Sebarang karya nukilan yang ingin disalurkan untuk tujuan penyiaran, sila emailkan ke secret7writer@yahoo.com. Terima kasih.

Sunday, December 2, 2012

Botak

9:00:00 AM | | Best Blogger Tips



“Mak…”, panggil Botak sedikit merengek. Selipar yang dipakainya disepak jauh sejurus masuk ke rumah. Terkocoh-kocoh Mak Bedah mendapatkan putera bongsunya itu.

“Ya, ya… Mak ada ni sayang. Kenapa pula dengan anak mak ni? Tengok mukanya tu… Monyok betul. Tak hensem dah…”. Cuba mengusik.

“Mak…”, sekali lagi Botak bersuara. Terus mendakap Mak Bedah erat-erat. Melepaskan rengekan yang masih berbaki.

“Iya sayang… Cuba cakap dengan mak, kenapa. Macam mana mak nak tahu kalau hero mak ni asyik nak merengek saja. Budak-budak tu kacau lagi ya, nak?”, Mak Bedah menyoal manja.

“Diorang bilang Botak hodoh… Botak bodoh… Lepas tu diorang baling batu dekat Botak... mak. Tapi Botak sempat ngelak. Mak… Betul ke apa yang diorang cakapkan tu?”, tanya Botak. Meluah segala yang terbuku di hatinya mengenai apa yang terjadi sebentar tadi.

“Sayang… Kan mak letak nama anak mak ni Habibullah. Kamu tahu apa maknanya nama kamu? Habibullah membawa maksud kekasih Allah. Biar apa saja yang orang mahu kata, pedulikan ya. Biar kita hina pada pandangan manusia, yang penting Allah memandang kita dengan pandangan yang mulia. Mak nak anak mak kuat. Ni lah ujian namanya. Kita kan miskin. Hidup atas ihsan orang ramai. Tak kiralah apa yang berlaku akan datang kelak, mak nak kamu tahu yang mak sentiasa ada dengan kamu. Ya, sayang…”. Panjang lebar Mak Bedah berhujah disulamkan dengan senyuman manis. Cuba memujuk hati hero kesayangannya itu.

Botak yang berusia sebelas tahun terpaksa berlagak matang sebelum mencapai usia dengan menelan dalam-dalam setiap perkataan yang disuarakan oleh maknya. Sedaya upaya dia cuba untuk memahami.


**************************

Tiga tahun kemudian…

“Mak…Mak…”. Kedengaran suara Botak dari luar memanggil. Namun tiada lagi kelibat Mak Bedah berkejaran mendapatkan anaknya.

“Mak…”. Botak cuba menghampiri maknya. Membetulkan posisi Mak Bedah agar dapat duduk dengan selesa.

“Ya sayang…”, lemah kedengaran suara ibu tua itu. Tak bermaya. Namun tetap dikerah segala kudrat untuk melayan kerenah si anak.

“Diorang ejek Botak lagi…”, ngadu Botak bagai minta simpati. Meski Botak kini berusia empat belas tahun, namun tahap pemikirannya bagai kanak-kanak yang berusia lima-enam tahun. Itu takdir yang terpaksa untuk Mak Bedah redha menerimanya. Hatinya seolah disiat-siat saat menerima penjelasan daripada doktor mengenai masalah kesihatan Botak. Botak sering demam panas sewaktu umurnya tiga tahun dan setelah berkali-kali keluar masuk hospital, doktor mendapati bahawa sistem perkembangan otak Botak terencat. Dan sejak dari itu, Mak Bedah mulai berhenti kerja demi memberikan sepenuh perhatiannya kepada Botak.

“Mak… Mak tak makan lagi? Botak suapkan ya…”, ujar Botak. Cuba mencuri perhatian Mak Bedah. Senyum nipis terukir di bibir tua wanita itu. Kedut-kedut halus yang menghiasi wajahnya turut menggambarkan keuzuran Mak Bedah.

“Habibullah, anak mak… Dengar elok-elok ya sayang apa yang mak ingin cakapkan ni… Mak sayangkan kamu… Bahkan teramat sayang… Walaupun orang lain bilang kamu bodoh, tapi mak yakin anak mak ni bijak orangnya… Mak tahu, kamu punya pelbagai kelebihan yang orang lain tak kan mungkin bisa nampak dengan mata kasar mereka… Kamu harus percaya dengan diri kamu sendiri… Jangan terlalu bergantung pada mak lagi ya… Mak dah tak kuat nak… Lambat-laun, mak akan pergi juga… Dan kamu, jangan pernah putus asa untuk meneruskan kehidupan tanpa mak…”, satu persatu ayat tersebut dituturkan.

“Mak nak tinggalkan Botak?”, tanya Botak curiga.

“Tak, nak… Mak takkan pernah tinggalkan kamu… Walaupun suatu hari nanti mak dah tiada lagi di dunia ni, mak sentiasa ada di sini… Dekat dengan kamu… Ngerti?”, Mak Bedah melekapkan tangannya di dada Botak.

“Di hati Botak ya mak?”, sekali lagi Botak bertanya meminta kepastian. Arghhh… Kelihatan sukar benar anak ini untuk memahami apa yang cuba di sampaikan.

Perlahan Mak Bedah mengangguk.

“Botak faham mak…”, ujar Botak antara yakin dan tidak.


**************************

“Mak… Botak kena ejek lagi… Kali ni lagi teruk mak… Diorang kejar Botak… Diorang baling batu kat Botak… Diorang bilang Botak gila… Mak… Botak perlukan mak… Mak je tempat Botak mengadu…”, rintih Botak sayu.

Hujan yang renyai bagai turut menangisi nasib si Botak. Di tanah perkuburan itu, Botak sedikitpun tidak menghiraukan keadaan bajunya yang kotor diselaputi lumpur tanah merah. Dia terus-terusan mengadu domba di pusara Mak Bedah bagaikan maknya masih hidup. Sejak pemergian Mak Bedah, Botak bagai hilang punca. Makan pakainya tidak terurus. Pernah juga sekali dua dia mengemis untuk mendapatkan makanan. Dan pernah juga dia ditangkap kerana mencuri sebungkus roti di kedai runcit Pak Abu namun dilepaskan atas dasar simpati dan perikemanusiaan orang tua itu sendiri.

Botak meramas genggam tanah lumpur itu. Tidak tahu apa yang dirasakannya kala ini. Dunianya bagaikan kosong sejak ketiadaan Mak Bedah.

“Hidup ni tak adil kan mak… Kita tak pernah hidup senang… Botak cuma ada mak jee… Itupun dah cukup buat Botak rasa bahagia… Tapi sekarang mak dah takde… Apa yang Botak ada lagi mak…??? Botak dah takde pape… Botak dah takde sape-sape… Mak, kenapa tuhan tak ambil Botak sekali…??? Kenapa tuhan tak bagi Botak pergi dengan mak…??? Kenapa tuhan biarkan Botak hidup sorang-sorang…??? Kenapa mak…???”, Botak masih menangis. Tidak kuat sebenarnya untuk meneruskan kehidupan tanpa Mak Bedah di sisi.

“Mak… Botak lapar… Botak nak cari makan dulu… Nanti Botak datang sini lagi ya mak… Botak nak teman mak… Mak tunggu Botak ya…”. Ujar Botak mula mengatur langkah untuk pergi.

Longlai… Lemah terasa lututnya untuk melangkah. Perutnya yang berkeroncong juga menjadikan Botak begitu tidak bertenaga. Matanya hanya tertunduk ke bumi.

Poonnnn…..!!!!

Bukkk… Tercampak tubuh Botak di atas jalan setelah dirempuh lori ais. Mengelupur sekejap. Dan akhirnya…

Mak… Botak datang…


5 comments

December 2, 2012 at 9:07 AM

lama sehhh..tak baca BBB punya kispen..lepas rindu gua...

December 2, 2012 at 1:41 PM

cis.. apasal mata aku masuk habuk pula ni...

December 2, 2012 at 7:19 PM

sebak...

December 2, 2012 at 7:58 PM

sedih kak..

December 4, 2012 at 9:19 AM

sedihnya.

Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...