Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Saturday, November 3, 2012

Naskah Untuk Kamu

11:15:00 AM | | Best Blogger Tips



Sekali lagi naskhah di tangan itu dibelek. Sehelai, dua, dan kemudian. Tutup. Perlahan-lahan telapak gebu tangan yang berhias cincin belah rotan yang manis itu mengusap-usap kulit buku yang sedang-sedang itu, sambil mata menjeling ke hujung deretan kerusi yang berbaki.

Kaca mata berbingkai separuh berwarna hitam piano itu dibetul letak duduknya pada batang hidup. Bukan ada salah letaknya tadi, cuma bila gelisah memeluk diri, tingkah menjadi tak bertentu dan tidak bersebab.

Dan hati bisa berdebar, barangkali.

Dup. Dup. Dup. Dup, dan senyum. Manis. Ada lesung pipit terbit di sisi kiri pipinya kemerahan, biarpun tak sempurna lekuknya dan tanpa teman, lesung pipit itu tetap manis. Semanis yang tersenyum. Dan mata dia tak pejam dari celik memandang susuk tubuh yang dinanti tiba.

Tambah manis senyum si dia bilamana si jejaka berseluar jean biru lusuh dan tshirt maroon kosong, itu kian hampir pada dia. Dan waktu itu LRT mula menjengah stesen dan mengisi ruang kosong suasana dengan bunyinya.

Si jejaka sekilas pandang pada LRT yang patuh pada jadual itu mengisi ruang stesen dan menghampiri pintunya yang tentu saja akan buka bila-bila masa. Buku yang dari tadi khusyuk dibacanya tadi dibimbit terus di sisi kanannya sambil berdiri penuh pegun.

Waktu itu, Ain jadi kosong sebentar. Dia terlupa yang kereta api ini juga untuk dia rebutkan untuk ke destinasi yang dia sendiri tuju. Barangkali, agenda sampingannya sudah menjadi agenda utama, hingga dia lupa dia mahu ke mana.

Pintu terbuka. Jejaka itu dah mula melangkah.
Ain, cepat!. Kemudian baru dia bangkit; bangkit dari lamunan, dan bangkit dari duduknya yang entah berapa lama tadi. Berlari anak dengan baju kurung turquoisenya menurut langkah sijejaka, dan harus pasti tidak terlepas tren yang ini. Jika tidak, punch cardnya bisa merah semula. Tapi, itu masih dia mampu jawapkan, yang hilang orang yang dia kejarkan ini yang sebenar dia takutkan. Ah, kan dah merah pipi gebu Ain itu. Menahan malu dengan perangai sendiri barangkali. Anak gadis yang mengejar entah jejaka mana itu. Mana tahu, dia itu milikan orang? Suami orang kah? Oh, tidak. Dia cukup segak untuk itu. Tapi, bukankah all good men are taken? Tidak! Pasti ada satu untuk Ain; dan itu Ain yakin. Cuma, dia kah? Ain hanya mampu tersenyum, dan berlesung pipit lagi.

Tren dah bergerak waktu Ain cuba bersandar di tepi pintu itu. Jejaka tadi masih ada, tak lari dari pandangan ain; Cuma dia saja yang tidak memandang lansung. Tidak perasan langsungkah dia dengan pandangan Ain? Atau buat-buat tak perasan nih?

“Oh, dia pandang!”

***

Pelik. Barangkali. Sharin kembali kepada naskhah Jiwa-Jiwa Kecil digenggamannya. Entah kenapa dirasakan dia diperhatikan orang. Dan orang yang disyaki itu hanya 7 kaki setengah dari dirinya sekarang. Takkanlah gadis manis berkurung cantik itu memandang dia, kan? Atau, yang dipandang dia itu hanya naskhah di tangannya sekarang. Mana tahu. Yelah, gadis itu sendiri memegang naskhah dari penulis yang sama; BIN.

Lama berandai pun tak berguna pada Sharin, lantas dia kembali meleret pada susun huruf pada naskhah di gengamannya. Sharin memang begitu, tidak mahu lekang dengan buku di tangan. BIN itu sendiri sudah dihabiskannya minggu lepas. Sekali baca, satu das, terus sudah. Tapi kesannya sampai sekarang. Itulah penangan tulisan hebat. Bukan semata baca dan lupa terus akhirnya. Biar ada isi. Ada erti.

“Masjid Jamek”

Dah sampai tuju Sharin. Jiwa-Jiwa Kecil ditutupnya. Bersedia untuk keluar, dan mengintai semula gadis tadi. Ah, bertentang mata lagi!. Sah dia melihat sini dari tadi, barangkali?

Pintu terbuka. Berasak keluar. Sharin juga begitu. Melangkah selagi mampu, biarpun bersesak-sesak. Tapi gadis tadi masih di situ, di pintu. Tak berganjak. Ah, mana tahu tak berganjak Sharin? Kamu pulak yang asyik menjeling dia juga kah? Dan berlanggar!

“Oh maaf” terlanggar dia!
“Oh, tak. Maaf. Saya maaf” dan mata bertentang.
“Maksud saya, saya minta maaf. Saya yang tak patut duduk di pintu tadi tu. Orang ramai nak keluar kan” ucap gadis itu tergagap. Dan Sharin hanya mampu senyum. Ah sudah, drama pulak pagi-pagi ni!
“Maaf terlanggar awak” dan dihulur naskhah buku yang dikutip Sharin dari perlanggaran tadi. Entah bagaimana bersesak-sesak nak keluar tadi boleh dia terlanggar gadis itu dan mengheret dia sendiri keluar ke Stesen Masjid Jamek ini.

“Eh, ni. Bukan. Ni bukan” dan dihulur semula Jiwa-Jiwa Kecil kepada Sharin. Sudah, tersalah buku. Aha, sapa kalut nih? Sharin jadi malu. Pipi dia pun mula berlagak jambu mahu merah-merah tak menentu. Sungguh tak jantan.

“Eh, oh” Sharin pulang balik BIN pada si dia, dan di ambil Jiwa-Jiwa Kecil dari gadis itu. Jiwa gadis itu diserah bersekali kah?

Waktu itu baru nampak jelas lesung pipit cemei di pipi kiri gadis itu. Ah, memang warna turquoise ni sesuai untuk yang berlesung pipit kah? Atau dia sendiri yang dah gila tak tentu fasal dalam senyumnya?

“Saya pergi ya” ucap pelahan si dia. Oh ya, dia harus tunggu tadi di tren tadi. Harus tidak turun di sini, tapi Sharin yang terlanggar dan terbawa gadis itu turun sekali, dan sekarang gadis itu mahu pergi semula.

“awak tak lambat?” ujar gadis itu sambil melihat jam dipergelangan tangan.
Lambat? Ah, nanti lambat!

Sharin hanya senyum semula. Dan ucap ‘sorry’ sekali lagi dan mahu melangkah pergi. Kalau tunggu lagi, nanti lewat. Dan dia mahu pergi. Dan jalan.

Pause, dan berhenti.

“Sharin!” pekik Sharin selesai dia berpaling.
“Saya Sharin!” sekali lagi. Cukup untuk gadis itu dengar barangkali. Kerana dia tersenyum, dan mengangguk.

“Ain” sepatah. Tapi cukup, untuk Sharin. Ain. Oh, Ain ya. Dan dia senyum. Kemudian melangkah semula; dengan senyum yang sama.

***

Senyum. Ain senyum tak sudah, biarpun jejaka itu sudah hilang kelibatnya. Oh, ok. Bukan jejaka lagi, tapi Sharin.

“Hmm, Sharin” dan senyum.

Tren LRT yang baru sudah mula menjengah masuk stesen. Dan Ain harus kejar yang ini; biarpun dia sudah tentu lewat.

Tak apa, terlepas tren tadi pun dia sanggup, asal tak terlepas si dia. Dan dia senyum.
Kadang hidup ini terlalu manis, biarpun tidak terucap. Kan?
Ain terangguk kecil, dan senyum; lagi.

5 comments

November 4, 2012 at 10:06 AM

Jiwa2 kecil.. aku belum berkesempatan untuk baca.

Selepas pagi ini, pasti indah setiap permulaan pagi mereka . Woahh

November 4, 2012 at 10:12 AM

Jiwa2 kecil.. aku belum berkesempatan untuk baca.

Selepas pagi ini, pasti indah setiap permulaan pagi mereka . Woahh

November 4, 2012 at 11:38 AM

betul HZ...karya semacam ini perlu penghayatan nak baca...

November 6, 2012 at 8:56 AM

hehe. manis!

Jiwa Jiwa kecil & Bin sangat menarik!.

November 6, 2012 at 4:19 PM

HERO
tak semestinya.
kita selalunya berasa manis bila hidup ini ada kejutan; tapi bila ada unsur penantian, selalu kita terlupa yang kita hanya mampu merancang, tapi Dia yang mengatur penyudah.
kan?
hehe.
ada sambung lagi nih; kot.
aku masih belum memiliki keduanya. dan insya'Allah akan aku ada satu dari dua; buat penyambung Lelaki Khayal.

EL
atau, barangkali karya seperti ini bukan untuk khalayak terbuka bacanya. itu sebab tak ramai yang gemar.
kan?
*senyum*

KA
terima kasih.
tapi hanya manis buah, dan tak cukup manis diabetes untuk buat orang datang dan jadi ketagih.
masih perlu penambahbaikan dari storyline dan penceritaan.

insya'Allah akan ditambahbaik.

kan?

*senyum*

AJ @ unEdited

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...