Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Friday, July 6, 2012

Aku, Temu Duga dan Darah

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
Aku berlari ke tandas dengan kelajuan semaksimum mungkin. Aku sudah tidak mampu tahan lagi rasa ingin membuang air ini. Hampir 30 minit aku menunggu teman serumah aku selesai mandi. Apa yang dia lakukan di dalam bilik air tu, aku pun tidak tahu. Apa yang seronoknya duduk lama-lama di dalam bilik air yang busuk dan tidak berbasuh yang boleh dikatakan hampir tiga bulan tidak berbasuh. Kali terakhir ia dibasuh pun, oleh aku. Nak harapkan dia, memang tak lah. Hidup dia hanya DOTA, DOTA, DOTA. 

Kepala otak dia!

Aku dah serabut dah memikirkan apa alasan aku nak bagi pada bakal bos aku nanti. Temu duga sahaja aku sudah lambat. Kemungkinan besar apabila diterima berkerja nanti, aku akan datang lambat juga atau mungkin tidak datang langsung. Tapi, biarkan itu semua Dia yang tentukan. Jam di dinding terus berdetik. 

Aku sarungkan kemeja merah maroon lengan panjang yang sudah siap diseterika malam sebelumnya dan seluar slack hitam yang nampak jelas kesan diseterika itu. Tak sia-sia aku masuk asrama dulu. Aku capai tali leher hitam yang siap digantung dibelakang pintu dan stokin di atas almari dan aku bergegas keluar . Sebelum keluar aku cuba membasahkan tekak aku dengan meminum kopi o sejuk semalam. Sempat juga aku menjeling ke arah jam di dinding sekali lagi. “Celaka. 30 minit dah aku lambat!”

Setibanya ke pejabat tempat temu duga itu diadakan, aku lihat ada 2 orang calon, bukan, musuh yang mahu mencuri kerusi tempat duduk aku di dalam pejabat ini. Hey, aku keturunan Hang Tuah lah. Takkan mudah mengaku kalah. Aku masuk dengan muka yang paling angkuh walau pun sebenarnya aku lambat hampir satu jam untuk temu duga ini. Peduli apa aku? Aku keturunan Hang Tuah.

“Ya. Boleh saya bantu?” seorang gadis cantik berambut panjang beralun, berkaca mata, berbaju kemeja putih, berseluar slack hitam menegur aku dari balik meja kaunter pertanyaan. Cantik. Sekali lihat adalah seperti Zooey Deschanel. “Oh, saya datang untuk temu duga.” Aku menjawab sambil menolak rambut aku yang menutup mata aku. Mana mungkin aku membiarkan mata menghalang aku untuk menatap wajah gadis cantik itu. “Nama encik?” dia bertanya lagi. “Nama saya, Ahmad Fuad bin Zainal.” Aku menjawab dan senyum kepadanya. “Erm…encik dah lambat untuk temu duga. Tapi, tak mengapa…saya akan beritahu pada bos. Sila duduk dahulu ya?” dia mengangkat ganggang telefon dan menekan butang nombor yang ada pada telefon itu. Aku mengucapkan terima kasih dan terus duduk di ruangan menunggu.

Menunggu itu ada lah sesuatu yang tak pernah seronok. Lebih-lebih lagi menunggu sesuatu yang penting untuk kita, dan kita perlu duduk bersama mereka yang ingin mengambil perkara yang penting itu daripada kita. Aku hanya melihat 2 orang lelaki yang lain dengan perangai mereka masing-masing. Lelaki pertama yang memakai kemeja biru dan seluar slack hitam dipadankan dengan tali leher putih itu, sibuk bermain dengan telefon pintarnya. Aku syak dia sedang asyik di Twitter berkongsi perasaan gemuruhnya. 

“Aku sedang tunggu untuk temu duga ni. Gemuruh baq hang!”. Mesti dia mengharapkan ucapan “all the best!” atau “awak boleh!” daripada kawan-kawannya di Twitter. Yang lagi seorang itu, dengan baju kemeja biru lengan panjang dan seluar slack hitam, dipadankan dengan tali leher berwarna hijau. Aku syak dia itu buta warna atau pun dia punya citarasa yang teruk dalam berpakaian. Jelas kelihatan perasaan gemuruhnya itu. Tak senang duduk dia di kerusi itu. Sibuk menyelak sijil-sijil yang ada di dalam fail yang dibawanya. Aku sekadar menggelengkan kepala dan membiarkan mereka. Lebih baik aku main game Angry Bird di telefon pintar aku. Kisah apa aku orang nak kata apa. Aku gemuruh juga sebenarnya. “Encik Ahmad Fuad. Sila masuk.” Nama aku dipanggil. Aku menjeling ke arah dua lagi lelaki tadi dengan angkuhnya.

“Selamat pagi, tuan.” Aku senyum dan meletakkan fail yang penuh dengan sijil-sijil yang aku rasa mampu meyakinkan lelaki dihadapan aku ini untuk memberikan kerja sebagai pelukis plan itu kepada aku. Aku berdiri melihat dia. “Oh, selamat pagi. Kamu lambat.” Dia melihat aku sambil memeluk tubuhnya. 

Aku sudah mula berasa gemuruh, tapi aku tahan dan tenang menjawab soalan dia. “Maafkan saya tuan. Saya ada hal penting tadi…” aku menjawab dengan yakin. “Oh, ada kerja penting eh? Lebih penting daripada temu duga ini?” Dia semakin serius. Aku sudah mula menggigil. Celaka! Sepatutnya aku sudah sediakan alasan untuk semua ini. “Hari ini…hari ulang tahun kelahiran saya tuan.” Aku tidak tahu macam mana boleh keluar jawapan itu. “Oh, happy birthday. Mesti mak dan ayah kamu sediakan sarapan yang sedap-sedap untuk kamu. Oh, saya patut beri kamu kek kan? Kek coklat boleh?” dia menjawab sambil menjeling aku.

Aku mula berasa marah, tetapi aku tahan lagi. Boleh tahan juga perangai bakal bos aku ni. Aku cuba mencari alasan yang power untuk selamatkan aku. “Erm…biasanya setiap kali ulang tahun kelahiran saya…” belum sempat aku habiskan ayat aku, dia mencelah. “Apa? Setiap kali ulang tahun kelahiran kamu, kamu lambat untuk semua perkara?” dia ketawa dengan sangat angkuh. “Tidak tuan. Setiap kali ulang tahun kelahiran saya, saya pergi derma darah di hospital. Sebab itu saya lambat hari ini” Aku menjawab dengan muka yang paling tenang. Dia berhenti ketawa dan berubah wajahnya. Aku bagaikan terdengar petikan piano bermain di dalam bilik. Aku ketawa di dalam hati.

“Erm…erm…sila kan duduk. Kita mulakan temu duga sekarang.” Aku lihat dia sudah tidak senang duduk. Rasa bersalah lah tu. “Oh, terima kasih, tuan.” Aku duduk di kerusi empuk yang disediakan. Temu duga pun bermula. Aku harap aku dapat kerja ini dengan berbekalkan sijil-sijil aku dan alasan yang power sebentar tadi. Yang lain aku serahkan kepada Dia di atas. Tapi, aku masih marah dengan teman serumah aku. Celaka! Dia lah punca aku lambat untuk temu duga. Mandi lama sangat apa hal? Celaka!


Hak Cipta:  Ariff Masrom

3 comments

July 6, 2012 at 10:15 PM

haha...nice...buat aku gelak sorang2 di pejabat di malam hari begini...

ok cukup!...sambung kerja~ (-_-)

July 6, 2012 at 11:55 PM

Kahkahkah Ariff ariff senyum sorang aku baca

July 7, 2012 at 1:28 PM

'Sejuk hati tuan penemuduga tu tgk bakal staff dia berwibawa... keh keh keh....'

ps: aku salin info ini untuk gi temuduga manalah tahu... kah kah kah

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...