Terbayang di mata saya seraut wajah manis milik emak saya yang pada hemat saya, emak yang paling tabah di dunia. Emak saya jantung hati saya, emak saya kekuatan saya. Tapi sekuat mana pun badai yang dihadapinya, semanis itulah senyuman yang dilemparkan bagi menutup luka di hatinya. Emak, saya sayang emak.
Emak saya menanggung duka di usia muda, di awal perkahwinannya dengan jejaka pilihan hati. Emak kehilangannya buat selama-lamanya. Lelaki itu bukan ayah saya kerana ayah saya hanya hadir dalam hidup emak saya selepas emak saya bergelar balu. Menerima ayah saya bererti berusaha mencari bahagia dan saya yakin emak saya bahagia.
Derita emak bersambung lagi. Anak kedua yang dilahirkannya selepas saya,meninggal ketika bayi. Belum usai sakit mengandung, belum pun hilang sakitnya bersalin. Tapi janji Allah itu pasti, adik saya dijemputNya seawal usia 37 hari. Berduka lagi si emak yang manis itu. Namun percayalah emak, Allah tidak akan mengambil sesuatu dari hambaNya melainkan akan diganti dengan 10 kebaikan. Lihatlah emak, Allah kurniakan emak 5 putera supaya suatu masa nanti dapat berkhidmat untuk emak, dapat menjaga emak sepertimana emak menjaga kami.
Maka kami membesar sebagai anak-anak yang taat kepada emak kami, menyayangi emak sepenuh hati kami. Namun ujian Allah datang lagi. Ayah jatuh sakit. Sakit hingga tidak mampu menggunakan tangan dan kaki. Ada air jernih di mata emak setiap kali memandang ayah tapi emak kuatkan semangat supaya ayah juga mampu bertahan. Doa dititip supaya ayah dapat kembali berjalan. Setiap kali solat, setiap kali itulah doa emak panjatkan. Menitis airmata saya bila melihat emak terpaksa menguruskan keluarga seorang diri. Tapi itulah emak saya, tabah dan sedia melakukan apa sahaja untuk keluarga.
Melihat emak menguruskan keperluan ayah, keperluan keluarga membuatkan saya terfikir, mampukah saya menjadi isteri sebaik emak? Saya melihat melalui sudut yang tidak mungkin dialami oleh semua insan. Saya melihat emak saya melalui pandangan simpati seorang anak. Namun saya tahu, saya juga mahu menjadi seorang emak seperti emak saya. Berkat doa dan usaha gigih emak dan kuasa Allah, ayah sembuh akhirnya. Dan pada saat itu, saya bahagia kerana dapat melihat senyuman emak saya. Senyuman yang tidak ada duka padanya.
Itulah emak saya. Emak yang telah terbiasa hidup di luar kemewahan tapi tidaklah emak pernah mengeluh. Emak tidak pernah meminta lebih dari apa yang ayah sediakan. Emak tidak pernah meminta kami menjadi seorang yang lebih dari seorang yang kami mampu. Emak yang masih tersenyum ketika mendapat berita saya di tendang dari UIA. Emak yang masih tersenyum ketika keluarga yang lain mengutuk kegagalan saya. Dan itulah emak saya. Yang akan sentiasa mengejutkan saya setiap kali saya ingin study di awal pagi, yang akan sentiasa menelefon saya dan memberi saya semangat setiap kali saya hampir memasuki dewan peperiksaan. Emak yang tidak akan pernah jemu walau sudah bertahun emak melakukan perkara yang sama.
Saya rasa sangat bertuah kerana dikurniakan emak yang begitu kepada saya. Mana mungkin saya akan mendapat emak yang terbaik selain dia. Tersemat di hati saya, suatu hari nanti saya ingin menjadi emak seperti emak saya. Emak yang mampu menggembirakan anak, yang mampu menyenangkan suami. Terima kasih emak kerana mendidik saya menjadi seorang insan yang tahu nilai seorang emak. Terima kasih emak kerana masih bersama kami. Terima kasih emak kerana masih menyayangi ayah saya. Terima kasih emak untuk segala yang pernah emak buat untuk saya. Terima kasih, emak.
Saya tidak dapat bayangkan andai saya kehilangan emak. Bagaimana saya mampu hidup tanpa emak. Saya bermohon moga suatu saat jika saya terpaksa kehilangannya, saya telah mampu untuk menggembirakannya. Kerana mati itu pasti dan saya akan tetap harus merelakan bila tiba harinya kelak. Terkadang saya berharap saya akan pergi dulu sebelum emak tapi seketika saya kembali tersedar, jika saya yang pergi dulu, emak akan lebih menderita. Ya Tuhanku, panjangkanlah umur kami dan senangkanlah hati emak kami, semoga suatu hari nanti tempat emak adalah di syurga.
Seorang emak dan selamanya begitu. Seorang emak yang seumur hidupnya menjadi cahaya. Emak adalah kehidupan, tiada kehidupan tanpa emak dan benar, cinta itu emak.
Hak Cipta: Suha