Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Monday, May 21, 2012

Je T'aime

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
"Aku benar benar tidak mengerti. Apa yang salah denganku?" tanyaku padanya. Aku bertanya, kerana aku tak punya jawapannya.

Kelihatannya, dia juga sama.
"Tiada yang salah denganmu." jelasnya.

Aku menatapnya, dalam dalam. Sedalam yang ku mampu. Sedalam mungkin dan berharap semoga aku mampu membaca kepala dan isi hatinya. Tapi, jelas sekali, aku memang tidak mampu.

"Kenapa kau menatapku seperti itu?"

"Tiada adakah yang memberitahumu, saat wanita menatapmu, dia tertanya tanya kenapa kau harus menipu." kataku, dingin.

"Aku tidak menipu!"
Aku menggeleng tidak percaya.

"Semua yang kukatakan benar belaka. Aku tidak pernah menipumu." nafinya lagi. 
Aku tersenyum sinis, bergerak menjauhinya.

"Apa lagi yang kau mahu dariku? Apa lagi yang tidak kau fahami, sebenarnya? Sudah ku jelaskan semuanya, bukan?"

Aku memeluk tubuh. Semilir angin musim luruh, bertiup dan menggugah pertahanan diriku. Kesejukan ini tidak ada apa apa dibandingkan dingin yang dia sebabkan ke dalam hatiku. Dingin yang membeku.

"Aku hanya tidak mencintaimu, tidak sebesar itu." katanya lagi.

Mujur aku tidak berdiri menatapnya. Mujur aku membelakanginya. Mujur aku memeluk tubuh. Mujur sahaja aku pakar dalam menangis tanpa sendu. Mujur sahaja dia tidak melihat air mataku menitis.

Oh, betapa kata katanya menyakitkan!
Tanpa balasan dariku, dia gundah. Dia resah. Dia seperti cacing kepanasan atau mungkin kucing kelaparan. Dia bingung. Dia bergerak gerak gelisah. Kakinya maju mundur, seperti yang selalu dia lakukan saat dia sedang gementar. 

"Bertenanglah. Tarik nafasmu. Semuanya akan baik baik sahaja." dan begitulah janjinya.
"Bertenang? Kita bicara tentang hatiku, kau tahu?" aku berpaling semula..

Jelas, dia tersentak. Dia terkoyak. 
"Kau fikir itu mudah? Tidak!" aku mula menyinga.

Dia membuang pandang, tidak tahu bagaimana untuk membalas ayatku.
"Letak dirimu di situasiku. Bayangkan, kau bertemu satu wanita budiman, dan dia memberitahu kau istimewa dan dia sangat menyukaimu. Dia membuat kau suka padanya. Tapi keesokan harinya, dia kata kalian tidak mungkin bersama. Apa yang akan kau rasakan? Apa yang kau lakukan?"

Dia tetap diam.
"Dan dia menolakmu, dengan mengaku, dia hanya tidak mencintaimu, tidak sebesar itu."

Dia menggigit bibirnya dan tetap diam.
Aku merenggut bajunya. Memaksa dia membalas pandanganku seraya berbisik :

"Beritahu aku, bagaimana kau mahu terima? Bagaimana kau akan jalaninya? Bagaimana kau akan telan kenyataan seperti itu? Bagaimana kau tetap bertenang ketika itu? Bagaimana?" 

Tiada jawapan.

-----

Mataku terbuka. Kegelapan malam yang membutakan membanjiri pandangan. Aku mengambil masa yang cukup lama membiasakan diri dengan kegelapan itu dan bernafas. Ketika aku kembali menggenggam kewarasanku, aku bangkit dari pembaringanku.

Dia lagi.
Sebulan terakhir ini, kebanyakan mimpiku berkisar tentang dia. Dia dan dia dan dia dan dia lagi dan lagi lagi dia. Suasana tidak semestinya sama. Keadaannya juga kadang kadang beza. Ada mimpi dia hanya tersenyum padaku. Ada mimpi, kami lebih mesra daripada pasangan manapun di dunia. Ada mimpi, kami hanya berpandangan, lama sekali, dan aku memang tidak pernah jemu dengan mimpi itu. Ada juga mimpi, dia langsung tidak mempedulikanku. Tapi mimpi yang seperti tadi, tidak pernah aku alami.

Dan, sedikit demi sedikit, mimpi mimpi itu membunuhku. Perlahan lahan, mimpi mimpi itu menyeksaku.
Tidak bisakah ini semua berhenti? Sungguh, apa lagi yang aku harapkan? 
Aku tidak pernah lagi berbicara padanya. Tidak pernah sekalipun. Bagaimana mungkin aku bicara padanya, bila menatap wajahku sahaja, dia tidak mahu. Hanya aku, yang tetap menjadi pemerhati setia yang menyedihkan.

Sakitnya, Tuhan sahaja yang mengerti. Perihnya, aku sahaja yang jalani. Bebannya, aku juga yang atasi. Hingga, tiada lagi yang tinggal buatku.

Kosong.
Tiada sandaran, tiada harapan, tiada kekuatan, tiada keghairahan untuk merasa gembira, tiada nafsu untuk meneroka dunia. 

Tiada lagi langkah yang berirama, tiada lagi puisi kata kata, tiada lagi senyuman penuh mesra, tiada lagi ketawa penuh renyah, tiada lagi kekuatanku
Semuanya sudah tiada. Dibawa pergi bersama deru angin, dilenyapkan oleh waktu.

Dan setiap kali aku memandangnya, aku tahu hanya aku yang merasakannya. Hanya aku yang cuba bertahan dan terus bertahan agar tidak datang dan merenggut kolar bajunya dan memohon atau mungkin merayu padanya agar keadaan kembali semula seperti selalu. Agar aku tidak sekosong ini. Agar sunyi hati ini tidak akan berterusan lagi. Agar dapat aku kembalikan semula keghairahanku.

Rasanya, seperti seluruh dunia sudah berbalik dan berpaling daripadaku.
Jujur, aku sendiri sudah muak melagukan sepi. Aku sendiri sudah jemu dengan menuliskan kepedihanku. Aku sudah tidak mahu lagi bercerita tentang sedih.

Aku juga mahu bercerita yang indah indah. Aku juga mahu berlagu ria. Aku juga mahu merasa hangatnya dunia. Aku juga mahu berkarya tentang kisah cinta yang membuat pembaca mengalir air mata kerana cemburu padaku.

Aku mahu merasainya. Aku mahu melakukannya.
Tapi aku tidak mampu. Kerana aku tidak punya inspirasi. Kerana aku tidak punya pengalaman.

Apa aku tidak punya kesempatan merasai bahagia seperti itu? Apa aku tidak punya peluang itu? Apa aku tidak layak?

Aku mengesat mukaku, malam ini akan mencukupkan koleksi malam tanpa tidur nyenyak yang sudah lama tidak aku rasakan. 

Dunia oh dunia, aku tidak pernah mengerti takdirmu. 



Hak Cipta: The Gloomy Ayie

6 comments

Anonymous
May 22, 2012 at 12:20 AM

Aku suka tulisan ini . terima kasih kerana berkongsi .

lebih2 lagi bagian merenggut baju , atau kolar baju tu ?

hantar lagi karya yang lain , ya ! kami menunggu =)


-HEROICzero

May 22, 2012 at 12:56 PM

Suka kispen ni!

May 22, 2012 at 2:48 PM

mimpi2 mmg indah hingga kekadang realiti amat menakutkan...

:)

May 22, 2012 at 10:16 PM

suka.. aku suka setiap patah kispen ini. aku 'rasa' apa yg dia rasa dgn membacanya..

*tapi aku tidak cengeng kali ini :)

May 28, 2012 at 12:54 AM

2 kali aku baca... konflik fikiran si penulis aku dpt tangkap... jiwa serabut si penulis untuk kispen ini sempurna... ini adalah naskah kedua aku baca dri koleksi GW... YANG BERJAYA BUAT AKU ULANG BACA... PS: CUMA SATU AJA... AKU NK BACA KISPEN CINTA PLAK DRI PENULIS NI...

ps: ooops sory..

June 20, 2012 at 9:45 PM

terima kasih sangat sangat :)

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...