Malam itu, aku duduk berteleku di sudut katil. Cuma merenung meja studi yang dibilas cahaya malap lampu dinding. Mata masih tertancap ke arah sekeping origami berbentuk hati di atas meja. Origami berbentuk hati itu aku kira seperti hati aku juga, renyuk tetapi masih berbentuk.
Aku bingkas bangkit dan duduk menghadap meja studi. Origami berbentuk hati itu aku capai dan aku belek dari depan dan ke belakang. Aneh, aku sudah hafal bentuk dan ‘ukiran’ renyuk pada lipatan kertas itu. Sesekali, aku tersenyum apabila melihat sisi bawah origami berbentuk hati itu yang tertulis ‘Untuk Kamu’.
***
“Bagaimana kamu lakukan!”
Ada tersenyum melihat keterujaan aku. Entah bagaimana dia lakukan. Dengan sekeping kertas yang dipotong segi empat sama, Ada melipat dari sisi atas ke sisi bawah, dan dilipat lagi separuh bagian di sisi bawahnya dan.. entah? Tiba-tiba sahaja menjadi sesuatu berbentuk hati!
“Kalau Ada boleh buat, kamu juga mesti boleh buat,” balas Ada. Aku masih memerhati origami berbentuk hati yang terhasil. Kemas lipatannya.
“Boleh kamu ajarkan?” soal aku, terus. Ada senyum dan memotong satu lagi kertas berbentuk segi empat sama.
“Nah, kamu ambil ini dan ikut Ada ya?” jawab Ada. Aku menyambut potongan kertas segi empat sama dan hanya memerhati. Ada melipat kertas tersebut kepada separuh, jadi aku ikutkan. Kemudiannya dia melipat sisi bawah, dan aku masih ikutkan.
“Bukan begitu. Yang lipatan bawah harus dilipat ke hadapan, bukan belakang. Nanti susah nak selitkan,” ujar Ada. Aku diam. Apa yang nak diselit lagi? Sama sahaja hadapan atau belakang, masih terlipat. Aku biarkan, mahu ikutkan lipatan aku sendiri.
“Kamu, tak boleh begitu. Kamu harus tertib dan mengikut yang sepatutnya. Nah, begitu juga soal hati, kamu harus tertib. Kamu tidak boleh melawan arus dan cuba meninggalkan apa yang sepatutnya. Jika kamu buat mengikut mahu kamu, hati kamu juga akan melawan dan akan tersangkutkan.”
Aku mengangguk tanda faham. Masih menjadi soal, ini cuma origami berbentuk hati, bukannya hati aku yang sebenar. “Kamu kepilkan bagian hujung ini, begini,” kata Ada lagi, sambil menunjukkan cara. Aku mengikut patuh dan…
“Siap!” Ada menunjukkan origami berbentuk hati yang dihasilkan. Ianya kemas. Ianya berbentuk hati. Ianya sempurna. Aku punya? Entah jadi apa. Aku menunjukkan origami yang aku bentukkan pada Ada. Ada memandang dan tergelak. “Hahaha, ini bukan origami berbentuk hati lah, ini origami berbentuk kepala alien!”
Aku membuang pandang. “Mungkin saja hati aku tidak sesempurna hati kamu, Ada.”
Ada mengambil pena mata biru dan menulis sesuatu di sisi bawah origami berbentuk hati tersebut sambil berkata, “Tidaklah. Ada perempuan, dan kamu lelaki. Seorang lelaki, jarinya lebih kemas dan teliti. Ada yakin jika kamu melapangkan hati kamu, kamu akan hasilkan satu origami berbentuk hati yang paling indah. Tiba masa itu nanti, Ada mahu kamu hadiahkan origami berbentuk hati yang paling indah, yang paling sempurna, untuk Ada.”
'Untuk Kamu', tertulis kemas di sisi bawahnya.
***
Aku mengambil gunting, dan memotong kertas menjadi segi empat sama. Selesai, gunting aku letakkan di sisi meja studi. Ada pernah kata, jika mahu lakukan sesuatu, pastikan kemas. Barang dan alatan haruslah letaknya di sisi apabila selesai guna, supaya tidak menganggu kerja.
Aku mengikut semua yang pernah diajarkan Ada. Aku melipat kertas segi empat menjadi separuh bagian. Sisi bawahnya aku lipatkan juga, ke hadapan. Usai lipatan, aku lipat dan membiarkan di bucu bawahnya menjadi segi tiga. Dan di akhirnya, aku kepilkan bahagian atas dan siap.
Ya, ini adalah origami berbentuk hati yang paling sempurna pernah aku hasilkan. Cumanya, mungkin aku sedikit terlewat. Sudah aku katakan dulu, takdir tidak pernah tersenyum pada aku. Tiada siapa yang lebih sempurna untuk aku hadiahkan origami berbentuk hati ini, selepasnya Ada.
Origami berbentuk hati itu aku selitkan pada buku, dan biarkan dingin malam terus membeku.
.END.