Manusia dalam mencari cahaya dan rahsia alam, sentiasa bersujud pada Tuhan untuk mencari rahsia Ketuhanan. Akur dalam segala titah perintah-Nya. Bagi manusia, Dialah raja. Dialah segala. Lantas segala letak duduk perbuatan baik dari sekecil-kecil perbuatan seperti menggaru kepala sehingga seberat-berat perbuatan seperti menakhoda negara, segalanya dilakukan atas nama Tuhan. Segalanya. Tanpa ada sekelumit rasa bosan seksa dan binasa.
Setiap kalimah, setiap bait-bait kata yang terhasil dalam pemikiran yang
dicaskan dengan ion-ion positif negatif neuron kotak sempit mula berjemaah
tersusun menjadi kalimah dan bait kata indah memuji Tuhan dalam setiap
perbuatan. Saat melihat indahnya alam, pujian diangkat pada Tuhan. Saat melihat
cantiknya pakaian dipakai, pujian diangkat pada Tuhan. Sama juga saat apabila
di mana diri melihat kecelakaan, ingatan sentiasa dihadapkan pada Tuhan. Sudah
tentu ingatannya dari Tuhan kita datang, kepada Tuhan juga kita pergi.
Nurussakinah adalah salah seorang manusia yang terjerumus atau bahasa
moleknya terduduk dalam kolam pemikiran jernih sang penganut. Tutur katanya
sentiasa terisi dengan nama-nama Tuhan yang sembilan. Peringatan demi
peringatan sentiasa diberikan. Lantas ramailah rakan-rakan yang tidak selesa
dengan tutur katanya berusaha menjauhkan diri dan membuatkan Nurussakinah
keseorangan. Nurussakinah tidak kisah. Nurussakinah tahu yang menemani dirinya
adalah Tuhan Sekalian Alam. Yang menjuarai segala sesuatu. Yang induk daripada
yang perlu.
Acapkali Nurussakinah bangun sepertiga malam, mengadu kasihnya pada yang
satu. Mengadu rindunya pada kasihnya itu. Sentiasa bermohon agar cintanya
sentiasa terbenih mekar menjadi bunga cinta yang agung. Dalam melewati air
matanya, Nurussakinah sentiasa tergagap-gagap mengucapkan kalimah-kalimah
cinta. Penuh rasa gentar, cintanya tidak diterima. Penuh rasa ragu,
keikhlasannya tidak sampai kepada-Nya.
Tuhan
Hina hamba mengadapmu
Setiap langkah kuatur untukmu
Setiap nafas disedut keranamu
Masih adakah ruang untukku
Untuk bersama rasul mencintaimu?
Tuhan
Jika diukur cintaku ini dengan ukuran cinta dunia
Kutahu langsung tidak sampai sezarah parasnya
Kutak berani lafazkannya
Hanya berani mengadukannya
Tuhan
Ampunkan segala dosaku
Ampunkan segala tingkahku
Ampunkan segala cacat-celaku
Ampunkan segala keburukanku
Sesungguhnya keampunan itu semuanya milikmu
Tuhan
Titipkan salam rinduku buat kekasihmu
Muhammad al-Amin
yang sentiasa bernyawa
dalam dan luar
jiwa muslimin muslimah
Untuk aku
dan untuk semua yang merindunya
Tuhan
jika kau dengar rintihku
jika kau peduli tentang aku
letakkanlah rasa cinta ini
walau tidak sepenuhnya sekalipun
walau tidak memenuhi kehendakmu sekalipun
izinkan aku mencintaimu
walau kau tak dapat menerima cintaku
Sesampai di rangkap akhir, sedu-sedan Nurussakinah kadang-kadang sehingga
membuatkannya tidak mampu berkata-kata. Titis-titis air jernih mengalir laju
dari mata. Berat, seberat-berat kalimah buatnya. Dia takut, kerana kehinaan
dirinya, Tuhan tidak memandangnya. Dia takut, kalau-kalau kerana kecacatan
hatinya, membuatkan Tuhan langsung tidak pedulikannya. Nurussakinah tahu,
dirinya, ruhnya, akalnya, segalanya milik Tuhan secara mutlak. Nurussakinah
tahu, tanpa Tuhan yang disayanginya, dia tidak akan mampu mengorak langkah ke
hadapan, dan dia tahu, dia tidak akan mampu meneruskan sisa-sisa kehidupan.
Selesai meraup tangannya sambil mengelap air matanya yang sudah kering,
Nurussakinah selalu duduk di meja bacaannya, memerhati bintang-bintang di
langit. Dia tidak faham kenapa dan bagaimana cara susunan bintang-bintang itu
yang dikatakan ahli astronomi sangat membantu dalam mentadbir alam, akan tetapi
Nurussakinah tahu bintang-bintang bergemerlapan di waktu malam sangat-sangat
indah. Seperti bahasa puitis yang disampaikan Tuhan kepada manusia. Seperti
kalam-kalam-Nya yang didapati dalam naskhah al-Quran. Indah, penuh rasa cinta.
Dari Tuhan buat hamba-Nya.
Hak Cipta: Tiara Qistina
3 comments
aaa... kispen ini buat aku bermuhasabah seketika..=.=
Itulah rahsia alamm
Menyejukkn jiwa..
Menyembuhkn lara..
eh.. ade jugak kt cni.. tq up!!