Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Wednesday, May 16, 2012

Asap

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
Awan duduk bertenggek diatas besi penghadang jalan. Matanya daripada sejam tadi terarah ke bandar yang masih tidak mati dengan kesibukkan manusia. Cari duit untuk hidup, hidup untuk duit. Hakikat. Bandar itu masih lagi bercahaya, terang. Terang walau jam tidak lama lagi menghampiri pukul 12.00 malam. Kereta-kereta yang tersangkut dalam kesesakkan jalan raya nampak kecil sahaja daripada atas bukit ini. Macam bala tentera semut.

Tin 100 plus yang dibeli di 7 Eleven tadi dibuka penutupnya. Air isotonik itu ditegukkan dengan rakus. Haus. Laju sahaja air sejuk itu melalui korongkong yang kering tadi. Lega. Dikemekkan tin aluminium itu dengan menggunakan sebelah tangan. Dicampak sejauh mungkin ke bawah. Dengan harapan akan terkena mana-mana kereta, namun itu mustahil. Jauh. Nafas ditarik, lalu dihembuskan dengan kasar. Tidak ubah seperti mengeluh berat. Ya, sememangnya dia mengeluh.

Sweater yang tersarung pada tubuh dibetulkan letaknya apabila terasa angin sejuk sampai ke tulang hitam seolah-olah menampar badan lelaki bertubuh jangkung itu. Zip ditarik hingga ke atas. Awan hanya berpeluk tubuh. Berharap dapat memberi sedikit kehangatan pada badan yang mula terasa beku. Mata beningnya kemudian terarah ke langit yang tidak lagi berbintang. Mengeluh lagi.

“Celaka, sejuk nak mampus.” Tangan kirinya segera meraba poket sweater mencari kotak rokok. Rokok L&M dikeluarkan daripada kotak lalu dikepit pada bibir. Tangan diseluk ke poket belakang seluar mencari pencucuh api. L&M dinyalakan. Badan terasa hangat semula. Nafas dilepaskan bersama asap rokok yang berkepul. 

Tangan kiri Awan bermain dengan lighter tadi. Fikirannya sesak. Melihat asap rokok yang dihembus keluar tadi ingatannya terganggu oleh manusia-manusia itu. Rokok L&M dihisap lagi dan lagi. Setiap kali asap rokok dilepaskan ke udara, ingatannya dibawa ke setiap satu cebisan kisah manusia-manusia yang menyesakkan hidupnya.

Emak yang tidak serupa macam emak. Balik rumah dua tiga minggu sekali. Kadang-kadang tidak balik langsung. Sibuk kerja sana sini. Lupa tanggungjawab dia dengan anak-anak. Mana peduli langsung pada anak-anak dia. Entah hidup atau tidak. Kerja konon, bukan Awan ini dilahirkan buta dan pekak untuk tidak melihat dan mendengar kebenaran yang ada. Mula-mula dengar suara sumbang jiran tertangga dia tidak percaya namun apabila bertembung dengan emak dekat shopping mall dengan lelaki muda yang sebaya dengannya segalanya sudah jelas. Anak ikan, heh. Awan hanya mampu buat tidak kenal. Dia malu tengok perempuan yang sudah separuh abad itu berpoya-poya dengan lelaki yang layak dipanggil anak. Emak siap bagi elaun pada Awan 3000MYR setiap bulan untuk rahsiakan perbuatan terkutuknya itu.

Ayah sama sahaja macam emak. Bodoh tidak boleh hendak diajar. Balik rumah dalam keadaan mabuk. Bawa betina jalang masuk rumah. Pernah sekali Awan tegur perbuatan ayahnya itu namun percuma sahaja diberi sepak terajang. Sampai lembik jadinya. Selamba badak ayah berzina depan Awan yang sudah terkulai dekat dinding. Jijik. Sejak daripada saat itu Awan tak pernah lekat dekat rumah. Dia sewa rumah kecil jauh dari keluarga asalkan dia tidak perlu nampak semua benda celaka itu lagi.

Abang? Entah mana hilang jantan seorang itu. Semenjak belajar dekat luar negara, mana pernah dia balik lagi. Beritahu khabar? Haram tak pernah. Kawan abang kata, abang dah kahwin dengan jantan mat salleh dekat sana. Jantan dengan jantan? Gila. Kakak? Selamat sudah larikan diri daripada rumah neraka itu lepas ayah cuba rogol dia. Hilang tanpa berita, eloklah tu. Adik-adik Awan tak usah nak cerita, semuanya emak dah hantar dekat kampung. Tinggal dengan nenek. 

Awan sendiri tidak faham kenapa dia sahaja yang tinggal jadi begini. Hidup terkontang-kanting. Dia tidak tahan hidup sebegini. Menghadapi dunia yang terasa tidak ubah seperti neraka. Sial tak sudah-sudah. Batang rokok masih disepit antara jari telunjuk dan jari hantu. Pandangan dilepaskan pada jalan raya dibawah sana yang sesak dengan kenderaan. Traffic jam. 

“Sial, kenapa hidup sadis begitu sekali!” Teriak Awan tiba-tiba. Sebal. Emak dengan Ayah tidak pernah didik dia. Semua serah pada bibik. Bibik pula berperangai celaka, menghabiskan duit majikan dengan hadap televisyen, siap guna telefon rumah macam dia yang bayar bil. Bila bising penampar yang diberi. Makanan? Nasi dengan telur goreng. 

Awan tidak pernah tahu apa itu agama. Dia tidak pernah diajar. Mana pernah dia nampak Emak dengan ayah tonggang tonggek solat lima waktu, yang mereka tahu tonggang kencing syaitan. Bangang. Bila cukup masa Awan hanya diberikan wang untuk terus hidup. Beli apa yang dimahukan. Bagi mereka itu sahaja yang perlu buat anak-anak. Persetankan didikan agama dan kasih sayang buat anak-anak. Duit mampu beli bahagia. Celaka punya pemikiran.

“Awan, orang Islam mana boleh pakai rantai ni. Ini untuk orang kristian. Mak ayah awak tak ajar ke? Buang!” Itu kata ustaz yang mengajar dekat sekolah. Awan hanya buat tidak dengar dengan kata-kata ustaz itu. Memang mereka tidak pernah ajar. Emak dengan ayah tidak pernah peduli, siapa pulak ustaz itu hendak campur tangan? Sampah. Tapi itu dulu, Awan meraba rantai besi yang tersangkut pada lehernya. Rantai yang dahulu bertanda salib berganti dengan rantai besi serupa rantai besi askar. Rokok L&M dihisap lagi.

“Aku tak nampak jalan nak tujulah bodoh!” Awan berteriak lagi. Sumpah dia buta. Nanar hendak mencari hala tuju sendiri. Terumbang-ambing. Pernah dulu seorang gadis berkata pada dirinya sewaktu sedang cuba panjat tembok sekolah ponteng kelas agama. 

“Orang yang tidak tahu hala tujunya sendiri, adalah orang bodoh dan orang yang memusnahkan masa depan hidupnya sendiri adalah orang yang celaka! Daripada membazirkan masa hidup, baik mati. Dulu masa kecik-kecik tak nak mati, dah besar menyusahkan orang.” Gadis itu juga sialan. Bukan hendak pimpin dia cari cahaya sampai tiba, baru separuh jalan dia hilang. Tuhan kau tarik nyawa dia sebelum sempat aku masuk ke arah cahaya. Kenapa kau tidak pernah berlaku adil pada aku walau sekali? Jerit Awan didalam hati. Hatinya benar-benar berkecamuk sehingga dia berani mempersoalkan sedemikian rupa. 

Awan masih tidak jumpa jalan penyelesaian. Dia sendiri tidak tahu emosi apa yang sedang melanda dirinya. Gembira? Sedih? Kecewa? Entah. Dia penat berpura-pura. Senyum konon gembira, sedangkan hati sedikitpun tidak mampu hendak mengoyak sedikit senyuman ikhlas. Sampai bila hendak berpura-pura pada masyarakat dunia yang dia bahagia. Sampai mati agaknya. Plastik.

Jama dipergelangan tangan dipandang. Tepat 12 malam. Dahi Awan mula berkerut mengingat tarikh hari ini. Bibirnya tersenyum sumbing. Tarikh bodoh yang tidak pernah ada makna buat dia. Kalau boleh dia tidak mahu hari ini datang tapi dia bukan tuhan. Punya kuasa hendak hentikan masa, Dia tidak lupa kenyataan itu.

“Selamat hari jadi Awan. Alangkah bagus kau tak pernah lahir ke dunia. Mesti tidak perlu hadapi segala benda bodoh ini.” Aksesori tali kulit pada pergelangan tangan kanannya dipandang sekilas. Pemberian gadis itu. Kepala terasa sakit tiba-tiba. Awan tetap bertahan. Rokok dihisap untuk kali terakhir. Nafas dilepaskan berserta rengus kasar. Asap berkepul diudara. Awan meniup asap tersebut. Hilang bersama angin lalu.

Mata tiba-tiba beralih pada titis air hujan yang jatuh pada sneakers miliknya. Rokok yang masih tinggal separuh ditonyoh pada besi penghadang jalan. Awan melompat turun. Beg gitar yang tadi disandarkan pada besi penghadang jalan dicapai lalu digalas pada bahu kiri.

Earphone Beats yang tergantung pada leher disumbat ke lubang telinga. Linkin park berlagu ditelinga dengan Faint. Jari jemarinya dilarikan pada celah-celah rambut sebelum hood Sweater ditarik menutup kepala. Tangan kiri memegang tali beg gitar manakala tangan kanan dimasukkan ke poket kanan seluar.

Hujan mula turun perlahan-lahan membasahi bumi namun tidak mampu membasahkan hati Awan yang kering kontang. Selamba Awan mengatur langkah dibahu jalan raya. Tidak ambil kisah dengan air hujan yang mula membasahi dirinya. Pulang ke asal. Tiada sebuah kereta yang lalu lalang pada jalan yang sunyi itu. Awan tidak sedikit punya rasa gentar. Sendiri itu lebih baik. Bahagia begitu.

“Sial mana pun hidup, semuanya perlu diteruskan selagi aku masih bernafas.” 

Hak Cipta: Amira Atiya

5 comments

May 16, 2012 at 9:47 PM

boleh kenalkan suha pd awan?betul,suha mahu kenal dia..ah nape emosi sangat neh?ni cerpen je huhu

May 16, 2012 at 10:19 PM

@suha

saya boleh kenalkan awak dgn awan.. dia memang sarat dengan emosi :/

Anonymous
May 17, 2012 at 5:34 PM

Karakter yang menarik . aku suka kalau ada sambungan lebih sedikit . mungkin ada tambahan seorang dua watak lelaki dan perempuan atau apa saja .

bahagian dua , mungkin ? =)


-HEROICzero

May 17, 2012 at 6:24 PM

awan benar2 wujud?

May 20, 2012 at 12:48 AM

@HEROICzero

terimas, aku akan cuba usahakan sambungannya mungkin.

@Suha

Awan ada dalam jiwa saya

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...