Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Showing posts with label Bukan Cinta Dongeng. Show all posts
Showing posts with label Bukan Cinta Dongeng. Show all posts

Tuesday, February 21, 2012

Bukan Cinta Dongeng #Episod Akhir

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips
Nong Andy
Tolonglah Jadi Kekasihku [#1][Akhir]
Kesinambungan: Bukan Cinta Dongeng [#1][#2][#3]




Aku tersua lagi dengannya. Pedih sekali hatiku melihatnya. Alangkah tersiksanya kerana bersua dengannya lagi. Rasanya aku lebih rela tidak berjumpa dengannya lagi. Walaupun jauh didasar hatiku, aku sedar yang aku amat merinduinya. Aku fikir perasaan ini tentulah rindu sebab saban hari hanya dia yang selalu ku ingati. Membayangkan wajahnya. Membayangkan gelak ketawanya, riak marahnya, kemanjaan dan lagak romantiknya. Memikirkan apakah yang di lakukannya sekarang? Dan bila bersemuka dengannya aku lebih tersiksa sebab aku terpaksa menekan perasaanku dalam-dalam agar dia tidak dapat membaca perasaanku. Kalaulah dia tahu yang aku merinduinya, mungkin dia akan merasa jijik padaku sebagaimana Aryani yang telah ditinggalkannya. Ketika aku hendak keluar makan tiba-tiba aku bertembung dengannya. Dadaku berdebar kencang. Aku jadi tidak keruan. Aku ingin lari sejauh-jauhnya.

“Rika.. benarkah kau begitu rimas melihatku?” Suaranya kedengaran geram. Aku separuh ternganga hairan. Penuh tanda tanya. Mengapakah dia berkata begitu padaku?

“Aku lihat kau amat tersiksa bila terpandangku.. Adakah kehadiranku terlalu menyusahkanmu? Aku amat membencikan? Hingga kau merasa sangat sakit hati melihatku?” sambungnya lagi dengan nada sedikit marah. Wajahnya masam mencuka.

“Aku.. bukan begitu. Aku cuma tidak tahu caranya menghadapimu.. aku..aku..” suara ku perlahan dan tersekat-sekat. Aku kehilangan kata-kata. Mata Aril tajam meratah tiap inci wajahku. Dia kelihatan marah. Rupa marahnya amat menakutkan.

“Bolehkah kau setidak-tidaknya menganggapkan aku seperti dulu? Sebagai kawanmu?”

“Kawan? Tapi kau tidak percaya lelaki dan perempuan boleh menjadi kawan.. dan kau bukanlah kawanku. Kau adalah majikanku..kita hanya ada hubungan ini saja” Aku benar-benar tidak bermaksud mengucapkan kata-kata itu. Aku sebenarnya ingin memberitahunya yang aku tidak mahu menjadi kawannya seperti dulu. Aku sebenarnya mahu kami mencuba sekali lagi. Mencuba hubungan kasih yang dulunya aku tidak mahu percayainya. Akulah yang penakut. Kalah sebelum bertempur. Akulah yang pengecut dan takut untuk memperjuangkan cinta kasihku. Mendengar kata-kataku, ku lihat dia seakan tersingung.

“Oh.. Ya! Aku lupa.. Nampaknya kau benar-benar ingin menjauhkan diri sejauh mungkin dariku. kalau begitu baiklah. Aku tidak akan menganggumu lagi.. kita tak akan mungkin menjadi kawan sampai bila-bila..” Dia beredar dengan muka marah yang masam. Nampaknya dia semakin membenciku. Aku kesal. Tapi aku langsung tidak menghalangnya. Semua kata-kata pengakuan hanya bergema dalam hatiku saja. Airmataku mengalir dengan laju. Aku cuba menahan airmata dan meluru ke bilik air. Membiarkan airmataku berderaian di bilik air. Tiada sedu sedan hanya airmata yang tak henti mengalir. Aku cuba mengesat tapi semakin ku kesat semakin banyak yang mengalir keluar. Aku ingin berbaik dengannya. Tapi kenapa keadaan menjadi sebaliknya. Semakin buruk! Bodohnya aku! Aku sepatutnya memberitahunya yang aku amat merindukannya! Bodoh.. kenapa aku tak terkata-kata? Setelah bertenang aku keluar dari bilik air dan aku tersua lagi dengan Aril. Aku sedikit tertegun tapi sebelum aku sempat berbuat apa-apa dia menjelingku dengan wajah yang marah dan berlalu dengan langkah yang laju. Aku hanya berdaya memandang belakangnya dengan hati yang pedih sekali.

Sehabis masa kerja aku cepat-cepat memecut pulang ke rumah dan berkurung di dalam bilik mengimbas semula kata-kata antara aku dan Aril. Rishan kehairanan melihat aku yang bermuka muram dan bergegas masuk ke bilik lalu menguncikan diri di dalam. Dia mengetuk pintu bebarapa kali tetapi aku beralasan yang aku penat.

“Kakak sakit ke?” tanyanya dari luar.

“Tak.. kakak penat je!” Dalihku sambil mengawal tangisanku. Sekitar jam 7.00 malam barulah aku keluar dari bilik untuk membersihkan diri. Selesai mandi aku segera ke ruang tamu mendapatkan Rishan. Aku tak ada mood untuk masak.

“Kakak sakit kepala.. Kau beli nasi bungkus saja malam ni o.k?” tanyaku pada Rishan yang kusyuk menonton tv.

“Baik… dah makan ubat? Kakak rehatlah.. Aku belikan nasi bungkus untuk kakak sekali ok.. Nasi goreng kampung?” tanya Rishan prihatin. Aku sekadar mengangguk. Rishan bangun dan mengambil kunci kereta kemudian keluar. Namun selang beberapa saat kemudian dia masuk kembali.

“Kak!” Panggilnya dengan suara sedikit termengah.
“Emn?”
“Keluar sekarang..” Aku kehairanan sambil berkerut memandangnya.
“Keluar? Ke mana? Kenapa ni?” Dia menunjuk ke luar lantas menarik tanganku. Mahu tak mahu aku ikutkan saja. Di tepi pagar ku lihat kereta Aril tersadai. Berderau darahku melihatnya. Samar-samar aku melihat kelibat Aril di dalam kenderaannya.

“Kau keluar sajalah.. kakak akan pergi tengok sekejap” Rishan mengangguk dan beredar. Aku mengunci rumah dan melangkah perlahan ke arah kenderaannya. Melihat aku melangkah ke arahnya, Aril segera keluar dari keretanya. Kami kemudiannya hanya berpandangan tanpa sepatah kata buat seketika. Memandang wajahnya yang tenang tanpa riak membuat ku tenang. Dia tidak kelihatan marah, benci, tertekan atau sebaliknya. Dia kelihatan tenang memandangku tanpa kata. Aku tidak tahu apakah yang sedang difikirkannya. Tetapi aku lega melihatnya begitu.

“Mari kita keluar..” ujarnya setelah agak lama kami hanya berpandangan. Dia mendekat dan menarik tanganku. Aku tidak membantah. Masuk ke dalam keretanya tanpa soal. Curi-curi memandangnya sambil cuba menyembunyikan rasa rinduku dalam-dalam. Kenderaan meluncur entah ke mana. Sepanjang jalan kami berdua diam saja. Entah kenapa. Tapi aku berasa tenang dan selesa sekalipun kami tidak berbual. Akhirnya kami berhenti di Tanjung Aru.

Dia memandang medan selera dan kemudian memandangku. Mungkin aku juga sudah mulai pandai membaca fikirannya sepertimana dia membaca fikiranku. Aku tahu dia mengajak ku makan dan tanpa bantahan aku turut keluar, mengekorinya menuju ke medan selera. Kami duduk dan memesan makanan. Langsung tidak menyentuh sedikitpun hal-hal tadi tengah hari atau hal-hal sebelumnya yang menjadi tajuk perselisihan antara aku dan dia. Aril diam sambil memandangku ketika menunggu pesanan. Aku turut diam membiarkan dia memandangku sepuas hatinya. Aku menikmati sepenuhnya saat-saat senyap dan sunyi ketika bersamanya. Tanpa rasa tertekan, resah atau sebagainya. Apabila makanan sampai kami makan dengan senyap hinggalah dia mula bersuara.

“Sedap?” Tanyanya padaku. Aku mengangguk sambil tersenyum ala kadar.

“Aku paling suka makan ayam kicap yang kau masak tempoh hari.. lain kali bolehkah aku datang makan lagi?” Aku tersenyum. Aku juga paling suka makan ayam masak kicap. Nampaknya selera kami sama. ‘Kami memang berjodoh’ fikirku sambil tersenyum dalam hati. Aku tahu walaupun aku menyembunyikan senyuman itu dalam hatiku tapi sinar mataku yang berseri ini telah pun di baca oleh Aril yang memandangku dari tadi.

“Ya.. mungkin boleh”

Selesai makan kami singgah di gerai-gerai yang menjual kerepek dan buah. Aril membelikanku sebungkus jambu batu potong. Kemudian kami berjalan beriringan ke tepi pantai. Masih ramai orang di kawasan pantai itu biarpun telah malam. Pantai Tanjung Aru memang tidak pernah sepi dari kunjungan. Lampu-lampu neon menerangi sebahagian pantai. Angin sepoi-sepoi begitu nyaman terasa. Tiba-tiba Aril mengambil tanganku dan mengengam jari jemariku sambil melangkah santai di sisiku. Aku memandangnya sekilas dan melihat senyuman nipis di bibirnya. Bagaimanapun aku tidak membantah. Cuaca sungguh baik, bintang-bintang bertaburan di dada langit mengelilingi sang bulan yang bercahaya. Terasa seolah-olah Aril sedang memakbulkan hasratku untuk bersama si kekasih, berpegangan tangan menyusuri pantai dengan perasaan romantik seperti ini. Tanpa sedar aku melentokkan kepalaku di bahunya. Selepas berjalan satu pusingan kami kembali ke kereta. Aku mengikut saja ke mana Aril membawaku pergi. Merelakan hatiku hanyut dengan rasa tenang yang begitu indah bersamanya. Kami kemudiannya berhenti di Panggung wayang GSC. Aku menahan senyum bila melihat dia beratur membeli tiket wayang. Dia membeli popcorn sebelum kami masuk ke panggung wayang. Ia umpama temujanji yang ku idam-idamkan. Aku terlupa yang sebelum ini kami telah perang dingin.

“Besok aku outstation ke China mungkin selama sebulan.. kalau urusan boleh dipercepatkan aku akan kembali dalam masa sebulan..” kata Aril sebaik saja kami keluar dari pawagam habis menonton wayang. Aku memandangnya dengan wajah sedikit terkejut. Jadi kerana inilah dia tiba-tiba mengajakku keluar?

“Aku selalu terfikir, mungkin hidupmu okey tanpaku.. tapi Rika, adakah hidupku okey tanpamu? Jawapannya sama sekali tidak.. Hidupku tidak bermakna tanpamu..” sambungnya lagi. Dia menatapku. Kata-kata manis yang begitu menyentuh hatiku. Benarkah begitu bermaknanya aku baginya?

“Hidupku juga tidak okey lepas bergaduh denganmu.. Maafkan aku!” ujarku ikhlas. Aril mengganguk. Dia seakan berpuas hati mendengar kata-kataku.

“Ya.. aku juga! Maafkan aku.. Aku tahu semua ni terlalu mendadak buatmu. Ia juga terlalu mendadak buatku.. hidupku kelam kabut. Semuanya berlaku serentak.. Saat aku jatuh cinta padamu tiba-tiba saja aku terpaksa memikul tangggungjawab syarikat. Aku ingin kau selalu ada di sisiku.. tapi keadaanku tidak mengizinkan. Tapi lega rasanya dapat melihat senyumanmu semula” Dia kemudiannya tiba-tiba menarik ku rapat kepadanya. Aku terkejut dan gugup. Dia merapatkan kepalanya dengan kepalaku hingga rambut kami bercantum.

“Mari.. Kita belum pernah bergambar bersama.. senyum!” Dia menghalakan lenser camera telefon bimbitnya dan mengambil gambar bersama. Aku tidak sempat bersedia tapi mujurlah rupaku tidak terkejut sangat dalam gambar itu. Macam biasa dia tetap kelihatan kacak dengan senyuman menawannya.

“Baik.. aku akan simpan gambar ini dan lihatnya selalu sepanjang berada di China.” Dia kemudiannya menarik begku. Mencari-cari sesuatu.

“Kenapa?” tanyaku hairan.
“Mana telefon bimbitmu?”
“Kenapa?” tanyaku tapi memberikan juga telefon bimbitku padanya. Dia segera mengambil gambarnya sendiri mengunakan telefon bimbitku. Aku tertegun tapi kemudiannya tertawa lucu. Dia menyerahkan telefon bimbit itu kepadaku.

“Kau juga mesti selalu renung gambarku.. macam ni adilkan?” katanya sambil mencuit hidungku lantas ketawa. Aku mengosok hidungku yang di cuitnya dan mengelengkan kepala kelucuan. Tapi ya.. mengapa tidak. Walaupun aku dapat mengingati wajahnya dengan jelas dalam kotak ingatanku tapi kan lebih baik jika ada gambarnya dalam telefon bimbitku. Akan ku tunggu dia kembali kepangkuanku. Rasanya aku sanggup merempuh apa jua rintangan selepas ini. Rasanya aku yakin yang kami memang saling mencintai. Rasanya aku sanggup merampas tunangan orang ini biarpun akan bermusuhan dengan si Arisya yang jelita itu!

“Aku akan panggil namamu sambil merenung gambar ini. Bagaimana? Itu cukup adil?” tanyaku sambil ketawa kecil, Aril turut tertawa. Dia mengangguk.

“Aku berjanji aku akan dengar panggilanmu setiap kali kau panggil namaku.. asalkan kau renung gambarku sungguh-sungguh! Dan katakan kau rindukanku..” Kata-katanya membuatkan aku mencebik. Itu adalah satu janji bodoh yang tidak boleh dipercayai.. Dia ketawa melihat riaksiku.

“Kau tak percaya?” tanyanya sambil mengangkat keningnya padaku. Aku menjeling sambil tersenyum sinis. Tak masuk akal! Dia tiba-tiba mengambil tanganku dan menarik gengaman tanganku ke dadanya. Seolah-olah dia mahu aku merasakan degupan jantungnya. Tatapan matanya lembut hingga aku tidak dapat mengalihkan pandanganku darinya.

“Kalau kau rasa tiba-tiba saja kau rindukan aku.. dan teringin melihatku. Jadi yakinlah ketika itu aku sebenarnya sedang merindukanmu. Kita tentunya ada telipati.. jadi setiap kali kau merindukanku dan serulah namaku.. percayalah ketika itu juga aku sedang merindukanmu.. got it?” Dia memberikan teorinya dengan bersungguh-sungguh. Geli hatiku kerana kami sedang berbual tentang topik ‘rindu’ dan telipati antara kami berdua. Nampaknya kami memang tengah ‘angau’ dilamun cinta. Aku ketawa sendiri di dalam hati. Tapi tak mengapalah.. Aku ingin menikmati perasaan manis dan bahagia ini sepuas-puasnya. Sebab besok dan hari-hari berikutnya aku akan berjauhan darinya.

“Rika…”
“Emn..?”
“Aku ingin dengar..”

Aku mendongak memandangnya. Dia menatapku bersungguh-sungguh. Tatapan yang ku rasakan penuh perasaan kasih sayang. Pandangan yang tak akan ku lupakan buat selama-lamanya. Sinaran matanya yang seolah-olah mengatakan ‘Aku mencintaimu’.

“Eemn..?”
“Rika.. biarlah aku dengar sekali..”
“Apa?” tanyaku sambil terus menatapnya. Dia kelihatan serius. Wajahnya mendekat. Begitu dekat. Aku menunduk sedikit. Aril terlalu rapat hingga aku boleh rasakan hembusan nafasnya di pipiku. Dadaku berdebar kuat sekali. Dup! Dap! Dup! Dap! Sudah…! Jangan buat jantungku pecah!

“Biarlah aku dengarnya sekali..Rika” Suaranya perlahan tetapi begitu dekat. Aku jadi tidak menentu. Pipiku terasa panas. Apa yang dia mahukan?

“Dengar..? Dengar apa?”
“Kau tahu apa yang aku ingin dengar..” katanya dengan yakin. Dengar? Apa yang ingin dia dengar? Bunyi jantungku yang kuat ini? Aku tarik nafas panjang. Cuba bertenang. Dia tersenyum melihat riaksiku. Dia menjauh sedikit, memberi ruang padaku untuk bernafas. Senyumannya yang nakal seolah-olah mengejekku ‘ Takut ya?’

“Er.. kau ingin dengar.. I love you ?” Tekaku sambil memberanikan diri menentang matanya. Dia senyum lebar dan mengangguk.

“In malay please..”

Aku tertunduk malu. Segannya aku mahu mengatakannya. Tapi mengapa tidak. Aku yakin aku memang in love dengan lelaki ini. Biar berjuta alasan ku nafikan hakikat itu. Aku tak boleh menipu diri lagi.

“Aril.. Aku cintaimu..” ucapku perlahan. Meremang bulu romaku menyebutnya. Geli… ha ha! Dia senyum lebar.. berpuas hati! Melihat senyumannya aku seakan disiram rasa bahagia. Sungguh indahnya perasaan cinta ini.. Aku sedikit pun tidak kekok padanya!

“Sekali lagi… ucapkannya sekali lagi” Aku ketawa dan menumbuk dadanya dengan tanganku yang masih berada dalam gengamannya. Dia turut ketawa. Dia kemudiannya merangkul bahuku dan kami duduk merenung bintang-bintang yang bertaburan di dada langit sambil sesekali berpandangan sesama sendiri. Melupakan seketika hari esok yang akan entah bagaimanakah akan kami lalui. Yang pasti malam ini perasaanku dan perasaannya adalah sama. So in love! Sepanjang malam Aril menceritakan semuanya. Tentang Fiona.. tentang Aryani dan kisah perjanjian keluarganya untuk menjodohkannya dengan Arisya. Aku mendengar ceritanya satu persatu dengan tenang. Aku tahu jalan yang ku pilih ini penuh dengan liku-liku dan onak duri. Aku tidak yakin boleh melangkah dengan berani.. Tapi asalkan tangan Aril mengengam ku erat. Asalkan dia memimpinku tanganku dengan kuat.. Aku pasti boleh mengharunginya. Itulah janjiku pada Aril.

-Tamat-

Monday, February 20, 2012

Bukan Cinta Dongeng #Episod 3

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips
Nong Andy


Petang itu aku menghubungi Aril. Aku mahu tahu semua cerita tentang mereka. Biarlah aku dengar apakah cerita sebenarnya. Tapi malangnya Aril tidak senang. Dia sibuk dan tidak dapat berjumpa denganku. Aku hampa dan resah. Keesokannya aku dikejutkan lagi bila Suzie menarikku ke mejanya. Di suruhnya aku bertenang mendengar ceritanya.

“Apa dia?” Tanyaku tidak sabar.

“Semalam teman lelaki aku ajak aku makan di promenade hotel. Aku terserempak dengan Encik Aril. Dia juga tengah makan malam dengan seorang gadis cantik. Rasanya aku kenal gadis tu.. macam.. siapa eh! Lupa pula..” Aku terkejut. Aril menolak ketika aku mengajaknya keluar sebab dia ada temujanji dengan gadis lain? Katanya dia sibuk. Urusan kerja kah?

“Siapa?” 

“Emn..ya! tu…model sambilan, anak pemilik hotel Avenue tu!” Aku macam mahu pengsan. Jadi benarlah dia mula berbaik dengan Arisya semula seperti kata Akila.

“Arisya!”

“Ah ya.. Arisya namanya kan! Cantik betul perempuan tu.. lebih cantik dari dalam majalah.. memukau! Eh.. Rika kau ok?” Tanya Suzie bila melihat mukaku pucat.

“Entah.. aku tak tahu” Kataku terus terang. Aku berlalu ke mejaku. Suzie hanya mampu mengeleng perlahan memandangku. Sepanjang hari kerjaku terganggu. Aku cuba sedaya upaya menumpukan perhatian pada kerja tapi gagal. Hanya Suzie saja yang faham keadaanku. Mujurlah aku boleh meluahkan serba sedikit rasa tertekanku pada Suzie. Walaupun kami bukan rapat sangat selama ini tapi aku lega sebab Suzie bersedia menjadi pendengarku. Kalau dulu semua masalah seperti ini akan ku kongsikan dengan Shila. Tapi kini aku dan Shila sudah tidak mungkin berhubung lagi setelah apa yang terjadi antara kami. Aku lega bila sampai waktu pulang. Lega sebab aku tak perlu menahan perasaan. Aku boleh berkeluh kesah di bilikku sambil memeluk bantal peluk. Sms yang ku hantar pada Aril tidak berjawab. Aku mengajaknya berjumpa lagi. Hanya dalam jam 11 malam baru Aril menelefonku. Dia meminta maaf kerana tidak menyedari ada mesej dariku. Dia kononnya sibuk meeting dan kemudian dengan jamuan keluarga di rumah keluarganya. Sebelum sempat aku bercakap lebih lanjut kedengaran suara ayahnya memanggilnya. Akhirnya apa yang ingin ku katakan tersekat begitu saja. Aku agak terkilan. Semua hal yang diceritakan oleh Akila tentang Aril, Arisya, Fiona dan Aryani mula berlegar-legar difikiranku. Begitu juga cerita Suzie terjumpa Aril bersama Arisya makan di promenade hotel. Sebelum ini Aril menegaskan hubungannya dengan Arisya hanyalah setakat kawan. Tapi cerita dari Akila jauh berbeza. Malah mereka sebenarnya telah ditunangkan dari kecil. Dadaku tidak henti-henti berdebar mengingatkan Aril dan misteri kisah silamnya. Benarkah aku juga akan senasib dengan Aryani? Sampai masanya aku juga akan di pinggirkan olehnya. Bila teringat Aril semakin jarang meluangkan masanya untukku, aku mula merasakan yang aku sebenarnya telah mulai dipinggirkan. Mulanya Aril selalu juga menelefon tidak kira siang atau malam. Ada ketikanya kami bergayut ditelefon satu jam lamanya hanya berbual kosong. Tapi sekarang amat jarang. Hanya sms good nite saja yang masih lagi tidak dilupakannya. Malah Aril belum pernah bercadang memperkenalkan aku kepada ahli keluarganya. Aku hanyalah setakat kekasihnya. Aku belum lagi menjadi calon isterinya! Kata-kata manis yang dia mahu menjadi ‘kekasih halalku’ hanyalah setakat kata-kata manis. Kata-kata manis seorang lelaki yang amat takut untuk ku percayai, kini benar-benar hampir menjadi kenyataan. Aku benar-benar berharap ia bukan sekadar kata manis. Aku amat berharap Aril ikhlas memaksudkan kata-katanya itu padaku…

***

Telefonku berbunyi. Aku tahu ia tone mesej masuk. Aku segera melihat mesej siapa yang masuk. Dadaku berdebar kuat bila skrin telefonku menunjukkan ia mesej dari Aril. Akhirnya dia menghubungiku.


‘Sorry sayang.. sangat sibuk sekarang. Aril akan cuba carikan masa untuk jumpa denganmu. Miss u so much’ Aku benar-benar ingin percaya yang dia sangat sibuk. Tapi sampaikan tidak ada masa menelefon? Hanya mesej? Aku hanya mahu mendengar suaranya walau untuk setengah minit. Atau mungkin untuk 15 saat! tapi dia tidak ada masa walau hanya 15 saat untukku? Jadi perlukah aku terus berharap yang Aril benar-benar bersunggguh padaku. Apatah lagi setelah begitu banyak cerita yang tidak enak tentangnya. Tiba-tiba saja setitis airmataku menitik. Aku terkejut! Rupanya aku sedang bersedih kerananya. Airmata ini gugur kerananya? Jadi benarlah aku cintakannya? Aku menarik nafas berat dan bertekad dalam hati. Aku tak boleh hanyut oleh perasaan. Aku sedia maklum semua ini mungkin akan berlaku. Sebab menjadi kekasih Aril bagaikan satu mimpi. Jadi sebelum aku lebih jauh bermimpi. Sudah tiba masanya untuk aku bangun dan sedar diri. Aku tidak mahu disakiti lagi. Kali ini tidak ada siapa yang dapat menyelamatkan aku jika aku patah hati lagi.. Aku tak boleh patah hati! Aku harus kuat.. Aku mesti tabah! Aku adalah seorang yang tabah!

Akhirnya aku dan Aril bertemu juga setelah berhari-hari aku mengajaknya bertemu empat mata. Dia kelihatan gembira melihatku. Aku? Aku memang gembira kerana akhirnya aku berpeluang bercakap dengannya. Lagipun aku ada persoalan yang teramat ku ketahui jawapannya.

“Kenapa?” Tanyanya memandangku dengan mengerutkan dahinya.
"Hah?” Aku hairan kenapa dia menyoalku begitu.

“Kau kelihatan gelisah.. seolah-olah kau tidak gembira melihatku” jawabnya sambil matanya terus memandangku. Oh.. aku terlupa yang dia ini amat pandai membaca reaksiku. Atau mungkinkah expresi mukaku yang terlalu mudah dibaca?

“Sudah tentu aku gembira.. Cuma aku ada sedikit persoalan. Aku harap kau tak kisah kalau aku membangkitkannya.” Wajahnya penuh rasa tanda tanya.

“Oh..? apa dia?” 
“Benarkah kau ditunangkan dengan Arisya sejak kecil lagi?” serta merta wajah Aril berubah pucat. Pertama kali aku lihat dia kelihatan gugup. Jadi benarlah kata-kata Akila itu? Aku berharap Aril akan menafikannya. Malang sekali dia mengganguk.

“Sebenarnya bukan ditunangkan. Cuma ibu bapa kami telah berjanji akan menjodohkan kami apabila dewasa supaya hubungan kedua-dua keluarga menjadi lebih erat” samalah tu! Getusku cuma dalam hati. Penjelasannya hanya menyakitkan hatiku.

“Tapi sebelum ini kau kata dia hanya kawan.. tak akan lebih dari itu!” Nadaku kurang senang. Aku benar-benar terganggu dengan kenyataan yang telah disahkannya sendiri itu. Aku benar-benar berhadapan dengan masalah besar jika semua cerita Akila itu benar. Aku sedang bercinta dengan tunangan orang? Dan dia bukan saja tunangan sebarangan orang.. Dia adalah tunangan gadis dari keluarga yang berpengaruh dan terkenal dalam masyarakat. Aku benar-benar cari penyakit!

“Aku cuma belum bersedia memberitahu hal yang sebenar kepadamu. Siapa yang memberitahu tentang ini kepadamu? Kakak ku?” Aku mengangguk mengiakannya. Dia mengeluh. Wajahnya tegang.

“Kenapa mengeluh? Aku juga tahu tentang Fiona dan Aryani.. malah aku tahu kau bersama Arisya pada hari aku mengajakmu keluar.. ya! Tentulah Arisya lebih penting sebab dia adalah tunangmu.. kan lebih baik kau berterus terang hari itu. Amat menyakitkan hati kerana aku tahu hal itu dari orang lain..” Aril tersentak. 

"Ah.. Rika, Maafkan aku.. Tapi ia bukan seperti yang kau fikirkan. Aku dan Arisya hari itu adalah hal yang tidak dapat di elakkan. Aku hanya mohon kau percaya padaku. Aku belum bersedia bercerita tentang Fiona ataupun Aryani.. Lagipun kisah tentang mereka tidak penting buatku. Aku cuma mahu kau yakin padaku. Percaya padaku..” pintanya sambil menatapku. Tapi entah kenapa aku tidak ingin mempercayainya. Dengan pelbagai misteri tentang dirinya yang tidak ku ketahui, bagaimana aku hendak mempercayainya? Kisah Fiona dan Aryani tidak penting buatnya? Tapi kisah mereka sangat penting buatku. Aku tidak kenali lelaki ini langsung!! Aku sangka aku telah kenalinya dengan baik tapi rupanya tidak. Sungguh menakutkan! Bagaimana aku boleh percaya yang aku cintainya? Mencintai lelaki yang langsung tidak dapat ku duga hati budinya. Aku benar-benar bodoh! Aku tidak akan diperbodohkan lagi seperti Herwan dan Shila memperbodohkanku! Aku menahan rasa marah. Dia kelihatan mengeluh lagi.

“Kau tidak percaya padaku.. Aku tahu!” 

Kali ini aku pula yang mengeluh. Dia tahu benar apa yang ku fikirkan. Seolah-olah apa yang kurasakan tertulis di dahi ku. Jadi dengan mudahnya dia membaca perasaanku dan apa yang ku fikirkan.

“Kau malah tidak yakin padaku…” Ujarnya lagi hingga aku mengigit bibirku sendiri kerana apa yang dikatakannya memang benar.

“Entahlah Aril.. Tentang Arisya.. tentang sikapmu sendiri.. Aku tidak kenali siapa kau yang sebenarnya. Adakalanya aku rasa aku kenal siapa kau tapi adakalanya aku langsung tidak tahu. Aku tak tahu apa yang harus aku percaya. Aku memang tak yakin dengan hubungan kita. Lagipun kita memang dari awalnya tidak sepadan. Bukan saja dari segi taraf.. malah dari semua segi. Malah kau jauh lebih muda dariku! Bersamamu bermakna aku akan bermusuhan dengan ahli keluargamu.. dengan ramai orang.” aku melepaskan apa yang berbuku dalam hatiku selama ini.

“Rika.. aku tidak pernah kisah semua itu.. Aku tidak kisah tentang perbezaan usia kita. Cuma 3 tahun.. apa yang jauh berbeza? Taraf kedudukan? Semua itu milik keluargaku. Bukan kepunyaanku.. Kenapa kau ciptakan banyak alasan untuk tidak mempercayaiku? Atau sebenarnya kau tidak pernah jatuh cinta padaku? Sebenarnya hanya aku yang beranggapan kau membalas cintaku?” Nadanya kali ini agak keras. Tapi apa yang dikatakannya itu ada benarnya. Aku sendiri keliru. Benarkah aku jatuh cinta padanya? Rasanya aku telah jatuh cinta padanya. Tapi benarkah? Aku paling takut jatuh cinta pada orang sepertinya. Jatuh cinta dengan lelaki sepertinya seolah-olah akan terluka bila-bila masa saja. Aku ada firasat seperti itu. Mungkin masih belum terlambat untuk aku menarik balik perasaanku padanya. Aku masih boleh nafikan perasaan ini? Aku diam. Benar-benar kehilangan kata-kata. Bungkam! Aril bangun dengan wajah yang muram.

“Mungkin aku hanya bertepuk sebelah tangan selama ini. Kau fikir aku tidak sedar? Kau sangka aku tidak tahu.. sejak kau bersamaku.. Kau kelihatan tertekan. Kau tidak gembira.. kau kelihatan pelik. Kau seakan-akan bukan Rika yang ku kenali dulu. Kau seolah-olah terpaksa menjadi kekasihku.. Hanya kerana aku banyak berbudi? Semua ini mungkin salahku sendiri.. mungkin aku harus sedar yang kau sedang rebound..” Dia berpaling membelakangku, menyembunyikan wajahnya. Ada benarnya kata-katanya itu. Aku selesa bila dia ada di sisiku sebagai kawanku. Tapi semuanya berubah bila dia bertukar menjadi kekasih. 

“Kau terlalu sibuk..Aril! kau terlalu banyak tanggunjawab.. kau adalah harapan keluargamu. Kau pewaris empayar keluargamu. Kau berkedudukan dalam masyarakat dan kau seharusnya berpasangan dengan pasangan yang setaraf denganmu. Bukan denganku! Gadis biasa yang entah apa-apa.. Dan aku.. Aku cuma mahukan lelaki yang biasa.. yang selalu ada untukku.. yang boleh memegang tanganku sambil berjalan-jalan window shopping atau menonton wayang kegemaranku bersamanya. Lelaki yang punya waktu untuk mengengam tanganku sambil melihat matahari terbenam di tepi pantai. Aku cuma mahukan hubungan yang ringkas tanpa perlu bertempur dengan orang tuamu, adik beradikmu.. mahupun dengan Arisya! Tapi kau tidak punya waktu walau 15 saat pun untuk menelefonku! Aku hanya perempuan biasa Aril! Aku mahukan kisah cinta yang biasa.. Bukannya kisah Cinderella..” Jelas wajahnya kelihatan terluka. Entah kenapa wajahnya yang kelihatan terluka itu benar-benar membuatku turut terluka. Pedih rasanya melihat reaksinya sebegitu. Seolah-olah aku sedang menghancurkan hatinya. Tapi kemudian dia bersuara..

“Baiklah.. Aku faham. Mungkin benar katamu. Kita memang tidak serasi bersama. Aku hanya menyusahkanmu.. Maafkan aku kerana aku tak boleh menjadi kekasih yang baik, yang boleh meluangkan banyak masa bersamamu.. Maaflah kerana aku adalah anak orang kaya yang membencikan.. Bukan lelaki biasa seperti yang kau harapkan. Maafkan aku! ” Dia beredar. Aku ingin menahannya. Tapi entah kenapa mulutku seakan terkunci. Akhirnya aku pulang dengan deraian airmata. Aku menangis sungguh-sungguh. Aku sangka aku telah bersedia untuk semua ini. Aku fikir aku boleh mengawal perasaanku. Tapi tidak! Hatiku pilu seakan dihiris-hiris rasanya. Sedangkan akulah yang membangkitkan persoalan ini pada Aril. Sekarang bagaimana? Dengan kata-kata terakhirnya tadi tentulah hubungan kami sudah berakhir. Macam mana aku hendak menghadapinya untuk hari-hari berikutnya?

Ternyata hari-hari seterusnya begitu sukar. Selepas hari itu Aril juga tidak menghubungiku. Mesej good nite pun tidak ada. Berkali-kali aku merenung telefon bimbitku. Tapi langsung tidak ada pangilan atau mesej dari Aril. Nampaknya dia benar-benar bertekad berpisah denganku. Aku cuba menyakinkan diriku yang sebenarnya aku tidaklah mencintai Aril sebegitu dalam. Lagipun hubungan kami bukannya lama sangat. Aku yakinkan diri apa yang ku rasa ini bukannya cinta. Dia tidak sebegitu penting dalam hatiku. Aril hanya lelaki yang singgah untuk menenangkan hatiku di saat aku terluka. Aku tentunya belum jatuh cinta padanya!! Kami baru ditahap permulaan. Aku tentunya boleh mengatasi perasaan ini dengan baik. Ia mudah saja ditangani! Aku perlu sibuk dan lupakan semuanya dengan cepat. Aku berjanji pada diri sendiri akan melepaskan Aril dengan rela hati. Rasanya aku telah melepaskannya pergi. Aku telah lupakan yang aku pernah percaya yang dia cintaiku dan aku turut menyintainya. Aku yakin aku bukanlah jatuh cinta padanya. Aku yakin.. dan yakin.. dan terus menyakinkan diriku!

Tapi semua itu hanyalah fikiranku sahaja. Kata hatiku adalah sebaliknya. Aku cuba berpura-pura tabah dan kuat tapi bila di dalam bilik keseorangan aku menangis tak henti-henti. Sukarnya menipu perasaan sendiri. Semakin aku cuba melupakan Aril semakin kuat ingatanku kepadanya! Adakalanya aku menyesal dengan apa yang telah ku katakan padanya. Aku tak mahu lelaki biasa. Aku mahukan Aril! Aku mahu percayakannya. Biar beribu gadis lain yang cantik jelita datang merayu cintanya, aku ingin percaya yang Aril hanya cintakan aku seorang. Aku menyesal bergaduh dengannya. Aku teringin memohon maaf dan memujuknya kembali menyukaiku. Tak mengapa kalau pun aku kekok berhadapan dengannya. Tak kisahlah kalau pun aku tak biasa mendengar kata-kata manisnya, serta rasa geli lucu melihatnya lemah lembut dan mesra manja padaku. Aku tak kisah.. Tak mengapa kalau aku terpaksa bertempur dengan seluruh dunia ini untuk bersamanya. Aku mahukan lelaki itu!! Aku mahukan Aril..

“Rika.. Rika..” Suzie mengejutkanku. Aku cepat-cepat mengesat airmata yang bertakung di bibir mataku.
“Oh! Apa dia?” 
“Kau okey?”

Aku mengangguk. Hanya Suzie yang tahu kisahku. Buat masa ini Suzie adalah kawanku yang paling rapat.

“Tadi aku terdengar perbualan Jenny dan Maria..”
“Apa yang kau terdengar?”
“Kisah tentang Aryani..” Aku tersentak. Aku memang teringin hendak tahu tentang gadis itu. Apakah kesudahannya. Kasihannya gadis itu dipermainkan oleh Aril. Benarkah Aril sebegitu kejam? Benarkah Aril pernah cintai gadis itu dan kini dia melupakannya? Aril pernah bersungguh memikat Aryani.. seperti mana Aril cuba memenangi hatiku sebelum ini? Kata-kata manis yang sampai saat ini yang telah menjerat perasaanku. Benarkah ia hanya setakat kata-kata manis.. Aril?

"Mereka baru juga tahu kisah ini. Aryani tu sepupu Nurul. Nurul yang memberitahu mereka tentang hubungan Aryani dengan bos!”

“Jadi apa kisahnya?” Tanyaku kurang sabar.

“Sebenarnya Aryani bersama dengan encik Aril hanya kerana dia anak orang kaya.. anak orang berada.. Dia sanggup buat apa saja demi encik Aril. Encik Aril sangat sayangkan Aryani. Encik Aril percaya Aryani iklas cintakan dirinya bukan kerana dia anak orang kaya. Tapi akhirnya encik Aril mendapat tahu yang Aryani hanya memperalatkannya saja. Dia tahu yang Aryani sukakan dia sebab dia anak orang kaya. Lagipun Encik Aril memang jenis yang suka manjakan kekasih. Tak hairanlah apa jua yang dihajatkan oleh Aryani cuba dipenuhinya. Jadi tentulah Aryani ambil kesempatan. Malangnya bila Aryani di tawarkan wang yang banyak untuk memutuskan hubungan dengan encik Aril oleh keluarga Encik Aril. Dia telah ambil wang itu dan meninggalkan encik Aril macam orang gila. Encik Aril berusaha dan memujuk Aryani agar kembali padanya, tapi Aryani kata ‘berikan wang yang lebih banyak jadi aku sanggup kembali jadi milikmu’ Encik Aril benar-benar terpukul dengan kata-kata itu lalu berhenti dan berputus asa pada cinta. Sukar baginya percaya akan cinta sejati perempuan. Tapi entah kenapa, sekarang Aryani masih mencari jalan untuk memohon maaf dengan encik Aril, khabarnya Aryani sebenarnya, telah benar-benar jatuh cinta dengan encik Aril sebab tu dia masih mengejar-gejar bos kita tu, cuma encik Aril saja yang sudah tidak mahu percayakannya lagi..” Mendengar cerita Suzie membuat aku terdiam lama. Akulah yang selalu buruk sangka dengan Aril. Sedangkan ada sebab tertentu kenapa Aril meninggalkan Aryani. Aku menyesal kerana tidak mempercayainya. Tapi nampaknya nasi sudah menjadi bubur. Perlukah aku menagih semula cinta Aril padaku? Bukankah aku tiada bezanya dengan Aryani yang kini terkejar-kejarkan Aril.

“Terima kasih Suzie.. kerana menceritakanya padaku.” Suzie tersenyum dan mengganguk padaku. Kami meneruskan kerja masing-masing.

Telah dua minggu Aril tidak menghubungiku. Malah ketika tersua di pejabat wajahnya tenang saja. Hanya aku yang curi-curi memandangnya. Dia sedikitpun kelihatan tidak kisah padaku. Aku hampa. Begitu mudah Aril mengawal perasaannya. Begitu mudah dia melepaskan aku! Begitu mudah dia mengucapkan kata cinta padaku dan sebegitu mudah dia melupakan aku. Mungkin baginya aku seperti Aryani juga. Tidak boleh dipercayai.. Ya! aku memang tidak boleh dipercayai.. aku akui! Aku terlalu rapuh.. cintaku padanya sangat rapuh. Aku sendiri selalu ragu yang aku benar-benar cintai dia atau sebaliknya. Aku memang tidak boleh diharap. Memang tepat tindakan Aril. Kenangan antara kami berdua memang bukannya banyak sangat tapi ia bukanlah seperti tiada apa-apa buatku. Tapi benarkah tiada apa-apa buatnya? Hatiku terasa amat sakit bila teringat hal itu kerana keadaanku adalah sebaliknya. Terlalu sukar untukku mengawal perasaanku. Kalau aku tidak cintakannya kenapa aku terasa amat sengsara melupakan lelaki itu?

-Bersambung-

Thursday, February 16, 2012

Bukan Cinta Dongeng #Episod 2

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips
Nong Andy


“Ai? termenung pula. Kita lunch sama-sama tengah hari ni ok tak sayang..?” Ah.. aku melamun lagi rupanya. Aril memandangku penuh tanda tanya. Aku di tatapnya dalam-dalam seolah-olah dia ingin meneroka apa yang ku fikirkan.

“Emn.. ya! baik!” sahutku dengan sedikit tergugup tapi aku gembira. Sudah lama kami tidak makan bersama. Kalaulah kami boleh makan sambil bergelak ketawa macam dulu? 

“Emn.. aku keluar dulu ok.. lunch nanti call ” Dia keluar. Bagaimana pun tengah hari itu aku kecewa bila menerima sms dari Aril mengatakan dia terpaksa makan tengahhari bersama encik Fahmi dari OCBC Bank.

Walaupun aku kecewa Aril telah membatalkan janji makan tengahari bersamaku untuk yang entah ke berapa kali. Aku cuba memujuk hatiku bahawa Aril sememangnya sibuk dan aku harus bersabar serta memahami kesibukannya. Kisah cinta dongeng antara cinderella dengan sang putera sudah berlalu, yang ada kini adalah realiti. Hakikatnya kini semua mimpi manis.. angan-angan tentang percintaan romantis antara aku dan Aril mulai pudar. Cerita tentang kesungguhan cintanya padaku yang pernah dikatakannya mulai ku ragui.. Ah! Aku kah yang over reaction? Terlalu menagih perhatian? Malas melayan perasaan hampa, aku segera ke dapur menyiapkan makan malam. Walau pun malas memasak tapi aku kena masak juga. Rishan, satu-satunya adik lelakiku balik dari KL baru habis belajar. Kalau pun aku tak kisah tentang perutku sekurang-kurangnya aku perlu kasihan pada perut Rishan. Nanti kebuluran pula budak manja tu. Sebaik saja siap masak tiba-tiba telefonku berdering. Aril! Aku tersenyum gembira. Pangilannya memang aku nanti-nantikan. Berbual di telefon bagiku lebih mudah daripada berhadapan dengannya.

“Hello.. sayang” Ucapku walaupun agak malu-malu. Aku sendiri merasa geli gelama mendengar suaraku mengucapkannya. Tapi sudah beberapa kali Aril memintaku memanggilnya ‘sayang’. Kerana aku sudah jadi kekasihnya jadi mahu tak mahu aku cuba biasakan diri biarpun serasa naik bulu roma menyebutnya.

“Hai! seronoknya!.. lega mendengar suara kekasih dengan ucapan sayang.. hilang semua tension. Makin bertambah rindu rasa ni.. emn.. kita keluar makan nak?” Suaranya kedengaran amat gembira.

“Ala.. aku baru je selesai masak.. tinggal nak makan je lagi ni..” 
“Oh.. yeke? Aku pun lapar betul ni.. belum makan lagi.. lagi pun rindu sangat dengan kau..” Nadanya sedikit kecewa. Aku pun memang rindu gila dengan dia! Walaupun aku agak kaku bila berhadapan dengannya tapi memang aku rindu padanya. Hei.. miangnya aku! Rindu-rinduan kononnya! Geli…ha ha!
“Emn.. sebenarnya adik aku yang study kat KL tu dah balik sini. Ada kat sini sekarang.. apa kata kau datang rumah. Kita makan sama-sama.. boleh berkenalan dengan Rishan, Nak?” Ajakku berharap.

“Wah.. iya ke? Baik.. good idea! Kejap lagi aku datang..”
“Cepat ye.. nanti makanan sejuk pula!” Ujarku mengesanya.
“Sekarang juga aku datang! Tunggu.. k!” Talian di putuskan. Aku menyanyi riang sambil menyiapkan makanan di meja makan. Setelah berpuas hati dengan hidangan di atas meja aku ke bilik. Menukar baju dan memandang wajahku di cermin. Membubuh sedikit pelembab muka dan mencalit sedikit gincu merah jambu nipis ke bibirku. Sejak bergelar kekasihnya aku lebih peka dengan penampilanku. Aku ingin kelihatan menarik di depannya. Aku tak tahu adakah aku tak yakin dengan diri atau sebenarnya aku ingin menarik perhatiannya. Aku sendiri tak pasti! Dulu aku tak kisah sangat bagaimana rupaku dihadapannya. Kusut masai ke pucat lesi ke, aku boleh jadi diriku yang sebenar! Aku tak pernah kisah betapa hodoh dan buruknya rupaku ketika menangis, aku boleh menangis dengan teruk di depannya tanpa segan silu. Tapi kini? Kenapa….? 

Gelaran antara kekasih dan kawan benar-benar merubah segalanya. Sekali lagi aku rindu pada Aril yang dulu.. Aril yang ku kenali adalah kawanku. Menyesalkah aku menukarkan persahabatan ini kepada percintaan? Aku hanya mampu menarik nafas panjang sebagai jawapannya..

Tak lama kemudian Aril datang. Aku memperkenalkannya pada adikku Rishan. Selesai sesi perkenalan yang ringkas kami makan bersama. Seronok melihat Aril berselera makan. Walau pun masakanku tidak seberapa tapi dia memuji-muji yang masakan ku sedap dan benar-benar sesuai dengan tekaknya. Tentulah aku bangga dan gembira. Tak kisahlah kalau dia hanya sekadar mengambil hatiku. Sekurang-kurangnya padaku dia kelihatan iklas mengatakannya.

“Jadi sudah berapa lama abang kenal dengan Kak Rika?” Tanya Rishan pada Aril.

“Kenal dah lebih kurang 8 bulan.. Tapi aku ‘dengan’ dia baru-baru ni saja. Maaflah.. agak sibuk baru-baru ni jadi tak dapat luangkan banyak masa dengan kau” Aril memandangku meminta aku memahami. Aku hanya senyum dan menganguk. Habis makan Aril dan Rishan berbual-bual di ruang tamu sementara aku mengemas meja makan dan mencuci pinggan mangkuk. Hatiku terusik bila Rishan membahasakan Aril sebagai abang. Dia tidak tahu sebenarnya dia dan Aril sebaya. Walaupun aku selalu menyakinkan diri yang perbezaan usia 3 tahun antara aku dan Aril tak akan mempengaruhi hubungan kami. Walaupun Aril lebih muda 3 tahun dariku, tapi dari segi sikap ku lihat Aril agak matang dan dewasa. Mungkin kerana dia telah dididik untuk menjadi pewaris yang akan mewarisi empayar keluarganya. Aril pernah bercerita padaku yang ayahnya begitu tegas padanya. Dia dipaksa belajar semuanya dari bawah. Tidak ada jalan pintas untuknya terus berada di puncak. Cuma baru-baru ini ayahnya terpaksa cepat-cepat menyuruhnya mengantikan jawatannya sebagai pengarah urusan kerana masalah kesihatan. Sebab itulah Aril yang menjadi ‘bidan terjun’ sebagai pengarah urusan yang baru terkejar-kejar memperlajari semua hal serentak. Aril selama ini sudah diasuh untuk berdikari sejak kecil lagi. Didikan ketat yang memaksanya bertanggungjawab. Namun jauh di dalam hatiku, alangkah baiknya kalau Aril lebih tua dariku atau setidak-tidaknya aku seusia dengannya. Sekalipun dari segi zahir tidak ketara perbezaan usia antara kami, tapi kelak tentu akan terserlah perbezaan usia antara kami. Yelah.. kan kononnya perempuan lebih cepat dimamah usia. Aku patut merawat diriku dengan lebih baik agar aku tidak nampak terlalu tua buat Aril. tekadku dalam hati. Aku risau yang aku tidak sepadan dengannya kelak. Tapi aku sedar yang aku sebenarnya memang tidak sepadan dengannya. Kedudukan kami bagaikan langit dengan bumi. Aril sebenarnya sepadan dengan Arisya. Sama-sama anak orang kaya dan sama-sama muda, berpendidikan, cantik dan tampan. Aku? Huh.. Tak larat untukku memikirkan perbezaan antara kami. 

“Mari minum..” Aku mengajak Rishan dan Aril minum teh yang masih berasap, yang ku hidangkan di meja ruang tamu. Cawan mereka ku tuangkan air teh.

“Minum, abang..” kata Rishan pada Aril. Aril mengangguk dan mengambil salah satu cawan, menghirupnya dengan perlahan. Panas. Telefon bimbit Rishan berbunyi dia segera minta diri untuk menyambut panggilan telefon. 

“Ah.. leganya dapat minum teh.. sedap!” Kata Aril sambil melirikku.
“Lega dapat jumpa kau malam ni Rika. Letih sangat dengan kerja. Macam-macam hal. Rupanya bukan senang nak buat kerja ayah. Banyak benda nak handle. Geram juga bila pekerja-pekerja senior di syarikat macam tak yakin dengan Aril. Mereka macam pandang rendah dengan kepimpinan Aril... mentang-mentang aku ni macam bidan terjun je.. tiba-tiba saja semua aku nak buat. Begang jugalah kadang-kadang tu” Aril mengeluh seakan-akan mengadu. Aku diam membiarkannya meluahkan masalahnya. Dia terus bercerita tentang tanggungjawab barunya itu walaupun hanya satu dua saja yang ku fahami. Aku hanya berdaya meminjamkan telingaku untuknya melepaskan keluh kesahnya. Hanya itu yang termampu ku lakukan. Aku bertanya serba sedikit agar dia boleh melepaskan semua bebanannya padaku. Dia mengadu kepalanya terasa berat.

“Mari.. aku urutkan!” Tawarku spontan.
“Eh? Betul?” Tanyanya. Aku mengangguk. Aku segera bangun dan berdiri di belakangnya. Perlahan-lahan mengurut kening dan ubun-ubunnya serta tengkuknya. Dia menutup matanya menikmati urutan tanganku. Aku bukannya pandai sangat mengurut. Tapi nampaknya dia selesa dengan urutan tanganku yang tidak seberapa ini.

“Sungguh selesa..” Keluhnya. Aku tersenyum sendiri. Hanya itulah saja yang dapat ku berikan selain meminjamkan telingaku mendengar keluh kesahnya.

“Jadi macam mana kau di deparment baru?” Tanya Aril mula mengubah topiknya padaku. 
“Emn.. Ok! Encik Razak banyak membantu. Cuma lebih sibuk dari dulu. Yelah kan dah masuk Finance Department! Masih banyak kena belajar, lagi pun aku ni lembab sikit… jadi memang penatlah encik Razak ha ha..” Dia tersenyum.

“Sabar sajalah. Lama-lama nanti okeylah tu. Aku sengaja pindahkan kau ke bahagian tu.. lagi dekat denganku. Boleh hari-hari aku jengguk kau..” Dia senyum lebar seakan-akan benar-benar gembira dengan keputusannya itu. Hari-hari? Sebenarnya istilah hari-hari tu hanya pada seminggu pertama aku di bahagian tu saja. Akhir-akhir ini dia jarang ada di pejabat. Lebih banyak urusan di luar berbanding di pejabat. Walaupun biliknya di depan bilik ku saja tapi bilik itu kerap kosong. Aril semakin sibuk. Adakalanya dia terbang ke China, Jepun, Thailand dan pernah juga ke US. Semuanya pasal urusan kerja.

“Kenapa termenung!” Tegur Aril. Aku kembali padanya. Terlupa yang aku sedang mengurut bahunya. Aku cuba mengukir senyuman tawar. Adakalanya aku terasa jauh sekali darinya. Jurang antara kami kian lebar. Aku terasa amat kerdil jika berbanding dia. Dunianya dan duniaku semakin terpisah. Dulu kami bersebelah meja saja. Sama-sama hanya pekerja biasa dalam deparment yang sama. Tapi dia kini berada di dunia korporat sedangkan aku masih di tempat asal. Alangkah baiknya jika dia hanyalah lelaki biasa dan bukannya pewaris empayar keluarganya.

“Takde apalah!” Sahutku ringkas. Terus mengurut tengkuk dan bahunya.

Aril menarik nafas panjang. Dia seakan dapat membaca perasaanku. Dia menahan tanganku memberi isyarat berhenti. Aku berhenti. 
“Maaflah.. tengahari tadi betul-betul tak sengaja. Tiba-tiba saja bank officer tu ajak lunch sambil nak bincang tentang bank facility..” 
“Aku faham.. lagipun kau baru je ambil alih tugas ayahmu.. mestilah sibuk kan.., tapi kan kau dah luangkan masa sekarang.” Dia tersenyum mendengar jawapanku. Wajahnya kelihatan lega. Aku terharu kerana dia amat memetingkan perasaanku. Tidak lama kemudian Rishan masuk selepas habis berbual di telefon. Selepas berbual-bual dengan Rishan sekejap, Aril segera minta diri. Aku menghantarnya sampai ke pintu kereta. Sebelum pergi dia sempat memberikan flying kiss padaku. Aku melambai sambil tak henti-henti tersenyum kerana flying kissnya yang nakal itu.

Bila kembali ke pejabat aku kembali tertekan. Suara-suara sumbang kedengaran mengatakan aku tak sepadan dengan Aril. Ada yang menyindir aku tak pandai buat kerja. Hanya sebab aku kekasih Aril jadi aku berada di Finance Deparment. Aku tidak layak sebagai pembantu Encik Razak. Sedih dan terguris dengan suara-suara sumbang pekerja lain yang tak puas hati denganku. Tapi apa yang mereka katakan itu benar belaka. Aku berada di sini sebab Aril. Tidak cukup dengan itu aku dipulaukan oleh pekerja di bahagian itu. Mereka juga selalu membuliku. Ada-ada saja kerja yang diberikan padaku. Semua kerja yang tidak pernah aku buat sebelum ini. Mereka tidak mahu memberikan tunjuk ajar dan menyuruhku menyelesaikannya sendiri. Aku naik begang dengan kerja-kerja yang entah bagaimana aku hendak bermula. Seolah-olah seorang yang tidak tahu berenang di campak begitu saja ke dalam laut untuk belajar berenang. Hanya Suzie saja yang sudi bergaul denganku. Itu pun bukannya rapat sangat. Nurul, Jenny dan Maria pula selalu berbisik-bisik setiap kali aku melintas di sisi mereka. Aku tahu mereka sedang mengumpatku. Tapi aku buat tak kisah walaupun sebenarnya aku ambil hati dengan perbuatan mereka.

“Ya Suzie..” Kataku sebaik saja menyambut interkom dari Suzie.
“Kakak Encik Aril datang. Kau bersedialah! Dia nampaknya marah!” Berderau darahku bila suzie menyebut nama itu. Teringat ancamannya padaku. Teringat betapa garangnya dia padaku. Wajah jelita itu kelihatan menyinga.

“Rika..Rika..Rika.. Kamu memang hebat!” Aku hanya diam. Malas menjawab apa-apa. Biarlah dia mahu kata apa pun. Aku akan bertahan. Itulah tekadku.

 Adik saya memang telah dipukau oleh kamu. Sekarang kamu dah naik pangkat pula. Lepas ni kamu minta apa pula dengan Aril? Kononnya tak serius tapi hari ke hari kamu makin naik kepala..” 

Aku terus diam. Biarlah. Cakaplah puas-puas. 

“Aril tu dah ditunangkan oleh keluarga kami dengan Arisya sejak dari kecil lagi. Jadi jangan nak berangan lebih-lebih. Aku heran betul lah.. manalah specialnya kau ni Rika.. sampai adik aku tu bersungguh betul dengan kau! Tapi yelah.. tu semua sementara.. dulu dengan Fiona pun dia bersungguh juga. Dengan Aryani pun macam tu juga.. tapi last-last dia balik semula dengan Arisya. Sebenarnya Rika, masa kau jumpa dengan Aril dia tengah ada krisis dengan Arisya. Sebab tu mudah saja dia jatuh cinta dengan kau. Tak lama lagi salah faham mereka selesai.. so kau pun akan selesai juga. Macam Aryani dulu.. dulu dia pun sanggup bergaduh dengan ayah sebab Aryani.. kononnya Aryani adalah cinta sejatinya. Dia sanggup buat macam-macam untuk dapatkan cinta Aryani. Macam lautan api pun sanggup direnanginya untuk Aryani. Tapi bila dia berbaik semula dengan Arisya.. Aryani dipinggirkan juga! Aril tu memang mudah jatuh cinta tapi mudah juga melupakannya. Biasalah lelaki.. apa lagi lelaki macam adik aku tu! Lagipun tak kira macam mana sekalipun, Aril dan Arisya tetap akan berkahwin. Itu adalah sesuatu yang pasti.. jangan membuang masa berangan-angan untuk menjadi sebahagian dari kehidupannya.. Kau belum tahu dengan keluarga jenis apa yang sedang kau berhubungan ini cik Rika. Jadi nasihatku.. sebelum kau libatkan diri lebih jauh dalam hidup Aril ada baiknya kau undur diri dengan cara yang selamat. Kami tidak akan sekali-kali membiarkan gadis dari golongan biasa menjadi sebahagian keluarga kami..” Kali ini kata-kata Akila mula merasuk fikiranku. Aku memang tak tahu apa-apa dengan sejarah silam kisah cinta Aril. Dia langsung tidak pernah bercerita tentang hal itu. Aku sendiri tidak pernah mengungkit hal kekasihnya sebelumku.

“Mungkin kau anggap aku cuma buat cerita. Nah.. ambil ni. Gadis baju merah tu Fiona dan yang panjang rambut tu Aryani. Sebenarnya ada setimbun lagi bekas kekasihnya.. Cuma aku sempat bawa gambar dua perempuan ni saja!” Dia meletakkan gambar Aril yang berpegangan tangan dengan gadis-gadis itu. Berderau darahku bila melihatnya. Cantik sekali kedua gadis itu. Malah Aril tersenyum kacak dan mesra dalam gambar itu. Dia berlalu sambil tersenyum menang melihat aku terpegun melihat gambar yang diberikannya. Hatiku berdebar-debar kuat. Cuba sedaya upaya menafikan kata-kata Akila tadi. Cuba menyakinkan yang Aril iklas padaku. Semua gadis-gadis itu adalah kisah silam Aril. Aril bukan kaki perempuan. Aril tentunya benar-benar cintakan aku. Akulah yang dicintainya kini. Tapi rasa ragu dan tak yakin diri semakin menang.

Wednesday, February 15, 2012

Bukan Cinta Dongeng #Episod 1

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips
-: Kesinambungan Tolonglah Jadi Kekasihku :--



Segala-galanya mula berubah. Dulunya Aril hanyalah kawan kerjaku. Kini dia telah jadi kekasihku. Dulu Aril hanya pekerja biasa tapi kini dia telah jadi ketua pengarah muda yang disegani oleh semua staff. Rasanya aku bagaikan cinderella. Percintaan kisah dongeng yang berakhir bahagia. Dia si putera kacak yang kaya dan aku gadis biasa yang entah apa-apa! Dulu aku tidak kisah apa dan siapa sebenarnya Aril. Tapi kini aku amat kisah sekali. Aku ingin tahu semuanya tentang dia. Aku mahu mengenali dia lebih dalam. Tapi sejak menjadi pengarah urusan Aril tidak lapang seperti dulu. Dia jarang berada di pejabat. Ada saja meeting di mana-mana. Ada saja projek yang perlu di uruskan. Dia senantiasa sibuk. Malah dia kerap outstation untuk menguruskan hal-hal syarikat. Membiasakan diri sebagai kekasihnya amat membuatku resah gelisah dan ragu-ragu. Betulkah tindakanku menjadi kekasihnya? Benarkah percintaan ini? Dan yang paling penting benarkah perasaan cinta ini? Aku selalu memikirkan soalan itu. Benarkah aku cintakan Aril? ataukah aku hanya menjadikannya sandaran kerana masalah perasaanku selepas patah hati pada Herwan. Benarkah cinta Aril padaku? Bersediakah aku melalui kisah cinta yang lebih sukar bersama Aril memandangkan dia bukan dari golongan yang sepatutnya ku dampingi. Dia golongan berada, golongan berkedudukan. Aku pula? Bagaimana sang pipit hendak terbang bersama engang? Aku resah memikirkan hal itu. Adakalanya aku menyesal membiarkan perasaan cintaku tumbuh subur buatnya. Sepatutnya awal-awal lagi aku menafikan semua perasaan ini. Seharusnya aku sedar diri dan menguruskan perasaan ini baik-baik. Kini amat sukar untuk aku berpatah balik. Mempercayai Aril mencintaiku membuatkan aku berangan-angan tinggi. Aku takut kalau anganku terlalu tinggi, sakit sekali kalau terjatuh nanti! 

Aku sudah biasa melayan Aril seperti seorang kawan dan bila kini dia bertukar sebagai kekasih aku menjadi kekok. Aku sudah biasa mendengar sindiran tajamnya. Aku sudah biasa mendengar kata-kata perli darinya. Aku terbiasa bila dia bersikap acuh tak acuh padaku. Tapi bila dia bersikap lembut seperti seorang kekasih. Aku rasa ia amat aneh. Dadaku berdebar dan bergetar resah. Perasaan yang pelik untuk difahami. Perasaan yang terlalu pelik yang tidak pernah ku hadapi ketika aku bersama Herwan. Benar-benar membuatku tak tentu arah. Adakalanya aku malu dan gugup takkala dia merenungku. Wajahku jadi merah padam. Aril mentertawakanku dan caranya ketawa itu membuatkanku bertambah malu. Aku merasa lebih selesa ketika kami hanyalah kawan biasa. Kini aku asyik berfikir patut atau tidak segala tingkahku di depannya. Aku seolah-olah bukan diriku lagi. Aku tidak boleh berlagak seperti biasa. Semuanya serba tidak kena. Menjadi kekasihnya seperti menjadi satu tekanan buatku. Apatah lagi setelah tahu dia adalah pewaris empayar keluarganya. Dia bukan Aril si lelaki biasa yang ku sangkakan! Aku pernah tanyakan Aril, mengapa dia cintakan aku dan jawapannya….

“Entahlah.. bila masanya aku mencintaimu. Cuma pada suatu hari aku sedar yang aku asyik memikirkanmu. Aku amat ambil kisah tentangmu.. Aku mula sedar yang aku mencintaimu kerana aku mula merasakan kau begitu penting buatku.. Aku tidak tahu mengapa aku mencintaimu.. entahlah! Aku tak pandai menjelaskannya.. yang aku tahu dan yakini, ini adalah perasaan cinta.. Jadi sejak hari itu aku ingin terus berada di sisi mu..” Itulah jawapan Aril. Ketika itu aku termanggu. 

Jawapan itu mengecewakanku. Jadi tidak ada apa yang istimewa padaku yang membuatnya jatuh cinta! Dia hanya merasakan dia ambil berat tentangku jadi dia menganggapkan itu adalah cinta! Bolehkah aku berpegang dengan alasan yang serapuh itu untuk yakin tentang perasaannya padaku? Tapi bila aku memikirkannya semula.. Aku bukanlah gadis yang istimewa. Hanyalah seorang gadis yang cukup biasa. Mengapa pula aku berharap Aril melihat keistimewaanku sedangkan tidak ada apa yang istimewa padaku. Argh.. stupid me!

“Mungkin kerana aku telah menjagamu ketika kau sakit? Kau terharu kerana aku telah menjagamu masa tu?” Teka ku menduga. Aril ketawa.

“Tidak.. bukan kerana itu.. mungkin perasaan itu sudah lama ada, sebelum kes aku dengan Herwan berentam di parking lot lagi. Sebelum kau sedar hubungan Shila dengan Herwan.. Tapi ku kira ketika itu aku sendiri tidak sedar akan perasaanku sendiri..” jelas Aril. Aku agak terkejut dan tertarik dengan kata-katanya. Benar-benar ingin tahu hal selanjutnya.

“Kau.. kau simpati padaku? Kau kasihan kerana melihat aku dipermainkan oleh Shila dan Herwan?” Teka ku lagi. Aril angkat bahu.

“Aku memang kasihan tapi juga merasakan kau adalah gadis bodoh ketika itu. Kasihan ada. Geram pun ada. Tapi entahlah.. sebab kau gadis bodoh yang mudah diperalatkan jadi aku ambil kisah dengan apa yang Herwan buat padamu..” Aku agak terguris sebab dikatakan gadis bodoh. Kejamnya Aril! Tapi aku sedia maklum mulutnya yang memang macam tu. Aku kan dah lali kata-kata kejam darinya seperti itu.

"Kenapa? Kau marah sebab aku kata kau gadis bodoh?” Tanya Aril seakan-akan membaca fikiranku. Dia ketawa kecil. Aku hanya memuncungkan bibirku. Pura-pura merajuk. Dia segera mencuit hidungku. Aku tidak sempat mengelak. Hanya mampu menjeling tajam tanda protes.

“Baiklah.. aku takkan gunakan istilah gadis bodoh.. emn.. gadis naif.. boleh? Kau terlalu naif jadi mudah diperalatkan. Kau terlalu jujur dan tidak mahu berprasangka pada orang yang kau cintai. Atau sebenarnya kau buta kerana cinta. Entahlah! Ia adalah kelebihanmu dan kelemahan yang akan dipergunakan orang. Kau gembira hanya dengan begitu saja tanpa banyak persoalan. Matamu bersinar gembira dan bahagia ketika itu. Benarlah kata orang gadis yang dilamun cinta akan kelihatan amat cantik sekali. Kau kelihatan sungguh cantik dan menarik ketika itu. Mungkin kerana hatimu sungguh bahagia. Kebahagiaan yang kau rasai itu terpancar di wajahmu. Kau seolah-olah bersinar. ‘Sinaran’ yang sangat indah terpancar dari senyumanmu.. berseri-seri. Begitu menarik perhatian…Mungkin ‘sinaran cintamu’ yang memukau perhatianku…” Dia berhenti sebentar sambil merenungku dengan senyuman. Seakan-akan membayangkan ‘sinaran’ yang dilihatnya ketika itu. Benarkah aku sangat ‘bersinar’ ketika itu? Aku menunggu kata-katanya tanpa rasa ingin mencelah, ingin membayangkan kata-katanya itu. Kemudian dia kembali menyambung..

“Dan lagi, tidak kira alasan apa yang diberikan oleh Herwan kau menerimanya dengan penuh pengertian. Apa jua kesalahan Herwan kau dengan mudahnya memaafkan. Kau tidak kisah walau Herwan memberi beribu alasan padamu dan kau hanya menerimanya bulat-bulat tanpa prasangka. Pada mulanya aku kasihan.. sungguh menyakitkan hati kerana cintamu yang besar itu hanya mainan buat Herwan. Aku geram dan cemburu pada Herwan..”

“Cemburu?” tanyaku mencelah ingin tahu. Aril mengangguk sambil tersenyum kecil lagi. Dia memandangku sekilas dan meneruskan kata-kata.

“Yalah.. Cemburu kerana dia dicintai oleh seseorang dengan setulus iklas tapi amat geram sekali sebab dia tidak menghargai cinta itu. Kalaulah aku orangnya! kalau ada seseorang mencintaiku sedalam-dalamnya.. seperti kau mencintai Herwan ketika itu. Aku tentu tidak akan sebodoh Herwan! Dia memang tak tahu bersyukur..” Nadanya geram. Seolah-olah dia masih marah pada Herwan Aku tersenyum kecil melihat gelagatnya. Jadi adakah cintaku pada Herwan yang menarik perhatiannya?

“Mulanya aku memang anggapkan yang aku kasihan padamu.. aku rasa aku perlu lindungimu.. aku harus sedarkan kau yang Herwan tidak layak dapat cinta sebesar itu. Kerana aku tahu topeng sebenar Herwan, jadi aku rasa bertanggungjawab membangunkanmu dari mimpi! Tapi bila kau break dengan Herwan aku rasa kejam pula, Kau yang dulunya penuh senyuman.. yang mekar bagai bunga yang sedang harum berkembang.. bertukar jadi pemurung yang berendam airmata.. Aku simpati! Kasihan.. Sakit hatiku melihat keadaanmu! aku cuba menceriakanmu semula but then, I stucked with you. Dari saat aku memberikan sapu tangan untuk mengesat airmatamu.. Aku sudah pun terjebak masuk ke duniamu. Mula selalu memikirkan semua hal tentangmu. Mengambil kira semua hal tentang kamu! Aku malah setuju saja bila kau minta tolong aku hantar kau pulang dan pergi kerja. Aku lega kau selamat.. setiap hari selamat di depan mataku. Aku jadi tidak sanggup melihat kau menangis.. Aku sedih bila melihat kau menangis kerana Herwan, jadi aku berusaha cuba mengalihkan perhatianmu.. Tapi adakalanya aku bersikap tidak peduli sebab aku sedang menyakinkan diriku yang kau hanyalah gadis biasa yang tidak istimewa… Aku yakin aku tidak cintakan mu. Aku menyakinkan diri apa yang kurasai itu bukan cinta. Aku yakin aku hanya kasihan padamu. Aku hanya ambil berat. Tapi bila Puan Tina kata Kak Akila datang ke office mencarimu. Aku risau! Aku jadi tak tentu arah. Aku sakit ketika itu tapi aku risau Kakak akan bertindak keterlaluan padamu... walaupun mungkin akan jatuh pengsan tapi aku tetap mahu datang ke office untuk menghalangnya! ” Aku mendengar cerita Aril dengan perasaan sukar percaya. Sebab risau kakaknya bertindak macam-macam padaku jadi dia sanggup datang ke pejabat walau pun dalam keadaan sakit semata-mata keranaku? Sungguh aku terharu mendengarnya! Aril menatapku lama sebelum menghela nafas panjang dan melepaskannya perlahan kemudian menyambung bicara.

“Lama kemudian aku asyik berfikir. Kenapa semuanya begitu mudah bagiku bila bersamamu? Begitu mudah aku membiarkan kau menguasai kehidupanku.. menguasai keputusanku? Aku tidak menganggapmu gadis istimewa… Aku menafikan yang kau penting buatku. Tapi semakin hari semakin aku terjebak ke duniamu. Tiga minggu aku sibuk kerana mengantikan tugasan ayah.. sepanjang tempoh itu aku selalu memikirkanmu.. Mengapakah aku asyik memikirkanmu jika aku tidak mencintaimu? Ah..akhirnya aku faham, tidak perlukan apa-apa syarat untuk jatuh cintakan?” Tanya Aril padaku. Aku hanya terkebil-kebil memandangnya. Aku tidak tahu bagaimana menjawab Aril. Kata-katanya munasabah juga. Dia asyik fikirkan aku sebab dia sudah jatuh cinta padaku? Aku tidak perlu menjadi gadis yang istimewa.. Dia tetap jatuh cinta padaku tanpa syarat? Aku tersenyum kerana telah menjawab soalannya dalam hatiku. Aril tiba-tiba turut tersenyum.

“Aku paling gembira bila aku boleh membaca perasaanmu Rika..” Ujarnya tiba-tiba. Aku tertegun. Senyuman nakalnya membuatku malu.

“Apa?” Kataku dengan nada menafikan. Aril hanya tersenyum.
“Apa yang sedang bermain dalam fikiranku! Cakap! Aku tak percaya kau boleh membacanya!” Kataku mencabarnya.
“ Aku tahu kau percaya yang aku mencintaimu! Betul? Sinar matamu ketika tersenyum tadi seolah bercerita tentang perasaan lega dan gembira dengan penjelasanku. Betulkan?” Walau pun kata-katanya itu amat tepat. Tapi aku menafikannya.
“ Salah sama sekali! aku senyum sebab aku hanyalah gadis biasa yang ‘naif’ kononnya tetapi dengan mudahnya memperalatkanmu, jadi kuli menghantarku pergi kerja setiap hari. Itu saja!” Kataku mereka-reka cerita sambil ketawa penuh kemenangan.
“Suka hati kaulah.. Tapi yang penting kau dah balas cintaku, Kan..? dan kau percaya yang aku sungguh-sungguh padamu..” Katanya dengan senyuman lembut. Aku tergugup melihat renungannya. Dia ketawa melihat aku tergugup. Aku turut tertawa dan mencubit lengannya.
“Aduh!” ujarnya tapi dia tidak mengelak. Malah menangkap tanganku lantas mengengamnya dengan erat. Aku terkedu. Senyuman Aril benar-benar membuat jantungku berdegup lebih kencang dari biasa. Aku cuba berlagak biasa tapi wajahku terasa panas. Mungkin telah merona merah. Kekok dengan situasi itu aku segera menumbuknya dengan tangan yang satu lagi. Dia mengaduh.
“Padan muka!”

Kami ketawa bersama. Dadaku terasa ringan. Saat itu aku langsung tidak rasa tertekan bersamanya. Aku gembira dan seronok di sisinya. 

“Jadi kau juga telah mengekoriku berjumpa dengan kawanku, doktor gigi itu? Kau fikir aku akan bercinta dengannya?” Ungkitku ingin tahu kisah itu. Teringat yang aku telah ternampak kelibatnya dari jauh pada hari itu. Aril ketawa.

“Ya! Betul.. aku sangka dia adalah lelaki istimewa buatmu. Mulanya aku tak faham kenapa aku mengekorimu. Hari tu aku sebenarnya ingin ajakmu keluar makan. Tapi terdengar kau menyambut telefon dan ingin keluar makan dengan seseorang. Aku benar-benar ingin tahu siapa orangnya. Aku tak boleh tahan diri nak tahu.. sebab tu aku ikut kau dari belakang. Malam tu aku asyik memarahi diri sendiri kerana betapa bodohnya tindakanku mengekorimu.. Tapi akhirnya semua itu buatku tambah yakin yang aku benar-benar punya sesuatu perasaan yang kuat padamu.. Aku belajar menerimanya.. belajar mengakuinya.. letih bergelut dengan perasaan lebih baik kalau aku rebut hatimu agar kau terus kekal di sisiku.. ” Aku terkedu. Rupanya Aril telah banyak melalui pelbagai peringkat perasaan sebelum memutuskan menyuarakan isi hatinya padaku. Dia telah bergelut dengan perasaannya sendiri sebelum memutuskan yang dia benar-benar telah jatuh cinta padaku. Tapi aku? Hanya kerana aku rindu tidak melihatnya.. hanya kerana aku cemburu melihatnya bersama Arisya.. aku dengan mudahnya percaya yang aku telah mencintainya! Mudahnya aku yakin yang aku telah jatuh cinta padanya sedangkan selama ini aku hanya anggapkannya sebagai kawan baikku. Aku mula berfikir, benarkah aku bersungguh-sungguh cintakan lelaki kacak dan anak orang kaya ini? Ataukah aku hanya terhutang budi padanya? Ataukah kerana dia kacak dan kaya malah melayanku dengan baik jadi aku memutuskan menerima cintanya? Ataukah aku mahu diriku di sayangi ketika ini.. ketika hati dan perasaanku masih belum sembuh sepenuhnya! Aku ragu..

“ Kenapa?” Tanya Aril melihat riak mukaku.
“ Hah? Apa.. apa yang kenapa?” Tanyaku agak tersentak.
“Kau.. kau kelihatan gelisah..” Tanya Aril lembut penuh perhatian. Aku suka dengan caranya memerhatikanku. Seolah-olah aku terlalu penting buatnya. Aku segera tersenyum menyembunyikan perasaan raguku tadi. Dalam diam aku rasa tidak percaya. Benarkah akulah the lucky girl yang telah membuatnya jatuh cinta? Aku sungguh takut untuk percaya.. Aku merasa takjub, gembira tapi juga gelisah memikirkannya.

“Bukankah kau pandai membaca fikiranku..” Gurauku padanya.
“Hei.. Aku bukannya psikik yang boleh baca apa jua yang kau fikirkan.. Aku hanya belajar ‘body language’ dan riak muka mu saja, cuba meneka, aku banyak memerhatikanmu. Sedikit sebanyak ia membantuku mendalami dirimu seakan-akan aku tahu apa yang sedang kau fikirkan.. apa yang kau rasakan. Sebenarnya banyak tentangmu yang aku langsung tidak tahu.. tapi aku memang ingin tahu! Aku yakin kau sedang memikirkan sesuatu yang menganggu fikiranmu tadi..” Aku mengeleng.

“Tak ada apa-apa yang penting.. Aku hanya memikirkan ceritamu tadi.. Aku tak sangka kau hadapi begitu banyak masalah.. dan begitu banyak pertimbangan yang kau buat sebelum kau berkeputusan benar-benar bercinta denganku. Mulanya aku fikir kau hanya cuba-cuba saja..” Aril segera memotong kata-kataku.

“Cuba-cuba? Emn.. Aku tak pernah rasa segila ini sebelum ni. Tiga minggu yang terlalu meletihkan..Terpandang wajahmu di mana-mana! Ia benar-benar buatku gila! Jadi aku yakin ia bukanlah sesuatu yang patut aku cuba-cuba. Jadi kau mesti percaya yang aku bukannya sekadar cuba-cuba.. aku sungguh-sungguh denganmu. Aku bukan saja setakat mahu jadi kekasihmu.. Aku mahu jadi kekasih halalmu.. kau faham maksudku?” Dia mengenyitkan matanya padaku. Aku tergelak melihatnya. Namun sungguh aku terharu dengan ucapannya itu. Ia adalah kata-kata yang benar-benar menyentuh hatiku.

“Curi tulang ke? Kerja dah siap ke belum? Apa yang di menung tu?” Aku tersentak lantas mendongak. Rupanya jauh sungguh aku melamun tentang Aril. Kini Aril terpacak di depan pintu. Senyap saja dia muncul. Aku mengurut dada. Aku suka melihat cara pandangannya padaku. Itu Aril yang dulu! Aril yang tidak membuatku kekok.. lagak sinis yang sudah biasa ku hadapi. Pandangan tajam yang seolah-olah mengejekku.

“Kenapa? Nak potong gaji ke? Tengah berfikir pasal kerja ni, kan tiba-tiba pindah department.. otak udang macam aku ni bukan boleh harap sangat nak buat kerja yang banyak guna otak macam ni...maklumlah study pun takat diploma je.. tu pun lulus cukup-cukup makan je” balasku selamba. Sengaja menekankan isu yang entah apa-apa.

“Oh.. tengah fikir tentang kerja ke? Bukan termenung rindukan aku? Takpe.. kalau menungkan aku pun tak apa.. aku tak akan potong gaji.. asalkan betul-betul rindu dengan aku” Dia ketawa nakal. Cis! Perasan. Geli betul bila dia mula mengatal macam tu. Tapi memang betul aku memang tengah menungkan dia! Macam tahu-tahu je..

“Nanti kita lunch sama-sama nak?” Nada suaranya tiba-tiba lembut. Tatapannya begitu dalam ke mataku sambil menunggu jawapanku. Wajah kacaknya membuat dadaku berdebar. Aril membuatku kekok lagi.. entah kenapa bila dia mesra dan manja denganku, aku rasa semacam. Perasaan yang sangat pelik dan aneh lagi sukar untuk ku tangani. Mungkin sebab aku sendiri tidak pandai berlagak menjadi kekasihnya! Ah.. aku seolah-olah sedang berlakon.. ini bukan diriku! Aku tak tahu harus beriaksi seperti apa jika dia bersuara lembut dan romantik.. Aku tak biasa! Aku lebih suka dia yang marah-marah macam dulu. Aku lebih suka dia melayanku macam aku adalah kawan yang menyusahkannya. Aku suka mendengar rungutannya kerana aku tahu walau berapa ‘bakul’ rungutannya terhadapku, dia tetap akan melayanku dengan baik. Menuruti permintaanku yang bodoh itu! Teringat ketika aku memintanya berlagak seperti kekasihku… memaksanya makan nasi yang ku suapkan. Memaksanya berpegangan tangan denganku kerana ketika itu kami berlakon sebagai sepasang kekasih yang romantik. Dia merungut dan marah-marah kerana katanya aku over acting. Tapi dia ikutkan juga permintaanku. Dia gengam tanganku erat dengan muka yang masam sambil aku pujuknya sekurang-kurangnya memberikan senyuman palsu, akhirnya dia tertawa mendengar usikanku. Aku suka Aril yang dulu itu.. Tapi kini? Bila dia benar-benar lemah lembut dan bermanja padaku macam seorang kekasih, aku kekok dan salah tingkah! Aku macam tak suka pada Aril yang ini… macam mana aku nak menghadapinya?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...