Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Monday, January 21, 2013

Bab Hati (Merah Jambu)

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips

Malam ini, bulan gagal terbit. Tapi langit tetap berteman dengan jujuran bintang. Cantik, biarpun dalam cahaya yang berdikit-dikit.

Seperti Naurah, yang masih tetap cantik, biarpun hanya dengan kebiasaannya. Masih dengan kurung putih berbunga-bunga merah jambu menjadi penyeri. Berkerudung merah jambu lembut dan bersopan duduk di hentian itu sendirian. Bersepatu merah jambu kegemarannya, yang setia menyelimut sejuk udara dari menerpa terus pada dia.

Mujurlah lampu limpah dari kolej masih mampu menampakkan sopannya dia di hentian kenderaan itu. Kalau tidak, harus saja ditarik Azra menjadi teman menunggu.

Jam Bonia keperangan di tangan diselak pandang sekali lagi. Yang ditunggu sudah lewat dari janjian. Membelek Nokia pearl white di tangan pun tidak redakan gemuruh hati.

“Kamu mahu pergi sendiri Naurah?” Azra membising sebelum dia turun tadi. Budak bermata penggoda itu tegas orangnya. Kalau mahu bertegur, jarang dia berselindung dengan bait-bait diplomatik. Katanya itu pendirian. Biar jelas. Jangan diingat orang, asal mata galak, diri rendang, boleh jadi mainan. Naurah tahu itu semua, dan kerana itu sendiri dia tak mahu Azra menurut dia turun.

“Berdua dengan bukan muhrim tu Naurah. Kamu tahu kan?” tegur Azra lagi
“Bertiga sahabat ku. Bertiga” dan senyum berlalu turun selepas sekilas mengucap salam sepenuh bahasanya.
Maka dalam kelewatan menunggu orang yang ditunggu ini pesan Azra tadi menjengah lagi. “...bukan muhrim”, dan senyum Naurah menjadi tawar lagi. Mula tadi senyum terlalu manis, sampai malu menerpa wajah. Merah-merah buah pelam epal, dan gebu pada pipinya. Kemudian mula kendur bila menanti melewati janji. Ini, kendur lagi, bila teringatkan Azra.

Ya, menunggu manusia bernama lelaki di sini bukan sepenuhnya keputusan dia. Sebaliknya, hanya sisi debar rasa yang terlalu tak terbendung itu yang mengatakan iya. Sedangkan, hati berbolak balik dengan tidak dan barangkali ya. Itulah, hal hati terlalu sulit untuk dirasionalkan. Semuanya menjadi tanpa berpesan yang boleh dinanti-nanti. Harapnya, jangan bila mahu menghilang nanti hilang sekilas tanpa sempat senyum ini dihabiskan.

Kali ini, bolak hati datang lagi.
Bonia pembelian dari kerjaya lepasan SPM-nya dulu dibelek pandang lagi. 20 minit, dan tak ada bayang. Yang berpepasan lalu hanya motosikal yang berbondong dengan pasangan-pasangan sekampusnya. Haram tu, berdua di atas tunggangan, bersentuhan tentu tidak termampu elak lagi. Kalau berkereta okay sikit kan. Duduk jauh-jauh. Takkan nak gatal-gatal terpegang kan?

Tapi Naurah makin tawar senyumnya. Hati cuba membenarkan apa yang dibuatnya sekarang, tapi dia tahu itu tetap tidak benar. Hati makin berbahagi rasa.

“Penipu paling bodoh adalah menipu diri sendiri. Menipu berkata ia, sedangkan kita tahu tidak. Menipu berpuasa dengan manusia, tapi terang-terang menipu diri dan menipu Allah. Balasannya tentu saja kamu tahu kan Naurah” pesan Babah bertahun dulu, dan kali ini seperti batu untuk cetus rasanya.

TRUT-TRUT TRUT-TRUT
“Maaf jalan sesak. 5 minit lagi ya awak”
Erk

REPLY
“Tak apa, saya pun baru sampai Suhaid.”
Penipu! Naurah sudah sampai setengah jam yang lalu. Janji temu pun dah berlalu 22 minit yang lalu. Yang pulang dari musollah kolej pun barangkali bersembang hal usrah Ustazah di surau, sedangkan Naurah masih menunggu, dan sekarang mahu menipu diri sendiri lagi.

Retype
“OK”

Bohong. Ini tidak ok. Hati Naurah mula menidakkan pengaruh rasa. Debar rindu dan teruja mula ditelan rasa bersalah dan pesan ibu ayah. Pesan Azra. Pesan Ustazah. Ah, semua ini tidak ok.

Naurah bangun. Senyum dia kian hilang. Dia berlekas menuju kolej. Nampak seperti kelibat kenderaan yang ditunggu mula menjengah pintu besar Universiti. Naurah harus terus lekas hilang. Langkah, laju lagi wahai jiwa.
TRUT-TRUT TRUT-TRUT
“Awak mana? Saya dah sampai depan kolej kediaman ya. Saya tunggu”
Nasib sempat. SMS yang awal pun belum berjawab, tuannya dah sampai, dan sampaikan SMS kedua.

REPLY
Maaf, ada masalah wanita. Kita batalkan malam ini ya Suhaid. Maaf L

Tersandar Naurah. Mencuri pandang juga pada Myvi Hijau Daun di tapak penantian dia tadi. Bibir yang dicuba-cuba dengan lipgloss Iman bilik sebelahnya tadi digigit tanpa sedar. Hati masih berperang dengan serba salah dan rasa salah. Mahu, tapi tahu tidak mampu. Ini tidak betul, tapi kenapa tidak betul. Ah, hati!

TRUT-TRUT TRUT-TRUT
“Kesian saya, terpaksa makan seorang lah ni ya. Tak apa, lilin di meja makan tu saya simpan untuk dinner dengan Naurah lain kali ya. Jaga diri awak. Awak kan kawan kesayangan saya.”

Dan Myvi itu pergi. Laju. Lagi laju dari hadirnya tadi.

Subahanaullah. Hati menjadi sebak. Tidak tahu apa yang disedihkan. Sedih kerana hal hati, atau pedih kerana hal rasa. Perang jiwa dan ilmu belum reti reda. Lapar berpuasa yang hanya dipujuk dengan cream creaker Maghrib tadi juga tidak sepedih rasa sebak yang entah mana mahu dimenangkan ini.

“Naurah?” sapa seorang dari belakang.

Ah, Azra! Terus di dakap sahabatnya rapat. Mata tiba-tiba basah dan rebah. Bahu Azra ditumpang lagi kali ini, dan pertama kali oleh sebab hati kepada seorang jejaka. Seorang pria yang disimpan suka dalam diam. Suka yang makin hari makin galak menjadi sayang, dan dia tahu merindu itu bukan mudah, dan juga bukan betul kerana Suhaid bukan disahkan untuk dia lagi.

“Aku lemah Azra, aku lemah!” dan itu cukup untuk Azra mendakap Naurah lebih dekat. Dia tahu, gadis manis ini pendiam dan begitu banyak rahsia. Dia juga tahu, waktu ini Naurah hanya mahu bahunya dan bukan mahu ditemurah apa segala. Naurah hanya mahu didakap, mahu dibiar empang air matanya itu surut pecahnya.

Tapi dalam diam, Azra tersenyum. Bait kata syukur dilafazkannya ikhlas. Barangkali, doa di penghujung solat hajatnya untuk Naurah di balas Allah dengan segera, dan itu lebih baik.

Renyai mula turun. Naurah pula mula reda, dan baru kini di pandang wajah Azra.

“Terima kasih. Kita ada kamu kan?” kata Naurah.
“dan, kita dua ada Dia kan” balas Azra tersenyum, sambil telunjuk kanan mengisyarat ke atas, menandakan ada Dia yang lebih tinggi, lagi lebih tahu.

Dan hujan makin lebat. Mengucap syukur. Terselamat satu hati, hari ini.

END
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...