Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Showing posts with label Tema - Julai 2012. Show all posts
Showing posts with label Tema - Julai 2012. Show all posts

Saturday, July 21, 2012

Bukan Tentang Sofia

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips

Sofia

Sudah genap 15 tahun pemergian Sufian ke Sumatera tetapi aku masih tidak pernah putus menanti kepulangan nya. Setiap hari aku akan kembali ke jeti ini tatkala matahari terbit dan pulang selepas ia terbenam. Aku sudah kenal keindahan pagi dan senja hinggakan ia hilang makna. Mana pernah aku nikmati indah kalau hati masih resah dan gundah menanti kekasih yang tidak pulang. Orang kampung kata ini kerja gila. Persetankan sahaja. Mereka tidak kenal erti cinta. Cinta aku pada Sufian sentiasa mekar. Lebih subur dari setaman mawar merah yang kelamaan akan layu mencium tanah. Sofia janji akan tunggu abang Sufian pulang.

Sufian

Maafkan aku Sofia kalau kau terpaksa menunggu .... Tetapi aku tidak mungkin akan pulang lagi.

**************************************

"Eh,habis tok ... Yang kami jumpa kat jeti tu hantu si Sofia lah tok?" Tanya Ajib pada Pak Samad,ketua di  Kampung Nelayan. Sambil menjamah pisang goreng di warung Wak Jeman, Aku dan Rashid tekun mendengar. Tipulah kalau darah kami berdua tidak berderau dengar cerita Tok ketua. Baru 2 jam lepas kami terserempak dengan gadis yang dikenali sebagai Sofia di jeti. Orangnya cantik walaupun tidak terurus dengan berkebaya biru lusuh dan rambut serabai. Terlalu cantik bagi 'orang yang dah mati' ??

"Ha,iyelah. Si Sofia tu da mati 2 tahun lepas kena rogol ramai-ramai. Lepas tu orang kampung jumpa mayat dia ternggelam timbul je kat bawah jeti tu. Sejak dari hari tu lah roh dia ade je kat jeti tu. Mula-mula kami takutlah. Lama-lama dah menjadi kebiasaan. Asalkan dia tak mengganggu kami cukuplah." kata Pak Samad, leka menggulung rokok daun.

"Habis Sufian macam mana?" giliran Rashid bertanya pada Pak Samad

"Sufian ... Sampai ke sudahnya dia tak pulang ke sini. Entah apa khabar dia pun tok tak pernah dengar."

Kami saling berpandangan. Masakan begitu pula cara orang kampung ini. Sudahlah roh si mati tidak tenteram. Sepatutnya dibacakanlah apa yang patut. Boleh pula dibiarkan dan menjadi kebiasaan. Kami terdiam sebentar, masing-masing cuba untuk menganalisis cerita Pak Samad dan membuat konklusi. Hampa, benda ini terlalu karut bagi aku.

"Terima kasih lah tok sebab sudi berkongsi masa dengan kami. Kami dah dapat banyak cerita dah ni. Rasanya cukup untuk siapkan kerja kami ni. Terima kasih banyak-banyak." kami ingin bersalaman dengan Pak Samad tetapi tiba-tiba Pak Samad bangun dari duduknya dan terus berlalu pergi tanpa kata. Kami berpandangan sesama sendiri. Aneh dengan kelakuan orang tua itu.

Tidak ingin membazirkan masa, kami segera mengemas peralatan kamera kami ke dalam kereta lalu beredar keluar dari Kampung Nelayan. Sesuatu yang aneh lagi berlaku. Ketika dalam perjalanan keluar dari kampung, seolah semua penduduk kampung yang kami terserempak merenung kami dengan tajam. Seram sejuk. Tetapi diabaikan sahaja oleh kami.

"Uish!! Stop jap! Gua nak terkencing ni. Tu stop kat stesen minyak tu kejap!!" Dari riak muka Rashid aku dah boleh agak dari tadi dia menahan air kecilnya. Ajib segera memutarkan stereng ke stesen minyak dan berhenti di parkir. Risau kalau Rashid terkucil dalam keretanya. Rashid berlari sambil mengepit kedua belah kakinya membuatkan aku dan Ajib ketawa terbahak-bahak. Tawa kami terhenti bila cermin tingkap di ketuk oleh seorang makcik

"Ye, makcik?" tanya Ajib sambil menurunkan tingkap keretanya.
"Maaflah makcik menggangu. Makcik nak tanya sikit. Tadi makcik nampak kamu datang dari simpang ke Kampung Nelayan. Kamu ke sana kenapa ye?"
"A'ah makcik. Kami ada buat penggambaran untuk dokumentari kat sana. Kenapa ye makcik?"

Makcik tua itu menggaru kepalanya. Mukanya seolah serba salah.

"Makcik pun taktau nak cakap macam mana ni kat kamu. Serba salah dibuatnya ni. Tapi ... Kampung Nelayan tu dah tak wujud dah."

Aku dan Ajib tersentak mendengar kata makcik tua itu. Entah jenis gurauan apa ini yang penting ia sememangnya tidak kelakar.

"Ish, makcik jangan main-main. Kami betul-betul baru balik dari sana ni. Siap borak dengan Pak Samad ketua kampung tu lagi." Ajib menggigil. Aku juga sudah boleh rasa getaran di kepala lutut yang bakalan akan naik terus ke badan.

"Makcik tak tipu ni. Kampung Nelayan tu dah tak wujud. Pernah ada kejadian kebakaran 10 tahun dulu. Habis satu kampung tu terbakar. Ramai yang mati. Cuma adalah 3-4 keluarga yang selamat."

"Kira keluarga tok ketua antara yang selamat?" Aku memberanikan diri untuk bertanya dan berharap jawapan yang akan diberi bukan yang aku inginkan

"Rumah Pak Samad lah yang pertama sekali terbakar. Satu keluarga mati rentung. Dari cerita yang makcik dengar, Si Samad tu berpakat dengan geng-geng dia buat kerja jahat. Mereka rogol seorang anak gadis beramai-ramai dan campak ke laut. Tapi gadis tu tak mati. Cuma jadi gila lah lepas tu. Dia yang membakar rumah tok ketua dengan satu kampung tu dibakarnya. Kalau kamu ade lalu kat jeti usang dalam kampung nelayan tu ada lah kamu nampak dia sampai sekarang macam tu lah keadaannya. Menunggu laki dia balik. Dia taktau laki dia dah kahwin baru kat Sumatra tu. Kesian makcik tengok."

Aku dan Ajib diam. Kebenaran yang diberi kedengaran seperti satu kisah dongeng, penipuan yang menjadi. Ajib tergelak kecil. Perlahan-lahan masuk ke kereta. Aku juga meninggalkan makcik itu termangu seorang. Rashid yang tidak disedari oleh kami dari tadi mendengar dari belakang juga masuk ke dalam kereta. Sepanjang perjalan pulang tiada seorang dari kami bersuara. Sampai sahaja ke kolej, Rashid terus mencampak kameranya ke dalam longkang besar.

"Kita buat kajian lain lah k?"
"Ok. Tapi perlu ke kau campak kamera tu?"
"Takpe. Ajib kaya. Boleh beli kamera lain."

Thursday, July 19, 2012

Buih

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips


Jika kamu pinta aku figurkan diriku ini dengan apa apa sekeliling yang boleh ku iyakan itu persisku, ulas bibirku mulai menguntum senyum. Sambil pandang rupa mulusmu yang bertahi lalat jelas di sebelah kiri dagu dengan penuh kaseh aku ertikan diriku ini bak satu dari jutaan ruap buih yang bersepahan di muka air biru masin yang tiada pernah kenal erti tenang. Dan kamu tanyakan mengapa perlu buih?. Dan aku balas soalan kamu itu dengan soalan kembali.

Bagaimana kata pikiranmu bilamana kamu saksikan buih-buih kosong itu di dada laut yang bidang itu?
Apa kata benakmu, itulah diriku. Pasti itu diriku.


Hak Cipta: Ana



Persinggahan

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips


Lewat pertemuan kembali dalam ruang maya sosial Mukabuku itu setelah bertanya khabar dan setelah berbicara antara hati ke hati. Akan tiadalah lagi penyesalan selain menghadapi dan mencari jawapan atas kesilapan lalu. Aku membuat keputusan bertemu lagi dengannya. Sang wanita yang pernah menjadi jantung hati ku.Itu suatu ketika dulu waktu aku leka melayan perasaan dan sejujurnya aku tidak berpijak di bumi yang nyata. Permintaannya untuk menemuiku ku tunaikan.

Bertemu dengan mantan kekasih lama sama seperti bertemu dengan segala kepahitan dan kekecewaan lalu. Tidak ada sedikit pun yang berjaya meloloskan diri. Ini adalah satu lawan satu. Siapa yang akan kecundang dan tewas adalah perasaaan...

"Kau berdendam dengan aku?"
"Tidak...nak buat apa berdendam...sedangkan setiap ugama yang dianuti pun menuntut semua manusia bermaafan?"

"Ya...aku pun tahu kau memang senang dan mudah memaafkan tapi aku rasa kau tak akan melupakan tentang apa yang aku perlakukan pada diri kau dulu..."

"Entahlah...kadang kadang aku terfikir jika kau tidak kecewakan aku dulu...aku tak akan jadi seperti aku sekarang di hadapan kau ini..."

"Jadi betul lah kau masih berdendam dengan aku...kau membenci aku selama hidupmu...?"
"Manusia yang hidup dan mereka terikat dengan apa yang mereka terima sebagai betul dan benar. Itulah bagaimana yang mereka mentakrifkan" realiti ". Tetapi apakah maknanya menjadi" betul "atau" benar "? Konsep sekadar kabur ... " realiti "boleh juga semua menjadi fatamorgana. Bolehkah kita menganggap mereka hanya hidup dalam dunia mereka sendiri, yang dibentuk oleh kepercayaan mereka? "



"Kau fikir kau yang hanya penting. Kau rasa kau boleh meletakkan kira kekeciwaan. Tetapi kedamaian yang akan selalu membuat kau bodoh dan tanpa berfikir terlebih dahulu. Jika kau menyakiti hati seseorang, orang lain pula akan menyakiti hati kau ... Rantaian kebencian ini mengikat kau, aku dan mereka bersama-sama."

"Aku tahu namun apabila seorang manusia belajar untuk mencintai, dia juga mesti menanggung risiko hidup dalam penuh kebencian."

Wednesday, July 18, 2012

Jeti Itu

9:21:00 AM | | | Best Blogger Tips


“Abang… Jom lah kita pergi ke jeti… Nisa nak tengok kocak air… Nak tengok langit luas… Jom lah bang…”, Khairunnisa mula merengek. Meskipun umurnya hanya setahun lebih muda dari Khairul dan Khairil, namun sifat manjanya mengalahkan bayi kecil yang masih menyusu. Pernah juga Khairul meluat dan rimas dengan kemanjaan Nisa tapi apakan daya, Nisa sahaja perempuan dalam adik beradiknya. Tidak hairanlah jika segala perhatian dan kasih sayang diberikan lebih terhadap adik perempuannya itu.

“Dah minta izin mama?”, mendatar suara Khairul. Khairil disebelah hanya menjungkit kening.

“Alaaaa…Abang lah cakapkan… Kalau Nisa yang cakap mesti mama tak kasi… Boleh la yaa…”. Seperti kebiasaan, Nisa meyuruh manja. Memaut lengan Khairul dengan harapan pujukannya berhasil.

Sekilas Khairul menoleh Khairil, abang kembarnya. Dan Khairil hanya menggeleng tidak setuju.

“Abang Khai….”.
“Alaaaa…Boleh laaaa…”. Belum sempat Khairul menghabiskan patah kata, Nisa terlebih dulu memintas. Merayu beserta rengekan.
“Nisa janganlah merengek… Abang tak kesah… Tapi Abang Khai tu tak nak…”. Sempat Khairul menjeling geram ke arah Khairil yang masih duduk menghadap televisyen. Bagai tiada apa yang berlaku baginya.

“Nisa tak nak geng abang… Merajuk…”, ucap Nisa sebelum menyembamkan mukanya di sofa berdekatan. Khairul yang sedari tadi memerhati tingkah adik perempuannya itu kian rasa bersalah apabila mendengar esakan tangis kecil dari Nisa.

“Kau lah ni… Suka sangat buat Nisa merajuk. Last-last aku jugak yang kena pujuk… Eiii… Payah betul dapat kembar yang tak bertamadun macam kau ni tau…”. Khairul cuba melepas geram terhadap Khairil.

“Eyhhh kau ni… Over plak dah kenapa. Tak nak aku pergi jeti tengah-tengah hari begini. Panas tahu tak. Macam lah kau tak tahu perangai si Nisa tu kalau dah ke jeti macam mana. Tak kan cukupnya masa sejam untuk dia termenung ngadap kocak air laut dia tu… Entah apa yang dia menungkan selama ni aku sendiri tak tahu. Tak faham betul aku. Kau seorang je yang rajin nak melayan kerenah dia tu… Kalau teringin sangat nak mati kena telan dengan hantu laut, pergilah… Aku tak pernah halang pun…”. Khairil pula cuba melepas rasa.

Khairul hanya mendengus perlahan. Meski panas telinganya mendengar bebelan Khairil, namun apa yang diperkatakan oleh kembarnya itu ada benarnya. Masakan tidak, satu kampung kecoh bila arwah Pak Samad, bapanya meninggal terapung di laut setelah jatuh dari jeti tersebut. Setiap detik tragedi enam tahun lepas masih lagi segar dalam ingatannya.

************************

Khairul bersama Nisa menanti di jeti dengan senyuman setelah melihat kelibat bot bapanya hampir sampai. Berharap agar rezeki yang dibawa pulang ke rumah kali ini cukup untuk menjamu ahli keluarga.

“Nisa tunggu situ diam-diam ya… Abang nak tolong ayah angkat jala”, arah Khairul. Nisa hanya mengangguk seakan mengerti.

Entah bagaimana, ketika Pak Samad sedang mengatur langkah ingin mendaki tangga jeti tiba-tiba dia terpijak kayu reput lalu jatuh ke bawah. Kepalanya terhantuk di sisi bot dan tidak sedarkan diri. Khairul yang sewaktu itu baru mencecah tujuh tahun berdiri terpaku. Tidak tahu apa yang ingin dilakukannya saat itu. Menjerit meminta tolong, tiada siapa di situ yang dapat membantu. Akhirnya, hanya pandangan mata saja mengekori tubuh Pak Samad yang kian terapung di tengah laut.

“Abang… Ayahhhh….”, Nisa bersuara perlahan sambil menunjuk ke arah Pak Samad. Khairul memeluk adiknya erat-erat. Dan semenjak detik itulah, Nisa begitu gemar menghabiskan masanya beberapa jam di jeti berkenaan. Duduk termenung memandang air, bagaikan dia dapat melihat raut wajah sang ayah yang terlalu dirinduinya.

************************

“Nisa… Nak pergi jeti tak?”. Nisa memandang Khairul yang kini sudah berada di sebelahnya. Senyuman manis yang menampakkan lesung pipit dihadiahkan Khairul buat adik kesayangannya itu. Cuba memancing untuk memujuk rajuk Nisa.

“Yeyyy… Nisa saaayang abang…”. Serentak, satu kucupan manja singgah di pipi Khairul.
“Abang pun sayangkan Nisa juga…”. Khairul tersenyum puas. Bukan payah baginya untuk memujuk Nisa.

Sepuluh minit perjalanan sebelum sampai ke jeti, hanya sepi yang menemani kedua beradik itu. Tiada gurau senda seperti kebiasaan. Sempat juga beberapa kali Nisa mencuri jeling ke arah Khairul, sedikit pelik dengan tingkah abangnya. Bagi Nisa, Khairul dan Khairil sangat berbeza. Khairil sedikit tegas berbanding Khairul yang seringkali gemar untuk bergurau manja bersamanya. Khairul rajin melayan kerenahnya tidak seperti Khairil yang hanya lebih banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen. Dan kerana itulah, Nisa kelihatan lebih senang untuk bermanja bersama Khairul jika dibandingkan dengan Khairil.

“Nisa rindukan ayah?”, Khairul tiba-tiba bersuara.
“Abang tak rindukan ayah ke?”, Nisa kembali menjawab dengan pertanyaan.
Senyap… Tiada balasan dari Khairul.

“Abang nak tahu tak… Nisa rasa macam dekat sangat dengan arwah ayah bila Nisa duduk dekat jeti ni tau... Sebab tu Nisa tak pernah rasa jemu tiap-tiap hari datang sini. Jeti ni, dah macam rumah kedua bagi Nisa. Ayah tinggalkan kita kat jeti ni kan bang… Nisa ingat lagi macam mana ayah boleh terjatuh… Nisa rindukan ayah… Sebab tu Nisa nak datang sini… Duduk dekat jeti ni, hati Nisa rasa tenang je tau bang… Abang tak rindukan ayah macam Nisa rindukan ayah ke? Kalau boleh, Nisa nak ayah ada macam dulu… Nisa tak puas lagi nak manja-manja dengan ayah… Nisa nak peluk ayah… Nak cium pipi kiri kanan ayah… Nisa tak dapat buat tu semua masa hari terakhir ayah pergi ke laut sebab Nisa bangun lewat. Nisa cuma dapat ikut abang tunggu ayah pulang je… Tapi hari tu tak sama macam hari-hari biasa… Ayah pulang ke rumah dalam keadaan kaku… Sekejap sangat rasanya masa yang tuhan berikan untuk Nisa kenal ayah, bang… Sekajap sangat…”. Perlahan kata-kata tersebut diucap Nisa. Sedaya upaya dia menahan airmatanya agar tidak gugur ke bumi.

“Dulu masa ayah baru-baru meninggalkan bang, Nisa selalu fikir yang hidup ni tak adil tau… Yelah, abang dapat kenal ayah setahun lebih daripada Nisa. Nisa kenal ayah cuma enam tahun je… Tu pun masa Nisa masih kecil lagi… Abang rasa, enam tahun tu cukup ke untuk kita kenal orang yang kita sayang? Bagi Nisa tak… Janggal sangat rasanya bila kita dah tak datang lagi ke jeti ni tunggu ayah pulang... Sebab tu lah Nisa selalu datang sini… Nisa datang dengan harapan, yang ayah kembali pulang ke pangkuan keluarga kita… Harapan Nisa tu mustahil kan bang? Dua minggu Nisa demam lepas ayah pergi… Dan sampai sekarang Nisa tidur bertemankan kain sarong terakhir yang ayah pakai masa dia hidup… Walaupun kain sarong tu dah banyak kali ibu basuh, tapi bagi Nisa bau ayah tetap ada… Abang… Nisa rindu sangat dekat ayah… Kalau lah ayah ada lagi…”, serentak dengan itu, airmata Nisa berlumba-lumba jatuh membasahi pipi dan kedengaran percikan air yang kuat bagai sesuatu jatuh ke permukaan air. Nisa memusingkan kepalanya ke arah bunyi tersebut.

“Abang……..!!!”, Nisa menjerit sekuat hatinya. Kelihatan Khairul tenggelam timbul dengan tangannya terkapai-kapai. Nisa yakin, abangnya tidak pandai berenang. Dua minit kemudian, susuk tubuh Khairul dilihat terapung di permukaan. Sekali lagi, tragedi enam tahun lepas kembali bermain di layar mata. Jika dulu dia kehilangan ayahnya, kini abang kesayangannya pula pergi bersaksikan matanya sendiri.

************************

“Nisa… Bangun dik… Kenapa tidur meracau ni?”, Khairul mengejut adik bongsunya lembut. Kelat-kelat Nisa membuka matanya yang kebasahan.
“Abanggg… Jangan tinggal Nisa…”, terus Nisa memeluk Khairul. Lagaknya bagai takut benar kehilangan lelaki itu.

“Abang nak tinggal Nisa kenapa pula… abang tak kemana pun kan… Nisa ngigau ni… Tengok tu, tidur pun boleh nangis…”, Khairul cuba menenangkan Nisa.

“Bangunlah dik… Pergi cuci muka ya. Ibu dah tunggu untuk makan tu… Lekas…”, penuh berhemat Khairul mengarah Nisa yang masih lagi tidak berganjak. Bimbang juga sekiranya emosi Nisa masih tidak stabil.

“Irul… Kenapa pula dengan adik kamu tu?”, laung ibu dari dapur. Menjengahkan sedikit kepalanya cuba melihat apa yang berlaku.

“Nisa ngigau bu…”, ujar Khairul jujur.

Tuesday, July 17, 2012

Korban

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips


Kazim kecut perut. Tidak berani kiranya dia lihat pandang muka Ayah Husin yang merah pedam. Tak cukup dimaki, tambah pula disepak dua kali petang tadi, cukup untuk buat Kazim diam sampai ke lewat senja. Penuh hati-hati, mereka menyusuri sisi lembah yang semakin kelam. Lampu suluh dituju Kazim ke sekeliling. Ayah Husin pandang kiri, pandang kanan, pandang kiri semula memerhati sekitar.

            “Sepatutnya di sini?” tanya Ayah Husin, keras.
            “Ya, subuh tadi sinilah Kazim campakkan,” jawab kazim, perlahan.
            “Bodoh punya budak. Pandai makan, tak pandai simpan,”
           
            Mereka terus mencari.

***

Siapa yang tak tertarik dengan Suhana, anak dara paling cantik di Kampung Raja. Dengan gaya manja dan perwatakan menggoda, ditambah pula dengan muka keanak-anakan dengan liuk lentuk badan ketika bicara sebagai pelengkapnya. Ramai pemuda kampung yang memasang niat untuk menjadikan Suhana sebagai suri dalam hidup mereka. Jangan kata pemuda, yang sudah berkahwin juga pasti punya angan-angan untuk tambah cawangan!

Namun, manjanya Suhana lagak burung merpati. Nampak saja jinak, tapi sukar ditundukkan. Entah berapa banyak rombongan meminang yang ditolak beliau mentah-mentah. Ibu bapa Suhana sudah pening memikirkan sikap anak gadis mereka. Malu juga jika anak mereka dituduh sombong dan mudah-mudah mempermainkan hati lelaki.

Kazim, anak Ayah Husin yang sudah lama meminati Suhana juga ditolak pinangannya. Bukan sehari dua dia kenal Suhana. Mereka kenal dari kecil. Malang si Kazim, cinta yang disimpan bertahun-tahun rupanya tidak berbalas akan Suhana. Dia hanya menganggap Kazim sebagai abang-nya, tidak lebih dari itu.

Walau apa keputusannya, Suhana masih sayangkan Kazim. Dia tidak sanggup melihat Kazim yang kecewa atas penolakan pinangannya. Benar, walau dia tidak menyimpan perasaan terhadap Kazim, tetapi selama ini Kazim melayannya sangat baik. Akhirnya, Suhana berjanji dengan Kazim untuk bertemu di titi berdekatan sisi lembah. Sampai di sana, Suhana lihat Kazim sudah berdiri menunggu.



“Lama dah abang sampai?”
“Baru saja. Ada apa Suhana?”
“Su risaukan abang. Su takut abang kecewa dengan keputusan Su,”
“Tapi kenapa Su! Abang tak cukup baik untuk Su ke?”

Suhana sekadar tunduk, diam tidak berjawab apa. Dia tidak sampai hati untuk meneruskan bicara. “Apa Su dah ada orang lain? Terus terang saja Su,” ujar Kazim lagi. Sudah sampai masa mungkin dia berterus-terang. Apa Kazim dapat terima yang hati Suhana hanya milik Dani, sepupu Kazim sendiri?

“Su tunggu Dani,”

Jawapan Suhana benar-benar buat Kazim berang. Celaka apa ini? Dani tu sudah beristeri, anak dua pun! Jadi benarlah apa yang Dani bagitahu dulu, yang mereka saling berkasih? Dia sangka Dani saja mengadakan cerita untuk mengusik Kazim yang semua sedia maklum simpan perasaan terhadap Suhana. “Celaka kau Dani, celaka kau Suhana!!”

Entah ruh mana yang merasuk Kazim, muka Suhana terus ditumbuk Kazim, kuat. Suhana terus rebah ke tanah, dan mengerang. Kazim belum puas. “Kalau aku tak dapat kau Suhana, jangan mimpi orang lain juga dapat miliki kau!” Kali ini, perut Suzana menjadi mangsa. Kazim menghayun kakinya laju.

Suhana terus mengaduh. Dia sudah lembik. Lunyai dikerjakan Kazim. Kazim duduk di atas Suzana, dan merentap bajunya terus. Tubuh badan gebu milik Suhana kini menjadi santapan matanya. Ah, itu tidak cukup, Suhana harus menjadi korban nafsunya, sekarang!

***
“Kazim! Sini!”
           
            Kazim terus menujukan lampu suluh ke arah suara Ayah Husin. Ya, itu dia. Mayat Suhana yang separuh telanjang, hanyut di tepi titi. “Nasib baik tak ada orang jumpa,” kata Kazim, penuh lega. Ayah Husin menjeling tajam.

            “Sudah, angkat mayat ni, masuk dalam kereta. Segera! Kita terus ke ladang. Minyak tanah, cangkul semua ada di bangsal sana, kan?”


.END.

Monday, July 16, 2012

Laut Kejam...!

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips


Dia memandang laut yang terbentang luas.. di situlah Ayahnya mencari rezeki. Di laut itulah rezeki untuk mengisi perut sekeluarga di cari.. Ya. Di laut yang terbentang luas itu.

Dia melangkah perlahan, bunyi keriuk-keriuk jeti kayu yang semakin usang sudah biasa di dengarnya. ya.hampir setiap hari bila dia menanti ayahnya pulang. Pulang dari laut dengan hasil tangkapan. Dia sentiasa yakin ayahnya akan pulang tak kira sehebat mana pun hujan dan taufan.. ayahnya selalu akan pulang dengan senyuman sekalipun tiada hasil tangkapan.

Dulu dia mengkagumi keindahan lautan. Biru terbentang bagai hamparan lantai marmar yang indah sekali. Ada ketikanya gelombangnya yang dasyat bagaikan gergasi... menghempas sang pantai tanpa belas kasihan Tapi itulah lagu kehidupan mereka.. anak nelayan. 

Tapi kini lautan yang membekalkan rezeki itu membuatnya menangis pilu.. Dia bencikan laut itu tetapi tetap saban hari menatap laut yang luas terbentang. Ayah yang di nanti pulangnya tak kunjung datang.. Dan laut di depannya begitu tenang seakan-akan tidak bersalah atas kehilangan ayahnya. Laut itu kejam!!!

" Laut.. kembalikan ayahku!" bisiknya sambil mengesat airmata.

Hak Cipta: Nong Andy


Tunggu

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips

Gambar ihsan dari blog Khairul Onggon

Hari ini genaplah seratus lapan puluh tiga hari aku dan dia tidak bersua muka. Tempoh yang cukup lama kalau kita fikir ia adalah satu tempoh yang lama. Bagi aku, kalau dah nama perhubungan jarak jauh yang paling asas adalah adakah kita betah bila berjauhan dalam tempoh yang lama. Hanya itu. Dalam tempoh masa seratus lapan puluh tiga hari itu, aku dan dia berlagak biasa. Sesekali meluah rindu. Sesekali merajuk. Sesekali berdiam diri tanpa ada khabar berita antara satu sama lain.

Pertemuan terakhir kami sangat singkat. 
"Awak akan tunggu saya?" soal dia.
Aku senyum. Soalan yang aku kira dia sudah punya jawapan. Cumanya, dia lebih suka kalau aku meluahkan sendiri.
"Ya. akan tunggu awak. Dan awak takkan curangi saya?" soal aku pula.
Dia senyum. Senyum nakal.
"Awak ada jawapannya." jawabnya ringkas.
"Saya nak dengar jawapan awak." luah aku. Aku pandang telefon bimbit yang diletakkan dia di atas meja. Mungkin kami sedikit pelik. Aku tak pernah untuk memeriksa apa yang ada di dalam telefon bimbit dia, dan dia juga sama. Bagi kami, kalau salah seorang antara kami selingkuh, apa saja yang terjadi di dalam hubungan pasti disebabkan ketidakjujuran salah seorang daripada kami. Dia meletakkan sos ke dalam lapisan Zinger Burger yang belum aku sentuh. Aku hanya memerhati. Dia hulurkan burger tersebut pada aku. 

Aku senyum. Dia senyum.

"Sayang, kalau saya curangi awak pasti hubungan kita dah tunggang terbalik. Percaya pada karma tak sayang? Buat baik di balas baik, buat jahat di balas jahat. Macam itulah prinsip saya. Dan awak sendiri tahu kan pasal semua itu?" luah dia.

Aku angguk. Dia mencubit nakal pipi kiriku lalu menyapu lembut bawah bibirku yang ada sisa sos. Aku jadi malu.


Kenangan itu jadi teman aku. Masih segar walaupun sudah seratus lapan puluh tiga hari berlalu. Sepertimana aku berjanji akan menunggu dia. Begitu jugalah di pihak dia. Aku belek satu persatu gambar di dalam album berkulit merah jambu itu lagi. Setiap kali dia bekerja di luar kawasan, setiap kali itulah dia akan merakam kenangan dan mengirimkan gambar kepada aku ,seterusnya di letak dalam album ini. Katanya, biarlah aku merasa momen tersebut melalui gambar walaupun aku tak pernah menjejaki tempat yang dia kunjungi. Setiap kali aku melihat gambar tersebut, aku selalu memikirkan aku bersama dengan dirinya. Hari ini rasanya tiada satu panggilan dan SMS dari dia. Pelik. Walaupun sejak akhir-akhir ini kami jarang bercakap di telefon, tapi SMS selamat pagi dan selamat malam itu memang wajib ada antara kami. Cumanya hari ini sedikit pelik. Apa pun aku mendoakan dia baik-baik saja. Pintu bilikku diketuk. Kedengaran suara mak. "Maya! Maya!. ada bungkusan poslaju ni." Cepat-cepat aku buka pintu untuk mendapatkan mak. Mak hulurkan bungkusan padaku. Aku periksa setiap inci bungkusan tersebut. Dari Kuala Lumpur. Pasti dari dia. Getusku dalam hati. 


Aku buka kotak bersaiz sederhana itu. Ada album gambar. Berwarna putih dan biru muda. Aku belek helaian pertama. Ada gambar pantai. Sangat cantik. Helaian kedua gambar tempurung kelapa. Helaian demi helaian album itu aku belek. Ada gambar cengkerang siput, batu-batu kecil, ombak menghempas pantai, langit, awan, pelangi dan banyak lagi. Helaian terakhir mengejutkan aku. Tiada gambar yang terpamer tapi ada sebentuk cincin bersertakan nota tulisan tangan dia.


"Sayang, awak saya punya. Saya tak nak tanya sudikah awak kahwin dengan saya. Kerana saya tahu awak memang sudi kahwin dengan saya. :D"


Cepat-cepat aku ambil telefon bimbit dan terus menghubungi dia. Tiada jawapan. Belum sempat aku mendail semula nombor dia, ada satu panggilan masuk dari dia. 


"Eiii awak!!!. " 
"Ya sayang. Awak sudi kahwin dengan saya kan?" 
"Terkejut sangat! Semua gambar cantik."
"Cincin?"
"Cantik."
"Dan awak sudi jadi isteri saya?"
"Ya.."
"Awak tunggu saya kat rumah. Saya nak bawa mak ayah bincang pasal kita okay sayang? tunggu tau."
"Ya. Saya tunggu"


Ya, aku tunggu. Kalau aku dan dia berpisah selama seratus lapan puluh tiga hari pun aku sanggup tunggu inikan pula menunggu dia hanya untuk beberapa jam. Tiada kata dapat aku gambarkan untuk mewakili perasaan aku sekarang. Ya, mungkin benar kata orang, kalau kita sabar besar ganjaran yang kita akan dapat. 


Telefon bimbitku berbunyi. Satu SMS dari dia.


"Terima kasih sayang. Saya sangat hargai masa awak menunggu saya. Rasanya hari ini genap 183 hari kan kita tak berjumpa? Dan sampai sekarang awak tunggu saya. Terima kasih bakal isteri. Hehehe"


Aku bahagia menunggu dia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...