Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Showing posts with label Suha. Show all posts
Showing posts with label Suha. Show all posts

Saturday, October 27, 2012

Inilah Sepi Seorang Aku

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips


Kau kata padaku
Jika aku perlu kamu
Maka seru namamu
Nescaya terhapus segala rindu
Lalu aku seru
Ku seru
Dan ku seru
Tapi yang ada hanya gema suaraku
Tiada muncul dirimu
Sudahnya hanya pilu yang bertamu
Inilah sepi seorang aku


 Suha

Thursday, May 31, 2012

My Dear Fatin

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
Fatin masih seperti berkeadaan seperti tadi. Termenung sambil menangis. Fatin sedih. Fatin menyesal. Airmata sedari tadi seakan enggan berhenti. Terkadang tangannya mengesat airmata dan terkadang memegang perut. Ya, Fatin loya. Fatin mahu muntah. Sebenarnya sudah beberapa kali Fatin muntah. Puncanya dari sekeping surat yang diterima siang tadi. Surat yang dipanggil surat cinta. Fatin membuang pandang ke arah surat cinta itu. Airmata Fatin jatuh lagi.
-------------------------------------------------------

To : My dear Fatin
Ngah buat ape tu sayang? Sihat? Harap awak sihat-sihat sentiasa.

My dear Fatin,
Sebenarnya saya ada something nak bagitau awak, dah lama saya pendam tau. Tapi kalau saya bagitau, awak jangan terkejut tau. Janji?

My dear Fatin,
Ingat tak masa kita kecik-kecik dulu? Kita selalu main pondok-pondok kan? Ingat tak? Masa tu awak jadi isteri, saya jadi suami. Teddy bear awak yang nama Pinky pulak jadi anak kita. Saya suka awak jadi isteri saya. Saya seronok tengok awak dukung anak kita. Saya keluar pergi kerja, awak pulak masak kat rumah. Kelakar, bukan? Tapi saya suka.

My dear Fatin,
Ingat tak masa kita belajar bawak basikal? Awak pakai skirt pink dan kat rambut awak ada riben. Rambut awak lurus. Bila angin tiup rambut, awak nampak comel. Comel sangat tau. Tapi masa awak bawak basikal, awak jatuh. Lutut awak luka. Ada darah. Awak nangis. Saya sedih sangat. Lepas tu saya dah tak bagi awak bawak basikal. Biar saya je yang boncengkan awak. Saya tak nak awak jatuh lagi.

My dear Fatin,
Ingat tak masa kita sama-sama jalan kaki pergi sekolah? Seronok kan? Masa pergi sekolah, awak asyik menguap je. Awak cakap awak mengantuk dan tak suka bila kena bangun pagi-pagi. Awak mengomel cakap sepatutnya sekolah kena mula jam 10 pagi. Comel je awak ni. Bila balik dari sekolah, kita sama-sama beli aiskrim dekat tepi pagar sekolah. Awak comot bila makan aiskrim. Tapi tetap comel.

My dear Fatin,
Awak comel, saya suka. Itu dulu. Sekarang awak dah cantik, saya suka. Saya cintakan awak. Lama dulu. Sejak kita sama-sama main pondok-pondok, masa kita sama-sama bawak basikal, masa kita sama-sama jalan pergi dan balik dari sekolah. Awak ada dalam hati saya. Saya tak tipu. Awak buat saya senyum dan awak membahagiakan hari-hari saya.

My dear Fatin,
Saya tahu dan saya sedar saya perempuan. Tapi disebabkan rasa sayang dan cinta yang sangat mendalam untuk awak, saya nekad untuk tukar jantina. Saya akan jadi lelaki, hanya untuk awak, Fatin. Minggu ni saya akan ke Thailand dan bila saya balik Malaysia nanti, saya akan jadi lelaki. Hanya demi awak!

Tidak mahu lagi memandang bintang di langit,
Kerna aku sudah punya bintang di hati,
Dan itu kamu, sayang!

Love you forever,
-Azimah @ Azim-

-------------------------------------------------------
Fatin sekali lagi berlari ke tandas. Untuk kesekian kalinya Fatin muntah. Airmata Fatin tumpah lagi semasa muntah. Azimah, jiran merangkap teman baik untuk tempoh 25 tahun itu sudah melampau. Azimah sewel. Azimah gila. Fatin meraung.

Hak Cipta: suha

Tuesday, May 29, 2012

Cinta Bunga Tahi Ayam

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips

“Nah, untuk kamu”.

Lalu sekuntum bunga tahi ayam bertukar tangan. Dan seperti biasa penerimanya, perempuan itu, sedikit kaget namun bibir segera mengukir senyum. Ya, bunga tahi ayam, seperti hari-hari yang sudah berlalu.

“Kenapa bunga tahi ayam?”, dan soalan yang sama meniti di bibir.
“Kerana ia bunga paling special, sama seperti kamu”, juga jawapan yang sama.

Sudah 3 tahun berlalu dan inilah rutinnya. Lelaki ini akan memberikan perempuan itu sekuntum bunga tahi ayam saban hari, tanpa pernah jemu, pada setiap kali pertemuan mereka. Bunga yang sama, soalan yang sama dan tetap jawapan yang sama.

Perempuan itu perlahan-lahan membawa bunga itu ke hidung. Dihidu bau bunga itu. Namanya pun sudah menjelekkan, apatah lagi baunya namun bibirnya tetap menguntum senyum. Lantas dia membuang pandang ke arah lelaki disebelahnya.

“Saya suka bau bunga ini. Bau ini istimewa. Ada bau ini, maknanya awak pun ada”.

Lelaki ini tersenyum nipis.

“Esok aku pasti akan datang lagi bersama bunga istimewa ini”
“Saya akan tunggu awak di sini. Saya janji”, lembut perempuan itu membalas.

Usai saja perempuan itu bersuara, alam mula dibungkus sepi. Tiada bicara diurai, tiada kata diuntai. Hanya sesekali terdengar halus desir angin menampar wajah. Lelaki ini hanya mencerna apa yang ada di hadapan dan perempuan itu masih setia menghidu bunga tahi ayam itu tanpa jemu.

“Awak”, lelaki ini segera berpaling ke sebelah tatkala terdengar perempuan itu memanggilnya, menunggu agar kata diteruskan.
“Suati hari nanti, bila saya tiada, awak akan tetap di sini?”, perlahan sekali suara seakan melirih.

Lelaki ini kaget. Entah mengapa rasa sayu bergayut di ruang hati.

“Jangan tinggalkan aku”, balas lelaki ini. Di saat itu, mata mereka beradu. Ada rasa tak terluah, ada cinta tak terungkap. Getaran di hati saat mata bertentang seakan mengiyakan.
“Kalau kamu tinggalkan aku, pada siapa lagi harus ku berikan bunga tahi ayam ni? Kamu yang istimewa, seistimewa bunga ini. Kalau kamu pergi, aku mati”, sayu sekali tuturnya, remuk sekali hatinya.

Perempuan itu hanya menunduk. Sepi mengisi ruang. 

“Jangan mati. Saya tak akan pergi. Saya akan sentiasa di sini. Saya akan menanti awak, seperti hari-hari yang sudah. Saya akan menunggu bunga tahi ayam awak. Saya tetap akan ada di sini”, seakan memujuk perempuan itu menutur kata.

“Kamu janji?”, pantas lelaki ini bersuara.
“Janji!”, dan sepantas itu juga perempuan itu membalas. Senyum sama diukir.

Aneh. Cinta bunga tahi ayam ini memang aneh. Cinta tanpa suara, cinta tanpa kata. Hanya sekuntum bunga tahi ayam setiap hari. Pertemuan yang sentiasa ditunggu dan bunga tahi ayam yang sentiasa dinanti. Bagai ada sesuatu yang mengikat. Dan sudah 3 tahun mereka terikat tanpa sedar.

Cinta bunga tahi ayam. Cinta yang hadir tanpa sedar. 

Hak Cipta: suha

Thursday, May 24, 2012

Kalaulah

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
“Kita putus”, aku.
“Baiklah, kita putus”, dia.
“Ya, itu lebih baik. Paling baik buat kita”, aku.
“Apa agaknya akan jadi nanti?”, dia.
“Entah, aku pun tak pasti tapi aku tahu bahagia itu ada”, aku.
“Dulu, aku sangkakan bahagia itu kau”, dia.
“Kalau bahagia, pasti tidak begini”, aku.
“Mungkin”, dia.
“Maafkan aku atas segala apa yang pernah berlaku”, aku.
“Terima kasih kerana pernah membahagiakan aku”, dia.
“Hahaha kau bahagia?”, aku?
“Sangat bahagia. Kau?”, dia.
“Satu ketika dulu”, aku.
“Huh! Aku teruk, bukan?”, dia.
“Aku takkan menyintai orang yang teruk”, aku.
“Maafkan aku”, dia.
“Jangan! Aku yang bersalah. Aku yang minta diputuskan”, aku.
“Keadaan memaksa, aku faham”, dia.
“Aku yang memaksa keadaan”, aku.
“Aku tahu kau penat bertahan”, dia.
“Entah”, aku.
“Jom, balik!”, dia.
“Semoga satu hari nanti kita akan bertemu lagi”, aku.
“Dan pastikan kau sudah berbahagia”, dia.
“Itu pasti”, aku.
“Selamat tinggal”, dia.
“Good luck!”, aku.

Masing-masing melangkah, tidak mahu berpaling lagi. Benar ini bukan pengakhiran sebuah kehidupan tapi hati tetap sakit. Di mana bahagia yang mahu diraih itu? Adakah tertinggal di belakang? Ataupun bakal menjelma di hadapan? Tiada siapa yang tahu.

I
(Monolog Aku)
Kenapa kau merelakan? Kenapa kau setuju? Aku sayang kau. Aku sayang hubungan kita. Aku mahu kamu ada. Kau tahu aku rasa sakit bila kau rela kita berpisah? Kau tahu aku rasa pedih bila kau setuju untuk berpisah? Aku bahagia. Aku teramat bahagia bila bersama kau. Tapi sayang, segalanya perlu berubah. Aku mohon, berhentilah melangkah, pandang ke belakang dan aku pasti berlari ke arah kau. Kita bina hidup baru. Kita hentikan segala rasa sakit ini. Kita lupakan segala duka yang pernah menyinggah di tabir hidup kita. Kita jadi orang yang baru. Aku mohon, berhentilah melangkah.

Dengan seribu kekuatan aku berpaling dan berharap kau sedang memandang aku. Tapi rupanya segala kekuatan aku hanya untuk disiakan. Ya, dia masih melangkah tanpa berpaling. Lalu aku akur. Ini akhir sebuah cerita aku. Aku, perempuan yang penuh kisah duka.

II
(Cerita Dia)
Dia yakin satu-satunya perempuan yang dicintai itu tidak jujur dalam meluahkan rasa. Dia yakin satu-satunya perempuan yang ada dihatinya itu pasti menarik balik kata-katanya. Jadi dia menunggu. Malahan kakinya tidak melangkah meninggalkan tepi tasik yang seakan sudah menjadi tempat rasmi setiap kali mahu memadu kasih, melepaskan rasa rindu. Sesaat. Dua saat. Tiga saat dan tika waktu sudah entah tidak terkira berapa saat lagi, dia masih memandang langkahan perempuan itu. Hatinya mula hancur berkecai. Dia pasti perempuan itu sudah nekad. Dia menggenggam tangan perlahan-lahan dan mula berpaling untuk melangkah. Tuhan, tabahkan hati perempuan itu. Dia tidak mahu ada lagi duka dalam hidup perempuan itu. Dan dia mula melangkah pergi.

III
Kalaulah aku berpaling saat dia sedang menunggu.
Kalaulah dia bersabar menunggu aku berpaling.



Hak Cipta: suha

Monday, April 30, 2012

Cinta Itu Emak

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
Terbayang di mata saya seraut wajah manis milik emak saya yang pada hemat saya, emak yang paling tabah di dunia. Emak saya jantung hati saya, emak saya kekuatan saya. Tapi sekuat mana pun badai yang dihadapinya, semanis itulah senyuman yang dilemparkan bagi menutup luka di hatinya. Emak, saya sayang emak.

Emak saya menanggung duka di usia muda, di awal perkahwinannya dengan jejaka pilihan hati. Emak kehilangannya buat selama-lamanya. Lelaki itu bukan ayah saya kerana ayah saya hanya hadir dalam hidup emak saya selepas emak saya bergelar balu. Menerima ayah saya bererti berusaha mencari bahagia dan saya yakin emak saya bahagia.

Derita emak bersambung lagi. Anak kedua yang dilahirkannya selepas saya,meninggal ketika bayi. Belum usai sakit mengandung, belum pun hilang sakitnya bersalin. Tapi janji Allah itu pasti, adik saya dijemputNya seawal usia 37 hari. Berduka lagi si emak yang manis itu. Namun percayalah emak, Allah tidak akan mengambil sesuatu dari hambaNya melainkan akan diganti dengan 10 kebaikan. Lihatlah emak, Allah kurniakan emak 5 putera supaya suatu masa nanti dapat berkhidmat untuk emak, dapat menjaga emak sepertimana emak menjaga kami.

Maka kami membesar sebagai anak-anak yang taat kepada emak kami, menyayangi emak sepenuh hati kami. Namun ujian Allah datang lagi. Ayah jatuh sakit. Sakit hingga tidak mampu menggunakan tangan dan kaki. Ada air jernih di mata emak setiap kali memandang ayah tapi emak kuatkan semangat supaya ayah juga mampu bertahan. Doa dititip supaya ayah dapat kembali berjalan. Setiap kali solat, setiap kali itulah doa emak panjatkan. Menitis airmata saya bila melihat emak terpaksa menguruskan keluarga seorang diri. Tapi itulah emak saya, tabah dan sedia melakukan apa sahaja untuk keluarga.

Melihat emak menguruskan keperluan ayah, keperluan keluarga membuatkan saya terfikir, mampukah saya menjadi isteri sebaik emak? Saya melihat melalui sudut yang tidak mungkin dialami oleh semua insan. Saya melihat emak saya melalui pandangan simpati seorang anak. Namun saya tahu, saya juga mahu menjadi seorang emak seperti emak saya. Berkat doa dan usaha gigih emak dan kuasa Allah, ayah sembuh akhirnya. Dan pada saat itu, saya bahagia kerana dapat melihat senyuman emak saya. Senyuman yang tidak ada duka padanya.

Itulah emak saya. Emak yang telah terbiasa hidup di luar kemewahan tapi tidaklah emak pernah mengeluh. Emak tidak pernah meminta lebih dari apa yang ayah sediakan. Emak tidak pernah meminta kami menjadi seorang yang lebih dari seorang yang kami mampu. Emak yang masih tersenyum ketika mendapat berita saya di tendang dari UIA. Emak yang masih tersenyum ketika keluarga yang lain mengutuk kegagalan saya. Dan itulah emak saya. Yang akan sentiasa mengejutkan saya setiap kali saya ingin study di awal pagi, yang akan sentiasa menelefon saya dan memberi saya semangat setiap kali saya hampir memasuki dewan peperiksaan. Emak yang tidak akan pernah jemu walau sudah bertahun emak melakukan perkara yang sama.

Saya rasa sangat bertuah kerana dikurniakan emak yang begitu kepada saya. Mana mungkin saya akan mendapat emak yang terbaik selain dia. Tersemat di hati saya, suatu hari nanti saya ingin menjadi emak seperti emak saya. Emak yang mampu menggembirakan anak, yang mampu menyenangkan suami. Terima kasih emak kerana mendidik saya menjadi seorang insan yang tahu nilai seorang emak. Terima kasih emak kerana masih bersama kami. Terima kasih emak kerana masih menyayangi ayah saya. Terima kasih emak untuk segala yang pernah emak buat untuk saya. Terima kasih, emak.

Saya tidak dapat bayangkan andai saya kehilangan emak. Bagaimana saya mampu hidup tanpa emak. Saya bermohon moga suatu saat jika saya terpaksa kehilangannya, saya telah mampu untuk menggembirakannya. Kerana mati itu pasti dan saya akan tetap harus merelakan bila tiba harinya kelak. Terkadang saya berharap saya akan pergi dulu sebelum emak tapi seketika saya kembali tersedar, jika saya yang pergi dulu, emak akan lebih menderita. Ya Tuhanku, panjangkanlah umur kami dan senangkanlah hati emak kami, semoga suatu hari nanti tempat emak adalah di syurga.

Seorang emak dan selamanya begitu. Seorang emak yang seumur hidupnya menjadi cahaya. Emak adalah kehidupan, tiada kehidupan tanpa emak dan benar, cinta itu emak.

Hak Cipta: Suha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...