Bagaikan angin taufan melanda rumah No. 11 petang itu. Dengan wajah masam dia melangkah masuk dan menghempas pintu bilik, seolah-olah dalam rumah ini ada dia seorang sahaja. Aku teruskan kerja membasuh pinggan mangkuk sambil menanti kari ayam atas tungku dapur itu betul-betul masak. Beginilah hariku yang sedang menunggu hari. Hanya duduk di rumah sahaja. Dengan sebuah beg sederhana yang sentiasa berada berhampiran pintu utama, agar mudah dicapai apabila sudah tiba saat ke hospital untuk melahirkan si comel didalam rahim ini.
Ya, aku seorang bakal ibu, bakal ibu yang kehilangan suami di saat mengandungkan anak sulung kami. Bagaimana aku boleh terus hidup? Bukan itu soalan utamanya, bagaimana nasib anak di dalam rahim ini jika aku berkeputusan untuk berhenti hidup? Susah dan payah pada mulanya, namun aku gagahkan diri. Demi si kecil ini, aku akan pastikan diriku terus hidup dan akan ku berikan yang terbaik buatnya. Kerana itu juga, aku sewakan sebuah bilik di dalam rumah ini kepada seorang gadis manis yang bekerja di kilang bersebelahan. Ayuni namanya. Dia seorang yang baik hati dan aku lihat menjaga adab pergaulan. Cuma, Ayuni ini cepat sangat nak berfikir dan bertindak negative. Darah muda barangkali.
Sudah tiba waktu makan malam, Ayuni masih terkurung di dalam bilik. Sudah solatkah dia? Kenapa anginnya seperti taufan sahaja tadi. Dengan langkah longlai ku ketuk pintu biliknya. Dan selepas ketukan keempat pintu dibuka dari dalam, sedikit sahaja. Aku melangkah masuk. Bilik itu hanya di terangi lampu tidur yang sangat malap. Ayuni kelihatan kusut sekali. Lalu ku tanyakan
“Kenapa ni Ayuni?”
“Kak Ain, pernah tak Kak Ain menyesal kerana berkahwin dengan arwah suami akak?”
Terus aku istighfar di dalam hati. Kenapakah soalan itu yang keluar dari mulut gadis manis ini? Apa yang sudah jadi sebenarnya.
“Ayuni, akak tak pernah rasa menyesal atas apa yang telah berlaku. Semuanya ketentuan Allah,”
“Jadi, Imran tinggalkan Ayuni juga kerana takdir ke kak? Kenapa dia sanggup buat begini pada Ayuni? Apa salah Ayuni?”
“Jadi, Imran dah tinggalkan Ayuni? Itu sahaja?”
“Itu sahaja akak kata? Kenapa sekarang? Kenapa tidak dulu lagi. Waktu Ayuni belum betul-betul mencintai dia?”
“Ayuni, bersyukurlah Ayuni ditinggalkan semasa Ayuni belum ada apa-apa ikatan dengan si dia. Adakah ditinggalkan selepas menjadi isteri itu lebih mudah berbanding keadaan Ayuni sekarang? Bersyukurlah…kerana si dia sedar yang kamu berdua tidak secocok sebelum ada ikatan yang sah. Ditinggalkan tatkala sudah sah menjadi isteri itu jauh lebih perit lagi daripada ditinggalkan oleh kekasih yang sangat dicintai,” mataku seolah-olah tembus melihat dinding. Ayuni sudah berhenti menangis dan sudah mula menundukkan pandangan memandang lantai.
“Sementara masih bujang ni berbaktilah kepada ibubapa Ayuni. Sementara masih berpeluang. Sementara ibu ayah masih hidup. Bernikah itu bukan mudah. Tanggungjawabnya besar. Rela dan redha menerima si dia dan keluarga. Bersedia menerima pujian dan tohmahan dari semua pihak yang mengenali si dia. Bersedia membina keluarga dalam keadaan yang tiada apa-apa. Bukan senang. Dan perpisahan itu lebih perit lagi. Selepas bertahun hidup bersama, bagaiman mahu berpisah, arah mana perlu dituju, bagaimana dengan anak-anak…banyak yang perlu difikirkan Ayuni,”
“Bagaimana akak melaluinya dengan mudah sekali? Perpisahan akak dengan arwah suami akak?”
“Siapa kata perpisahan itu mudah Ayuni. Tiada yang mudah. Lagi pulak akak tengah membawa benihnya didalam rahim ini. Persoalannya, adakah akak akan membiarkan si kecil ini turut hanyut bersama pemergian ayahnya, ataupun akak perlu menjaga si kecil ini, agar suatu hari nanti dia akan mendoakan yang terbaik buat ayahnya? Pilihan itu akak yang tentukan. Mengenang yang sudah tiada tanpa berbuat apa-apa, sama seperti mensia-siakan apa yang si dia telah amanahkan kepada kita. Payah sebenarnya akak bangkit, tapi akak perlu kuat. Akak perlukan si kecil ini. Mak ayah arwah perlukan si kecil ini. Maka ayah akak juga mahu melihat si kecil ini lahir ke dunia. Mana mungkin akak sia-siakan apa yang telah arwah tinggalkan untuk akak. Dan tiada siapa yang boleh paksa diri kita untuk bangkit daripada rasa sedih itu melainkan diri sendiri. Ingat Ayuni, pasti akan ada hikmah disebalik musibah,”
“Ayuni… kagum dengan semangat akak,”
“Sudahlah tu, pergilah mandi dan selepas itu kita makan bersama-sama ye,”
“Akak…satu soalan…terakhir, bole?” aku mengangguk
“Akak rasa, hikmah apa yang tersembunyi disebalik apa yang akak lalui?”
“Kita takkan pernah tahu Ayuni. Sudah terlalu banyak nikmat Allah yang kita perolehi tanpa kita sedari. Adakah jika didatangkan hikmah musibah itu kepada akak, akak akan sedar yang itu merupakan hikmahNya terhadap apa yang telah terjadi? Akak takkan tahu, begitu juga kamu. Sebab itu…bersyukurlah. Sentiasa bersyukur,”
Ayuni bangun dari katil dengan senyuman. Lega hatiku melihat dia yang sudah kembali tersenyum.
“Akak…” sebelum sempat Ayuni menyambung aku pintas kata-katanya.
“Kita merancang, Allah sudah punya perancangan untuk kita. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Percayalah pada rancangan yang telah Allah tetapkan.
Hak Cipta ainzafiq
3 comments
ai, sob sob sobs..
lumrah n perjalanan beza2...
Sentiasa bersyukur dan yakin dengan kehendak Allah. Eh,aku bercakap macam aku buat pula. Peringatan untuk diri sendiri juga :')