Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Showing posts with label The Gloomy Ayie. Show all posts
Showing posts with label The Gloomy Ayie. Show all posts

Thursday, July 5, 2012

Kisah Cinta

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
Ironi. Hari tetap cerah walaupun gadis itu sedang berduka. Tidak tahu apa hari sedang cuba buat gadis itu ceria atau cuba ejek dia.

Keluhan dilepaskan lagi.

Perlahan, satu demi satu langkah, gadis itu berjalan ke arah pohon rendang itu. Daun kering memenuhi bawah pohon itu.

Aneh, betapa gadis itu dahulu sangat menyukai bunyi daun kering dipijak. Terasa meriah walau dia sendiri. Tapi hari ini, gadis itu membencinya. Membuat dia tambah sunyi dan mengingatkan dia bahawa dia kini sendiri.

Dia kini sendiri.

Hati gadis itu pedih sekali mendengarnya. Akalnya tidak mampu menerimanya. Dirinya bagai tidak mampu menafsirkannya.

Gadis itu angkat tangannya, menyentuh pohon itu. Menyentuh batangnya. Menyentuh ukiran di batang pohon itu. Ukiran nama gadis itu dan nama cintanya.

Dia larikan hujung jari tangannya di situ, menyentuh seperti orang buta. Merasai tiap lekuknya, tiap timbulnya.

Dia pejam mata. Terasa seperti kembali ke masa lalu.

Gadis itu merasakannya. Saat itu. Saat nafas pemuda itu menderu di sisinya. Pisau lipat yang sentiasa berada di genggamannya dilarikan ke permukaan batang pohon. Mulanya gadis itu kira dia hanya mahu melakukannya, tapi bila gadis itu amati, rupanya pemuda itu sedang mengukir namanya.

"Untuk apa itu, kau ukir namaku?" tanya si hadis.
"Mari ukir namaku di bawah namamu," sang pemuda tarik tangannya.

Gadis itu yang terduduk di dalam pelukannya, capai pisau itu dan mula ukir nama pemuda. Setelah sudah selesai, gadis itu pusing kepalanya dan menghadap muka sang pemuda. Pemuda itu tersenyum padanya, dan dia senyum semula.

Indah. Seolah olah saat itu matahari terbit. Seolah olah saat itu pelangi muncul. Seolah olah saat itu syurga miliknya. Dan saat itu, pemuda itu, syurganya, memang miliknya.

Gadis itu buka mata. Tersentak. Terkejut. 

Betapa kenangan itu memenuhinya. Betapa kenangan indah yang lalu mampu menjadi mimpi ngeri kini, saat cintanya bukan milik dia lagi.

Jatuh air matanya. Mengalir melalui cerun pipi, jatuh di lurah dagu. Tangannya yang masih di ukiran berubah menjadi genggaman.

Dia berusaha mencari kekuatan. Dia peluk tubuhnya. Dia sandarkan tubuhnya pada pohon itu. Berharap sedikit sebanyak pohon itu mampu memberi dia sedikit kekuatan agar tidak jatuh menjadi kepingan.

Jatuh air matanya. Membawa pergi sekali kekukuhan kakiku. Dia rebah di bawah pohon itu. 

Jatuh air matanya. Saat bicara pemuda itu kembali tergiang di telinganya. 

"Tiada restu dari orang tuaku untuk cinta kita,"

Jatuh air matanya. Dia semakin tenggelam dalam kesedihannya dan berharap malaikat maut mengambil nyawanya.

-----

"Jangan. Jangan biarkan aku hidup tanpamu," bisik sang pemuda.

Tangannya melingkar di pinggang gadis itu. Gadis yang kelihatan hanyut dalam kepedihannya. Gadis yang berlari meninggalkannya setelah dia beritahu kebenarannya. Gadis yang kini duduk meringkuk di bawah pohon mereka.

Gadis itu membuka mata. Dan melihat malaikatnya ada di depan mata. Semangatnya seakan diseru. Tapi semangat itu seakan luntur semula mengingat kenyataannya.

Dia menangis semula.

"Jangan bazirkan air matamu lagi," kata pemuda itu, menghapusnya.
"Tapi kita tak punya restu orang tuamu," tersedu sedu ayat dituturkan.

Pemuda itu menarik gadis itu dalam pelukannya. Dia mengusap rambut gadis itu. Perlahan. 

Berharap itu dapat menenangkannya. Berharap itu dapat meredakan tangisannya. Berharap itu dapat menyembuhkan lukanya. Berharap itu dapat menghentikan kesedihannya.

"Kita akan cari jalan untuk bersama," ujar pemuda itu. Perlahan tapi menyakinkan. Lembut tapi boleh diharapkan.

Gadis itu mengangkat kepalanya. Merenung mata si pemuda.

"Benarkah?"
"Yakinlah, aku mencintaimu," jawab si pemuda.

Gadis itu merebahkan kepalanya di dada pemuda. Semakin hanyut dalam pelukan hangat itu. 


Hak Cipta: The Gloomy Ayie

Monday, May 21, 2012

Je T'aime

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
"Aku benar benar tidak mengerti. Apa yang salah denganku?" tanyaku padanya. Aku bertanya, kerana aku tak punya jawapannya.

Kelihatannya, dia juga sama.
"Tiada yang salah denganmu." jelasnya.

Aku menatapnya, dalam dalam. Sedalam yang ku mampu. Sedalam mungkin dan berharap semoga aku mampu membaca kepala dan isi hatinya. Tapi, jelas sekali, aku memang tidak mampu.

"Kenapa kau menatapku seperti itu?"

"Tiada adakah yang memberitahumu, saat wanita menatapmu, dia tertanya tanya kenapa kau harus menipu." kataku, dingin.

"Aku tidak menipu!"
Aku menggeleng tidak percaya.

"Semua yang kukatakan benar belaka. Aku tidak pernah menipumu." nafinya lagi. 
Aku tersenyum sinis, bergerak menjauhinya.

"Apa lagi yang kau mahu dariku? Apa lagi yang tidak kau fahami, sebenarnya? Sudah ku jelaskan semuanya, bukan?"

Aku memeluk tubuh. Semilir angin musim luruh, bertiup dan menggugah pertahanan diriku. Kesejukan ini tidak ada apa apa dibandingkan dingin yang dia sebabkan ke dalam hatiku. Dingin yang membeku.

"Aku hanya tidak mencintaimu, tidak sebesar itu." katanya lagi.

Mujur aku tidak berdiri menatapnya. Mujur aku membelakanginya. Mujur aku memeluk tubuh. Mujur sahaja aku pakar dalam menangis tanpa sendu. Mujur sahaja dia tidak melihat air mataku menitis.

Oh, betapa kata katanya menyakitkan!
Tanpa balasan dariku, dia gundah. Dia resah. Dia seperti cacing kepanasan atau mungkin kucing kelaparan. Dia bingung. Dia bergerak gerak gelisah. Kakinya maju mundur, seperti yang selalu dia lakukan saat dia sedang gementar. 

"Bertenanglah. Tarik nafasmu. Semuanya akan baik baik sahaja." dan begitulah janjinya.
"Bertenang? Kita bicara tentang hatiku, kau tahu?" aku berpaling semula..

Jelas, dia tersentak. Dia terkoyak. 
"Kau fikir itu mudah? Tidak!" aku mula menyinga.

Dia membuang pandang, tidak tahu bagaimana untuk membalas ayatku.
"Letak dirimu di situasiku. Bayangkan, kau bertemu satu wanita budiman, dan dia memberitahu kau istimewa dan dia sangat menyukaimu. Dia membuat kau suka padanya. Tapi keesokan harinya, dia kata kalian tidak mungkin bersama. Apa yang akan kau rasakan? Apa yang kau lakukan?"

Dia tetap diam.
"Dan dia menolakmu, dengan mengaku, dia hanya tidak mencintaimu, tidak sebesar itu."

Dia menggigit bibirnya dan tetap diam.
Aku merenggut bajunya. Memaksa dia membalas pandanganku seraya berbisik :

"Beritahu aku, bagaimana kau mahu terima? Bagaimana kau akan jalaninya? Bagaimana kau akan telan kenyataan seperti itu? Bagaimana kau tetap bertenang ketika itu? Bagaimana?" 

Tiada jawapan.

-----

Mataku terbuka. Kegelapan malam yang membutakan membanjiri pandangan. Aku mengambil masa yang cukup lama membiasakan diri dengan kegelapan itu dan bernafas. Ketika aku kembali menggenggam kewarasanku, aku bangkit dari pembaringanku.

Dia lagi.
Sebulan terakhir ini, kebanyakan mimpiku berkisar tentang dia. Dia dan dia dan dia dan dia lagi dan lagi lagi dia. Suasana tidak semestinya sama. Keadaannya juga kadang kadang beza. Ada mimpi dia hanya tersenyum padaku. Ada mimpi, kami lebih mesra daripada pasangan manapun di dunia. Ada mimpi, kami hanya berpandangan, lama sekali, dan aku memang tidak pernah jemu dengan mimpi itu. Ada juga mimpi, dia langsung tidak mempedulikanku. Tapi mimpi yang seperti tadi, tidak pernah aku alami.

Dan, sedikit demi sedikit, mimpi mimpi itu membunuhku. Perlahan lahan, mimpi mimpi itu menyeksaku.
Tidak bisakah ini semua berhenti? Sungguh, apa lagi yang aku harapkan? 
Aku tidak pernah lagi berbicara padanya. Tidak pernah sekalipun. Bagaimana mungkin aku bicara padanya, bila menatap wajahku sahaja, dia tidak mahu. Hanya aku, yang tetap menjadi pemerhati setia yang menyedihkan.

Sakitnya, Tuhan sahaja yang mengerti. Perihnya, aku sahaja yang jalani. Bebannya, aku juga yang atasi. Hingga, tiada lagi yang tinggal buatku.

Kosong.
Tiada sandaran, tiada harapan, tiada kekuatan, tiada keghairahan untuk merasa gembira, tiada nafsu untuk meneroka dunia. 

Tiada lagi langkah yang berirama, tiada lagi puisi kata kata, tiada lagi senyuman penuh mesra, tiada lagi ketawa penuh renyah, tiada lagi kekuatanku
Semuanya sudah tiada. Dibawa pergi bersama deru angin, dilenyapkan oleh waktu.

Dan setiap kali aku memandangnya, aku tahu hanya aku yang merasakannya. Hanya aku yang cuba bertahan dan terus bertahan agar tidak datang dan merenggut kolar bajunya dan memohon atau mungkin merayu padanya agar keadaan kembali semula seperti selalu. Agar aku tidak sekosong ini. Agar sunyi hati ini tidak akan berterusan lagi. Agar dapat aku kembalikan semula keghairahanku.

Rasanya, seperti seluruh dunia sudah berbalik dan berpaling daripadaku.
Jujur, aku sendiri sudah muak melagukan sepi. Aku sendiri sudah jemu dengan menuliskan kepedihanku. Aku sudah tidak mahu lagi bercerita tentang sedih.

Aku juga mahu bercerita yang indah indah. Aku juga mahu berlagu ria. Aku juga mahu merasa hangatnya dunia. Aku juga mahu berkarya tentang kisah cinta yang membuat pembaca mengalir air mata kerana cemburu padaku.

Aku mahu merasainya. Aku mahu melakukannya.
Tapi aku tidak mampu. Kerana aku tidak punya inspirasi. Kerana aku tidak punya pengalaman.

Apa aku tidak punya kesempatan merasai bahagia seperti itu? Apa aku tidak punya peluang itu? Apa aku tidak layak?

Aku mengesat mukaku, malam ini akan mencukupkan koleksi malam tanpa tidur nyenyak yang sudah lama tidak aku rasakan. 

Dunia oh dunia, aku tidak pernah mengerti takdirmu. 



Hak Cipta: The Gloomy Ayie

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...