unEdited
-: Kesinambungan
Pesanan Buat Madihah :-
Hujan di luar renyai-renyai. Kasar-kasar gerimisnya mencucur atas zink
rumah kampung ini. Sudah seperti irama berlagu bila tup-tap-tup-tap di atap itu
bersulam pekik unggas malam. Beginilah hari ini, semalam dan sejak seminggu
lepas. Seharipun tiada yang tertinggal tanpa basah; malah semuanya sebasah malam ini.
Mardiah berseorangan di pinggir tingkap. Mahu disebak luas bingkai tingkap
itu takut pulak dengan nyamuk yang tentu buatkan nyenyak tidurnya
tersekat-sekat seperti tayangan cerita cetak rompak. Cukuplah hanya mencuri
pandang pada bulan yang bersabit di angkasa sana di celah-celah bingkai tingkap
yang renggang sedikit itu.
“Melayan hujan seorang ya Acik?” oh, umi. Wanita lewat 50-an berkurung
lepas berkerudung ungu itu mendekati Mardiah dan duduk berselindung lengan pada
belakang Mardiah.
“Acik ada hujan saja umi” dan lembut dialih kemas duduknya untuk biar
bahunya menumpang tongkat bahu uminya itu, dan kemudian turun lagi;
berbantalkan peha umi, sambil menumpang selesa seorang umi yang tidak pernah
kurang dalam senyum-biarpun bertegas.
“Acik kan ada umi” sambil dilurut rambut anak daranya yang seorang ini.
Manjanya tak tumpah seperti manja umi dengan Tok Nek ketika Allahyarham masih
semuda umi dulu. Oh, Al-Fatihah untuk Tok Nek.
“Kalaupun umi bukan hujan yang lerai satu-satu untuk Acik menumpang duduk
untuk basahkan tubuh Acik yang panasnya tak pernah reda; sekurang-kurangnya
biarlah umi jadi dedaun keladi yang boleh Acik tampungkan gerimis-gerimis itu
jadi tasek untuk Acik tumpang rehat ketika panas nanti” Mardiah hanya senyum.
Dia tahu, di peha umi inilah tempat terbaik untuk dia diceramahkan tanpa pernah
terbit bosan.
Umi memang seperti itu. Kalimahnya selalu tersusun lembut, tapi penuh
makna. Waktu kecil dulu selalu Mardiah bisingkan yang umi berbahasa macam orang
filem, tapi itu yang dia rindukan kini bila berjauhan. Bila tercampak seorang-seorang
di bumi Tuhan yang lain mencari segaris pengalaman untuk dipatah-patah buat
galah mengait buah haruman hidup dunia.
“Acik rindukan Angahlah umi”
Ya, Angah. Kak Mardihah. Mardihah Bt Abdul Halim. Seorang lembut jiwa yang
begitu rapat dengan Mardiah. Lebih rapat dari kuku dan isi. Mereka ibarat
kembar yang lahir berselang tahun. Cumanya, Allahyarhamah dah pergi dulu.
Seminggu lalu. Dan sejak itu bumi kampung ini terus-terusan gerimis tak henti.
Barangkali, bumi ini juga sayangkan kak Mardihah seperti Mardiah juga.
“Semua kan ketentuan Maha Kuasa, Acik” ada bunyi berat dalam kalimah ibu.
Ibu tidak seperti langit ini. Dia jarang menangis sejak seminggu lalu.
Barangkali ibu sudah kehabisan derai matanya untuk rutin sujud-sujud
qiammulainya. Atau, ibu lebih bijak mencari sudut di bumi ini untuk lepaskan
sebaknya dari Mardiah dan langit bumi. Oh.
“Hanya hujan ini yang tinggal untuk Acik, Umi”
“Umi kan ada” dan terus di angkat bahu anaknya dan dirangkul kemas.
Dan malam itu terus gerimis.
***
Roti bakar beralas mentega dan lapisan kacang sudah siap di atas meja.
Tinggal air kopi ‘o’ saja yang masih digodek-godek Mardiah di meja dapur.
“Abang Ngah makan la dulu ya. Kopi Acik dan nak siap nih” pelawa Mardiah
pada Amir yang baru turun ke dapur. Abang iparnya yang kemas berkemeja kelabu
lengan panjang itu pelahan menarik kerusi meja makan, dan duduk dengan penuh
tertib.
“Itu saja yang Acik sempat siapkan ya Abang Ngah. Ni kira ekspres la nih.
Maaf ya” dan Amir hanya membalas dengan senyum pada adik ipar tunggalnya. Hanya
Mardiah dan Allahyarham Madihah yang menjadi teman hidup Umi Khatijah selama
ini. Ayah mertuanya hanya dikenali dari gambar-gambar pegun lama yang jelas pun
tetap kabur untuk dia. Dulu dia sendiri pernah bertanya kenapa hanya ada Angah
dan Acik, mana Alongnya? Rupanya, Along adalah gelaran pada janin 3 bulan yang
gugur di kandungan Umi Khatijah beberapa tahun sebelum Madihah hadir.
“Eh, Abang ngah tak makan?” oh, mengelamum pulak.
“Acik tak makan sekali” tegur Amir pada Mardiah yang sedang mengisi cawan
putih Arcopal berlapik itu dengan kopi yang disediakannya tadi.
“Acik makan dengan umi nanti ya. Abang Ngah makan dulu ya” dan terus Mardiah
hilang di balik gobok-gobok dapur. Yang tinggal untuk Amir waktu itu tak lebih
dari kokok ayam jantan di luar, dan jam Seiko di pergelanggan tangannya.
Oh, sudah pukul 7.15!
Dihabiskan kopi yang suam panas itu dengan lekas teguk, dan dia terus
hilang ke hadapan. Kerja bukan hal untuk dilewatkan. Dan dia tak pernah lewat
ketika Madihah ada dulu, jadi kenapa harus lewat sekarang, kan?
Madihah.
“Sayangku Madihah” al-Fatihah.
***
“Masak asam pedas ya Ikan Kembong ni Umi?”
“Masak la. Itu kegemaran Abang Amir kamu pun”
Sibuk dua beranak itu di dapur. Berbahasa pun hanya bersahut dengar tanpa
sekilas pun pandang lari dari siang ikan, dan siang sayur di depan mata. Kata
orang, bercakap tanpa pandang itu tidak ikhlas. Tapi ye lah, lain padang lain
belalang. Lain keluarga lain cita rasa. Pada Umi dan Mardiah, asalkan keduanya
tahu apa yang nak disampaikan, sudah. Kot kalau nak cerewet pun Kak Ngah la.
Kak Madihah la yang cerewet. Dan sekarang, cerewet itu yang dia rindukan. Oh.
“Kalau ada Angah, mesti dia yang masak Ikan Kembong ni kan Umi”
Umi terdiam. Pisau menyiang kangkung di tangan pun turut diam. Ah, Madihah.
“Acik pun boleh. Acik kan anak umi juga” cuba memujuk diri. Memujuk dia dan
Mardiah sekali, barangkali.
“Tapi Acik bukan Angah”
***
Enam bulan dah lepas. Bumi sendiri bisa kembali hijau bila asyik bersiram
gerimis barangkali. Sebak Mardiah dah mula surut. Bukan dilupakan pada yang
pergi, tapi menghormati keputusan Maha Esa, dan berdikari untuk berdiri
sendiri.
Pada Angah dulu dia menumpang kasih yang tak kurang. Menumpang teduh bila
hati dilanda hujan bah kehidupan. Menumpang gelak bila tawa tak tertahan pecah,
dan menumpang paut bila jatuhnya terlalu pedih untuk ditanggung sendiri.
Sekarang semuanya dia sendiri. Oh. Ya, Umi ada. Tapi Umi sendiri sudah
terlalu terbeban dengan rindunya pada Angah, jadi biarlah dia sendiri yang
menanggung hidup ini. Lagipun, sampai bila harus bergantungan, sedang timbang
tara akhir nanti pasti sendiri-sendiri juga.
“Kamu tak mahu bernikah Mardiah?” itu yang disoal ibu semalam.
Soalan yang kelihatan sama dengan soalan rutin umi sejak dia berkerjaya di
wilayah sesak manusia ini. Tapi, soalan Umi semalam ada lain dari biasa. Umi
selitkan harapan dan impiannya. Tapi, sampai mana impian Umi itu impian dia
sendiri?
Sampai sekarang Mardiah mendiam, dan diamnya jadi sebisu talifon yang
sengaja dimatikan. Sedikit pun tak menguit, apatah lagi berdering.
***
“Terima sajalah Mar. Paling tidak, kamu dah kenal orangnya”
“Dan sebab kenal lah aku jadi takut” badan Mardiah di hempas penuh emosi ke
perbaringan. Ruang sunyi rumahnya itu dari tadi berisi suara dia berbalah
dengan Suhaila di talian. Berbalah? Oh, berbincang barangkali. Sebab dia
sendiri yang memanggil Suhaila untuk mendapat kata dua, tapi rupanya dia yang
berkata lebih dari Suhaila.
“He has everything my girl!”
“Cause He is everything, i always say no!”
“Tapi engkau sayangkan dia kan?”
“As in law, yes. I love him with my everything. But, beyond that; No!”
“Hang tak rampas hak sesiapa Mar. You deserved that great guy for your life
too!”
“If that is yes, still no for him”
“Benci sangatkah dengan dia”
“Benci? No. I love him. But, that is it!”
“You love him the just say yes!”
“No. I cant. He is my only brother in life, i just dont want to lost him. I
just want him as he is right now”
“Dan dia sendiri yang percaya hang is the best for him kan?”
“Oh, i dont know. Mungkin Umi yang trap semua ini”
“Eh, ini hal hang dengan Amir lah, kenapa Umi pulak hang drag sekali”
“Who know. Maybe Umi yang engineered all this things”
“Ok. Put the dot on that speculation. Now focus on you and him. Only you
two”
“But i cant. Allahyarham Angah will always there too!”
Dan kali ini Suhaila terdiam. Hanya dengus suaranya yang berbaki di hujung
talian. Mardiah sendiri sedikit lega. Dia tegang dengan makluman Umi pagi tadi.
Masakan pernah dia berfikir yang Abang Amir akan merisik untuk meminang dia
hanya pada detik genap enam bulan Kak Madihah pergi. Tak sayang kah Abang Amir
pada Kak Madihah selama ini. Mana dia simpan semua sayang dia?
“Maybe he love Late Madihah too much then he spread the love to you!”
suhaila beragak-agak di talian. Kali ini Mardiah hanya senyap. Dia hilang
jawap. Yang bersarang di fikirnya hanya itu ini yang tiada pangkal dan
hujungnya. Semuanya bersirat nak bersimpul tanpa ada punca untuk di leraikan
satu persatu.
Dan malam menjadi lebih gelap dari malam yang selalu. Gerimis sendiri dah
berhenti. Barangkali bumi juga sudah lupakan Kak Madihah. Umi pun dah lupakan
Kak Madihah, sama macam Abang Amir. Semuanya buatkan Mardiah gila. Gila dengan
dunia.
“Mardiah, are you stil there”
“Ya, I am”
“Jujurnya aku tak mahu kusutkan kamu Mardiah. Aku sayangkan kamu seperti
sayang aku dengan diri sendiri” dan itu Mardiah tahu. Suhaila lebih dari
seorang kawan semenjak Kak Madihah pergi. Dia dah menjadi Kak Madihah baru
untuk Mardiah. Dan untuk itu, hanya sahabat yang ini dipercayainya selepas Umi
dan Abang Amir. Umi dan Amir? Ah, sekarang Mardiah hanya ada Suhaila. Hujang
pun sudah tidak ada. Semuanya hilang. Oh.
“Terimalah pelawaan jujurnya Diah. Allah itu Maha Tahu kan?”
Mardiah hilang kata untuk itu. Hanya seberkas air mata pecah di empang
matanya, dan lerai satu persatu menjadi corak birai di pipinya. Oh, gerimis ada
lagi; di sini.
***
Hari ini genap seminggu dari panggilan Umi yang lepas. Masa untuk Mardiah berfikir
sudah suntuk. Janji untuk pulang memberi jawapan sudah dilangsaikan. Cuma
jawapannya tak berbuah dari katanya.
Kini, ada Mardiah dengan Umi di ruang tamu, dan dua cawan kopi ‘o’ yang
Mardiah buat sendiri. Kelibat Abang Amir tak ada. Walaupun sudah kehilangan Kak
Madihah, Abang Amir masih duduk di kampung menjaga Umi, kerana hanya ada Umi
dalam keluarga Abang Amir yang sebatang kara itu. Dan kemudian ada Mardiah.
Sebagai apa?
“Acik dah buat keputusan Umi” dan senyap. Umi hanya redup memandang. Sejak dari
dia sampai di kampung tadi, Abang Amir terus-terusan tidak kelihatan, dan Umi
tidak sepatah pun menimbulkan hal ini. Barangkali mahu dibiarkan Mardiah untuk
tidak terganggu dengan influensasi lain dari keputusan sendiri. Itu lebih baik
pada fikir Mardiah. Setidaknya, biarlah dia yang dianya sendiri berdiri atas
keputusan ini, dan bukan sesiapa. Untuk itu, Mardiah dan bersedia.
“Acik tolak ya, Umi” dan wajah Umi sekilas naik bertembung dengan pandang
Mardiah. Dia hilang suara untuk bertanya lanjut. Pada pandang dua beranak itu
hanya ada kosong. Dan kosong itu terlalu bingit dalam kesunyiannya.
Oh.
Dan pelahan ibu genggam tangan Mardiah, sebelum lekas dileraikannya dan
bangkit melangkah ke kamar. Tinggallah Mardiah dan cawan-cawan kopi ‘o’ tak
terusik di meja kopi; dan sunyi malam.
Oh, gerimis, malam ini kamu tak mahu lerai lagi?
ps: Kispen ini adalah yang kispen yang terakhir bersiaran untuk Slot Sunday. Mulai Februari 2012; Ke semua Kispen Guest Writer yang telah-sedia diberi tarikh akan bersiaran mulai Isnin - Jumaat@9:00 PM. Terima kasih yang tak terhingga kepada semua.