Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Sunday, January 22, 2012

Sang Puteri

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips

Moozlee


Mulanya angin malam itu sepoi-sepoi sahaja. Cukup indah lagi menenangkan. Melalaikan bagi mereka yang hanyut. Namun, di dalam dada aku ini berombak-ombak tak mahu kalah. Jantung aku berdetak bagai mahu terkeluar. Risau. Khuatir. Kecewa. Sedih. Keliru. Perasaan itu bercampur-baur. Angin yang sepoi-sepoi sudah tidak lagi seperti itu. Angin menjadi semakin deras. Bagai memahami jiwaku yang bergelodak ini. Kepantasan angin menampar-nampar muka aku. Aku biar saja. Aku biar saja hati aku tertoreh.

Aku kuatkan diri untuk bertemu sang puteri yang berjaya menjadi pencuri. Pencuri hati aku. Dia datang tanpa signal mahupun tanda, lantas terus mencuri hati aku tanpa aku sedari. Siapakah dia? Kenapakah dia mampu berbuat begitu? Hati aku terdetik beribu persoalan. Aku terus melangkah menuju destinasi. Aku mahukan dia. Tapi dia? Adakah dia curi hati aku untuk sakiti aku? Sesungguhnya, sakit. Lebih sakit dari angin yang merobek-robek muka aku ketika ini. Angin kelihatan deras. Pohon-pohon di jalanan juga bagaikan dimurkai oleh angin pada malam itu. Bintang tak bersinar. Bulang pun hilang. Segala keindahan lenyap bagaikan memahami jiwa aku yang sedang kacau. Aku tak mahu menangis. Biarlah aku tersiksa di batin. Aku mahu lihat apa sang puteri mahu bicara nanti. Adakah dia masih dengan pembohongannya yang maha hebat? Aku tunggu, sayang.

Baju aku terkena rintik-rintik gerimis yang tiada rasa simpati. Kesejukan aku walau dibaluti sehelai perca. Aku lihat sang puteri menanti diri aku di bawah rendang pohon. Aku menangis di dalam. Aku tak sangka kau curi hati aku untuk dijadikan mainanmu. Aku melangkah dekat ke arah sang puteri dengan penuh debaran. Aku turut merasakan debar di dalam dirinya. Sayang, kita kongsi debaran yang sama, tapi kau bilang seseorang telah berjaya menjerat hati engkau. Apakah semua ini? Aku menarik hela nafas dengan panjang. Aku hembuskan perlahan nafasku sehingga sang puteri menoleh ke arah aku. Dia kelihatan sugul. Matanya sembab nan berair. Aku tak mahu lihat kau begini, sang puteri, tapi kau khianati aku, apakah ini sang puteri? Dia bangkit menghadap aku. Pandangan matanya terungkap seribu persoalan. Aku menanti jawapan dari hatimu, sang puteri. Jujurlah dengan aku.

"Kau bilang, ada yang dah jerat hati engkau."

Aku memulakan bicara dengan nafas yang tersekat-sekat. Angin tadi masih sederas tadi. Sederas nafasku ketika ini. Aku tatap mukanya dengan penuh kebuntuan. Hidungku mula memerah menahan pedih dari hati. Aku lihat dia tunduk. Terhenjut-henjut bahunya melawan sendu.

Sang puteri mengangguk. Hati aku bagai dipanah petir ketika itu.
Suasana itu sangat dingin dengan kewujudan gerimis. Sedingin perasaan aku terhadap sang puteri.

"Jadi benar tekaan aku. Dia dah berjaya tawan hati kau, bukan?"

Suara aku masih tersekat. Aku berbisik kepadanya, entah kedengaran atau tidak, terpulang. Yang aku tahu, hatinya sudah dimiliki.

Sang puteri mengangguk lagi. Tangannya menekup muka menyembunyikan tangis. Kelelakian aku benar-benar terguris malam ini, sang puteri. Kaulah puncanya. Aku juga punya hati, apakah kau tak mengerti?

"Kau bilanglah pada aku, hati siapa yang dah mencuri hati kau itu, tatkala kau sedang mencuri hati aku?"

Tangis aku sudah mula bergenang. Aku fikir sang puteri mahu membohongi aku tentang semua itu dan buat aku rasa seperti di syurga dengan kebohongannya. Nyata aku silap, dia berterus-terang pada aku tentang kebenaran yang pahit lagi sakit. Aku menggeleng kepala dan masih memandang sang puteri dengan beribu persoalan. Aku mahu tahu, sang puteri.

Sang puteri mengangkat mukanya yang penuh dengan linangan air mata. Sungguh aku tak mahu kau begini, sang puteri. Gerimis tadi pula semakin deras sederas tangisan aku dan dirinya. Peluh yang merintik tadi sudah dibasahi gerimis yang lebat. Dia hela nafas satu persatu.

Dia mengangkat tangannya lalu didekatkan telapak tangannya di dada aku. Bahunya masih terhenjut-henjut. Aku hanya memandang menanti jawapan.

"Hatinya dia ada di dalam sini." Sang puteri berbisik.

5 comments

January 22, 2012 at 9:20 AM

Aku dah tahu...hati sang puteri itu, engkaulah yang mencurinya sedang kau tuduh dia curi hati engkau..

Banjir perasaan kispen ini...:)

January 22, 2012 at 9:39 AM

tulisan yg bagus.

January 22, 2012 at 11:51 AM

Cerita y bavus
bahasa y best


aaahhh cinta sungguh rumit. Sukarnya mencuri cinta manusia

January 22, 2012 at 12:15 PM

Di curi dan mencuri.. siapa sebenarnya yang bernama pencuri hati itu.. :)

endingnya dlm tangisan,
tapi membuahkan senyuman :)

January 22, 2012 at 9:47 PM

terima kasih :)

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...