Ini harinya, setelah hampir bertahun lamanya aku harus bertemu empat mata dengan lelaki yang pernah menjadi sanjungan dan kekasih aku waktu-waktu dahulu. Waktu aku masih merasai kecilnya dunia, sempitnya ruang untuk aku bernafas dan dia adalah segalanya. Sebenar-benarnya pun, sehingga saat ini kasih aku masih ada untuknya tetapi lantaran rasa yang disakiti waktu dulu, aku membina benteng setinggi mungkin hanya kerana bencinya aku akan perilaku yang pernah dia hamparkan.
“Saya bakal berkahwin,” aku memulakan perbualan.
Riaknya sedikit terkejut. Tetapi segera dikalih dengan senyuman. Wajahnya masih sama, masih lelaki yang aku kasihi, namun sedikit lusuh dek usia yang mengejar.
“Bila sayang?” soalnya mesra. Tidak lekang, dia masih penyayang dan manis seperti dulu.
Aku mengeluh. “Jangan panggil saya sayang. 22 Ogos, akad nikah selepas Asar,” aku balas lekas. Matanya mencerlung merenung aku dalam-dalam. Dan aku melarikan anak mata jauh menembusi lautan manusia di hujung sana.
Dia memandang aku dengan mata bundarnya yang penuh kasih dan menyatakan akan menghadirkan diri. Ketika menuturkannya, matanya masih tidak lekang melekap di wajah aku. Barangkali merindui wajah yang dia pernah tinggalkan dahulu tanpa belas.
Seusai membereskan segala hal yang harus disudahkan, aku pulang diiringi sorotan anak mata lelaki itu yang masih setia menyayangi aku, dan mungkin tidak pernah lekang. Kejamnya, aku tidak mampu membalas walau jujurnya aku cukup merindui pelukan hangatnya dan merindui memeluk lengan sasanya juga bau kelakiannya yang sentiasa panas membahang menggelegak kasih sayang. Dari jauh, aku hanya mampu berpaling curi-curi dan memandangnya lirih. Jujur, aku rindu.
22 Ogos, 4.45pm.
Masjid Al-Falah sudah dipenuhi saudara mara dan rakan terdekat. Hati aku masih berbagi rasa dengan degupan laju yang semakin menyesak di dada. Pandangan aku sekilas memandang rupawan di sebelah aku yang setia memberi penenang dan usapan kasih setiap saat tanpa jemu.
“Dia pasti datang sayang, jangan risau,” Seolah-olah memahami apa yang aku rasa, rupawan itu cuba menyuntik ketenangan. Dan aku membalas dengan senyuman.
Waktu semakin mengejar. Kelibat lelaki itu muncul saat keramaian mula hingar dan gelisah. Berbaju Melayu teluk belanga putih bersampin bunga tabur. Itu sut yang dihadiahkan si rupawan waktu dahulu, waktu masih bahagianya kami sebelum hadirnya awan gelap memayungi keberadaan kami. Lelaki itu memohon maaf atas kelewatan itu dan segera menyimpuh mengambil duduknya.
“Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku, Dian Andiani Binti Daud dengan mas kahwinnya RM300 tunai,” lantang, lelaki itu menuturkan lafaz, mewalikan satu-satunya anak perempuannya ini, yang pernah dia kendong dan puterikan bertahun dahulu.
Aku kesat air yang mengalir. Di antara bahagia dan kesedihan, aku muntahkan segala rasa. Di antara lelaki yang aku cintai kini sah menjadi suami juga lelaki yang aku kasihi menjadi wali di hari yang aku kira, momen yang penuh kesayuan. Si rupawan memeluk aku, kali ini lebih lama dari biasa. Kami tenggelam bersama lautan perasaan yang bergelora. Dia berbisik kepadaku; pergi ketemu ayahmu sayang, peluklah dia.
Aku berpaling dan lelaki itu sudah berada di belakang.
Dan dia, lelaki itu yang menerbitkan kebencian dalam hati aku setelah tegar meninggalkan ibu aku si rupawan gara-gara cintanya yang mula berpaling lebih kuat pada perempuan lain. Atas kebencian yang aku bentengkan, sebenar-benarnya aku menyayangi dia sama seperti aku menyayangi ibu aku. Bedanya, aku menidakkan rasa kerana aku tidak mampu menerima hakikat setelah dia pergi meninggalkan aku waktu dahulu.
Untuk sekian kalinya, lidah aku bergetar sealiran dengan darah daging yang mengalir di rongga tubuhku menutur panggilan yang sudah lama aku abaikan.
“Ayah”.
6 comments
aku suka olahan kispen ini... :)
pic tu sangat cantik...
terima kasih!
No doubt, penceritaan yang baik dan satu twist story yang segar.
Penulisan hanahamad ini penuh dengan emosi dan menusuk dalam hati.
tidak mahu menelah samada ini sebuah perkongsian pengalaman atau tidak, tapi mengiakan yang kisah ini hidup dan aku suka.
teruskan menulis dan melukis hidup dengan pena.
tahniah untuk karya ini; dan anda telah membuatkan kami mengharapkan yang lebih baik di masa hadapan.
all the best.
*senyum*
p/s:
hidup perlu ada penzahiran kan? kalau biar tersimpan, bisa menjadi bisa dan mem'barah' dalam hati.
*senyum*
terbaik!rupanya lelaki itu adlh ayah
nice.. aku suka ini!!!!