Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Showing posts with label Nenek. Show all posts
Showing posts with label Nenek. Show all posts

Thursday, December 29, 2011

Nenek #Part 2 (Akhir)

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips


Aku pergi kerja seperti biasa. Sejak balik dari kampung aku seakan fobia mendengar deringan bunyi telefon bimbitku. Ada saja perkara buruk bermain difikiran aku. Seperti yang mak bagitahu, tak banyak yang berubah kat nenek sejak kami balik. Perubahan pada diri nenek ketika kami balik untuk kerja hari itu hanya sementara.Hanya doa mampu aku panjatkan pada yang Maha Esa agar nenek dikurniakan kesihatan yang baik. Hari ini hari kedua aku balik dari kampung. Aku melakukan tugasan harian seperti biasa. Sesekali aku memandang telefon bimbit yang berada di atas meja. Satu hari suntuk telefon ku tidak berbunyi. Terasa pelik di situ. Dan biasanya aku menghubungi mak sebelah malam. Kerana sebelah siang mak sibuk mengurus kerja rumah di samping melayan jiran datang menziarahi nenek. Aku mencapai beg di atas meja. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Tertera nama 'mak'. Aku cepat menjawab. "Mak! kenapa?". Kedengaran suara mak yang ditahan-tahan. "ngah, tadi nenek tiba-tiba tak sedarkan diri." Mak menangis. Aku dengar bacaan Surah Yassin sayup-sayup kedengaran di hujung talian. "nenek ok tak mak?". Mak masih tak mampu menahan perasaan. "angah balik lah. sementara nenek masih ada ni.". "Esok pagi Angah balik."

Sepanjang perjalanan balik ke rumah Along perasaanku bercampur-baur. Telefon bimbitku dari tadi ada isyarat bunyi 'sms' masuk. Aku biarkan. Beberapa 'sms' dari sepupu. 'Sms' dari adik-adik yang berada jauh diperantauan. Aku sampai di rumah Along. Senyap. Aku dengar Along membaca Surah Yassin. Anak-anak duduk disebelahnya. Aku sebak. Aku mendail nombor mak. Tidak berjawab. Aku mendail nombor makcik. Juga tidak berjawab. Aku mandi untuk membersihkan diri untuk solat. Selesai solat Maghbrib aku membaca Surah Yassin. Berulang-ulang kali. Aku percaya satu perkara. Tapi tak mampu untuk luahkan pada siapa-siapa. Apa yang makcik sarankan dua hari lepas buat aku berfikir. Apa yang aku lakukan pada nenek seminggu sebelumnya ada rasionalnya. Apa yang nenek luahkan pada aku sebelum dia jatuh sakit ada sebabnya. Semuanya bersebab. Cuma akal kita manusia tak mampu untuk mencapainya dan mungkin juga tak mahu mengiakannya.

Pintu bilik ku di ketuk. Kelihatan Along dengan wajah tenangnya. Aku faham perasaan Along. Dia merupakan cucu nenek yang paling rapat dengan nenek. Sehinggakan Along memanggil nenek, 'mak'. Bukannya dengan panggilan nenek. "Kita balik lepas subuh." Aku mengangguk. "Angah call mak tapi tak berjawab". "mak tak dengar kot.". Aku cuba memujuk hati. Kali ini aku betul-betul tak dapat menahan sebak. Aku cuba untuk menenangkan hati.Aku baring di katil. Berlegar-legar segala kenangan bersama nenek. Sejak kecil sehinggalah aku dewasa. Nenek memang cukup baik dengan aku dan adik beradik. Kami antara cucu yang paling rapat dengan dia. Nenek tak pernah menyakiti kami. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, kurniakanlah kesihatan yang baik kepada nenek.. Aku terlena.

Along mengejutkan aku. Entah berapa lama aku terlelap aku tidak pasti. "Ngah, nenek dak tak ada.". Suara Along tenang. Aku duduk di birai katil. Aku kelu. Aku tengok jam di dinding. Pukul 1.56 pagi. Bersamaan 14 Safar 1432 Hijrah. Nenek sudah pergi meninggalkan kami. Aku ke bilik air. Untuk membersihkan diri. Aku sucikan diri. Aku cuba untuk menenangkan hati. Aku mulakan baca Surah Al-Fatihah. Diteruskan dengan Surah Yassin. Tenang. Tenang. Tenang. Wajah nenek berlegar di ruang mataku. Senyuman nenek bermain-main di segenap ruang fikiranku. Akhirnya airmata ku jatuh jua.

Aku cuba menghantar satu pesanan ringkas kepada kawan baik yang berada di kampung. "Nenek dah tak ada. sedih sangat2. Nak peluk kawan2. suma jauh. ". Aku tahu menghantar 'sms' di waktu sebegitu pasti tidak akan mendapat balasannya. Aku membiarkan telefon bimbit di sebelah bantal. Ada satu 'sms' masuk. Dari kawan baik. "Innalillahiwainnalihirajiun.. sabar sayang. Kat kampung hujan. Nanti balik kan?Aku jumpa kau kat umah. Sabar sayang.". Satu 'sms' dari teman rapat sedikit sebanyak menguatkan aku. Aku dengar Along sudah bersiap-siap mengemas pakaian. Kami perlu bertolak selepas subuh. Mesti sampai sebelum jenazah nenek dikebumikan. Ya, arwah nenek. Nenek dah tak ada. Itu hakikat yang harus kami semua terima.

Sepanjang perjalanan balik ke kampung suasana di dalam kereta sepi. Anak-anak buah seolah-olah mengerti. Sesekali abang ipar cuba membangkitkan suasana. Tapi malangnya fikiran aku dan along menerawang lebih jauh. Segala kenangan bersama nenek berputar-putar. Along memang cukup tenang menghadapi kehilangan. Pasti apa yang dia rasa lebih jauh lebih sakit. Halaman rumah nenek nampak tenang. Ramai jiran yang berada di halaman rumah. Tiada siapa yang aku kenal. Akhirnya aku nampak kelibat ayah dan paksu. Aku cium tangan mereka berdua. "masuklah dulu ngah.." Paksu menyuruh aku masuk. Aku mengekori paksu. Along juga sama. Mendapatkan mak yang berada di depan pintu bilik kami. Bilik aku dan arwah nenek. Wajah Mak tenang. Wajah makcik juga tenang. Aku sempat melihat Along. Akhirnya dia menangis jua di dalam pelukan mak. Aku mencium wajah nenek berulang kali. Untuk kali yang terakhir aku menatap wajah nenek. Wajahnya tenang. Seolah-olah tersenyum. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Amin.

*Al Fatihah*

Wednesday, December 28, 2011

Nenek #Part 1

9:32:00 AM | | | Best Blogger Tips

Panggilan telefon daripada Mak tadi membuatkan aku tak senang duduk. Nenek jatuh ketika ingin ke bilik air. Nenek bagi aku seorang wanita yang kuat dan tabah. Cuma sejak akhir-akhir ini dia sering tak sihat badan. Walaupun tak sihat, tapi nenek masih mampu berjalan tanpa bantuan sesiapa. Penglihatannya masih terang. Dia seorang tukang masak yang hebat. Selalu dijemput oleh orang kampung untuk memasak kenduri kahwin semasa dia masih sihat. Aku rapat dengan nenek. Walaupun aku jarang menceritakan masalah aku padanya. Tapi dia seolah-olah faham dengan apa yang aku rasa. Masih ingat lagi ketika aku memasuki universiti. Dia juga selalu memberikan aku wang saku setiap kali balik semula ke kampus selepas habis cuti semester. Pasti ada wang saku diselitkannya ditangan aku ketika aku mencium tangannya.

Kali pertama aku bekerja sebaik sahaja tamat belajar dan mengajar di sekolah pedalaman, dia jugalah orang yang membantu aku dari segi kewangan selain daripada mak dan ayah. Walaupun nilainya kecil,tapi terlalu bermakna bagi aku. Pada dia juga aku bertanya tentang sekolah di kawasan pedalaman tempat aku bakal mengajar. "oh.masa nenek muda-muda dulu nenek dan keluarga pernah ke situ. jangan risau. kat tempat orang kena jaga diri, jaga adab." Sampai sekarang aku ingat pesan nenek. Dulu, masa nenek masih sihat aku selalu tolong dia masak. Aku selalu perhatikan dia masak. "nek, angah nak rasa sikit?". Itulah yang sering aku ucap setiap kali nenek selesai memasak.

Ah.. apa sahaja kenangan bersama nenek semuanya berlegar di fikiran ku kini. Minggu lepas aku balik ke kampung. Bicaranya lain. Terserlah wajahnya yang kurang sihat. Aku duduk di bilik bersama nenek. "Nenek rindu kat Paksu" katanya. Aku diam. Cuba mencari jawapan yang mampu buat dia tersenyum. "Angah ada telefon paksu? Paksu ada telefon angah?". Bertubi-tubi soalannya. "Paksu tak call pun. Tapi hari tu dia ada bagitahu angah dia outstation. Nanti paksu balik la jumpa nenek." Nenek senyum. Aku senyum. "Hari tu paksu ada balik kejap.Paksu lain. Dia tak cium nenek sebelum dia balik hari tu." Nenek bersuara. Aku sebak mendengar. "Lain macam mana nek?". Nenek senyap. "kat angah je nenek selalu bercerita pasal anak-anak nenek. kat angah je nenek meluah apa yang nenek rasa.". Aku mendengar setiap butir bicara yang keluar dari mulut nenek. Aku tahu dia rindukan anak-anaknya. "Ala nek, mak kan ada.". Aku cuba memujuk nenek. "Mak angah sibuk. banyak dia nak kena uruskan. kerja-kerja rumah lagi. Mak Angah pun selalu tak sihat sebab jaga nenek. Mak angah banyak korban untuk nenek. Nenek tak nak tambah bebab mak angah.". Panjang lebar nenek meluah. Ya, aku faham. Sehari sebelum aku balik, nenek memangil aku. Dia minta aku memotong kuku kaki dan tangannya. Aku tak banyak bicara. "Kuku masih pendek ni nek". "Angah potong je. bersihkan kuku nenek sekali.Orang tengok pun tak kotor nanti.". Aku menurut. Ketika itu perasaan ku lain. Mak yang tika itu mengemop lantai dapur memandang aku. Mataku tiba-tiba berkaca. Esok paginya aku balik kerana aku perlu kembali bekerja. Nenek bangun awal. Dia tahu aku akan bertolak awal. Aku cium tangan mak dan ayah. Aku cium tangan nenek. Dia cium pipi aku. Aku cium dahi nenek. "nanti angah balik lagi ya". Aku angguk. Sebak.

Telefon bimbitku sekali lagi berdering. Mengejutkan aku dari terkenang saat bersama dengan nenek. "Angah nanti balik ya." Kedengaran suara mak dihujung talian. "Nenek jatuh terus tak dapat bangun dah.". Suara mak lain. "Mak tak sihat ke ni?". "Mak selsema dua hari lepas. Tapi sekarang ni macam nak demam. Risau kat nenek.". Kasihan mak. Dia antara anak nenek yang menjaga nenek dari dulu sehingga kini. "Mak, esok angah balik ok. Mak jangan risau. Sampaikan salam angah kat nenek.". Kalau boleh sekarang juga aku ingin terbang ke kampung.Ketika aku balik hari tu nenek masih sihat. Masih mampu berjalan. Sekarang nenek tak mampu nak bangun disebabkan terjatuh hari tu. Hari ini aku dan ayah menghantar adik lelaki ke airport untuk mengikuti kursus latihan polis. Selesai menghantar aku dan ayah bergegas balik ke kampung. Aku diam sepanjang perjalanan balik ke kampung. Hanya wajah nenek terbayang-bayang di mataku. Sesampainya di rumah. Aku lihat ramai jiran yang baru keluar dari rumah. Mungkin baru lepas melawat nenek agaknya. Aku masuk. Terus mendapatkan mak. Mak muram. "Angah masuk la bilik nenek. nenek ada tu.". Aku masuk ke bilik nenek. Bilik kami sebenarnya. Bilik aku dan nenek. Nenek terbaring. Mukanya pucat. Aku cium tangan nenek. Aku cium dahi nenek. "nek, angah dah balik dah..". Dia mengangguk lesu. Dia senyum. "Along tak balik sekali ke ngah?Paksu tak balik ke ngah?". Sekali lagi aku diserang soalan bertubi-tubi dari nenek. "Along balik la nanti. Paksu masih outstation. Esok lusa ada la paksu". Dia mengangguk. Mak duduk di sebelah aku. Mata mak sembab. "Mak tak sangka sebab jatuh pagi tu nenek terus tak dapat bangun.dah bawa ke klinik. Doktor cakap tak ada apa-apa. Nenek dah tua,lemah, sebab tu dia tak dapat bangun macam dulu". Aku hanya mampu mengangguk.

Makcik muncul di muka pintu bilik. Dia membawa semangkuk kecil bubur. Katanya nenek tak lalu nak makan dah sejak jatuh hari tu. Aku mengangkat tubuh nenek supaya dia dalam keadaan menyandar. Aku suapkan perlahan-lahan nasi bubur ke mulutnya. Dia mengunyah perlahan. Dia senyum. "Nenek dah takda selera ngah". Mataku berkaca. Aku sebak. "Makan sikit nek." Nenek angguk. "Nenek nak buah laici dan buah hitam tu". Mak cepat-cepat bangun untuk mengambil buah laici dan buah hitam kegemaran nenek. "suruhlah paksu balik. Suruh along balik juga. Lama dah nenek tak jumpa anak-anak along." Nenek bersuara lagi. Aku angguk.

Aku cuti selama beberapa hari untuk membantu mak menguruskan segala kerja rumah disamping menjaga nenek. Akhirnya paksu balik juga. Terserlah gembira wajah nenek. Anak-anak nenek yang lain sudah berkumpul di rumah nenek. Aku dan along terpaksa balik kerana cuti yang di pohon sudah habis. Aku berjanji akan balik semula selepas dua hari. Kerana banyak kerja yang perlu aku selesaikan. Sebelum balik aku cium tangan nenek. Aku renung wajah dia puas-puas. Makcik berbisik ke telinga aku. Makcik menyarankan aku supaya tak balik dulu. Tunggu selepas tiga hari baru balik kerja semula. Tapi, tuntutan tugas membantutkan aku dari mengikut saranan nenek. Aku menangis ketika mencium dahi nenek. Along juga begitu. Cepat-cepat aku bangkit. Aku perlu kuat. Aku doakan nenek akan baik seperti biasa. Hanya itu. Aku rela menanggung semua kesakitan nenek daripada melihat nenek terbaring tanpa dapat bergerak dan berbuat apa-apa. Sekurang-kurangnya ada perubahan sikit pada diri nenek. Dia boleh duduk menyandar. Dia masih lagi mampu tersenyum. Masih lagi kenal wajah-wajah kami. Itu sedikit sebanyak melegakan aku untuk meninggalkan dia untuk menyelesaikan tugasku.

-bersambung-


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...