Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Sunday, November 20, 2011

Kisah Seekor Mamalia Genit Yang Walang.

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips

Cahaya pagi yang menerik menjamah matanya untuk bangun dari perbaringan, terpejam celik matanya merenung siling, tika ini pasti isterinya sedang menyediakan sarapan untuknya. Okta menggolek tubuhnya untuk bangun, di saat itu dia baru terperasaan tangannya lebih kecil daripada tubuhnya, dia terbeliak. Badannya bersalutkan bulu kasar yang berwarna kelabu tua, dengan kaki yang menyerupai tangan genitnya. Cip! Cip! Cip! Mukanya yang bermuncung tirus tampak pucat. Mana suara aku?! Dia segera menyembunyikan dirinya di balik bantal apabila terdengar tombol pintu bilik dipulas. "Eh, sayang dah bangun?" Isterinya melilau mencari kelibatnya lalu mengetuk pintu tandas, "Sayang, sayang nanti makan sarapan kat atas meja ye?" Dia melipat selimut yang bergumpal di atas katil lantas berlalu keluar dari bilik. Rin... Okta memandang pintu bilik itu, fikirannya kosong.

Kedengaran suara anak-anaknya, Lionel dan Auben; mengucapkan selamat tinggal kepada isterinya untuk pergi ke sekolah. Mereka berjalan kaki beralaskan kasut lusuh dengan buku yang penuh di dalam beg galas kusam. Negara itu baharu sahaja melepasi era peperangan, di mana negaranya telah diisytiharkan bebas dari penakluk negara gergasi dari negara dunia pertama. Okta menggelungsur dari tepi cadar kali lalu berlari laju bersembunyi di belakang langsir. Rin menguak perlahan pintu bilik, menoleh ke kiri-kanan mencari bayangan suaminya. "Sayang?" Dia menghampiri pintu tandas lalu membukanya, kosong. Okta dah turun kerja ke? Dia terus mengemas cadar tilam yang masih melekat bau tubuh Okta, lalu mencium bantal yang digunakan oleh suaminya. Okta melihat perlakuan isterinya yang satu itu, sayu.

Dia segera berlari keluar dari bilik melalui pintu yang terbuka luas langsung menyembunyikan tubuhnya di bawah sofa lusuh di ruang tamu. Apa dah jadi dengan aku? Aku kena turun kerja. Aku hanya makan gaji hari-hari. Kalau aku jadi macam ni selamanya siapa yang akan bagi makan kat famili aku? Siapa yang akan tanggung belanja sekolah Lionel dan Auben? Rin... Okta meniarapkan badan kecilnya di atas lantai yang sejuk itu sambil menggoyangkan ekornya, sebal dan tergumam dengan apa yang terjadi dengan dirinya. Dilihat isterinya kembali ke dapur untuk memasakkan hidangan tengah hari.

***

"Saya tak tahu mana dia pergi, encik, waktu saya bangun pagi tu, dia masih baring di sebelah saya, siap peluk lagi." Esakan Rin semakin kuat. Inspektor Kalbi mencatat sesuatu di dalam buku notanya, matanya tidak fokus pada perempuan di hadapannya sebaliknya melilau mencari sesuatu untuk dijadikan petunjuk. Kelihatan seekor tikus berlari menuju ke dapur. "Saya akan giatkan pencarian, tapi saya tak jamin, puan maklumkan kita ini dalam era paska-merdeka, jadi, saya harap puan bersedia dengan apa jua kemungkinan yang bakal berlaku." Esakannya bertambah kuat. Selepas Inspektor Kalbi meninggalkan rumahnya bersama dua orang bawahannya, Rin kembali ke bilik tidurnya, bantal yang selalu digunakan Okta dipeluknya, dengan air mata yang tidak berhenti mengalir.

Okta yang kelaparan segera mengoyak guni beras di bawah sinki dengan menggunakan gigi kacipnya yang panjang. Beberapa butir terkeluar dari koyakan; dia segera mencapai sebutir beras yang sebesar roti oblong lalu kunyah dengan lahapnya. Ah, kenyang. Dah tiga hari aku tak makan. Dia mengambil sebutir lagi dan menyorokkan beras itu ke dalam poket yang terletak di dalam mulutnya. Kedengaran suara anak-anaknya yang baru kembali dari sekolah. Dia segera bersembunyi di balik timbunan pinggan mangkuk yang terletak di bawah sinki, sebelah guni beras itu.

"Mak masak apa hari ni?" Kedengaran suara Auben yang halus, satu-satunya anak perempuan yang mendiami rumah kecil itu.

"Nasi goreng ikan masin, nak. Abah belum balik, jadi kita kena ikat perut."

"Abah pergi mana, mak?" Soal Lionel, suaranya serak-serak meningkat remaja. Rin hanya menggeleng sambil menahan sendu.

***

Sudah seminggu dia terperosok dalam tubuh itu. Sudah seminggu fikirannya tidak menentu melihat isterinya digasak rindu. Anak-anaknya turut bergulana. Jiran-jiran sekeliling serta majikannya sudah mulai mengunjungi rumah kecil itu, seraya memberikan sedikit wang untuk belanja seharian. Setiap hari pukul 9 pagi, isterinya akan keluar menelusuri kota, mencari dirinya sambil menampal poster hitam putih wajahnya di setiap pelosok bangunan. Menjelang malam, isterinya melutut di hadapan sebuah berhala kecil yang dia belikan sewaktu mula-mula menduduki rumah itu; merintih dan merayu agar dia kembali serta mendoakan kesihatannya. Okta semakin gundah.

Dia berlari keluar ke ruang tamu, di mana isterinya setia menunggunya kembali saban malam. Rin tertidur di atas sofa lusuh dalam posisi duduk. Dia menghampiri isterinya lalu menjerit. Menjerit sehingga isterinya terbangun. Rin masih lena seperti tadi. Dengan gigi kacip yang panjang, dia menggigit tumit kaki kanan isterinya. "Auch!" Rin tergumam melihat seekor tikus yang bertenggek di hujung kakinya. "Aahhhhh! Tikus!" Langsung dia melompat ke atas sofa dengan ekspresi wajah yang ketakutan. Lionel yang terbangun segera berlari ke ruang tamu, kelihatan ibunya yang sedang menjerit kecuakan kerana seekor tikus. 

Cip! Cip! Cip! Lionel pergi ke dapur mengambil penyapu ibunya yang terletak di balik pintu. Cip! Cip! Cip! Lionel kembali dengan penyapu lalu terkecah-kecah mendekati tikus itu. Okta sebaliknya tidak melarikan diri malah berusaha menjerit mengharapkan mereka memahami jeritannya. Pap! Okta mengelak libasan anaknya. Pap! Pap! "Peliknya tikus ni, kenapa ia tak lari eh?" Lionel menundukkan kepalanya menghampiri tikus itu. Cip! Cip! Cip! Tubuh Okta disentap kasar oleh Lionel. Dia menggenggam kuat badan tikus itu, khuatir ia melompat ke arah ibunya. Bau tikus itu seakan-akan pernah dihidu suatu ketika dahulu.


"Lionel, bunuh tikus tu, eiiii!" Ujar emaknya, wajahnya masam mencuka, geram dengan binatang dalam genggaman anaknya. Lionel akur lalu membawa tikus itu ke bilik mandi. Pili air dibuka sehingga memenuhi setengah daripada ketinggian baldi. "Selamat tinggal, tikus." Cip! Cip! Cip! Ekornya diangkat tinggi mengelak terkena air yang terasa kesejukannya dari jauh. Sejukkkk! Bulunya mulai lencun. Blurp, blurp. Air menerjah masuk ke dalam lubang pernafasannya lalu tercekik dengan air yang menderu semasa menjerit sepenuh hati. Dia meronta-ronta dalam genggaman anaknya yang semakin kuat mencengkam tubuhnya. Lionel! Lionel! Jangan! Ini abah! Hanya monolog yang tak terluah. Nafasnya mulai menghilang. Pandangannya kabur. Nadi yang mengepam laju mulai perlahan lalu menghilang perlahan. Lionel mengeluarkan tikus itu dari baldi, dilihatnya tikus itu terkulai layu dengan matanya yang terbuntang.

Dia kembali ke ruang tamu sambil menunjukkan tikus itu kepada emaknya. "Mak, boleh tak aku panggang, lapar, dah lama tak makan daging." Rin mengangguk sambil memalingkan wajahnya, kegelian.

21 comments

November 20, 2011 at 9:20 PM

"erh boleh sgt.mak pon dah lama tak makan daging nihh."




**kesian dia.sobsobsob.inilah akhir kehidupan tikus ye.

November 20, 2011 at 10:39 PM

hurmmm... kenapa gua rasa story ni mcm ada sambung.... tapi hero dah mati plak... haish....

November 20, 2011 at 11:11 PM

emmmm
perasaan bercampur gaul
huwaaaaaaa


besttt!

November 21, 2011 at 12:29 AM

apa yang kita rasa tentang diri kita lain dari pada pandangan orang terhadap kita...

November 21, 2011 at 12:47 AM

asal hero matiiiii..grrrrrrrrrrrrrrrrr -.-

November 21, 2011 at 2:20 AM

heeee.....peliknye cerita ni..boleh tahan tinggi imaginasi si penulis...

November 21, 2011 at 8:57 AM

macam pernah baca cerita ni..kat mana eh...

November 21, 2011 at 11:58 AM

pengakhiran yang sadis.

November 21, 2011 at 3:03 PM

om nom nom nom nom !

November 21, 2011 at 3:41 PM

'kegelian' itu ditonjolkan

sape penulis ni? agak tertarik nak berkenalan ngan beliau

:D

November 23, 2011 at 1:40 PM

kesiannye.. :(.. die bunuh ayah die sendiri..

adakah ini cuma mimpi..

November 23, 2011 at 11:14 PM

wah luc,
smpai kesini anda.

jalan-jalan la lagi,
sungguh aku suka.

November 23, 2011 at 11:45 PM

moralnya, lu orang jangan suka-suka bunuh tikus. Okta tu jjadi macam tu sebab dia kerja dgn kilang racun tikus. kena sumpah lah dia dengan dewa tikus. padan lah dgn muka dia.

November 24, 2011 at 6:25 PM

sadis betei cerita ni. hero mati. sob sob sob.

Anonymous
November 25, 2011 at 3:15 PM

macam mana boleh bertukar jadi tikus?

November 26, 2011 at 11:13 AM

bermain dengan perkataan 'if'. I'm just lying. Perlu nak pakai nama anonymous? Let's have a name, will ya? untuk memudahkan saya rujuk nama.

platipus
November 26, 2011 at 3:01 PM

mahu lagi dan lagi daripada lucifer

December 2, 2011 at 12:25 AM

aku terlepas citer kau,Luc.

sedikit kelainan dengan cara kau bercerita kali ini.seperti seorang ibu yang bertukar menjadi ikan kaloi dan dimakan oleh anaknya.

Anonymous
December 6, 2011 at 7:09 PM

kamu semakin serius.
cuma soalan kok,
ngak usah marah

=)

December 9, 2011 at 9:33 AM

Ghost, thanks,

Anonymous, sorry.

December 13, 2011 at 12:12 AM

haaaaaaaaaaa... *.44

pa: :)

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...