Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Saturday, December 22, 2012

Darah dan Muzik

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips
Aku tanggal sarung tangan. Campak dalam beg hitam. Kepingan kepingan badan yang sudah aku potong, aku campak satu lubang. Tidak dalam, cukuplah untuk beberapa hari. Lagi berapa jam, mesti sudah bau.

Aku bangun dari mencangkung. Pandang semula mayat tak serupa orang kerana dah berkeping keping. Aku senyum sinis.

Rasa tak berjiwa. Rasa tak punya hati, Rasa puas. Mungkin sekarang lagu yang sesuai untuk latar ialah Little Birds, lagu Far-East Movement. (suara perempuan tu memang berhantu!)

Pisau berdarah yang ada dalam beg hitam, aku pandang. Banyak darah betul perempuan seorang ini. Sampai terkena baju. Terpaksa, aku lepaskan jaket, buka baju dan sarung jaket semula. Baju tadi aku campak ke beg hitam.

Puas hati dengan hasil kerja sendiri, aku tutup lubang guna daun kering. Aku angkat kaki dan beg hitam. 100 meter dari tempat tadi, aku bakar beg hitam, guna daun kering juga. Hilang bukti bersama darah dan senjata.

Api masih marak ketika aku masuk kereta. Aku pasang radio, lagu Zombie dari The Cranberries kedengaran.

Seronok.


Pisau dah guna aku tak simpan
*****

Pagi itu, aku buka lipatan akbar. Senyum sendiri tengok tajuk besar muka surat depan. Akhirnya, hasil seni aku dihargai.

Aku baca kuat kuat, macam dalam berita, walaupun hanya dinding dan perabot yang dengar.

"Gempar! Seorang lelaki dijumpai mati selepas dikatakan tiga hari menghilang. Anehnya, lelaki ini dijumpai dalam almarinya sendiri walaupun dua hari sebelumnya anak lelaki sudah memeriksa biliknya. Mengikut kata anak lelakinya, dia tidak terfikir untuk membuka almari bapanya. Hanya selepas tiga hari, bau busuk mula terhidu dari dalam almari. Curiga, dia membuka pintu almari dan terpaksa menyentaknya kerana agak ketat.

Dia hampir pengsan kerana terkejut melihat mayat bapanya sudah keras dalam posisi berdiri dengan leher dilingkari penyangkut baju. Berikutan itu, dia menghubungi polis,"

Bodoh. Bapa dalam almari pun susah nak cari.

"Menurut kata pegawai polis, tiada kesan darah, pergelutan dan senjata ditemui di bilik mangsa. Mangsa yang dipercayai sudah mati kurang 3 hari memang sengaja diletakkan di dalam almari. Polis menolak kemungkinan pembunuhan berlaku di tempat lain kerana mustahil pembunuh dapat masuk tanpa dikesan. Pembunuh dikatakan sudah merancang pembunuhan tersebut dan sudah lama memerhatikan mangsa kerana sudah tahu susun atur bilik mangsa. Dipercayai juga, pembunuh mengelap kesan darah dan barangkali menukar cadar tempat tidur bilik mangsa untuk mengelak mangsa dijumpai lebih awal,"

Wah, pandai juga pihak polis. Mereka sudah tahu cara aku bekerja.

Aku terpandang satu ayat yang membuatkan hati aku kembang kerana bangga.

"Jenayah apakah ini? Apa motifnya? Susah untuk dirungkai."

Aku ketawa. Lagu bahagia, Hey Ya milik Outkast patut dinyanyikan.


*****

Nama aku Black. Okey aku tipu. Itu bukan nama sebenar. Tapi cukuplah kau kenal aku sebagai Black. Ramai juga yang panggil aku Jack. Ada juga panggil Joe. Aku tak pernah betul betul peduli apa gelaran aku. Lantakkan mereka mahu panggil aku siapa. Tapi aku senang dengan nama Black.

Aku bukan pembunuh. Jangan main fitnah fitnah. Aku seorang penggiat seni. Tapi bukan seni lukis atau tari, seni darah. Seni kekejaman yang memaparkan kecantikan asli.

Lelaki dalam almari bukanlah yang pertama, ada banyak lagi sebelum dia. Cuma aku tak ingat siapa. Ada gambar mereka aku simpan, tapi bukanlah sesuatu yang berharga. Cuma seni sebelum ini biasa biasa sahaja. Setakat kelar leher, siat kulit, ukir perkataan "Kau tak layak hidup" atas badan sudah lapuk.

Seni aku paling teruk ialah potong memotong. Perempuan yang aku tanam dalam lubang buatkan aku kesian. Dia mati dalam keadaan yang tak cantik. Aku malu dengan diri sendiri. Sumpah, aku takkan kerat kerat lagi. Bersepah hasil seni aku, tak kemas.

Aku tak kejam. Aku bunuh orang yang tak sepatutnya hidup.

Lelaki dalam almari, kerjanya pegawai tinggi, tapi pandai main rasuah. Ambil duit sana, songlap duit sini. Dia tindas klien aku sampai klien aku muflis. Aku pun, sebagai penegak keadilan, bertindak. Orang makan rasuah tak patut hidup. Sebab itu aku jerut lehet dia, biar dia rasa sakit makan duit haram. Aku gantung dia dalam almari biar dia rasa kegelapan.

Perempuan dalam hutan, kerjaya melacurkan anak tiri. Dia lacurkan anak tiri dia sebab dia banyak hutang. Macam celaka. Akhirnya, teman lelaki anak tiri perempuan dia mengadu kat aku. Aku takkan tinggal diam. Biar dia rasa hidup badan kena seksa tanpa rela.

Banyak lagi. Ada seorang itu, aku gantung dekat kipas sebab adakan bukti palsu yang menyebabkan seorang pemandu teksi kena hukuman gantung sebab disyaki edar dadah. Padahal dadah itu dia punya. Lagi lakhanat. Aku gantung dia, sebab aku nak dia rasa sakit si pemandu teksi. Aku hidupkan kipas. Biar badan dia berpusing pusing laju. 

Seronok.

Oh. Yang aku tulis "Kau tak layak hidup" itu, seorang lelaki, rogol anak sendiri. Memang tak layak hidup.

Jangan bagi aku cerita panjang lagi. Nanti kau muntah.

Aku cinta muzik. Muzik pun satu seni. Kau nak bercerita dengan dunia, guna muzik. Mana mana lagu yang sedap aku dengar, aku suka.

Sekarang ini? Lagu paling sesuai ialah Nine in The Afternoon, Panic at The Disco. Apa relevannya? Entahlah.

****

Petang itu, aku duduk seorang diri di lounge.

"Hai!"

Aku pusing. Senyum kecil. Minum semula.

"I Shana,"

"Black," hulur tangan.

Perlahan-lahan, lagu If I Die Young berkumandang.

"Uh, I suka lagu ni. Maksud dia dalam. Penuh dengan seni," masa dia sebut seni, serta merta aku pusing kepala hadap dia. Menarik.

Malam itu, pertemuan yang tak pernah aku jangka, merapatkan hubungan aku dengan Shana, wanita yang berani tegur aku dulu. Dan yang paling aku senangi, dia suka muzik dan seni. Yang aku pasti, Shana tak suka seni aku.

Aku berbual dengan dia sampai larut malam. Dia cepat mesra. Tahu titik titik penting menghadapi lelaki. Aku boleh baca yang dia tak pura pura, dia jadi diri sendiri, Yang seronoknya, mata dia sangat cantik. Hitam. Berbeza dengan mata aku, cokelat susu.

Dia tarik tangan aku. Aku pandang dia, pelik. Dia keluarkan sebatang pen dan tulis sesuatu dekat tapak tangan aku.

"Call me, maybe?" guraunya.

Aku ketawa. Dia angkat punggung. Sebelum pergi, dia hadiahkan satu ciuman di pipi, depan khalayak ramai.

Hm, berani. Aku angkat kening, sambil tenung dia melangkah pergi sampai dia hilang dari pandangan.

*****

Beberapa bulan terakhir ini, Shana dengan aku makin rapat. Haha. Bukan rapat, lebih kepada istimewa. 

Aku suka Shana. Dia berani, bijak dan cantik. Dia jujur, itu paling penting. 

Shana cantik. Mata dia cantik. Alis mata dia cantik. Badan dia cantik. Kulit dia halus. Shana cantik. Eh aku dah cakap tadi? Tapi dia memang cantik. 

Malam itu, aku dekat rumah dia, berencana mahu tidur situ. Aku peluk bahu dia, masa kami bersandar dekat sofa, sambil tengok televisyen.

Shana banyak cakap, kontras dengan aku yang pendiam. Aku suka dengar dia membebel, walaupun tentang perkara yang tak masuk akal. Macam :

"Hari tu, I keluar shopping. I beli skirt. Sampai kat rumah tak muat," ketawa.

"You tahu tak, kalau kita minum teh sebelum tidur, kita boleh mengigau," serius.

"I selalu tidur meniarap. Mungkin I mati sebab sesak nafas nanti," mengeluh.

Tanpa sebarang petanda, malam itu dia pegang tangan aku dan berkata :

"I sayang you," aku senyum. Aku cium dahinya.

Kalaulah aku punya wang, aku lamar dia sekarang juga. Teringat lagu, If A Song Could Get Me You - Marit Larsen.

Telefon bimbit aku bunyi, ganggu suasana indah kami. Aku baca :


New target. Usual place.

Aku bangkit. Ada kerja, ada duit. Boleh lamar Shana. 

Shana angkat kening tanda pelik. Aku hanya senyum dan melambai pergi.

*****

Tong sampah aku buka. Tempat biasa ini yang tertera dalam pesan. Sampul surat kuning saiz A4 aku simpan dalam jaket. Aku lari ke rumah.

Beginilah caranya aku bekerja. Selamat. Klien tak perlu jumpa aku. Hanya tinggalkan gambar, biodata mangsa dan kesalahan yang mangsa pernah buat. Aku akan putuskan kalau kesalahan itu patut atau tidak diberi hukuman. Kalau aku setuju, aku akan campak semula sampul surat kuning ke dalam tong sampah. Esoknya, sampul surat kuning masih ada, dengan duit bayaran di dalamnya.

*****

Sampai rumah, aku duduk atas katil. Pasang lagu The Great Shipwreck Of Life nyanyian IAMX. Aku goyang goyang kepala ikut lagu. Mood aku masih santai.

Kertas kesalahan pertama aku jumpa. Aku baca, biarkan biodata dan gambar tak terusik :

"Wanita paling kejam," Menarik.

"Dia menggoda seorang lelaki yang sudah beristeri. Memang cantik, sehingga lelaki itu sanggup menghabiskan duitnya untuk wanita durjana itu, meninggalkan isteri dan dua anaknya terkontang kanting. Ketika perniagaan lelaki ada masalah, wanita ini pergi. Lelaki jadi terlalu obses dan cari wanita ini sampai dapat. Tapi wanita ini hanya tinggalkan pesan, "Jangan cari aku!" Isteri ini menderita dan mengalami tekanan sehingga strok. Anak lelakinya turut tertekan hingga menjadi gila. Dia kini di hospital sakit jiwa. Anak perempuan dia bunuh diri. Lelaki tersebut, muflis dan turut bunuh diri,"

Aku hela nafas. Wanita memang kejam. Celaka. Aku genggam kertas itu sampai renyuk. Merangka-rangka cara paling hebat menyeksa wanita syaitan ini.

Oh, aku belum tahu siapa dia. Aku ingin lihat wajahnya.

Aku singkap biodata. Hampir gugur jantung lihat namanya. Besar mata aku terbeliak. Laju jantung aku berdegup. Tak mungkin, tak mungkin, aku mesti salah.

Aku koyak sampul surat, jatuh satu gambar atas lantai. Aku angkat dengan tangan menggigil. Gambar itu jatuh lagi, terlalu berat untuk aku pegang, sebab aku kenal perempuan cantik yang tersenyum dalam gambar.

SHANA!

***** 

"Kenapa you nak tahu?" Shana pelik.

"Saja," aku angkat bahu.

Shana mengeluh.

"You takkan suka I lepas ni,"

Aku geleng. Shana mengeluh.

"Kesalahan paling besar I, I jadi pengikis harta seorang lelaki. Seronok, I dapat apa yang I nak. Lelaki tu kaya. I kikis dia sampai dia muflis. Tapi, I tak sengaja. I tak tahu bisnes dia ada masalah. I pun minta ikut suka. I tahu dia suami orang, tapi I nak hidup senang. I tak ada jalan lain. Ramai orang taknak I jadi model lagi," Shana terang panjang lebar.

Aku hela nafas panjang. Pengakuan, itu yang aku mahu. Sebelum ini memang tidak perlu, tapi dengan Shana, perkara berbeza. Aku tekan tekan kening dengan jari. Sakit kepala.

"You benci I?"

Aku membatu.

"I dah tahu. I memang jahat. Tapi I dah berubah. Sejak I kenal you, I tak buat semua tu lagi. Pernah ke I mintak duit you? Tak kan?" Shana mula merayu.

"I minta maaf," Dia peluk aku dari tepi. Cair sungguh hati.

Aku tepuk tangannya.

"Tak apa. Esok, I nak you pakai cantik cantik. Masak sedap sedap. Kita makan malam. Candle light dinner, okay?" Shana senyum sendu, terharu. Aku cium dahinya dan minta diri.

*****

Aku ketuk pintu Shana. Shana buka. Dia senyum lebar. Shana pusing pusing depanku, gayakan baju berkain satin barunya. Dia memang cantik, cantik sampai aku terkesima. Cantik, sampai wanita lain akan cemburu. Cantik, sampai boleh membunuh.

"Terima kasih sebab hantar dress ni. Cantik. Warna hitam ni sesuai dengan kulit I. Pandai you pilih. Ah, is that for me? Thanks.." senyum meleret Shana diberi bunga ros merah 30 kuntum.

Aku serahkan juga botol minuman mahal yang baru aku beli. Shana senyum.

"Rasa macam ada benda istimewa hari ni," Shana melirik manja. Mungkin dia fikir aku mahu melamarnya.

Aku aktifkan pemain cakera padatnya dan lagu If I Die Young berkumandang. Shana senyum lagi.

Ketika dia sibuk menghidangkan makanan, dia berkata :

"I tak pernah tahu you kerja apa?" manja.

Aku diam, berfikir. Dia tak mungkin suka kerja sebenarku.

"I penggiat seni," jawapan terbaik.

"Oh, no wonder you are romantic," katanya. Aku senyum.

Selayaknya seorang lelaki, aku buka botol minuman yang aku bawa tadi dan tuangkannya di dalam dua gelas kaca.

"I pelik. Kata candle light dinner. Tapi ini pagi. Baru lepas pukul enam. Nasib baik I terbangun," aku ketawa. Memang aku selitkan nota semasa hantar gaun satin ke rumahnya bahawa aku tukar rancangan. Aku mahu adakannya waktu pagi, waktu terbit matahari.

"I suka buat perkara luar biasa," kataku. Shana pula yang ketawa.

Satu cawan untuk Shana, dan satu untuk aku. Kami bersulang, Shana minum dengan laju. Aku letak cawan atas meja.

Shana mula makan. Ketika makan kami berbual. Sambil menyuapkan daging panggang ke mulutnya, Shana genggam tanganku. Aku pula tak selera makan, hanya pandang Shana sahaja.

Shana telan makanannya dan mula berbicara sambil meramas tanganku.

"I bahagia sangat dengan you," dia kata. Aku senyum.

"I bersyukur you tak kisah pasal masa lalu I," Shana batuk kecil. Aku balas menggenggam tangannya dengan dua tanganku. Aku pandang hadap dia, serius.

"Janji dengan I, you takkan tinggalkan I," Shana batuk lagi. Lebih kuat. Dia mengurut dadanya. Aku perhatikan tingkahnya.

"I... I cinta.. you," kata Shana dalam batuknya yang makin parah.

Shana batuk dan terus batuk. Batuknya teruk, hingga dia hampir muntah. Aku urut belakang badannya lembut. Shana batuk lagi. Lebih kuat. Rumah dia bergema dengan bunyi batuk Shana. Batuknya cukup teruk sampai dia sesak nafas. Dia batuk lagi dan cuba hela nafas. Batuk dan bernafas. 

"I cintakan you jugak," aku bisik di telinganya.

Shana barangkali tak mendengarnya kerana dadanya sakit. Tangannya menggenggam dada, satu lagi mencengkeram tanganku. Dia batuk dengan kuat lagi. Kali ini dia muntah. Muntah darah.

Darah mengalir membasahi bibirnya dan tanganku. 

Shana tersentak sekali, nafasnya berhenti, mulutnya ternganga, mata terbeliak. Akhirnya, jantung dia berhenti, dan dia terkulai dalam dakapanku.

Racun memang efektif.

*****

If I die young, bury me in satin

Setelah aku lapkan bibir dan tanganku dan hapuskan kesan darah, aku pindahkan Shana ke atas katil Ke bahagian tengah. Baju satinnya sedikit pun tak terusik.



Lay me down on a, bed of roses

Aku ambil 30 kuntum bunga ros tadi dan petik kelopaknya. Setiap kelopak aku biarkan jatuh ke atas badan Shana. Aku kuburkan dia dengan bunga ros. Wangi. Shana jadi wanngi sewangi bunga ros.



Sink me in the river, at dawn

Aku singkap jendela di sisi katil. Pancaran suria menembus masuk ke dalam bilik Shana dan melimpahi Shana dengan sinarnya. Shana bersinar dan kelihatan sempurna.

Send me away with the words of a love song

Lagu If I Die Young, kegemaran Shana yang sudah aku mainkan dari tadi berkumandang di segenap penjuru bilik. Alunan muzik indah, mengirimku ke dasar lautan sendu. Lagu ini memang dalam maksudnya. 

Ah, aku puas. Ini seni paling agung. Aku keluarkan kamera dan tangkap gambar. Benar, ini karya aku yang terbaik. Terbaik antara yang terbaik. Dan, aku menangis. Kerana karya ini mengandungi wanita paling cantik sekaligus yang paling aku cintai.

Kali ini aku tidak mahu menggunakan pisau, kerana aku takkan sanggup melihat tanganku melakukan kekerasan terhadapnya. Aku tidak mahu tanganku menyebabkan darahnya mengalir.

Aku tidak mahu menanam, kerana bagiku itu keji.
Aku tidak mahu menggantung, kerana aku tak mahu Shana kelihatan cacat.
Aku tidak mahu menyiat dan mengukir di atas badannya, kerana setitik pun darah dari kulit Shana tidak boleh dititiskan. (Aku tidak tahu racun ini sebabkan muntah darah. Lain kali aku cari racun yang lebih baik)

Biarlah, biarlah, Shana-ku pergi dalam keadaan cantik dan tenang.
Aku tahu, aku tahu Shana kejam tapi dia sudah menyesal. Memang tidak adil. Aku memang ego, tapi cinta membuatkan kita punya ego yang tinggi.

Aku bangun. Aku naik ke katil, cium dahi Shana buat kali terakhir. Ambil baunya, tahu selepas ini tidak akan ada lagi bau ini. 

Aku melangkah ke luar.

*****

Rintik hujan membasahiku. Buat pertama kali aku menyesal melakukan seni ini. Tapi aku profesional. Jadi tidak ada alasan untuk berhenti.

Mungkin kau patut hati hati, jaga tingkahmu. Jangan sampai ada klien yang mengadu, dan kau aku bunuh.

Hak Cipta: Nor Aifah Ishak

1 comment

December 22, 2012 at 8:35 PM

1 perkataan.. AWESOME!!!

aku suka ini. Dah lama tak baca genre sebegini.. huhu.

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...