Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Wednesday, October 31, 2012

Saya Tak Pernah Buang Awak

9:19:00 AM | | Best Blogger Tips


"Kenapa awak buang saya?" persoalan yang sama diulang-ulang oleh Aisya beberapa kali kepada aku. Aku sebetulnya tak punya jawapan. Aku tahu berat untuk Aisya terima semua ini. Tapi itulah yang harus aku putuskan untuk hubungan kami. "Awak ada orang lain yang lebih sempurna dari saya?" aku senyum. Sama sekali telahan Aisya tidak tepat. Mana mungkin ada orang lain yang dapat mengganti tempat Aisya di hati aku.

"Apa salah saya? Apa kurangnya saya?" Aisya tiada kurangnya pada aku. Aisya tak bersalah. Kalaulah Aisya tahu apa yang aku tanggung sekarang ni. Aku tiada kekuatan untuk meluahkan semua ini kepada dia. Aisya, percayalah apa yang aku putuskan untuk hubungan kita adalah satu yang paling berat aku tanggung. "Cinta itu melepaskan, Aisya." Mungkin kedengaran agak klise, tapi percayalah Aisya hikmahnya pasti ada" Aku faham benar dengan Aisya. Mana mungkin dia boleh menerima segala kata-kata penyedap hati semudah itu. 

"Kalau cinta, kenapa dilepaskan? Kenapa di buang? Kenapa tak dipelihara? Kenapa tak di jaga?" Ya, itulah Aisya. Aku senyum nipis di hujung talian."Aisya tabah orangnya." Hanya itu mampu aku ucapkan. Aisya diam. Lama."Aisya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul." suaraku. "Saya akan bantu awak memikul semua itu. Saya sanggup." Aisya memang tidak pernah putus harap dengan aku. Aisya memang tidak pernah lelah memujuk aku. 

"Saya sayangkan awak Ilham" ucap Aisya. Bergetar jiwaku mendengar ungkapan itu. "Aisya, saya juga terlalu sayangkan awak." Mana mungkin kasih dan sayangku pudar pada Aisya sekalipun aku memutuskan untuk meninggalkan dia. "Ilham, awak cakaplah yang awak tak cintakan saya lagi dan saya akan pergi." Ya Allah! Tak mungkin akan kuucapkan semua itu Aisya. Aku tak ingin kau pergi meninggalkan aku. Aku ingin kau selalu berada dalam pemerhatian aku sekalipun kau tak kumiliku. 

"Katakan saja Ilham. Saya sedia mendengarnya. Jangan buat saya macam ni. Apa salah saya?" Ya, untuk kesekian kalinya Aisya mengulang persoalan yang sama. Ketahuilah Aisya, walaupun kita terpaksa berpisah dengan cara begini tapi jauh di sudut hatiku, aku selalu mengharapkan kau sentiasa di sisi. Jangan sesekali pergi dari sisiku Aisya.

"Aisya, jangan pergi..." bisikku sayu di hujung talian. Aisya diam. Aku turut diam.

Tuesday, October 30, 2012

Redup Sinar Matamu - Part 5 (akhir)

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips


Pada hujung tahun 1984 tak silap aku masa tu hari raya . aku balik ke kampung untuk menyambut hari raya haji di sana...mulalah aku berharap agar orang yang aku mahu jumpa akan menunggu kehadiranku...

Sudah 2 hari aku berada di rumah datuk ku...aku hanya duduk di luar kerana ada tetamu yang asyik datang berkunjung....masih ingat aku pada bangku di bawah pohon manggis itu...aku menghampiri tempat itu sambil termenung sendiri duduk dibangku...

Tiba tiba dan dari jauh aku mengamati seorang gadis manis yang berambut panjang melepasi bahu
dia berjalan sekejap ke tengah dan sekejap ke tepi bagaikan malu malu bila aku memandangnya...
wajahnya tersenyum memandangku...aduhhh...lembut sungguh senyumannya...Yatiii...detak hatiku berkata

"Mizi...apa khabar?"mukanya merah padam menahan malu dan bagai aku terdengar debaran di dadanya sama dengan debaran di dadaku...

"Baik Yati...Yati seorang aje ke...mana Tini tak ikut sama...?"tanyaku sambil mataku tak berkelip memandang Yati...

Sudah menjadi anak dara sunti rupanya gadis bermata redup ini...sedangkan aku pun ketara juga dengan suaraku yang sudah pecah dan tiada lagi suara ke anak anakan...kami masing masing sudah menjejak remaja...

"Yati ...betulkah apa yang Yati tulis kat dalam surat tu?"

"Mizi tak percaya?betul Mizi...Yati tak akan mempermain mainkan Mizi..."

"Berbeza betul Yati sekarang ye..nampak lebih dewasa...meningkat remaja..."

"Mizi apa kurangnya...suara dah lain dan dah tumbuh misai pun...hehehehe..." dan lantas Yati mencubit pipiku...geram atau sangat rindu untuk mencubit segala tempat yang sempat dia cubit di muka ku...

"Haissshhh...dah le tu...malu ler Mizi orang nampak nanti Yati..."
"Geram Yati tengok muka Mizi ni..hehehe...rasa nak cubit cubit..."di cubitnya aku lagi...

"Ades...adess...dahler Yati...eh sakitlaaa...karang Mizi cubit Yati pulak karang"

"Hahahahaahahaha...rasakan...geram Yati tengok Mizi yang Yati dah lama tak jumpa ni"Yati ketawa gembira ...ceria sungguh wajahnya...

Pertemuan hari itu banyak dihiasi oleh pandang memandang,senyum dan ketawa sahaja hingga ke petang...burung burung berkicau riang seolah olah menambahkan lagi keriangan mereka berdua...

"Mizi masuk sekolah mana bila sekolah Menengah nanti?"

"Mizi tak pandai macam Yati...masuk sekolah biasa biasa je..."

"Apa lak tak pandainya...Mizi kurang rajin jer...bukannya Yati pandai sangat...dan Yati tahu Mizi amat berbakat dalam lukisan dan fasih berbahasa Inggeris...itukan kelebihan Mizi... "

"Asalkan Mizi rajin balas surat Yati dah le kan Yati..."

"Nakalnyer...Yati cubit lagi kang...hahahaha..." 


Sinaran matahari yang menyinari nampak berbalam balam dari jauh dan di sulami dengan teduhan pokok pokok di sekitar. Redup damai dan membahagiakan.


Sunday, October 28, 2012

Gosip Antara Kita

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips


“Aku malu”, katanya teresak-esak melalui corong telefon bimbit aku. Panggilan yang aku terima sejak suku jam yang lalu mengejutkan aku. Jarang benar aku terima panggilan daripadanya. Itupun selalunya atas urusan pelajaran. Dia yang jarang sekelas dengan aku, jadi jaranglah kami berhubung.

“Aku malu. Aku bukan siapa-siapa untuk kau. Aku malu”, dia masih teresak-esak. Rupanya gosip yang menimpa kami memberi kesan mendalam padanya. Seingat aku, gosip kami hanyalah suatu khabar angin untuk senangkan hati sorang kawan yang berduka atas cintanya yang bertepuk sebelah tangan. Aku biarkan saja khabar angin itu. Itupun untuk tenangkan hati seorang kawan. Tidak tahu la pula ia beri kesan teruk kepada seorang perempuan yang juga seorang rakan.

“Nak buat macam mana ni. Aku malu dengan semua orang”, dia tetap menyambung, merendah diri. Dalam hati aku berkata “Padahal aku bukan siapa-siapa untuk berdamping dengan kau. Selama ini, kau punyai sesuatu yang aku tiada”. Tapi aku adalah lelaki Januari. Lelaki Januari adalah seorang perahsia. Rahsia hati mesti disorok dalam-dalam.

“Ala, benda tu kejap je tu. Nanti dia okay, senyap la tu”, aku mencari alasan. Aku kembali dengan lawak bodoh yang sentiasa tersimpan untuk buat dia tersenyum. Aku tahu lawak aku menjadi. Aku selalu gunakan lawak aku dalam kelas untuk buat orang ketawa dan aku sering mendapat perkataan “bodoh”, “sengal” daripadanya dengan sedikit senyuman daripadanya. Membuat orang tersenyum buat aku bahagia.

“Dah lah. Tak nak cakap dengan kau lagi”, katanya dari hujung sana dan aku pasti dia sedang tersenyum. Telefon dimatikan. Aku tahu aku cukup bahagia buat sementara waktu dan aku harap dia pun sama. Gosip yang tersebar semakin sepi itu aku biarkan. Biarkan untuk apa-apa saja berlaku. Seterusnya.


Hak Cipta: CassiaSiamea

Saturday, October 27, 2012

Inilah Sepi Seorang Aku

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips


Kau kata padaku
Jika aku perlu kamu
Maka seru namamu
Nescaya terhapus segala rindu
Lalu aku seru
Ku seru
Dan ku seru
Tapi yang ada hanya gema suaraku
Tiada muncul dirimu
Sudahnya hanya pilu yang bertamu
Inilah sepi seorang aku


 Suha

Wednesday, October 24, 2012

Kita Tiada Jodoh

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips


Elina membaca berulang kali pesanan ringkas yang diterima pagi tadi daripada Azwan. Kalau ikutkan hatinya mahu saja dia berteriak. Dibacanya berulang kali rangkap terakhir pesanan ringkas tersebut. 

"Maafkan saya. Saya kena buat keputusan ini. Saya sayangkan awak, tapi kita tak ada jodoh"

"Tak ada jodoh?" getus Elina sendiri. Elina mendail nombor teman baiknya Maria. Hanya Maria tempat dia mengadu apa yang dia alami sekarang.

"Hello.. sibuk tak?"
"Kenapa? Aku kat office sekarang."
"Oh. takpela. Sorry ganggu kau."
"Eh jap..kau okay ke tak ni?"
"Erm..aku okay."

Elina cuba menyembunyikan perasaan sedihnya. Tapi nampak gaya seperti Maria boleh membaca apa yang berlaku pada Elina. 

"Suara kau lain. Kau kat mana ni?"
"Kat rumah. MC."
"Sakit? Kau okay ke tak ni?"
"Aku okay. Betul."
"Jangan tipu aku. Aku kenal kau."
"Betul. Aku okay. Takpe la. Kau buat kerja dulu. Bye."
"Lepas kerja nanti aku jumpa kau kat rumah."

"Saya akan bahgiakan awak. Saya takkan menyakiti awak. Yakinlah pada saya." Itu ungkapan Azwan setahun yang lepas. Ungkapan itu yang menyakinkan Elina. Ungkapan itu masih terngiang-ngiang di telinga Elina. "Tapi sekarang dia tinggalkan aku atas alasan tak ada jodoh". Elina mengomel sendiri. 

"Hari-hari saya akan rindukan awak tau. Kalau awak hilang tak hantar khabar berita saya jadi tak keruan. Saya risaukan awak kat sana." Azwan memang seorang yang cukup prihatin dengan diri Elina. Mana mungkin Elina dapat melupakan semua itu. Mana mungkin Elina dapat menghadam segalanya bila mana Azwan memutuskan hubungan mereka atas alasan tak ada jodoh. Sebetulnya Elina mengharapkan satu alasan yang jujur. Hanya itu. 

..........................................

Kedengaran suara perempuan memberi salam di luar rumah. Elina bingkas bangun dan menjawab salam. Maria teman baiknya berada di muka pintu. 

"Masuklah.." Pelawa Elina. Maria melabuhkan punggungnya di atas sofa. Memandang tepat ke wajah Elina.

"Kenapa pandang aku macam tu?" 
"Elina, kita ni kawan dah lama. Dari sekolah lagi. Aku kenal kau."

Elina terdiam. Sejujurnya dia tak mahu menceritakan apa yang berlaku kepada Maria. Biarlah dia tanggung sendiri. "Sebetulnya apa berlaku? cerita kat aku sekarang. Ada masalah dengan Azwan?"

Elina masih mendiamkan diri. Mengira-ngira mahu di beritahu atau tidak. Elina mencapai telefon bimbitnya di atas meja dan menghulurkan kepada Maria. Maria seolah mengerti tindakan Elina itu. Skrin telefon bimbit itu direnungnya. Satu pesanan ringkas yang panjang lebar dari Azwan. 

"Apa masalahnya sebenarnya ni?". Maria inginkan kepastian dari Elina.

"Aku sendiri tak tahu. Aku tak tahu apa silapnya aku. Apa salahnya aku. Dia tiba-tiba tinggalkan aku atas alasan tak ada jodoh"

"Korang ada gaduh tak sebelum ni?"

"Tak.. tapi sejak akhir-akhir ni dia sibuk. Katanya banyak kerja. tekanan tempat kerja. Macam-macam lagi lah"

"Berapa lama dah jadi macam ni?"

"Sebulan... tapi aku bertahan. Sebab aku tahu dia takkan tinggalkan aku. Aku pegang janji dia pada aku"

"Kau ada minta penjelasan dia?"

"Ada. tapi senyap. Entah. Aku buntu. SMS yang aku hantar langsung tak berbalas. Aku call dia tak angkat pun"

"Kau sedih? aku tengok kau tenang je."

"Sedih. Tapi dalam masa sebulan tu lagi sakit apa yang aku rasa. Dia dah tinggalkan aku sebulan yang lalu. Aku dah rasa semua tu dulu sebelum dia sendiri beritahu aku pagi tadi nak tinggalkan aku. Cuma aku terkejut. Sebab aku yakin pada dia. Yakin pada ketulusan dia. Sekurang-kurangnya dia beritahu apa silap aku sampai dia buat aku macam ni. Semudah itu ke kita nak memutuskan hubungan? Tak terfikir ke apa perasaan orang yang kena tinggal?"

"Erm.. dia ada perempuan lain?"

"Entah. Kalau ada pun, apa hak aku nak menghalangnya. Dia punya kebebasan untuk memilih sesiapa pun. Mungkin aku hanya tempat untuk singgah melepas sunyi. Entah."

"Kau ada contact dia lepas dapat SMS tadi tu?"

"Ada. Tapi dia senyap je. Dr HM Tuah cakap, kalau kali ketiga tanya lepas tu dia masih senyap simpulkan saja yang dia memang betul-betul nekad dengan keputusannya."

"Tu Dr HM Tuah cakap. Pengaruh kuat dari buku ni."
"Aku cakap apa yang aku baca je"
"Kau sayangkan dia lagi? Kau ni keras hati sangat!"
"Apa punya soalan la. memang la sayang. Habis apa daya aku?"
"Kalau aku jadi kau, sekarang juga aku ke sana jumpa dia."
"Aku bukan kau. Kalaupun aku jumpa dia kat sana. Aku akan dapat dia balik ke? Kalau dapat tak pe. Tapi mungkin rasanya dah lain dari asal. Kalau tak dapat, sakitnya dua kali ganda tahu?!"

"At least cuba la. tak salah kan."

"Tak salah. Sebulan yang lepas dia dah 'hilang' dalam hidup aku. Dalam sebulan tu aku cuba bertahan. Dan aku cuba untuk menilai dia. Aku pegang semua kata-kata dia. Dan sekarang dia tinggalkan aku. Dan kau cakap tak salah aku cuba nak dapatkan dia balik? Aku sebenarnya muak bila seorang perempuan merendahkan maruahnya untuk mendapatkan seorang lelaki yang jelas-jelas meninggalkan dia. Macam sekarang ni!"

"Kau sakit hati kan."
Elina senyap. 

"Kau kuat. Menangislah..Jangan tahan sangat airmata tu. Tak salah menangis."

Maria memaut lembut bahu Elina. "Semua kan baik-baik saja kawan.." 

Tuesday, October 23, 2012

Redup Sinar Matamu - Part 4

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips

Yati dan musim musim kenangan indah telah pun berlalu... Kini aku hanya menanti detik detik yang mengakhiri akan satu perjalanan tahun yang sepi demi mengejar waktu. Aku lelah dengan semua ini. Bagiku penantian adalah penyiksaan. Entah bila aku akan bersama dengan Yati semula. Hanya surat surat dari Yati yang menjadi peneman sepiku.

Surat Yati yang ke 2...

Mizi yang ku rindui ...
biar seharian Yati bersedih hati tapi bila Yati teringat pada Mizi maka hilanglah perasaan itu
apa khabarmu Mizi...gambar Mizi tu Yati tatap berkali kali tanpa jemu...apakah perasaan Yati ini ye?terlalu mudakah kita Mizi untuk memahaminya?apa layakkah kita berperasaan begini?rindu ini sudah bertukar pada sayang...

Sering bila lagu 'Can't Fight This Feeling' yang Mizi tujukan pada Yati itu berputar di radio Yati sering tersenyum sendiri...tambahan bila mendengar lagu yang mendayu dayu dan membuai perasaan Yati itu...Yati sedar yang Yati juga melayan perasaan Yati dan semua itu memberi semangat buat Yati menghadapi tekanan hidup dan juga menjalankan tanggungjawab Yati sebagai pelajar...

Mizi yang ku sayangi...
Yati mengaku perasaan sayang sudah lama ada dalam hati Yati terhadap Mizi.. .namun Yati menidakkannya, menafikannya,tidak mengendahkannya... tapi bila berjauhan begini hanya Mizi lah di dalam ingatan Yati...cuma itulah yang Yati mahu Mizi tahu... Yati sayang pada Mizi...bukan sayang seorang kawan kepada kawannya... bukan juga sebab kita ada hubungan persaudaraan... namun ada yang lebih dari itu...maaf Mizi... pengakuan ikhlas dari hati ini meminta di ucapkan... meminta dilafazkan...meminta difahami oleh Mizi...

Hati Yati ini takut juga,resah juga, bimbang juga andai Mizi berperasaan di sebaliknya...sedihlah hati Yati,remuklah hati Yati ini jika Mizi menolak perasaan ini... bagaimana hendak Yati menghadapi dunia ini esok hari jika itu terjadi...tak sanggup rasanya...

Mizi... terzahir sudah perasaan Yati terhadap Mizi... jika Mizi berperasan sama terhadap Yati maka balaslah surat ini secepat mungkin ye Mizi...

Terlalu asyik bercerita tentang perasaan Yati...Yati ingin kongsikan sekali kegembiraan ini dengan Mizi... keputusan penilaian darjah 5 sudah pun Yati terima... Yati mendapat keputusan 5A dan bermakna sedikit hari lagi Yati akan masuk ke sekolah asrama penuh... Yati rasa memang gembira namun bila mengenangkan terpaksa berjauhan sekali lagi dengan Mizi kerana sekolah yang Yati kena pergi tu dekat Teluk Intan...makin berjauhan kita Mizi... itu yang membuat Yati sedih walaupun sepatutnya Yati gembira kerana cita cita sudahpun dalam genggaman Yati...

Hanya surat dari Mizi sahajalah yang akan membuat Yati kembali gembira... Yati akan kirimkan surat dari Teluk Intan berserta alamatnya sekali...

Mizi...
Hati Yati...fikiran Yati hanyalah pada Mizi sahaja sekarang...

Sahabatmu Yati...



balasan aku pada surat Yati...


Yati...

Jika rindu bertukar sayang... biar segelap manapun malam... biar sedingin manapun pagi... biar sehangat manapun terik matahari... namun jika di dalam jiwa sudah wujud perasaan sayang... semua itu akan kita lalui demi orang yang kita sayang.

Yati... untuk meredakan rasa bimbang,resah,risau di hati Yati tak ada kata kata lain juga yang mampu Mizi ucapkan dalam lembaran pertama warkah ini... warkah ini juga dari dalam hati Mizi...Iya Yati... sepertimana perasaan Yati pada Mizi... Mizi juga menyayangi Yati...

Tatkala menerima warkah Yati tempohari sudah Mizi fahami segala galanya...biarlah terlalu cepat kita meperkatakan semua ini...biarlah kita yang melayani semua perasaan ini...kerana jika kita tidak mengendahkannya kita juga menipu diri sendiri...umpama sinaran bulan yang dilindungi awan di malam hari....ia akan tetap menyinari...hingga segenap alam terang akan disinarinya...

Sebagaimana Yati...gambar Yati jugalah dalam dakapan Mizi sebelum melelapkan mata...mahu sahaja Mizi agar bermimpi setiap malam akan Yati...

Yati...
Tahniah juga Mizi ucapkan pada Yati kerana berjaya dalam pelajaran..dan tahun ini pula giliran Mizi menghadapi peperiksaan penilaian tersebut...usahlah Yati bimbang pada Mizi...sejauh manapun Yati dari Mizi tapi Mizi tetap mengngati dan merindui Yati selalu...tak pernah sedetik pun Mizi lupakan Yati ....

Mizi doakan Yati akan sentiasa berjaya dalam pelajaran...di samping mengejar cita cita kita sama sama memupuk rasa sayang ini ye Yati...moga ianya akan sentiasa mekar dalam hati kita...

Mizi sahabatmu...

Sunday, October 21, 2012

Awan Tak Terbentuk

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips
'...Untuk apa lagi dijadikan kisah, andai tersurat, ia sudah lama tercipta...'




Aku duduk di atas pangkin mendongak ke langit yang cerah digemerlap oleh bintang-bintang yang sedang senang memandang. Terlihat jua, sang rembulan separa penuh saban malam bercumbu dengan lantunan cahya si matari merah.

Aku sua puntung rokok masih berbaki satu per tiga ke mulut. Sedut dalam-dalam asap nikotin itu agar meresap menenteramkan adrenalin yang sedang bergolak. Terngiang-ngiang suara gelak tawa kau, senyuman mulus berserta lesung pipit itu, mata bundar yang redup memandang aku tanpa jemu. Dakapan erat hangat mu itu, masih terasa walau bayu malam sedang meniup kedinginan sayu. Saat ini aku merasakan kau disisi sedang mendodoikan aku dengan melodi syahdu.

Di pangkin ini kau pernah berkata padaku; walau apa pun terjadi samada diduga atau tidak, pasti ada makna tersirat untok dimengertikan. Aku ingat walau sudah jauh aku berkelana meninggalkan kau sa-orang menerusi saki hidup, aku kembali semula ke sini tika mana dia mengatakan kau sudah pergi. Aku pulang dengan dikit harapan pada Rabbi, agar kita ditemukan buat kali terakhir. Namun ianya musnah kerna setibanya aku, kau sudah separuh dipenuhi tanah pamah yang bakal menjadi selimut untuk selamanya. Lalu aku jirus tanah-tanah itu dengan air mata agar ia meresap memberitahu kau di dalam sana bahwa aku ada di situ; tentunya tangis dalam mencari pengertian kenapa Tuhan tidak merestui untuk aku bertemu kau buat terakhir kalinya.

Malam yang indah itu berakhir dicemari sedu sedan sa-orang anak laki-laki kerinduan berserta asap rokok yang tak berbentuk mengejamkan.



Hak Cipta: APi

Saturday, October 20, 2012

Dia Rama-Rama

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips


Rama-rama aku tahu kau hidup tak lama,
Hayat kau kejap tapi jasadmu beri pesona,
Betul kata orang laksana,
Yang indah sekejap sahaja,
Bagaimana jika ingin lama?
Jangan kau tanya,
Aku pun hilang cari jawapannya,
Wujudnya sentiasa ada.
Seperti rembesan lampu suria,
Yang mandikan siang dengan cahaya
Dan malam kelam tanpa hadirnya,
Tapi bayang dipantul dek bulan angkasa,
Yang pastinya dia sentiasa ada,
Rama-rama,
Aku curi kau dari orang yang berkata.


Wednesday, October 17, 2012

Yang Ke Satu Kali

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips
Awak, senyumlah sekali..

"Ke hadapan awak yang jauh di sana...eh! macam tak kena je ayat ni" Aisya bercakap sendiri sambil jarinya ligat memusing-musingkan pen dengan tangan kanannya. "Macam mana eh nak tulis surat ni? Dari tadi asyik ke hadapan.." 

Aisya mengambil kertas A4 yang baru di atas meja. Cubaan untuk menulis surat kepada Adam harus disiapkan malam ini juga. Aisya nekad. Kali ini Aisya menulis dengan yakin dan bersemangat. Tidak dapat tidak, esok pagi surat ini harus diselitkan di dalam buku teks Adam. 

"Tok! Tok! Tok!" pintu bilik Aisya di ketuk beberapa kali. "Apa lagi kamu buat tak tidur lagi ni Sya? Esok kan nak sekolah." kedengaran suara Mak Timah di luar bilik. Aisya hanya senyum dan diam. Cepat-cepat dia menekan suis lampu. Gelap. Aisya baring di atas katilnya. Senyum sendiri di dalam gelap mengenangkan misinya pada esok pagi.

Surat sudah berjaya diselitkan ke dalam buku teks Adam. Aisya senyum puas. Aisya tenang duduk di tempatnya yang hanya bersebelahan dengan Adam. Ya, meja mereka bersebelahan. Adam seperti biasa dengan wajah murung dan tegangnya duduk tanpa menoleh ke arah Aisya di sebelahnya. Aisya sudah biasa dengan situasi seperti itu. Aisya tenang. Adam mengeluarkan buku teks dari beg sekolahnya. Aisya hanya memerhati dengan tenang dan menunggu reaksi dari Adam dengan penuh debar. Adam buka buku teks. Riak muka Adam sedikit berubah, terkejut barangkali, melihat ada sesuatu di helaian pertama buku teksnya. Adam buka dan membaca surat tersebut. Senyum terus terukir di bibir Adam.

Awak, senyumlah sekali.
Sekali je.
Dan saya akan rasa bahagia..-Aisya-

Adam lipat semula surat itu dan dimasukkannya ke dalam poket seluarnya. Adam menoleh ke arah Aisya yang berada disebelahnya. Adam hadiahkan senyuman pada Aisya. Wajah Aisya merona merah. Aisya tunduk dan senyum. Aisya bahagia.


Tuesday, October 16, 2012

Redup Sinar Matamu - Part 3

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips
#1 | #2


Yati kini berada 20 kilometer jauhnya dari tempat aku menetap...Begitu terasing rasanya bila berjauhan dari Yati...Entah apa pula perkhabaran dari dia...Ingin rasanya aku pulang ke kampung untuk bertemunya...Dalam minggu pertama aku menerima surat dari Yati sejak aku pindah ke pekan.

Surat pertama Yati...

"Mizi sahabatku...
Aku di sini seperti biasa alhamdulillah sihat cuma rindukan kau Mizi...aku selalu teringat pada kau...teringat bahawa masa masa kita balik dari sekolah kau sering menghiburkan hati aku kerana kau tahu bila aku pulang sahaja ke rumah maka kesedihanlah yang ada menemani aku...

Mizi...surat yang pertama ini memang ingin menyatakan rasa rindu padamu sahabatku...aku tak tahu hubungan kita ini berlandaskan apa kerana kita masih muda dan bersekolah lagi...cuma cukuplah aku beritahu kau adalah orang yang sangat istimewa dalam hidupku...

Aku rasa bertuah kerana mempunyai seorang sahabat yang begitu memahami dan mengambil berat tentang diri aku...Mizi...tak ada yang sepertimu dalam dunia ini...

Aku rasa kau tahu keputusan penilaian darjah 5 akan keluar dalam masa terdekat ini...doakanlah kejayaanku Mizi...kerana aku sangat sangat mengharapkannya...dan jika aku berjaya aku akan dapat peluang masuk kesekolah asrama dan itulah cita citaku disamping dapat mengejar cita cita aku juga dapat melepaskan diri dari rasa kesedihan aku dan juga akan dapat meringankan bebanan keluarga aku...

Mizi, berikanlah aku sekeping gambar kau untuk aku jadikan tatapan dikala aku rindu pada kau...dan aku juga ada sertakan dalam surat ini gambar aku untuk kau walaupun kau tak minta...aku harap kau sudi terima gambar aku yang tak cantik itu ye Mizi...

Sekianlah dulu Mizi..aku harap kau balas surat aku ini...kalau kau tak balas aku akan bersedih lagi...balas ye Mizi...

Sahabatmu,
Yati


Selesai sahaja aku membaca surat Yati yang begitu harum beraromakan bedak wangi yang aku ingat akan jenamanya Sweet Honesty...Akan aku ingat sampai bila bila harumannya..sama seperti yang Yati mengharumkan hari hari indah kami di awal sewaktu sessi pagi persekolahan bersarapan bersama.Tanpa rasa ragu ragu aku terus mencoret apa yang aku rasa dalam hatiku pada sekeping kertas untuk tatapan Yati.

Surat balasan aku pada Yati

Yati sahabatku,

Yati aku sangat gembira bila dapat surat dari kau...hidup aku terasa sunyi di sini walaupun ada kawan sana sini...begitu aku terasa kehilangan bila aku tinggalkan kampung dan terlebih lagi meninggalkan kau... aku pun tak tahu kenapa...aku juga rindu pada kau sama macam kau rindu pada aku...

Yati..aku juga sering teringat masa masa kita berdua pergi sekolah dan balik sekolah tu...seolah olah masa tu kita berdua tak ada masalah...dan aku juga kalau boleh mahu kau dapat melupakan kesedihan kau walaupun seketika...sebagai sahabat itulah yang aku mahu supaya kau gembira dalam hidup kau...kerana aku dan kau masih muda...sepatutnya kita mengejar cita cita dan menikmati hidup sebagaimana orang lain...

Yati, aku memang berharap dan berdoa selalu agar kau berjaya dalam pelajaran... memang itulah yang aku selalu pohonkan setiap kali aku berdoa dalam solatku...dan aku harap kau pun juga begitu Yati...kenanglah aku dalam doamu...

Yati, terimakasih kerana sudi memberi gambar kau buat tatapan aku...kalau kau kata dirimu tak cantik siapakah lagi yang hendak aku katakan cantik dalam dunia ni yang sudi menjadi sahabatku? memang aku tak pernah memuji kau cantik namun ketahuilah Yati memang aku tak punya ayat dan aku sering hilang kata kata bila aku terpandang wajah kau...kalau bunga mawar tu cantik dan harum...cantik lagi dan harum lagi kau dalam hati aku...ahhh..entah dari mana datangnya idea ni...mungkin sebab aku tak berhadapan dengan kau baru aku berani cakap macam ni...

Yati, dalam surat ni aku ada sertakan juga gambar aku buat tatapan kau...ambillah dan simpan baik baik ye...

Yati, sekianlah buat kali ini Yati...Insyallah aku akan terus membalas surat suratmu...membuat aku bersemangat dalam hidupku juga Yati...

Sahabatmu,
Mizi



Sunday, October 14, 2012

Fuad dan Aryana

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips


“Sayang tak?” 

Senyap. 

“Sayang tak...!” 

Senyap, masih tumpu pada pemanduan. 

“Sayang tak?” 

Beri isyarat ke kiri, hentikan pemanduan, tarik brek tangan. Palingkan wajah ke kiri, pandang tepat ke mata. Separuh dunia dipukul taufan. 

“Tak tahu nak cakap.” Yakin, tegas, dalam. Separuh lagi dunia seumpama dibadai ribut gelora jiwa. Hati melompat-lompat. Kasih bertambah ketat. Ketat sangat. 



Hak Cipta: Suffyanrazzaq
twitter: @suffyan_razzaq

Manis Lagi?

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips



Bas Ekspres yang ditunggu dah sampai. Arjuna yang menunggu dengan penuh segak bergaya di tepi Satria Neo hitam miliknya tersenyum. Tak sabar bertemu buah hati yang tersayang barangkali. 

Gadis berkerudung Lcyra kelabu air turun seorang, dan kemudian bas berlalu. Untung ada bas yang mahu berhenti sekejap-sekejap begini. Tidak susah untuk si penunggu seperti Arjuna mahu ke penghujung destinasi perjalanan bagi mengambil isi hatinya. 

Gadis itu manis tersenyum, memperkemaskan pipi sawo matangnya yang tampak berisi itu. Memang comel. Cantik berhias dengan bibir yang berselimut merah jambu semula jadi. Dalam perlahan dan tidak dia menyusun derap langkah penuh kemas agar tak gelincir sandal. 

“Maaf lambat sampai” dan gapai tangan yang tersua. Dikucup perlahan. Diusap kepala gadis itu semula oleh Arjuna, sebelum diletakkan bibirnya selembut mampu pada pelipis mata gadis itu. Manis. 

“Tak ada beg?” dan gadis itu hanya menggeleng. Masih dengan bibir seulas limaunya yang berlekuk senyum manis. Wah, indah dunia andai senyum bisa semanis ini. 

Kaki mula melangkah, menyusun atur menuju kereta yang sedia menanti. Mahu mencari makan katanya, sebelum pulang ke kediaman melenyapkan lelah dan penat yang berbaki. 

Radio dipasang perlahan, entah apa siarannya pun tiada siapa yang dengar, kerana Arjuna dan sang gadis hanya lebih gemar menganyam jari-jari mereka sambil berbicara dalam diam. 

Kemudian. 

“Tak telefon mak? Bagi tahu dah sampai?” dan sang gadis senyum. Dibetulkan duduknya dan dilarikan jemari-jemarinya ke kocek jean biru gelapnya. 

“Eh” dan meraba lagi. Poket depan tiada, belakang pun tiada. Raba lagi. Kali ini pucat. Nafas dah mula turun naik. Ah, sudah. 

“Tak ada!” tangan masih meraba. Blaus lengan panjang hitam yang tidak berpoket juga diraba. Memang tak ada. Wajah sang gadis dah makin merah. Makin risau wajah manis tuh. 

“Sayang tengok betul-betul dulu” Arjuna mula risau sama. Dia turut meraba paha sang gadis, mana tahu kalau-kalau terlepas dari sedar sang gadis dalam kalut. Juga tak ada. Ah, sudah. 

Kereta dipandu ke tepi. Ke sisi jalan, dan berhenti. 

“Cuba tengok betul-betul” 

“Tak ada bang. Memang tak ada. Aduh. Semua dalam tu!” Arjuna juga kian risau. Digapai telefon bimbitnya pula, dan dail. Ada dering! 

*** 

“Hang bawak la sampai sudah. Malam karang aku nak naik lagi” Ramli betulkan duduk. Dia bertukar tempat dengan Ajis ketika turunkan budak manis tadi. Penat dah memandu dari tadi, harus bertukar tempat dengan Ajis, sebab Ajis pemandu simpanan dia pun. Cuma Ramli untung, dia boleh duduk di kerusi bas yang empuk, sebab budak comel yang dia asyik jeling dari cermin bas tadi dah turun. Ajis sebelum itu hanya boleh berehat di kerusi pemandu simpanan. Kerusi kecil di tepi pintu keluar. 

Dan duduk di kerusi yang masih panas dek di duduk budak tadi pun cukup teruja. Tak dapat orangnya, dapat duduk bahang dia pun jadilah. 

“Cantik duh budak tadi. Hehe, dapat buat bini best tuh. Sanggup aku berhenti bawak bas seminggu dua kalau dapat budak sopan macam tuh. Manis jer” sengaja mengajak Ajis bersembang. Hilang bosan. 

“Dia turun tadi pun laki dia dah tunggu kot?” 

“Entah-entah boperen jer tadi tuh” 

“Aku tengok siap bercium tangan macam laki bini takkan la boyfriend dia saja. Budak baik macam tuh kalau aku dapat pun aku suka” Ajis tersengih saja. Nak tambah apa lagi la si Ajis, dia sendiri dah ada tiga orang isteri, dan cantik-cantik juga semua isterinya. Memang tak pernah cukup dengan seorang. 

Trut Trut! Trut Trut! 

“Eh, empon budak tadi la. Fiance tepon” terkejut Ramli. Rupanya telefon bimbit itu tercicir di sisi kerusinya. Nasib baik tak jatuh ke bawah, mahu bercalar telefon tu nanti. Ajis hanya pandang sekilas dan berisyarat suruh Ramli mengangkat panggilan itu. Panggilan tunang budak perempuan tu la kot. Rupanya bukan laki dia. 

“Ni dekat mana nih?” amboi, belum bersalamualaikum sudah melenting bising. 

“Tuan empon tertinggal di dalam bas ni” jawab Ramli. 

“Saya datang ambik. Tunggu dekat stesen ya. Tunggu. Jangan curi. Nanti saya report syarikat tau. Jangan main-main ya. Saya betul-betul ni” 

“Ya, saya simpan. Jumpa di stesen ya. Kami sampai sana lagi 15 minit” dan menggeleng. Budak muda. Tahu mahu marah saja. Nasib baik nak simpan elok, kalau kebas je buat bodoh bukan dia tahu kan? 

“Dan jangan bukak apa-apa. Kalau tidak, jagalah” dan terus letak telefon. 

Ah pelik. Marah sesaja. Tapi kenapa? 

{jangan bukak apa-apa tau} 

{jangan BUKAK} 

Kenapa tak boleh buka? Waktu itu Ramli mula rasa seram sejuk. Dia tak tahu kenapa, tapi jari dia mula menggodek telefon berkenaan. Menggeletar. Bukan kerana sejuk penyaman udara, tapi dia bersaing dengan fitrah dirinya untuk terus beramanah dengan harta orang. 

“Ah dia marah-marah sangat, biar aku tengok apa yang dia cuba sorok” dan jari menyelusur masuk galeri, kemudian gambar, dan click. 

Oh. Ok. Budak tadi. 

“Ha, kenapa?” Ajis mula bertanya. 

“Tak dak apa. Sat lagi dia ambik tepon” menjawab perlahan. Tangan masih laju menggodek. Dari sekeping gambar ke kepingan gambar yang lain. Dari bertudung kepada tidak. Ramli makin seram melihat wajah manis galak gadis itu dalam foto telefonnya. Biasalah, bergaya penuh muncung dan menyelerakan. Dan tidak berbaju. 

Tidak berbaju? 

Ramli jeling Ajis. Ajis masih memandu, tekun. Diam saja. Kemudian digagau telefonnya dan mula aktifkan mode bluetooth. Tangan masih menggeletar. Takut. Tapi, bila lagi! 

Satu. Dua. Ah, ada lagi! Beratus gambar ini semua tidak rugi! 

Dup dap! Dup dap! Rasa bersalah belum hilang, tapi tak boleh lepas peluang. Siapa yang bisik nih! 

Tinggal 10 minit lagi dah nak sampai! 

“Hang perlahan pun tak apa Ajis. Bagi aku berehat” ucap Ramli. Sedangkan dia cuba membeli masa untuk dia salin semua yang dia mahu; dalam takut. 

Dan kemudian, ke mode video. 

Video happy birthday. Video di kampung. Video untuk sayang. Berhenti. Click. Main. 

Oh, ho! 

Bluetooth, cepat bluetooth!!




*** 



“Semua skali?” marah bunyi Arjuna. 

“Mana tau nak jadi macam ni” gadis itu mula menangis. Semua gelak tawa yang dirakam tanda kasih dah sayang bakal menjadi titik hitam andai terbongkar. 

“Abang dah sound dah, dia tak bukak tuh” dan kereta makin laju. Menggila. Masa kian suntuk. Manis senyum tadi dah mula mencuka. Tertekan. Masa kian laju berlari. Waktu itu, siapa yang tertawa manis, barangkali?

Saturday, October 13, 2012

Cinta Itu Rare?

11:39:00 PM | | Best Blogger Tips



Mengelamun kisah cinta bukanlah perkara yang sukar kerana ia sekadar permainan akal. Namun, bercinta secara real di alam nyata bukan semua orang bisa mengalaminya. Jika diturutkan, hati mana yang tidak sengsara setelah lebih 2 dekad hidup di dunia tanpa cinta dari manusia. Aku akui, cinta Tuhan yang satu adalah sebenar-benar cinta namun tidak semua bisa merasainya, hanya sekadar terpacul dari bibir yang banyak mengungkapkan dosa. Hanya meuar-uarkan tanpa sebarang tindakan ke arahnya.

Aku, hidup tanpa pernah merasai cinta, ya cinta. Seumur hidup, hanya bertemankan cinta pinjaman dari bait-bait senikata lagu yang menggambarkan keindahan cinta, babak-babak yang mengundang senyuman dalam drama cinta, kisah-kisah dari teman tentang sakitnya bercinta dan ceritera cinta yang aku baca entah dari mana. Sadis?

Teringin atau desperate? Terpulang pada anda. Jika ada yang turut mengalaminya seperti aku mungkin mentafsirkan sebagai teringin. Manakala, mereka sudah masak benar dengan penangan cinta mungkin menganggapnya desperate. 

Sekali-sekala aku juga pasrah dan cuba bersangka baik dengan nasib sendiri tetapi aku juga manusia biasa yang boleh lemas tanpa udara dan boleh berdarah jika terluka. Tuhan kurniakanlah aku cinta. Yang jujur, tulus dan ikhlas.

Apa kesudahan cerita aku?


From Admin: Maaf ya... (Harap penulis ini, dapat memaafkan kami, kerana masalah teknikal, baru sahaja diketahui.)


Hak Cipta: Katniss

Jatuh Lagi...

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips



"Jatuh lagi...apalah minah kat atas ni asyik jatuh saja kain dia...aku pun tak tahu siapa punya..." Mendiami flat atau apartment memang begitulah tak pernah sunyi dari perkara perkara yang kadang kadang melucukan juga menyakitkan hati. Sudah dekat setahun mendiami ground floor itu dan di atas tingkat  ada hostel perempuan. Sudah nama pun perempuan tak mungkin diorang nak claim baju jatuh. Nasib baik baju yang jatuh kalau pakaian dalam? Aku rasa diorang gantung baju dalam kat dalam bilik mandi kot.

Tapi hari tu betul betul mencabar kelakian aku. Siapa punya seluar dalam nama Martini ni.? Colour purple lagi... Hoi tak senonoh lansung perangai... !

"Ada lagi ke kain jatuh? Hahaha..."

Tuesday, October 9, 2012

Redup Sinar Matamu - Part 2

9:00:00 AM | | | Best Blogger Tips


Yati akur dengan nasibnya...Keluarganya menghadapi dilemma di ambang perpecahan....Pernah Yati memikirkan untuk lari saja dari rumahnya itu...Tak tertanggung rasa derita di hatinya apabila ayah dan ibunya asyik bertengkar siang dan malam...Bagaikan tidak ada kesudahan kerana ayahnya tidak mahu melepaskan atau menceraikan ibunya walau pun ibunya pernah meminta supaya dilepaskan.

Fikirannya asyik terganggu...Yati tidak dapat menumpukan perhatian pada pelajarannya walaupun dia di antara pelajar yang terbaik di sekolah....Hanya kerana dia tepaksa berjaga di waktu malam sampai ke pagi menolong ibunya membuat kuih untuk menyara kehidupan....Ayahnya sudah tidak bekerja lagi lantaran sudah berhenti dari pekerjaannya seorang askar kerana kes memukul orang awam...

Dalam pada waktu itu aku pula mahu berpindah ke rumah ku yang sudah siap...Maka tinggallah Yati dan kawan kawanku di kampung. Semasa aku bersiap siap mengemas itu ini untuk berpindah, dari jauh ku lihat Yati berdiri di bawah pokok manggis bersama adiknya Tini. Pemandu lori dan kelindannya sibuk memunggah barang barang untuk di masukkan ke dalam lori...Aku turut mengangkat barang apa yang aku boleh angkat...

Dalam pada aku sibuk sibuk itu aku nampak Yati mengesat sesuatu di matanya...Aku pun menghentikan apa yang kulakukan dan menghampiri mereka...Memang jelas nampak Yati baru mengesat airmata bila aku sampai di sisinya...

Andainya aku boleh berbuat apa apa jua ...memang aku tak mahu meninggalkan dia...Di saat itu dia masih memerlukan kawan seperti aku...Kawan yang sudi berkongsi suka dukanya...Walau tak dapat mengubah keadaan namun cukuplah untuk ku berikan semangat agar dia terus tabah menghadapi hidupnya...Sejak peristiwa di marahi dan di maki oleh bapanya...Aku dan Yati menjadi kawan baik...Pergi sekolah bersama dan pulang sekolah juga bersama...Antara aku dan Yati sudah terjalin satu perasaan percaya mempercayai dan di situlah mulanya Yati memberitahu segala kepedihan yang di rasakannya di dalam hatinya selama ini.

"Jangan menangis Yati..kalau aku ada masa aku datang melawat kau dan kawan kawan di kampung ni..."kataku seperti memujuk Yati

"Kau jangan lupa tulis surat kat aku ya Mizi...aku akan tulis surat kat kau...kau balas ye..." suara Yati hampir ke dalam dan hampir aku tak dengar...mungkin sebab menahan sebak di dadanya...

"Iya...aku janji aku balas surat kau...lagi pun bukan jauh sangat antara kampung ni dengan pekan itu... ...aku akan datang ke sini kalau ada masa..."

"Aku harap begitulah, Mizi... aku harap kau tak lupakan aku..."sayu dan sendu bunyi ungkapan nya...lalu airmata Yati terus membasahi pipinya...

"Yati...aku akan datang jumpa kau dan aku tak akan lupakan kau...dan kawan kawan kita ...aku harap kau belajar lah sungguh sungguh sampai kau dapat masuk asrama penuh...aku doakan kau berjaya dalam peperiksaan penilaian tahun ini Yati...semoga cita cita kau tercapai..." sambil menghulurkan tangan kepadanya...Namun Yati menyandarkan pula kepalanya ke dadaku...Aku kaget...Tak sempat aku menolak atau menghindar dari dia berbuat begitu...

"Jangan lupakan aku Mizi..." lafaznya perlahan dan airmata pun mengalir membasahi pipinya lagi...

- Episod -
Redup Sinar Matamu [ #1 ]

Sunday, October 7, 2012

Pinjaman Tuhan

9:00:00 PM | | | Best Blogger Tips


Aroma wangi menusuk setiap rongga
Jutaan mata melirik manja tertumpu pada satunya
Makanan minuman bertumpah sekata     
Demi mendekati satu ciptaan di indah manusia

Tapi semua bisa mengiyakan
Realiti memang menyakitkan
Bila menyedari semua atas badan satu pinjaman



Hak Cipta: aidan ohara
-Tamat-


Harus Gila Lagi?

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips
'...Aku susun tertib budi caraku... namun gelora, tetap menerjah umbun dikalbu...'


Jarum minit bergerak seperti jarum saat. Terlalu laju, untuk Amri yang ketandusan waktu. Harap semuanya sempat. Harap semua yang berlemparan di jalanan ini berhenti dan biar dia seorang yang berlari, menyelinap di antara manusia. Harus lebih laju dari lipas kudung, kerana dia yang berpakai kemas lengkap seluar hitam dan kemeja putih bertali leher kuning cair itu tidak kudung. 

“Oh shit!” dan jatuh. Orang besar-besar, dah jatuh bukan reti mahu sebut nama Tuhan. Di tahikan siapa lah tuh. 

“Tak nampak orang tengah bergegas kah wei?” dan tak bersopan. Barangkali terlalu kesempitan waktu buat dia hilang rasional. Hanya tahu bangkit semula, menyapu telapak tangan pada baju dan seluarnya ala kadar sebelum mahu melangkah semua. 

“Habislah” mengeluh lagi, dan mula berlari. 

Yang dilanggar tadi masih berdiri. Tak berganjak. Barangkali terlalu pantas untuk dia sedar semua ini realiti. Belum sempat membalas mahupun bertukar emosi, Amri sudah berlari. Lantas, harus apa lagi; mengeleng sahaja. 

Oh, tidak. Dia tunduk sedikit. Sopan turun mengutip telefon Nokia N71 yang ada di depan mata. “Sah budak kabut tadi punya” dan tersenyum. 

*** 

“Encik Amri, bos baru masuk. Boleh jumpa dia sekejap lagi ya. Lima minit” sambil dilempar senyum manis untuk Amri. 

Syukur alhamdulillah, dan Amri juga kembali senyum, biarpun debar dia berkejar tadi masih berbaki. 

Amri sebenarnya lewat juga tadi. 10 minit. Tapi barangkali rezeki masih di pihak dia. Sang pelanggan yang berjanji dengan dia masih belum tiba. Biasalah, orang besar. Ada saja agendanya tanpa jadual. Cuma, lewat yang ini sedikit melegakan. Paling tidak, dia masih ada seminit dua untuk membetul diri sebelum bertemu pelanggannya. Bakal pelanggan sebenarnya. Tapi, harap-harap jugalah terjual kata-katanya hari ini. Ikan besar, boleh dapat makan besar. Senyum. 

Sang setiausaha memanggil namanya sekali lagi, kali ini hanya di ikut dengan anggukan kecil, dan senyum. Amri bersedia, gerak dan berdoa. Moga semuanya bisa aman dan mengamankan. 

“Assalamualaikum” ucapnya dan melangkah masuk. Waktu itu wanita berbaju suit lengkap korporat coklat muda berjalur putih dan berkemeja putih itu masih menghadap komputer ribanya, sambil menggamit gemalai tangannya untuk isyaratkan agar Amri masuk. 

“Duduk sebentar ya” dan mata di sebalik kaca mata Bonia maroon itu masih dengan pandangan komputer ribanya. Dan sesekali menaip entah apa. Manusia sibuk. Sibuk memanjang. Dan kemudian baru senyum, membetul duduk memandang Amri sambil merapatkan screen komputer riba itu ke papan kekuncinya. 

Cantik! Terkedu. Oho, kalau bos secantik ini, harus saja berulang datang! 

“Ya, Encik Amri ada proposal untuk saya?” 

Baru Amri sedar yang dia terlena sekejap dengan mata cantik di sebalik kaca mata itu. Tak sangka, bila pipi merah-merah anak itu bila disalut wajah bujur sirih dan tudung ringkas juga benar-benar cantik. Macam anak dara betul bos dia nih! 

Haha Setan! 

“Maaf” membetul duduk. Dan mencuri masa. Sekejap. Seperti dia mencuri pandang dalam diam. Hehe. 

Kalau betul dunia ini seperti indah ini, harus saja dia tidak lagi lambat seperti tadi. Harus ada selepas subuh, baru berbaloi! 

Dokumen bertukar tangan. Kemudian berbahasa serba sedikit. Amri memang bijak bersuara dan intonasinya tak pernah kalah untuk mengujakan manusia. Harus sajalah dia menjadi agen unit trust untuk syarikat besar seperti ini. Lagi besar laburnya, lagi besar labunnya. 

Dan semua tampak baik. 
Dan berakhir dengan sebaik yang diharapkan. 

“Semoga semuanya baik untuk Puan, dan bagi juga untuk portfolio kami” dan senyum. Mahu saja Amri rakamkan senyum manis Puan di hadapannya. Gila, bini orang pun mahu nak digilakan. Gila! 

“Insya’Allah Amri, andai semuanya dipersetujui, saya akan maklumkan dengan Amri nanti ya” haha. Tak ada Encik dah macam tadi. Amri ya. Senyum. 

Amri menghulur tangan untuk berjabat, sambil-sambil bangun dari duduknya. Dan hanya anggukan kecil yang dibalas, sambil kedua belah tangannya disorok di belakang badan. Haha, malu merah muka Amri. Tak sangka puan yang ini bukan seperti kapitalis lain yang mana percaya sauk tangan lah jantan mana pun, asalkan berduit bisa jadi. 

“dan ini milik Amri?” dihulur pada telapaknya Nokia N71 yang memang mirip miliknya. Diraba-raba kocek yang ada, dan belek folder yang dibimbit. Tak ada. Memang tak ada. Macam mana boleh tak ada? 

“Kita berselisih tadi” dan senyum. 

Tapi amri tak senyum. Mukanya merah padam. Malu. Gila. Langgar potensi pelanggannya. Dan la lawa pulak tuh. Mahu saja dia kata ini satu petunjuk jodoh; kalaulah Puan Khairiah ini bukan bini orang lah. Lawa-lawa pun bini orang. Sah kaki sebab jantan mana-mana yang berkepuk duit di kocek. 

“Dan saya bukan Puan Khairiah ya. Itu mama. Saya ganti mama hari ini.” Sambil mencari sesuatu di kocek beliau. Kad nama. Dihulurkan pada Amri 

“Panggil saya Dahlia” dan senyum. 

Harus gila lagi?

Saturday, October 6, 2012

Kasih Tak Sampai - The Revival

9:00:00 PM | | Best Blogger Tips


Kad undangan Amni dibiarkan dihujung katilnya. Bukan mahu menjadi kurang beradab dengan menolak undangan ke majlis itu. Tetapi adalah sesuatu yang ‘disturbing’ kiranya undangan itu adalah untuk hari bahagia wanita yang pernah menjadi cinta pertamanya. Yang kini dalam pasrah menerima cinta dari yang lain.

Irwan duduk termangu di atas katilnya merenung ke luar jendela. Hari yang kelihatan sugul disulami gerimis diluar sana yang tiada tanda tanda mahu reda. Seakan terus terusan mahu menemani.

Biarlah kata kata rakannya bahawa si dia bukan jodoh untuknya. Biarlah rakannya berkata bahawa akan ada yang lebih baik untuknya. Biarlah rakannya berkata apa sahaja. Irwan tidak menafikannya malah memahaminya. Tetapi cinta pertamanya itu ternyata sangat kuat bersemadi dalam diri Irwan.  Sukar untuk melupakan apatah lagi sukar untuk menyembuhkan luka yang terpalit dari kegagalan cinta yang pernah hadir ini. Cinta kali ini tersangat kuat auranya. Hinggakan tersangat kuat sengsara yang dirasai disaat ingin melepaskannya. Sangat pedih.

Irwan terus merenung kosong ke luar jendela.
Pintu bilik jenis studio yang disewanya diketuk beberapa kali. Irwan tiada daya untuk mempedulikannya. Apatah lagi mengetahui ianya tidak berkunci . Mungkin rakan rakannya datang untuk terus berada disisinya di saat saat sukar begini.  Hingga akhirnya pintu dibuka sendiri oleh tetamunya.

Sunyi sepi. Yang terdengar hanyalah esakkan tangis seseorang.
Diserang tanda tanya, Irwan menoleh.

“Haaaa!! Apa pula si pengantin perempuan buat di sini??? Di hari pernikahannya!!


ps: Kepada yang mahu mengenali watak sila ke Kasih Tak Sampai.

Hak Cipta: delarocha
-Tamat-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...