Pernah suatu ketika dulu kami ambik upah meracun rumput belakang kubur. Enam orang semuanya. Upah yang dapat cuma RM50. Macam mana nak bahagi kalau upah RM50 tapi orangnya ada enam. Selepas berbincang sesama sendiri kami ambik keputusan tikam nombor. Last-last kena pulak tu 2 angka. Dapat RM120. Ha ha kan dah boleh bahagikan. Ada lagi satu cerita mengenai hafiz ni, dulu masa mula-mula dia main nombor ekor, dia duduk berteleku tapi perdu pokok pisang, dekat setengah jam dia duduk situ. Apa yang di fikirkan pun aku tak tau. Lepas tu dia datang kearah kami bawa pen dan kertas. Dia cakap aku dah dapat dengan wat muka sengih kerang dan muka tak bersalah, yang ajaibnya esok tu dia telefon aku cakap dia kena nombor. Dalam hati, aku menyumpah-nyumpah apa yang dia buat dekat pokok pisang tu. lepas aku tanya apa yang dia buat, dengan selamba dia jawab " aku kencing ja kt pokok pisang tu".
celaka!! tapi aku rasa lega kerana dia tak buat benda khurafat.
Aku yang jarang ambik pot pasal nombor ekor ni layankan saja. Dah memang hobi mereka. Nak melarang? macam la aku ni baik sangat.
Dalam kesibukan kami bercerita mengenai nombor yang tak kena tu datang lima biji motor masuk kat tempat parking tepi kedai tu. ada enam orang semuanya. mereka-mereka ni orang kampung aku. Malam-malam ni lah terpat pertemuan semua pemuda-pemuda kampung aku. Al maklum lah siang-siang semuanya bekerja mencari rezeki. Ada yang menoreh ja, ada yang jadi driver jentera berat dan macam-macam lagi lah kerja yang mereka buat. Serba boleh la katakan.
Mereka-mereka yang tadi tu terus ke meja kami. Ambik kerusi duduk satu meja. Ada pulak sorang member aku ni duduk depan-depan aku, menghalang aku untuk menonton TV.
"hoiii tepi lah aku nak tengok TV ni".
" alah ni pun nak emo".
"cita feveret ni"
" cita bodo ni pun nak tengok"
Dengar ayat tu aku terus tak tengok TV. Ambik pot pasal tajuk yang mereka bincangkan. Member aku ni ajak pergi Pulau Pinang nak cari kerja, yang dapat interview kat Penang tu namanya Yen. Dia ni kalau hal-hal perempuan memamg kategori sifu lah. Btah ubat apa yang dia pakai sampaikan dia digelar 'playboy bendang baru'. Ingat senang ka nak dapatkan title tu. Atas semua usaha dan berkat kesabaran dia dapat jugak title tu kat dia. Dia ni orang kampung yang agak susah nak buat kerja kampung. Melainkan kerja tu boleh siapkan dalam masa sehari.Untuk makluman, dia ni penganggur, tapi disebabkan title yang dia dapat tu maka perempuan-perempuan yang sangkut dengan dia automatik akan menjadi penyara kepada dia.
"rokok daun ada tak Jan?" aku bertanya kepada member aku yang lain. JAN ni memang terlalu kampung hidupnya. Susah nak diajak keluar kampung. pernah suatu ketika dulu kami ajak dia pergi Alor Setar tengok wayang. takat melulut dengan tarik tangan dia takkan goyang la. memang dia takkan ikot, yang dia tahu dan suka ialah pergi mengail, tahan pukat burung, mandi sungai, main sepak raga tuju, main wau. Semua benda tu tak payah diajak, dia yang akan mengajak. nak buat macam mana itu hobi dia dan dia ni mungkin tidak terdedah kepada panorama atau aktiviti kekotaan kot. Tak pernah masuk atau pergi melihat2 budaya luar. yang dia tahu. Bangun pagi nampak pokok getah. Kalau satu hari nanti dia bangun pagi-pagi nampak kapal terbang ka bangunan tinggi-tinggi ka maunya mati sakit jantung ni..
"nah" dia berkata sambil menghulurkan seberkas daun dan tembakau.
Member aku yang lain-lain tu, sorang namanya Yon, dia ni anak ketua kampung. Kalau tengok muka dia macam emo sikit jangan ditegur nanti buruk padahnya. Pernah sekali dia tengah emo, ada pulak yang buat lawak bodo, akhirnya patah riuk motosikal masing-masing. Dia kalau emo mana ada nak pukul orang, benda yang dekat dengan dia akan jadi mangsa kerakusan emosi dia.
Yang sorang lagi Saipul, orangnya berbadan kecik, sekali tengok macam penagih pun ada, sangat ketagih pada air daun ketum. Habis keliling rumah dia tanam pokok itu. Tu belum masuk yang dia tanam curi-curi kat kebun getah emak dia. Tapi sumber pendapatan dia jugak, kalau tak ada duit, daun itulah yang akan dijualnya. beratus jugak yang dia dapat, tapi yang teruknya kami semualah, nak kutip daun satu-satu masuk dalam guni. dia ni pulak sekali jual bukan sikit, mesti 20 kilo keatas. Bayangkan daun yang ringan dikutip sampai jadi 20kilo. sakit abis lengan-lengan ni.
Ada sorang lagi, namanya Azrin, dia ni anak tauke pemborong getah kat kampung aku, ayahnya pembeli getah berlesen. Kerjanya angkut getah dari dalam kebun bawak balik ke kedai la. Itulah marketing strategy yang digunakan oleh mereka sekeluarga untuk menarik ramai lagi penjual getah kecil-kecilan kepada mereka. Jadi, siapa yang ingin menjual getah, telefon dan tunggu di dalam kebun, nanti dia akan sampai. Bijak kan. mungkin perniagaan ini akan diwarisi olehnya, sebab lori yang dibeli ayahnya sudah ditukar keatas namanya.
Dan yang terakhir adalah Daoh, orangnya agak hensem, tapi jika mengikut luaran mungkin ada yang akan menyangka dia ni baik, rajin dan sebagainya. Tapi dengan rambut yang ala-ala K-POP ni dia sebenarnya seorang yang agak pemalas, kalau bab bercakap, sepuluh perkara yang boleh di percayai mungkin hanya dua. Pernah di boikot oleh rakan sekampung kerana mencuri telefon tok bilal dalam masjid. Tu cerita lam, dia pun dah pulangkan telefon tok bilal tu, siap dapat hadiah lagi dari tok bilal tu.
Dah selesai cerita salasilah mereka.
Hampir setiap malam kami semua akan berkumpul di kedai ini, kalau diikutkan masih ada ramai lagi yang selalu bersama pada waktu sebegini disini. Tapi malam ni cuma ada lapan orang termasuk aku.
Kembali pada perbincangan mereka tadi yang mana Yen akan pergi ke Pulau Pinang untuk mencari kerja. Ramai di antara yang ada tidak berapa setuju. Macam-macam yang dihasut mereka untuk menyakinkan Yen bahawa duduk di kampung lebih bermanfaat daripada bekerja di luar. Itulah yang berlaku kepada mereka-mereka semua. Tidak pernah berhijrah keluar kecuali balik pada hari yang sama, paling lama pun takkan sampai seminggu. Aku mungkin bernasib baik sebab aku ada degree, tu pun sekarang kerja aku ialah menoreh, lebih kurang macam mereka juga. mereka ini, belajar paling baik pun cuma SPM, ada yang setakat PMR tu pun nasib ja. Tapi yang penting semua mereka ini ada jugak sijil UPSR.
Apabila tuan punya kedai menunjukkan tanda-tanda akan buat closing, kami semua paham dan terus angkat kaki. semua balik dan cari tempat melepak seterusnya. Yen balik dengan keputusan untuk tidak pergi ke pulau pinang.
Aku dengan rasa mengantuk yang amat sangat terus balik ke rumah, member-member aku yang lain pergi rumah Azrin, nak main karom kata mereka.
Hak Cipta: deksnamai
5 comments
kehidupan budak2 kampung.. kalau dilihat situasi ini.. mereka mcm samseng.. tetapi jalan ceritenya santai seolah2 mrk org2 yang baik.. tp ape pun... mungkin itu kot realiti khdpn sebenar yng tak pernah difikirkan lady sblm ni.. nice story.. buatkan lady terbayang2 kehidupan mcm tu.. berada dan bersembang sama di kedai kopi..
santai! Sy yg baca ni pun rilex je. Sengit utk part beli moto tu..heeee
*sengih
Nanti hantar la lagi kispen ya :-)
terima kasih, saya dalam proses mencuba untuk menulis. hehe
betul2 mcm suasana kampung waktu mlm kat kdai kopi...
boleh bygkan sambil membaca...bagus2