“Abang… Jom lah kita pergi ke jeti…
Nisa nak tengok kocak air… Nak tengok langit luas… Jom lah bang…”, Khairunnisa
mula merengek. Meskipun umurnya hanya setahun lebih muda dari Khairul dan
Khairil, namun sifat manjanya
mengalahkan bayi kecil yang masih menyusu. Pernah juga Khairul meluat dan rimas
dengan kemanjaan Nisa tapi apakan daya, Nisa sahaja perempuan dalam adik
beradiknya. Tidak hairanlah jika segala perhatian dan kasih sayang diberikan
lebih terhadap adik perempuannya itu.
“Dah minta izin mama?”, mendatar
suara Khairul. Khairil disebelah hanya menjungkit kening.
“Alaaaa…Abang lah cakapkan… Kalau
Nisa yang cakap mesti mama tak kasi… Boleh la yaa…”. Seperti kebiasaan, Nisa
meyuruh manja. Memaut lengan Khairul dengan harapan pujukannya berhasil.
Sekilas Khairul menoleh Khairil,
abang kembarnya. Dan Khairil hanya menggeleng tidak setuju.
“Abang Khai….”.
“Alaaaa…Boleh laaaa…”. Belum
sempat Khairul menghabiskan patah kata, Nisa terlebih dulu memintas. Merayu
beserta rengekan.
“Nisa janganlah merengek… Abang
tak kesah… Tapi Abang Khai tu tak nak…”. Sempat Khairul menjeling geram ke arah
Khairil yang masih duduk menghadap televisyen. Bagai tiada apa yang berlaku
baginya.
“Nisa tak nak geng abang…
Merajuk…”, ucap Nisa sebelum menyembamkan mukanya di sofa berdekatan. Khairul
yang sedari tadi memerhati tingkah adik perempuannya itu kian rasa bersalah
apabila mendengar esakan tangis kecil dari Nisa.
“Kau lah ni… Suka sangat buat
Nisa merajuk. Last-last aku jugak yang kena pujuk… Eiii… Payah betul dapat
kembar yang tak bertamadun macam kau ni tau…”. Khairul cuba melepas geram
terhadap Khairil.
“Eyhhh kau ni… Over plak dah
kenapa. Tak nak aku pergi jeti tengah-tengah hari begini. Panas tahu tak. Macam
lah kau tak tahu perangai si Nisa tu kalau dah ke jeti macam mana. Tak kan
cukupnya masa sejam untuk dia termenung ngadap kocak air laut dia tu… Entah apa
yang dia menungkan selama ni aku sendiri tak tahu. Tak faham betul aku. Kau
seorang je yang rajin nak melayan kerenah dia tu… Kalau teringin sangat nak
mati kena telan dengan hantu laut, pergilah… Aku tak pernah halang pun…”.
Khairil pula cuba melepas rasa.
Khairul hanya mendengus perlahan.
Meski panas telinganya mendengar bebelan Khairil, namun apa yang diperkatakan
oleh kembarnya itu ada benarnya. Masakan tidak, satu kampung kecoh bila arwah Pak
Samad, bapanya meninggal terapung di laut setelah jatuh dari jeti tersebut.
Setiap detik tragedi enam tahun lepas masih lagi segar dalam ingatannya.
************************
Khairul bersama Nisa menanti di jeti
dengan senyuman setelah melihat kelibat bot bapanya hampir sampai. Berharap
agar rezeki yang dibawa pulang ke rumah kali ini cukup untuk menjamu ahli
keluarga.
“Nisa tunggu situ diam-diam ya…
Abang nak tolong ayah angkat jala”, arah Khairul. Nisa hanya mengangguk seakan
mengerti.
Entah bagaimana, ketika Pak Samad
sedang mengatur langkah ingin mendaki tangga jeti tiba-tiba dia terpijak kayu
reput lalu jatuh ke bawah. Kepalanya terhantuk di sisi bot dan tidak sedarkan
diri. Khairul yang sewaktu itu baru mencecah tujuh tahun berdiri terpaku. Tidak
tahu apa yang ingin dilakukannya saat itu. Menjerit meminta tolong, tiada siapa
di situ yang dapat membantu. Akhirnya, hanya pandangan mata saja mengekori
tubuh Pak Samad yang kian terapung di tengah laut.
“Abang… Ayahhhh….”, Nisa bersuara
perlahan sambil menunjuk ke arah Pak Samad. Khairul memeluk adiknya erat-erat.
Dan semenjak detik itulah, Nisa begitu gemar menghabiskan masanya beberapa jam
di jeti berkenaan. Duduk termenung memandang air, bagaikan dia dapat melihat
raut wajah sang ayah yang terlalu dirinduinya.
************************
“Nisa… Nak pergi jeti tak?”. Nisa
memandang Khairul yang kini sudah berada di sebelahnya. Senyuman manis yang
menampakkan lesung pipit dihadiahkan Khairul buat adik kesayangannya itu. Cuba
memancing untuk memujuk rajuk Nisa.
“Yeyyy… Nisa saaayang abang…”.
Serentak, satu kucupan manja singgah di pipi Khairul.
“Abang pun sayangkan Nisa juga…”.
Khairul tersenyum puas. Bukan payah baginya untuk memujuk Nisa.
Sepuluh minit perjalanan sebelum
sampai ke jeti, hanya sepi yang menemani kedua beradik itu. Tiada gurau senda
seperti kebiasaan. Sempat juga beberapa kali Nisa mencuri jeling ke arah
Khairul, sedikit pelik dengan tingkah abangnya. Bagi Nisa, Khairul dan Khairil
sangat berbeza. Khairil sedikit tegas berbanding Khairul yang seringkali gemar
untuk bergurau manja bersamanya. Khairul rajin melayan kerenahnya tidak seperti
Khairil yang hanya lebih banyak menghabiskan masa dengan menonton televisyen.
Dan kerana itulah, Nisa kelihatan lebih senang untuk bermanja bersama Khairul
jika dibandingkan dengan Khairil.
“Nisa rindukan ayah?”, Khairul
tiba-tiba bersuara.
“Abang tak rindukan ayah ke?”,
Nisa kembali menjawab dengan pertanyaan.
Senyap… Tiada balasan dari
Khairul.
“Abang nak tahu tak… Nisa rasa
macam dekat sangat dengan arwah ayah bila Nisa duduk dekat jeti ni tau... Sebab
tu Nisa tak pernah rasa jemu tiap-tiap hari datang sini. Jeti ni, dah macam
rumah kedua bagi Nisa. Ayah tinggalkan kita kat jeti ni kan bang… Nisa ingat
lagi macam mana ayah boleh terjatuh… Nisa rindukan ayah… Sebab tu Nisa nak
datang sini… Duduk dekat jeti ni, hati Nisa rasa tenang je tau bang… Abang tak
rindukan ayah macam Nisa rindukan ayah ke? Kalau boleh, Nisa nak ayah ada macam
dulu… Nisa tak puas lagi nak manja-manja dengan ayah… Nisa nak peluk ayah… Nak
cium pipi kiri kanan ayah… Nisa tak dapat buat tu semua masa hari terakhir ayah
pergi ke laut sebab Nisa bangun lewat. Nisa cuma dapat ikut abang tunggu ayah
pulang je… Tapi hari tu tak sama macam hari-hari biasa… Ayah pulang ke rumah
dalam keadaan kaku… Sekejap sangat rasanya masa yang tuhan berikan untuk Nisa
kenal ayah, bang… Sekajap sangat…”. Perlahan kata-kata tersebut diucap Nisa.
Sedaya upaya dia menahan airmatanya agar tidak gugur ke bumi.
“Dulu masa ayah baru-baru
meninggalkan bang, Nisa selalu fikir yang hidup ni tak adil tau… Yelah, abang
dapat kenal ayah setahun lebih daripada Nisa. Nisa kenal ayah cuma enam tahun
je… Tu pun masa Nisa masih kecil lagi… Abang rasa, enam tahun tu cukup ke untuk
kita kenal orang yang kita sayang? Bagi Nisa tak… Janggal sangat rasanya bila
kita dah tak datang lagi ke jeti ni tunggu ayah pulang... Sebab tu lah Nisa
selalu datang sini… Nisa datang dengan harapan, yang ayah kembali pulang ke
pangkuan keluarga kita… Harapan Nisa tu mustahil kan bang? Dua minggu Nisa
demam lepas ayah pergi… Dan sampai
sekarang Nisa tidur bertemankan kain sarong terakhir yang ayah pakai masa dia
hidup… Walaupun kain sarong tu dah banyak kali ibu basuh, tapi bagi Nisa bau
ayah tetap ada… Abang… Nisa rindu sangat dekat ayah… Kalau lah ayah ada lagi…”,
serentak dengan itu, airmata Nisa berlumba-lumba jatuh membasahi pipi dan
kedengaran percikan air yang kuat bagai sesuatu jatuh ke permukaan air. Nisa
memusingkan kepalanya ke arah bunyi tersebut.
“Abang……..!!!”, Nisa menjerit
sekuat hatinya. Kelihatan Khairul tenggelam timbul dengan tangannya
terkapai-kapai. Nisa yakin, abangnya tidak pandai berenang. Dua minit kemudian,
susuk tubuh Khairul dilihat terapung di permukaan. Sekali lagi, tragedi enam
tahun lepas kembali bermain di layar mata. Jika dulu dia kehilangan ayahnya,
kini abang kesayangannya pula pergi bersaksikan matanya sendiri.
************************
“Nisa… Bangun dik… Kenapa tidur
meracau ni?”, Khairul mengejut adik bongsunya lembut. Kelat-kelat Nisa membuka
matanya yang kebasahan.
“Abanggg… Jangan tinggal Nisa…”,
terus Nisa memeluk Khairul. Lagaknya bagai takut benar kehilangan lelaki itu.
“Abang nak tinggal Nisa kenapa
pula… abang tak kemana pun kan… Nisa ngigau ni… Tengok tu, tidur pun boleh
nangis…”, Khairul cuba menenangkan Nisa.
“Bangunlah dik… Pergi cuci muka
ya. Ibu dah tunggu untuk makan tu… Lekas…”, penuh berhemat Khairul mengarah
Nisa yang masih lagi tidak berganjak. Bimbang juga sekiranya emosi Nisa masih
tidak stabil.
“Irul… Kenapa pula dengan adik
kamu tu?”, laung ibu dari dapur. Menjengahkan sedikit kepalanya cuba melihat
apa yang berlaku.
“Nisa ngigau bu…”, ujar Khairul
jujur.
5 comments
nama2 watak dalam kispen ni semua nama adik beradik2 saya. hehehe..
hadoiiyaii..sumer citer tragis kat laut ni...phobia nak gi laut...btw nice story...
cite ni best.. tp rsnye mcm cpt sgt hbs.. xsempt nk feeling..
Abang Bro..
laut itu kejam!!
:p
hilang orang yang kita sayang memang perit.
**btw tak sempat nak feeling lebih-lebih--'