Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Sunday, January 29, 2012

Dah Hujan

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips

unEdited
-: Kesinambungan Pesanan Buat Madihah :-


Hujan di luar renyai-renyai. Kasar-kasar gerimisnya mencucur atas zink rumah kampung ini. Sudah seperti irama berlagu bila tup-tap-tup-tap di atap itu bersulam pekik unggas malam. Beginilah hari ini, semalam dan sejak seminggu lepas. Seharipun tiada yang tertinggal tanpa basah; malah semuanya  sebasah malam ini.

Mardiah berseorangan di pinggir tingkap. Mahu disebak luas bingkai tingkap itu takut pulak dengan nyamuk yang tentu buatkan nyenyak tidurnya tersekat-sekat seperti tayangan cerita cetak rompak. Cukuplah hanya mencuri pandang pada bulan yang bersabit di angkasa sana di celah-celah bingkai tingkap yang renggang sedikit itu.

“Melayan hujan seorang ya Acik?” oh, umi. Wanita lewat 50-an berkurung lepas berkerudung ungu itu mendekati Mardiah dan duduk berselindung lengan pada belakang Mardiah.

“Acik ada hujan saja umi” dan lembut dialih kemas duduknya untuk biar bahunya menumpang tongkat bahu uminya itu, dan kemudian turun lagi; berbantalkan peha umi, sambil menumpang selesa seorang umi yang tidak pernah kurang dalam senyum-biarpun bertegas.

“Acik kan ada umi” sambil dilurut rambut anak daranya yang seorang ini. Manjanya tak tumpah seperti manja umi dengan Tok Nek ketika Allahyarham masih semuda umi dulu. Oh, Al-Fatihah untuk Tok Nek.

“Kalaupun umi bukan hujan yang lerai satu-satu untuk Acik menumpang duduk untuk basahkan tubuh Acik yang panasnya tak pernah reda; sekurang-kurangnya biarlah umi jadi dedaun keladi yang boleh Acik tampungkan gerimis-gerimis itu jadi tasek untuk Acik tumpang rehat ketika panas nanti” Mardiah hanya senyum. Dia tahu, di peha umi inilah tempat terbaik untuk dia diceramahkan tanpa pernah terbit bosan.

Umi memang seperti itu. Kalimahnya selalu tersusun lembut, tapi penuh makna. Waktu kecil dulu selalu Mardiah bisingkan yang umi berbahasa macam orang filem, tapi itu yang dia rindukan kini bila berjauhan. Bila tercampak seorang-seorang di bumi Tuhan yang lain mencari segaris pengalaman untuk dipatah-patah buat galah mengait buah haruman hidup dunia.

“Acik rindukan Angahlah umi”

Ya, Angah. Kak Mardihah. Mardihah Bt Abdul Halim. Seorang lembut jiwa yang begitu rapat dengan Mardiah. Lebih rapat dari kuku dan isi. Mereka ibarat kembar yang lahir berselang tahun. Cumanya, Allahyarhamah dah pergi dulu. Seminggu lalu. Dan sejak itu bumi kampung ini terus-terusan gerimis tak henti. Barangkali, bumi ini juga sayangkan kak Mardihah seperti Mardiah juga.

“Semua kan ketentuan Maha Kuasa, Acik” ada bunyi berat dalam kalimah ibu. Ibu tidak seperti langit ini. Dia jarang menangis sejak seminggu lalu. Barangkali ibu sudah kehabisan derai matanya untuk rutin sujud-sujud qiammulainya. Atau, ibu lebih bijak mencari sudut di bumi ini untuk lepaskan sebaknya dari Mardiah dan langit bumi. Oh.

“Hanya hujan ini yang tinggal untuk Acik, Umi”
“Umi kan ada” dan terus di angkat bahu anaknya dan dirangkul kemas.
Dan malam itu terus gerimis.

***
Roti bakar beralas mentega dan lapisan kacang sudah siap di atas meja. Tinggal air kopi ‘o’ saja yang masih digodek-godek Mardiah di meja dapur.

“Abang Ngah makan la dulu ya. Kopi Acik dan nak siap nih” pelawa Mardiah pada Amir yang baru turun ke dapur. Abang iparnya yang kemas berkemeja kelabu lengan panjang itu pelahan menarik kerusi meja makan, dan duduk dengan penuh tertib.

“Itu saja yang Acik sempat siapkan ya Abang Ngah. Ni kira ekspres la nih. Maaf ya” dan Amir hanya membalas dengan senyum pada adik ipar tunggalnya. Hanya Mardiah dan Allahyarham Madihah yang menjadi teman hidup Umi Khatijah selama ini. Ayah mertuanya hanya dikenali dari gambar-gambar pegun lama yang jelas pun tetap kabur untuk dia. Dulu dia sendiri pernah bertanya kenapa hanya ada Angah dan Acik, mana Alongnya? Rupanya, Along adalah gelaran pada janin 3 bulan yang gugur di kandungan Umi Khatijah beberapa tahun sebelum Madihah hadir.

“Eh, Abang ngah tak makan?” oh, mengelamum pulak.
“Acik tak makan sekali” tegur Amir pada Mardiah yang sedang mengisi cawan putih Arcopal berlapik itu dengan kopi yang disediakannya tadi.
“Acik makan dengan umi nanti ya. Abang Ngah makan dulu ya” dan terus Mardiah hilang di balik gobok-gobok dapur. Yang tinggal untuk Amir waktu itu tak lebih dari kokok ayam jantan di luar, dan jam Seiko di pergelanggan tangannya.

Oh, sudah pukul 7.15!

Dihabiskan kopi yang suam panas itu dengan lekas teguk, dan dia terus hilang ke hadapan. Kerja bukan hal untuk dilewatkan. Dan dia tak pernah lewat ketika Madihah ada dulu, jadi kenapa harus lewat sekarang, kan?
Madihah.
“Sayangku Madihah” al-Fatihah.

***
“Masak asam pedas ya Ikan Kembong ni Umi?”
“Masak la. Itu kegemaran Abang Amir kamu pun”

Sibuk dua beranak itu di dapur. Berbahasa pun hanya bersahut dengar tanpa sekilas pun pandang lari dari siang ikan, dan siang sayur di depan mata. Kata orang, bercakap tanpa pandang itu tidak ikhlas. Tapi ye lah, lain padang lain belalang. Lain keluarga lain cita rasa. Pada Umi dan Mardiah, asalkan keduanya tahu apa yang nak disampaikan, sudah. Kot kalau nak cerewet pun Kak Ngah la. Kak Madihah la yang cerewet. Dan sekarang, cerewet itu yang dia rindukan. Oh.

“Kalau ada Angah, mesti dia yang masak Ikan Kembong ni kan Umi”
Umi terdiam. Pisau menyiang kangkung di tangan pun turut diam. Ah, Madihah.
“Acik pun boleh. Acik kan anak umi juga” cuba memujuk diri. Memujuk dia dan Mardiah sekali, barangkali.
“Tapi Acik bukan Angah”

***
Enam bulan dah lepas. Bumi sendiri bisa kembali hijau bila asyik bersiram gerimis barangkali. Sebak Mardiah dah mula surut. Bukan dilupakan pada yang pergi, tapi menghormati keputusan Maha Esa, dan berdikari untuk berdiri sendiri.

Pada Angah dulu dia menumpang kasih yang tak kurang. Menumpang teduh bila hati dilanda hujan bah kehidupan. Menumpang gelak bila tawa tak tertahan pecah, dan menumpang paut bila jatuhnya terlalu pedih untuk ditanggung sendiri.

Sekarang semuanya dia sendiri. Oh. Ya, Umi ada. Tapi Umi sendiri sudah terlalu terbeban dengan rindunya pada Angah, jadi biarlah dia sendiri yang menanggung hidup ini. Lagipun, sampai bila harus bergantungan, sedang timbang tara akhir nanti pasti sendiri-sendiri juga.

“Kamu tak mahu bernikah Mardiah?” itu yang disoal ibu semalam.
Soalan yang kelihatan sama dengan soalan rutin umi sejak dia berkerjaya di wilayah sesak manusia ini. Tapi, soalan Umi semalam ada lain dari biasa. Umi selitkan harapan dan impiannya. Tapi, sampai mana impian Umi itu impian dia sendiri?

Sampai sekarang Mardiah mendiam, dan diamnya jadi sebisu talifon yang sengaja dimatikan. Sedikit pun tak menguit, apatah lagi berdering.

***
“Terima sajalah Mar. Paling tidak, kamu dah kenal orangnya”
“Dan sebab kenal lah aku jadi takut” badan Mardiah di hempas penuh emosi ke perbaringan. Ruang sunyi rumahnya itu dari tadi berisi suara dia berbalah dengan Suhaila di talian. Berbalah? Oh, berbincang barangkali. Sebab dia sendiri yang memanggil Suhaila untuk mendapat kata dua, tapi rupanya dia yang berkata lebih dari Suhaila.
“He has everything my girl!”
“Cause He is everything, i always say no!”
“Tapi engkau sayangkan dia kan?”
“As in law, yes. I love him with my everything. But, beyond that; No!”
“Hang tak rampas hak sesiapa Mar. You deserved that great guy for your life too!”
“If that is yes, still no for him”
“Benci sangatkah dengan dia”
“Benci? No. I love him. But, that is it!”
“You love him the just say yes!”
“No. I cant. He is my only brother in life, i just dont want to lost him. I just want him as he is right now”
“Dan dia sendiri yang percaya hang is the best for him kan?”
“Oh, i dont know. Mungkin Umi yang trap semua ini”
“Eh, ini hal hang dengan Amir lah, kenapa Umi pulak hang drag sekali”
“Who know. Maybe Umi yang engineered all this things”
“Ok. Put the dot on that speculation. Now focus on you and him. Only you two”
“But i cant. Allahyarham Angah will always there too!”

Dan kali ini Suhaila terdiam. Hanya dengus suaranya yang berbaki di hujung talian. Mardiah sendiri sedikit lega. Dia tegang dengan makluman Umi pagi tadi.

Masakan pernah dia berfikir yang Abang Amir akan merisik untuk meminang dia hanya pada detik genap enam bulan Kak Madihah pergi. Tak sayang kah Abang Amir pada Kak Madihah selama ini. Mana dia simpan semua sayang dia?

“Maybe he love Late Madihah too much then he spread the love to you!” suhaila beragak-agak di talian. Kali ini Mardiah hanya senyap. Dia hilang jawap. Yang bersarang di fikirnya hanya itu ini yang tiada pangkal dan hujungnya. Semuanya bersirat nak bersimpul tanpa ada punca untuk di leraikan satu persatu.

Dan malam menjadi lebih gelap dari malam yang selalu. Gerimis sendiri dah berhenti. Barangkali bumi juga sudah lupakan Kak Madihah. Umi pun dah lupakan Kak Madihah, sama macam Abang Amir. Semuanya buatkan Mardiah gila. Gila dengan dunia.

“Mardiah, are you stil there”
“Ya, I am”
“Jujurnya aku tak mahu kusutkan kamu Mardiah. Aku sayangkan kamu seperti sayang aku dengan diri sendiri” dan itu Mardiah tahu. Suhaila lebih dari seorang kawan semenjak Kak Madihah pergi. Dia dah menjadi Kak Madihah baru untuk Mardiah. Dan untuk itu, hanya sahabat yang ini dipercayainya selepas Umi dan Abang Amir. Umi dan Amir? Ah, sekarang Mardiah hanya ada Suhaila. Hujang pun sudah tidak ada. Semuanya hilang. Oh.
“Terimalah pelawaan jujurnya Diah. Allah itu Maha Tahu kan?”

Mardiah hilang kata untuk itu. Hanya seberkas air mata pecah di empang matanya, dan lerai satu persatu menjadi corak birai di pipinya. Oh, gerimis ada lagi; di sini.

***
Hari ini genap seminggu dari panggilan Umi yang lepas. Masa untuk Mardiah berfikir sudah suntuk. Janji untuk pulang memberi jawapan sudah dilangsaikan. Cuma jawapannya tak berbuah dari katanya.

Kini, ada Mardiah dengan Umi di ruang tamu, dan dua cawan kopi ‘o’ yang Mardiah buat sendiri. Kelibat Abang Amir tak ada. Walaupun sudah kehilangan Kak Madihah, Abang Amir masih duduk di kampung menjaga Umi, kerana hanya ada Umi dalam keluarga Abang Amir yang sebatang kara itu. Dan kemudian ada Mardiah. Sebagai apa?

“Acik dah buat keputusan Umi” dan senyap. Umi hanya redup memandang. Sejak dari dia sampai di kampung tadi, Abang Amir terus-terusan tidak kelihatan, dan Umi tidak sepatah pun menimbulkan hal ini. Barangkali mahu dibiarkan Mardiah untuk tidak terganggu dengan influensasi lain dari keputusan sendiri. Itu lebih baik pada fikir Mardiah. Setidaknya, biarlah dia yang dianya sendiri berdiri atas keputusan ini, dan bukan sesiapa. Untuk itu, Mardiah dan bersedia.

“Acik tolak ya, Umi” dan wajah Umi sekilas naik bertembung dengan pandang Mardiah. Dia hilang suara untuk bertanya lanjut. Pada pandang dua beranak itu hanya ada kosong. Dan kosong itu terlalu bingit dalam kesunyiannya.

Oh.

Dan pelahan ibu genggam tangan Mardiah, sebelum lekas dileraikannya dan bangkit melangkah ke kamar. Tinggallah Mardiah dan cawan-cawan kopi ‘o’ tak terusik di meja kopi; dan sunyi malam.

Oh, gerimis, malam ini kamu tak mahu lerai lagi?


ps: Kispen ini adalah yang kispen yang terakhir bersiaran untuk Slot Sunday. Mulai Februari 2012; Ke semua Kispen Guest Writer yang telah-sedia diberi tarikh akan bersiaran mulai Isnin - Jumaat@9:00 PM. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua.

10 comments

January 29, 2012 at 10:01 AM

alahai dilemanya...



kalau "ya", berganti tikar la si amir..



nice. :)

January 29, 2012 at 10:49 AM

hurmm kene wt keputusan bebetul

sian a amir

January 29, 2012 at 11:06 AM

unedited, sila cepat jadikan kispen ini sebuah novel, saya akan beli!

January 29, 2012 at 5:01 PM

mungkinkah ada sambungannya?

January 29, 2012 at 8:44 PM

kalaulah jawapan semudah abc ya dak?

January 30, 2012 at 12:22 AM

next,,, ada sambung lagikan? tunggu ni...

January 30, 2012 at 12:47 AM

ala... even aku tak suka nama amir.. tapi aku kesiankan lah watak si amir.. hhuhu.

takpe.. nanti dia jumpa pengantilain.. kan kan kan??

January 30, 2012 at 9:03 AM

Marcella
tikar? erk.
terima kasih kerana membaca.
Sebenarnya, amir ada sebab kenapa dia melamar Madihah.
kenapa?
*senyum*
hidup kan kena ada cerita.

Iffah
pada Madihah juga perlu dikesiankan. Pada umi juga. Semua watak perlu dikasihankan; tapi mereka semua bisa gembira kalau ada duduk bincang yang benar dalam. Hidup manusia bukan jigsaw puzzle yang kita tahu akhirnya, tapi lukisan di layar kosong, yang akhirnya kita sedang cari; biarpun tuju kita tetap pada satu destinasi.
*senyum*

Lady Windsor
cerita ini banyak 'kasarnya' yang perlu aku gosok jadi halus cantik. apapun, terima kasih kerana menerima tulisan ini.
barangkali, aku tak ada daya meneruskan ada yang terdampar di sini; barangkali, boleh saja aku hulurkan naskah ini untuk kamu sambung, dan jadi hak milik kamu Windsor?
sesekali, ada collobration, mana tahu, hasilnya lebih dari yang kita pernah sangka.
kan?
*senyum*

APi
'akan' ada.
dan akan itu sendiri wujud dengan penuh kebarangkalian.
*senyum*
insya'Allah, memandangkan ada yang meminta, aku cuba leraikan kata-kata untuk jadi cerita mereka semula.
insya'Allah, kalau berkesempatan, aku cuba hantar untuk slot April ya.
Mungkin, April nanti, hujan gerimis dah reda kan?
*senyum*
terima kasih membaca dan bertanya.

Bidadari Syurga
terima kasih untuk slot-slot Amirdihah yang semua ini. Aku menumpang gembira aku dengan tulisan untuk kalian baca, dan syukur kamu sisipkan juga untuk semua di s7w ini.
ya, jawapan tak semudah abc, tapi....
hidup kena ada risau dan gelisah, supaya baru kita cuba mencari tenang dan jalan pulang.

sambung?
insya'Allah.
kan kita kawan.
menyempurnakan hajat sahabat yang lain, adalah usaha aku; kalaupun kadangnya aku terlalu sempurna menjadi manusia yang tidak sempurna dan penuh khilaf.
*senyum*

Bidadari, thank.
*senyum*

Reenapple
terima kasih untuk pembacaan kamu.
terima kasih untuk risaukan amir.
terima kasih untuk doakan amir.
aku pun berdoa, supaya ada cerita yang baik untuk amir tempoh selepas itu.
dan barangkali, semua itu takdir yang buka jalan lebih terang dari 'semalam'.
kan?
*senyum*

January 30, 2012 at 8:48 PM

betul cakap lady windsor itu, sila buat kan ianya menjadi novel!!
:DDD

January 31, 2012 at 8:12 AM

Teenager Housemaid
Terima kasih untuk menyokong.
Akan disudahkan sambungannya, insya'Allah.
But please, dont expect too much. That may kill you rational sometimes.

*smile*

terima kasih

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...