Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Friday, April 20, 2012

Anjing

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
Cantik aku letak kereta hari ini. Kemas terletak dalam tapaknya. Enjin kereta aku matikan. Aku keluar dari kereta. Aku buka pintu penumpang belakang lalu mengambil bag laptop dan seplastik kuih karipap ayam yang aku beli di cafeteria campus tadi. Aku berjalan dengan ayu sekali sebab aku pakai kasut tumit tinggi hari ini. Entah makhluk apa yang sampuk aku. Aku terlebih melawa hari ini. Mungkin kerana bulan sedang mengambang.

“Oopocoott!! Mak kaauuuu!!”

Ya Allah! Gugur jantung aku. Entah dari mana datang. Tiba-tiba ada dua ekor anjing menyalak di sebelah kiri jalan aku. 

“Adooii…ekau ni anjing… kalau tak buat den tekojot boleh tak? Cubo kok den ado sakit jantong, tak ko den mati katak kek sini haa!” aku mengomel seakan anjing-anjing itu faham dengan kata-kata aku.

Dua ekor anjing itu merenung aku. Aku senyum. Isk! Gila aku ni, bercakap dengan anjing pula. Aku renung anjing itu. Kesian. Anjing jalanan tak bertuan mungkin. Terbiar dan berkeliaran. Ada kutu di telinga. Ada kesan calar dan luka jelas. Sekali lagi, entah makhluk apa yang sampuk aku. Aku jadi terlebih berani pula. Perlahan-lahan aku keluarkan dua biji karipap ayam lalu aku lempar pada anjing-anjing tersebut. 2, 3, 4 saat - anjing-anjing tersebut cuma merenung aku. “Alahai… ekau tak makan karipap ko? Ghugi yo den boghi karipap tu kek kau” getus hati aku.

Saat aku mahu berlalu pergi, anak mata aku dapat menangkap yang anjing-anjing itu makan karipap yang dilemparkan tadi. Aku tersenyum.

Dah cukup 4 hari anjing-anjing tu aku bagi makan ala kadar setiap petang. Ya Allah, tak salahkan apa yang aku buat ni. Tapi anjing-anjing itu seakan-akan menunggu kepulangan aku setiap petang. Sepertinya mereka juga telah tahu mana satu kereta aku dan sepertinya mereka seakan mengawasi kereta aku setiap malam tanda terima kasih kerana memberi makan pada waktu petang. Adakah mereka menganggap aku tuan mereka? Hati aku berbolak-balik. Macam mana kalau mereka anggap aku tuan mereka? Aduhh… masalah nanti. 

Cuma aku tak sampai hati. Kesian. Beberapa kali aku perhati. Jelas kelihatan kesedihan dan kepedihan pada mata anjing-anjing itu. Mungkin mereka selalu sahaja kelaparan. Selalu sahaja di halau. Selalu sahaja kena pukul. Siapalah mereka. Cuma anjing kurap yang terbiar dijalanan. 

Hari ini hari ke-5, pakcik tua yang duduk di rumah tingkat bawah tiba-tiba sahaja menegur aku “aiyoo… amoii! Kenapa kasi itu anjing makan? Itu anjing banyak kotor ooo.. Nanti itu anjing tarak mahu pergi tempat lain ooo..”. Aku cuma senyum dengan pak cik itu. Aku balas “saya kesian sama itu anjing la uncle”.

Dah dua minggu berlalu. Rutin aku masih kekal memberi makan kepada anjing-anjing tersebut setiap petang. Kadang-kadang aku simpan saki baki makanan tengahari aku supaya petang aku boleh kasi kepada mereka. Pernah sekali itu aku terlalu sibuk dan kalut. Aku tak bawa balik apa-apa makanan. Dan anjing-anjing itu menunggu aku. Ya Allah! Sebaknya hati aku melihatkan mereka seperti berharap padaku. Meminta-minta belas supaya diberi makan. Ada bunyi dengusan-dengusan kecil dari anjing-anjing itu. Aku bersuara “Alahaiii anjing… den mintak maaf ni haa… den tak ado bawak makanan tuk ekau niee… shh...shh…”. Dua ekor anjing itu berlegar-legar tidak jauh dari aku seakan memahami bahawa tiada rezeki untuk mereka petang itu. 

Sedih! Aku tak sampai hati. Aku cepat-cepat naik ke rumah. Aku selongkar makanan yang ada. Aku turun semula ke tempat letak kereta. “Anjing…ooo anjing…” aku panggil-panggil mereka. Tak ada. Mungkin mereka merajuk. Aku berkira-kira untuk pergi. Dua tiga langkah aku ambil. Aku terdengar salakkan. “Ada pun” getus hati aku.

Malam itu aku terdengar salakkan-salakkan anjing. Kuat. Mengganggu konsentrasi tidur aku. Tapi aku letih. Aku lena juga biarpun di luar salakkan anjing jalanan mana entah semakin kuat. 

Kecoh pagi ini! Kak Zainab jiran depan rumah aku ligat bercerita tatkala aku keluar membuang sampah. Rumah flat tingkat bawah sekali kena rompak! Rumah yang dihuni warga tua itu memang mudah untuk menjadi sasaran. Setelah aku menghadam segala maklumat dari Kak Zainab. Aku tahu bahawa perompak tersebut berjaya melarikan barang-barang berharga, berjaya meloloskan diri tetapi cedera digigit anjing, dan anjing tersebut ditemui berlumuran darah dipercayai dihentak senjata tajam seakan parang.

Anjing!! Anjing!! Hati aku mula tak keruan. Aku masuk ke rumah. Aku capai helaian tudung. Aku berlari menuruni anak tangga. Jantung aku berdegup kencang. Pantas seakan mahu terkeluar dari sangkar tulang yang meliputinya. Takkan lah dua ekor anjing itu kot. 

Sampai di tempat letak kereta berdekatan dengan lokasi rompakan. Aku lihat ramai jiran-jiran yang prihatin menziarah. Mungkin ada juga yang sekadar ingin tahu. Ada juga polis. Ada juga orang-orang dari majlis perbandaran.

Aku terlihat dua ekor anjing. Ya, itu anjing aku. “Anjing aku?” getus hati aku. Aku panggil mereka – anjing aku – aku terpana. Air mata aku berderaian. Tak dapat di tahan-tahan. Laju umpama hujan. Seekor sedang terbaring berlumuran darah. Seekor lagi menjila-jilat sahabatnya. Sayu. Kelihatan benih-benih airmata menitis. Yang terbaring kelihatan tenat sekali. Luka parah. Nyawa-nyawa ikan. Kedua-dua anjing itu merenung aku. Aku renung mereka kembali. Tangisan aku sudah tidak boleh di bendung lagi. Airmata ini meluncur laju. Kami cuma saling memerhati. Diam tanpa bersuara seolah-olah memahami. Mungkin inilah kali terakhir kita bertemu wahai anjing. Aku minta maaf jika aku berbuat salah. 

Anjing-anjing itu masukkan ke dalam lori. Aku tahu. Mereka akan tidur. Mereka takkan berkeliaran lagi. Mereka tak akan menunggu aku pulang pada waktu petang lagi. Kereta aku tidak akan diawasi lagi. Airmata kian laju. Lori tersebut bergerak perlahan. Dan aku masih berdiri memerhatikan anjing-anjing itu. Aku menangis. Dan aku tak hiraukan orang sekeliling aku. Mungkin cuma pak cik cina yang menegur aku itu sahaja yang faham akan perasaan aku. Air mata mengalir lagi, deras dan panas seiring dengan pergerakan lori yang membawa anjing-anjing aku. Selamat tinggal. Aku takkan lupakan kalian.

Hak Cipta Iman Nur Aima

7 comments

April 20, 2012 at 11:07 PM

huh...! aku terkesima bila baca kispen ni masa mula2 dihantar... sepertinya satu rentetan peristiwa... yang benar2 terjadi...

ps: jgn nanes ya... tuhan beri macam2 cara untuk timbulkan rasa sayang dan belas... dalam bentuk dugaan yang gadis ini hadapi...

April 21, 2012 at 12:13 AM

Aku dah nanes...

aku memang ratu airmata agaknya..

aku teringat... satu kisah aku dengan sang anjing....

April 21, 2012 at 10:51 AM

aku pun nanes juga...walaupun anjing, ia tetap makhluk Tuhan. dan walaupun aku tak suka anjing sebab ia selalu melepas depan rumah aku, tapi aku berasa ok bila aku balik larut malam, aku nampak ia tidur tidak jauh dari pagar rumaha aku...huhu!

CodeName_FBC
April 21, 2012 at 2:48 PM

sedih...dapat rasa kepedihannya

April 22, 2012 at 12:38 AM

mata aku pedih. tsk tsk. murninya hati si perempuan iu.

April 22, 2012 at 8:18 AM

ayu... :(.. sedih..
tetibe teringat anjing lumpuh yang berjalan mengheret kakinya berhampiran driving school di usm dulu :(..

April 24, 2012 at 10:53 AM

huhuhuh... :))

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...