Bagi aku kita semua sama. Serumpun. Warnanya
juga sama. Asasnya hitam. Kita semua punya sesuatu yang berwarna hitam yang
dinamakan ia dan ia itu berwarna hitam. Tiada yang warnanya lain. Aku sudah
tetapkannya dalam fikiran.
Kali
itu kami bertemu. Matanya sedikit merah. “Aku kurang tidur. Tak sihat. Makan
ubat”, katanya. Aku merenung wajahnya. Mungkin lebih dalam. “Bukan hitam.
Sedikit perang. Atau ia lebih terang”, aku gumam. Aku kurang percaya. Mungkin
kesan kimia ubat atau perubahan hormon badan, mengubahnya daripada warna hitam.
Atau juga mungkin ilusi mata yang kadang-kadang tak mampu bezakan yang mana
ilusi dan yang mana realiti.
Di
rumah, aku menatap wajah pada cermin. Sesusuk wajah yang aku kenal bentuknya
tapi belum benar aku mengenalinya, muncul. Aku merenung pada wajah dalam
cermin. Beberapa bayang muncul pada anak mata, berkali-kali akibat pantulan
berulang antara cermin dan anak mata. Masa yang agak lama aku ambil untuk buat
satu kepastian. “Benar! Aku juga punya sedikit perang. Bukan hitam total”, aku
terkejut. Aku sendiri tidak tahu bagaimana aku tidak perasan pada sesuatu yang
ada pada wajah yang sudah bertahun aku pandang.
Lain
hari, kami bertemu lagi. Kali ini, matanya sudah tidak merah lagi. Sudah sihat
sepenuhnya barangkali. Aku merenung lagi pada wajahnya. Dia sering tersenyum.
“Benar. Ianya perang”, aku juga tersenyum.
Kali
itu, aku seperti ingin memohon pada tuhan, jika ingin putihkan yang perang
tersebut, putihkan kepunyaan aku terlebih dahulu kerana mungkin aku tak sanggup
memandang pada wajah sendiri dalam tempoh masa yang lama pada cermin sebelum
ianya juga bertukar menjadi putih seperti kepunyaannya.
Hak Cipta : CassiaSiamea
URL Blog : www.kata2otakku.blogspot.com